06 November 2008

Usrah, Madrasah Tarbiyyah yang paling bertenaga


Selepas konvensyen Tarbiyyah Pas Negeri Pahang yang diadakan di Temin Jerantut baru-baru ini, berbagai-bagai pandangan telah diberikan oleh blogers-blogers dan ustaz-ustaz. Tidak kurang juga ahli-ahli biasa. Dua kertaskerja telah dibentangkan, masing-masing oleh Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Tuan Guru Presiden.

Kedua-dua kertaskerja tersebut memberikan penumpuan khusus kepada "Tarbiyyah". Umum dalam Pas bermula daripada peringkat pimpinan hinggalah keperingkat bawahan mengakui tarbiyyah dalam Pas tidak serancak dahulu (kecuali ahli yang muncul selepas 90an). Kemanisan Tarbiyyah zaman awal 80an hingga kehujung 80an dirasakan sudah sangat pudar. Ungkapan Usrah, Tamrin, Mukhayyam tarbawi, ijtima dan Qiamullail jamaei sudah jarang kedengaran. Mungkin kerana sebahagian besar pimpinan kita sibuk setelah Pas berjaya menguasai Negeri (Pas menguasai kelantan pada tahun 1990), atau kerana kita sudah terpengaruh dengan pendekatan baru yang dilihat lebih raleven dengan gerbang politik dunia baru yang dimasuki Pas. Sehingga program usrah,tamrin, mukhayyam dan Qimullail jamaei dilihat semacam membawa Pas ke zaman silam yang menyebabkan Pas tidak seiring lagi dengan parti-parti Politik lain yang ada.

Alhamdulillah, kehadiran Al-Fadhil Ustaz Timbalan Presiden dan Dato' Seri Tuan Guru Presiden telah memberikan suntikan yang menyentak lamunan kita yang begitu panjang, khususnya bagi ahli-ahli Pas di Pahang. Kehadiran konvensyen Tarbiyyah pada 2 November yang lalu kena pada masanya. Saat dimana telah ada ahli-ahli Pas yang memperlekehkan Usrah, yang masih dikendalikan oleh sesetengah Pas Kawasan. Sehingga sudah ada ahli Pas, dengan nada sinis berkata; PKR tak sibuk pun berusrah, bertamrin dan berijtima-ijtima', tapi boleh kuasai kerusi lebih banyak dari Pas. Baik kita tumpu betul-betul kepada jentera Pilihanraya daripada kita sibuk berusrah-usrah.

Malangnya selepas pembentangan Kertakerja "Kegemilangan Tarbiyyah Pas, realiti dan harapan", masih terdapat suara-suara yang seolah-olah meringan-ringankan usrah. Walaupun mungkin mereka tidak bermaksud demikian namun tulisan sebegitu jika dibaca oleh ahli-ahli Pas yang "anti usrah" akan menjadi hujjah kuat mereka. Ucapan ulasan oleh Presiden yang mengatakan; Usrah hanya satu dari mekanisme tarbiyah tetapi tarbiyah tidak terbatas hanya dengan usrah semata-mata (1) telah dilihat dan difahami sebagai keizinan mengecuali sesetengah orang daripada program Tarbiyyah secara berusrah. Alasannya ialah, kerja-kerja lain dalam jamaah juga adalah Tarbiyyah. Mendengar ceramah pun sebahagian daripada Tarbiyyah,Tampal poster adalah Tarbiyyah, rayu undi adalah Tarbiyyah, kuliah di masjid dan surau-surau adalah Tarbiyyah dan banyak lagi kegiatan jamaah yang dikira Tarbiyyah.

Saya melihat ucapan tersebut tidak bermaksud demikian (2).
Ucapan itu dihadapkan kepada orang yang berpendapat "hanya usrah " sahaja yang dinamakan Tarbiyyah. Sehingga mereka tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti lain dalam jamaah, yang juga termasuk dalam pengertian Tarbiyyah. Tuan Guru mahu membetulkan sikap itu. Saya tidak nampak ucapan tersebut menjurus kepada pengertian; "siapa yang telah melakukan kerja-kerja jamaah, seperti telah hadir ceramah politik, atau tanpal poster atau rayu undi atau apa sahaja kerja-kerja jamaah, tidak perlu digesa mengahadiri Usrah, kerana kerja-kerja yang mereka lakukan itu sudahpun dikira Tarbiyyah".

Justeru itu saya bimbang, ucapan sepontan Tuan Guru Presiden difahami sebagai keizinan untuk ahli-ahli pas tidak terikat dengan usrah. Sedangkan Ustaz Nasa ketika pembentangan kertasnya mengatakan Ahli jawatankuasa Pas Pusat pun berusrah sejam sebelum mesyuarat bulanan Pas Pusat.

USRAH TETAP MADRASAH TARBIYYAH YANG PALING BERTENAGA.

Kita tidak menafikan apa pun program jamaah yang disertai oleh ahli Pas, merupakan tarbiyyah kepada mereka. Hadir ceramah adalah Tarbiyyah. Paling kurang mentarbiyyah mereka bekorban masa dan wang ringgit. Demonstrasi adalah tarbiyyah. Paling kurang mentarbiyyah mereka berani, prihatin dengan issu dan sebagainya. Namun semua itu adalah tarbiyyah secara tidak langsung. Program tarbiyyah tidak langsung adalah peringkat yang kedua selepas melalui Tarbiyyah secara langsung. Tarbiyyah secara langsung inilah yang akan mendedahkan ahli kepada Taswwur Islam yang syumul, memberikan mereka kekuatan hujjah sehingga mereka iltizam dengan jamaah, mendidik rohani mereka agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, sumber kemenangan perjuangan. Tarbiyyah secara langsung itulah yang akan melonjak mereka untuk berani kehadapan dan berjihad mempertahankan Islam. Tarbiyyah secara langsung itu juga yang mengukuhkan ikatan ukhuwwah dalam jamaah.

Saya tidak lihat adanya program Tarbiyyah secara langsung yang lebih bertenaga dan berkemampuan membentuk ilmu,ukhuwwah, rohani, akhlak dan semangat jihad melebihi kemampuan program Usrah. Sebab itu bagi saya, seharusnya siapapun dalam jamaah ini, walau dimana peringkat sekalipun hendaklah melalui proses tarbiyyah khusussiyyah ini. Sebahagian besar daripada kita masing-masing telah melakukan kerja-kerja jamaah. Tetapi mengapa masih ada yang berlainan fikrah?. Mengapa masih bercelaru dari sudut taaruf,tanzim,taqwin dan tanfiz?. Jawapannya ialah kerana kita tidak pernah duduk bersama dalam satu halakat yang menjadi sibghah (acuan) jamaah untuk kita. Ahli Pas yang terus terjun ke lapangan kerja-kerja politik tidak sama fikrahnya dengan ahli yang terus terjun kelapangan penerangan, begitulah ahli-ahli yang lain. Kita perlu benar-benar memahami tabiat perjuangan Pas, bukan hanya tabiat perjuangan islam secara umumnya. Untuk menegenali tabiat perjuangan Pas kita perlu berusrah. Berusrah dengan Murabbi Pas yang benar-benar memahami tuntutan gerakan Islam dan memahami Pas dalam realiti yang ada. Nuqaba' akan membentuk fikrah ahlinya agar benar-benar seiring dengan fikrah Pas. Ahli-ahli yang lahir melalui "tabung uji" mungkin memahami Islam tetapi perlu mengambil masa yang serius untuk mengenali Pas.

Mereka itu ( Amilin Jamaah) bagaikan "singa pada siangnya dan 'Abid pada malamnya", hanya akan dapat direalisasikan melalui sistem tarbiyyah khususiyyah. Sifat Pas sebagai sebuah "gerakan Islam"(3), terangkum didalamnya Politik, Tarbiyyah, Ilmu, Kebajikan, Ekonomi, Dakwah, Penerangan dan Jihad, menjadikan Pas sangat-sangat memerlukan agenda Tarbiyyah khususiyyah yang sistematik. Tuan Guru Presiden menegaskan dalam ucapanya; "kita (pas) tidak sama dengan Abim,Tabligh, Jim dan mana-mana kumpulan yang lain". Berada dalam Abim mungkin kita tidak memerlukan latihan berpolitik, berada dalam Tabligh mungkin kita tidak memerlukan kesedaran politik dan jihad, berada dalam Jim mungkin kita tidak perlu kepada kursus pilihanraya dan dakwah kepada orang-orang kampung yang tidak berpendidikan. Tetapi Pas adalah perjuangan Islam yang syumul dan Pas For All.


Ukhuwwah yang mendalam - fikrah yang seragam -iltizam dengan gerak kerja jamaah hanya dapat dibentuk dengan jayanya melalui usrah (tarbiyyah khususiyyah). Kesimpulannya marilah seluruh ahli Pas menyertakan diri mereka dengan usrah-usrah dimana-mana peringkat pun disamping meneruskan kerja-kerja Parti yang juga merupakan latihan dan Tarbiyyah kepada kita.

Terimakasih Tuan Guru Presiden dan Ustaz Nasa yang telah mengembalikan semula suntikan bernas dan bertenaga kepada gerakan Islam Pas.

Nota:
1). Ucapan Tuan Guru dipetik daripada atikel yang disiarkan oleh Lajnah Penerangan Dewan Ulama' Pas Pahang (dupahang.wordpress.com)
2). Mungkin saya salah.Tuan-tuan guru dan Ustaz-ustaz tolong betul kan saya.
3). Pas bukan hanya sebagai "Parti Politik".

No comments: