08 November 2008

KETERBUKAAN PAS BUKAN UNTUK DIKHIANATI.

KETERBUKAAN PAS HENDAKLAH DISANTUNI SECARA SOPAN DAN BERADAB.

Sejak Pas memperkenalkan motto "Pas for All", saya cuba membaca dan meneliti seberapa banyak mungkin atikel mengenainya didalam blog-blog persendirian atau blog sebahagian pimpinan Pas (peringkat negeri dan kawasan-kawasan). Tujuan saya berbuat demikian ialah untuk melihat dan mengkaji sejauh mana Pas for all itu dapat berperanan secara sebenar dan membuahkan keuntungan kepada Pas.

Alhamdulillah. Sebenarnya "Pas for all" ini bukan pendekatan yang baru dalam Pas. Ia kelihatan baru, kerana baru disegarkan kembali ketika muktamar Pas di Ipoh beberapa bulan yang lalu. Sedangkan pada hakikatnya Pas memang for all, sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951 dahulu. Apabila Pas menjadikan dasar perjuangannya ialah Islam, maka dengan sendirinya Pas adalah untuk semua, sebagaimana "Islam itu untuk semua". Sifat Islam sebagai agama Rahmat kepada sekelian alam, tidak membataskan Islam kepada qabilah,bangsa atau batas-batas geografi yang tertentu. Semua manusia dan hamba Allah diseru kepada Islam. Begitu juga Pas. Semua bangsa dan agama diseru kepada dasar Islam yang dibawa oleh Pas.

Saya tertarik dengan satu atikel yang ditulis oleh seorang pimpinan pemuda dalam Pas. Beliau membahasakan "Pas telah banyak berubah. Kini Pas sudah membuka pintunya kepada kaum lain bahkan telah sanggup berkerjasama dengan DAP yang sering melaungkan penentangannya terhadap konsep negara Islam yang dibawa oleh Pas.Bahkan Pas telah membuka mindanya sehingga kini dilihat lebih profesional".

Saya terperanjat, kerana perkataan tersebut dilontar oleh seorang "pemuda Pas". Berdasarkan tulisan itu saya mengandaikan dua perkara. Samaada beliau mempunyai agenda untuk menampakkan sebelum ini Pas itu jumud, dan kejumudan itu disebabkan pimpinan tua dalam Pas. Atau beliau sememangnya belum benar-benar menselusuri perjuangan Pas sebelum ini dan menghirup ruh perjuangannya.

Sebelum ini pun Pas tidak pernah menutup pintunya kepada sesiapa pun. Pas dan dasar perjuangannya boleh didekati oleh semua orang. Inilah yang ditegaskan oleh pimpinan Pas sejak dahulu hingga kini. Bahkan sebelum adanya kelab penyokong Pas, beberapa belas tahun yang lalu Pas telah menubuhkan CCC, satu badan yang dipertanggungjawabkan untuk mendekati kaum cina dan menyampaikan message pas kepada mereka. Ini semakin terserlah apabila Pas menguasai pentadbiran kerajaan Kelantan pada tahun 1990. Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar telah melaksanakan seberapa banyak mungkin pendekatan kearah itu, sehingga jurang yang digali oleh Umno untuk menjarak jauhkan Pas dan kaum lain berjaya dirapatkan dan ditimbus oleh Tuan Guru dan pemimpin Pas waktu itu. Cuma mungkin disebabkan tenaga yang terhad di dalam Pas, atau halangan yang ekstrim dari Parti Pemerintah menyebabkan Pas kelihatan bergerak agak perlahan kearah itu. Pergerakan yang lambat disebabkan banyaknya halangan bukan bermakna Pas menutup pintunya kepada kaum lain.

Keterbukaan dan kejayaan kerajaan Pas di kelantan ditambah pula dengan ketokohan dua orang pemimpin utama Pas, Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden (kedua-duanya "orang tua" dalam Pas) telah memberikan sumbangan besar kepada minat kaum lain untuk mendekati Pas. Bahkan telah membuka minat anggota jamaah-jamaah dan parti lain untuk menyertai Pas. Keadaan itu dihangatkan pula oleh senario politik semasa yang menyaksikan gelombang masyarakat umum beralih kepada parti-parti pembangkang termasuk Pas. Pas dengan sifat keterbukaanya yang telah sedia ujud sekian lama, dengan berbesar hati menerima siapa sahaja menjadi ahli Pas. Orang yang beragama Islam diterima terus sebagai ahli Pas dan yang bukan Islam diraikan penuh mesra sehingga terbentuknya kelab-kelab penyokong Pas di mana-mana.

Barisan ummat yang berbaris panjang dihadapan pintu gerbang Pas membuktikan keterbukaan Pas. Pas yang diasuh dengan Tarbiyyah Islamiyyah menerima mereka dengan baik tanpa terselit sekelumit rasa dendam, walaupun ada antara mereka yang berlaku tidak baik terhadap Pas satu ketika dahulu. Pas terima mereka, ahli-ahli Pas pilih mereka sebagai barisan kepimpinan melalui muktamar dibeberapa peringkat. Bila mereka menjadi pimpinan, ahli pas seperti biasa memberikan ketaat yang tidak berbelah bagi. Ahli tidak pernah mempersoalkan dari jamaah mana datangnya mereka. Ahli Pas faham, Pas for all.

Sebagai sebuah gerakan Islam yang syumul, Pas menerima siapa sahaja. Asalkan mereka bersikap baik dan benar di dalam Pas. Pas mengalu-alukan siapa sahaja untuk mencurahkan tenaga dan bakti jihad kepada perjuangan ini. Namun jangan persia-siakan keterbukaan dan sikap tasammuh Pas itu. Curahkan kejujuran dan wala' yang sepatutnya kepada pas dan pimpinannya. Iltizam dengan dasar dan matlamat perjuangannya. Jangan lagi ada jamaah dalam jamaah, mesyuarat dalam mesyuarat, wala' dalam wala'.

Apabila Pas mengemukakan tema Pas for all, tidak bermakna Pas mesti terbuka sehingga tidak kesah soal-soal prinsip dan dasar perjuangan, soal-soal jamaah, ketaatan dan wala'.Pas for all tidak bermakna pas meraikan ujudnya team dalam jamaah sehingga berbilang-bilang jamaah dalam satu jamaah dan berbilang-bilang wala dalam satu jamaah. Keterbukaan Pas bukan untuk dikhianati, bahkan hendaklah disantuni secara sopan dan beradab.

No comments: