22 November 2008

Alangkah tulus doamu Ibu (siri motivasi untuk kaum ibu 1)


DOAMU BAGAI BUTIRAN MUTIARA YANG BERSINAR DARI KELOPAK KASIHMU YANG MEKAR,SEJUK BAGAI SALJU, MENYELINAP MASUK KEDALAM HATIKU. DOAMU YANG TULUS MERUNTUHKAN DINDING KEALPAANKU.
------------------------------------------------------------
22. Nov.1980, 28 tahun yang lalu. Semalaman saya tidak dapat melelapkan mata. Nyanyian cengkrek malam tidak lagi menjadi hiburan buat saya. Masa bagaikan bergerak tersangat lambat. Bilik sempit dipenjuru dapur itu dirasakan bagai menghimpit sehingga menyesakkan nafas dan menyengat kesetiap sendi dan saraf. Sudah hampir seminggu keadaan itu saya hadapi, tetapi malam itu himpitannya dirasakan semakin memberat dan saya tidak sanggup lagi menghadapinya.

Sambil menunggu siang yang berdetik perlahan itu, saya cuba mengutip kembali kepingan-kepingan hari yang telah saya lalui dalam seminggu itu. Jumaat lepas saya sekali lagi saya sengaja tidak hadir ke Masjid menunaikan solah jumaat. Sebenarnya kesalahan itu bukan kali pertama. Sudah acap kali saya sengaja cuai kemasjid pada hari jumaat ( masjid kampung saya waktu itu hanya digunakan untuk solah jumaat). Tapi sebelum itu ibu tidak tahu. Beliau yang jarang balik ke kampung kerana tinggal di Pondok Bukit Keledang sejak ayah saya meninggal dunia, tidak pernah tahu mengenainya. Saya yang tinggal dengan abang yang sibuk dengan kedai runcitnya. Abang jarang mengambil tahu samaada saya ada disaf belakang solah jumaat tadi atau pun tidak. Yang dia tahu ialah mesti segera balik untuk buka kedai, kerana ahli jamaah yang selesai solah di masjid akan singgah ke kedainya ketika dalam perjalanan pulang. Dengan itu beliau tidak mengambil pusing kemana saya sebelum dan selepas solah.

Tetapi jumaat yang satu itu, ibu pulang saat saya sedang berguling dalam bilik sambil mendengar radio. Bunyi bising lagu "rindu bayangan" menyebabkan saya tidak dengar bunyi teksi yang ditumpangi ibu sebentar tadi. Tau-tau Ibu muncul dipintu bilik. Bila menatap wajah ibu, saya tertunduk dan bersedia mendengar leterannya seperti biasa. Saya pasrah, kerana memang saya yang bersalah. Beberapa ketika saya menunggu ibu memulakan khutbahnya. Tapi kali ini muqaddimah khutbah pun saya tidak dengar dari mulut Ibu. Saya angkat kembali muka dan menatap wajah ibu. Oh, ibu menangis.. terjurai airmata menitis pipinya yang sudah tergaris kedutan, tanda perjalanan usianya yang telah jauh. Saya kaku seketika, sehinggalah ibu terus kedapur dan mengambil baldi untuk turun kesungai dihadapan rumah kami.

Saya masih berjuntai kaki dibirai katil. Hati saya mula dihimpit hiba. Alangkah besarnya dosa saya, sehingga menitisnya air mata ibu. Sebelum ini sudah kerap benar ibu meleteri saya. Kelas Al-Quran yang ibu suruh saya hadir pun saya jarang hadir. Ibu minta saya datang ke Pondok Bukit Keledang setiap malam untuk mengikuti kuliah maghrib, juga saya tidak datang. Saya habiskan masa menonton cerita"combat" dirumah kawan. Kadang-kadang balik saja dari padang, saya akan terus kerumah kawan sehingga habis waktu Isyak. Saya tahu memang saya sudah jauh hanyut dalam keremajaan usia 16 tahun itu. Kerap juga ibu marahi saya kerana terlalu leka berkawan. Asal saja ada kesempatan ibu akan ingatkan saya tentang solah, jaga-jaga pilih kawan dan yang utama ibu ajak saya sama-sama belajar di Pondok tempat ibu belajar. Untuk membangkitkan semangat saya, ibu sebut-sebutkan sejarah keluarga kami di Kelantan. Datuk saudara saya sebelah Ibu dan juga sebelah ayah ialah Tuan Guru Haji Awang Lambor. Antara tokoh ulama yang agak tersohor di kelantan. Saudara mara sebelah ayah dan Ibu kebanyakkanya ulama, atau paling tidak tok lebai yang ada surau sendiri. Tapi apa pun yang disebut oleh ibu tidak pernah menarik minat saya. Bahkan ketika sesekali balik bercuti di Kelantan aruah ayah dan Ibu akan membawa saya menziarahi semua kaum keluarga. Mungkin mereka mengharapkan setidak-tidaknya saya gembira dan bangga mempunyai keluarga besar yang kuat beragama. Tapi dalam usia semuda itu apalah yang saya tahu.

Leteran ibu sudah bergantang, nasihatnya sudah berjela-jela, dan jika dibukukan sudah mencecah beberapa jilid. Namun saya tetap begitu. Leka dengan dunia yang entah apa. Tapi,titisan air mata ibu sebentar tadi benar-benar menenggelamkan kedegilan saya. Walaupun ibu tidak mengeluarkan sepatah kata pun, tapi saya tahu hati ibu sangat pilu sehingga tiada lagi kata yang dapat dilafazkannya. Saat itu saya dilanda resah. Sejuta kenangan sewaktu kecil datang berpintal-pintal membelit tangkai ingatan saya. Bagaimana ibu membelai saya diatas ribaannya sambil berjuntai kaki dipelantar rumah usang kami. Ibu tunjukkan burung yang terabang di atas pokok petai. Ibu kata burung itu Allah yang jadikan. Saya tanya macam mana Allah warnakan sayapnya, bulunya dan paruhnya. Ibu gelak sambil mengusap kepala saya. Oh Tuhan..ibu yang menyanyangi aku itu telah aku sakiti hatinya hari ini. Ketika mendengar derap kaki ibu balik dari sungai dan ibu akan mula menunaikan solah zohor, saya kembali merebahkan badan sehingga tertidur. Tidur dengan gumpalan aneh yang membengkak jauh dipenjuru hati saya.

Ketika saya tersedar dari tidur,jam sudahpun hampir 4.30 petang. Ibu masih disejadahnya. Sayup-sayup suara ibu membaca Al-Quraan menyelinap masuk kebilik saya. Sebelum itu saya tidak pernah rasa pilu bila mendengar ibu membaca ayat-ayat suci itu. Tapi petang itu saya rasa cukup sayu. Ibu bagaikan sedang meratap sedih dan berbicara dengan al-qurannya. Ketika saya turun kesungai, saya lalu disisi ibu. Ibu tidak menoleh, ibu kelihatan tenggelam dalam doanya. Tentu ibu sedang mengadu kepada Allah mengenai kedegilan anaknya.


Bersambung


No comments: