--------------------------------------------------------
Memang sukar untuk kita hadapi sesuatu bala' (ujian) Allah, lebih-lebih lagi saat pertama kita menghadapinya. Salah satu ujian Allah yang agak perit dan menyakitkan ialah ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri (ISA). Tiada sebarang pertuduhan dibacakan dimana-mana Mahkamah, dan tiada sebarang ruang untuk membela diri. Yang ada hanya beberapa pertuduhan yang dicatat oleh pihak Pegawai penyiasat (I.O) hasil daripada soal siasat keatas orang tahanan. Kalaupun ada ruang untuk membela diri ialah ketika sessi pertemuan dengan "Lembaga Rayuan" beberapa bulan selepas ditahan. Itupun bukan untuk membela diri, tetapi hanya sekadar merayu agar tempoh tahanan dipendekkan. Pertuduhan apa pun sudah dikira sah. Walaupun tidak dibungkus kepala ketika diheret masuk kedalam tahanan, namun hakikatnya tahanan ISA menghadapi nasib yang sama dengan tahanan di Guantanamo bay.
Orang tahanan akan terpisah sekelip mata dengan dunia luarnya. Kebebasan mereka direnggut secara paksa. Isteri akan kehilangan suami dan anak-anak akan kehilangan tempat bergantung dalam jangka masa yang sangat pantas. Hak-hak mereka sebagai "manusia mardeka" (bukan hamba sahya) dinafikan sepenuhnya. Apa lah sangat dengan hak-hak mereka sebagai warganegara berdaulat. ISA benar-benar akta "haram" menurut agama dan hak asasi dunia. ISA benar-benar akta haram "dunia akhirat".
Saat saya tahu saya ditahan dibawah akta purba itu (pada tahun 2000) terbayang kepada saya ucapan seseorang kira-kira 13 tahun sebelumnya. Orangnya ialah Allahyarham Cikgu Haji Hashyim (1). Pada waktu itu beliau menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang. Pada satu malam, pada tahun 1987, selesai menyampaikan ceramah bersama Al-Fadhil Ustaz Hassan Shukri dan Alfadhil Tuan Guru Yusuf Rawa (2) di Markas Pas Sungai Gau, Cikgu Haji Hashyim menghampiri saya. Berapa umur ustaz sekarang?, tanya beliau. Saya terdiam seketika. Perkataan "ustaz" menyebabkan saya merasa malu kepada diri sendiri. Saya bukan ustaz, saya masih pelajar di Pondok Pasir Tumboh. 23 tahun..jawab saya. Ustaz..menurut pandangan saya,jika gaya dan isi kandungan ceramah ustaz itu berterusan, saya yakin satu hari nanti ustaz akan dikenakan ISA. Bukan saya nak menakutkan ustaz, tapi saya mahu ustaz bersedia dengan jiwa dan rohani yang kukuh untuk menghadapinya. Saya angguk dengan penuh akur dengan nasihat sepontan dan sangat berguna untuk saya. Walaupun Cikgu Haji Hashyim bukanlah digolongkan dalam golongan ulama, namun penampilan, kesungguhannya berjuang dan amalannya memang amalan ulama.
Pesanan yang sama saya terima daripada Allahyarham Ustaz Daud(3) bekas YB DUN Pasir Tumboh. Seusai berusrah dirumah beliau berhampiran sekolah Taqaddum Maa'rif Pasir Tumboh, beliau berkata kepada saya; "Akhi Mokhtar..Kursus pengurusan,failing system,pentadbiran dan kursus yang berkaitan pilihanraya penting untuk parti dan organisasi, supaya gerakkerja parti tersusun dan sistematik.Tapi jangan lupa anasir yang sangat penting kepada jamaah ialah pendakwah dan 'amilin itu sendiri. Qualiti pendakwah dan 'Amilin ialah iman dan ruhnya. Saat datangnya ujian Allah, ilmu pengurusan semat-mata tidak dapat membantu seseorang. Yang dapat membantunya ialah sejauh mana keyakinan dan kecintaannya kepada Allah".
Sejak menerima nasihat-nasihat ikhlas itu, saya tanamkan dalam hati saya bahawa pastinya perjuangan ini ada ujiannya. Justeru itu saya sentiasa berdoa agar ujian yang bakal datang itu biarlah ujian yang termampu oleh iman saya yang dhoif ini.
Alhamdulillah..pesanan-pesanan seumpama itu, tambahan pula datang dari orang yang benar-benar menghayati perjuangannya telah memberikan pendidikan ruhani yang tidak sedikit kepada saya. Saat saya melangkah masuk keLokap dan menyusup masuk ke pintu gerbang Kem Tahanan Kemunting saya rasakan jiwa saya telah benar-benar bersedia untuk mengutip taburan nikmat Allah yang berselerakan ditengah-tengah ujiannya.
Dalam bulan-bulan pertama saya dan teman-teman ditahan, saya ulangi nasihat-nasihat tersebut kepada teman-teman yang lain. Saya katakan kepada mereka, marilah kita bersabar. Dalam taburan takdir Allah ini, jangan dilihat pada bala'nya, bahkan marilah kita melihat kepada nikmat-nikmatNya. Kerana apapun jua af'al Allah (perbuatan Allah) keatas hambaNya, ianya tidak pernah terpisah daripada sifat RahimNya (kasih sayangnya ) kepada hamba.
Menyedari dan menyakini Bala' Allah itu penuh dengan NikmatNya, maka kami asuh jiwa masing-masing memburu nikmat itu. Dengan itu kami susun jadual kami sendiri (asalnya pihak Kem menyediakan kami rutin harian, kemudiannya kami tolak sebahagian besar ruti itu). Kami susun jadual solah berjamaah setiap waktu, jadual kuliah setiap kali selepas solah, termasuk kuliah subuh, program zikir beramai-ramai setiap malam jumaat. Setiap malam sepanjang ramadhan, kami hidupkan bersama Ihya'u Ramadhan. Kami tadarus Al-Quran bersama dan khatamkannya beberapa kali. Setiap kali saya adakan kuliah selepas solah,warden yang menjaga kami akan turut bersama menyertai kami. Hasilnya terjalin ukhuwwah yang erat antara kami dan mereka. Kemanisan ukhuwwah itu terjalin hingga sekarang. Kami kunjungi mereka bersama keluarga dan mereka juga menziarahi kami bersama keluarga mereka. Di samping kuliah agama, sahabat yang mempunyai kemahiran dalam bidang perakaunan akan mengajar akaun. Sahabat yang mahir Bahasa Inggeris akan mengajar bahasa Inggeris. Sehingga kem tahanan itu berubah menjadi sebuah madrasah yang cukup padat dengan program ilmu. Kami turut adakan kelas Bahasa Mandrin, Urdhu, Kemboja dan Thai.
Di samping itu, masing-masing antara kami ada keinginannya yang tersendiri. Begitu juga dengan saya. Dalam hidangan qadha Allah itu, saya cuba mencicip sebanyak mungkin nikmatNya. Benarlah kata Jamaluddin Al-Afghany; "jika aku dipenjara, maka aku berpeluang beruzlah kepada Allah". Dalam kesempatan dari ujian Allah itu, saya tekuni menghabiskan hafalan Al-quraan saya yang sering tertangguh sejak dari Masjidil Haram lagi. Kepada Saudara Helmi (Bekas Pegawai Bank Negara) saya belajar Perakaunan. Kepada Saudara Ismail dan Abdul Jalil saya belajar Bahasa Inggeris. Dulunya ketika di alam persekolahan saya cukup benci kepada Subjek BI, tetapi berkat pertolongan Allah dalam kepungan kem tahanan itu saya berjaya menghafal 30 ribu perbendaharaan kata Bahasa Inggeris. Kepada Saudara Abdul Karim Gulman saya belajar Bahasa Kemboja. Kepada saudara Ah Kuan saya belajar Bahasa Hokkien dan kepada saudara Hussin Bangla saya belajar Bahasa Urdhu. Alhamdulillah..hasilnya saya berjaya menyusun sebuah kamus Bahasa Inggeris untuk anak-anak saya, yang saya namakan "ISA Islamic Dictionary". Kerana minat dengan Biology, dengan bantuan Saudara Ismail saya susun sebuah buku nota berkenaan Biology dan perubatan dalam Bahasa Inggeris setebal 300 mukasurat. Segala Puja dan Puji bagi Allah. Atas inayahnya kami semua dapat bertahan dalam kem tahanan itu selama 3 tahun lebih sambil mengutip setiap butir-butir nikmat Allah yang tidak terhingga. Alangkah Rahimnya Allah. Rintihan hambaNya tidak pernah disia-siakannya.Apabila kami dibebaskan akhir 2003,masing-masing hati kami telah benar-benar yakin akan kebesaran Allah dan kezaliman undang-undang ciptaan manusia. Orang yang menahan kami mengharapkan kami meninggalkan kebenaran dan bersekongkol bersama kezaliman dan pendurhakaan mereka kepada Allah. Namun kehendak Allah sebaliknya. Bahkan Allah tarik kami keharibaan rahmatNya. Sebenarnya ISA tidak akan pernah berjaya merubah siapa pun yang beriman kepada Allah. Alhamdulillah.
Oleh secebis pengalaman ini buat sahabat-sahabat, teman-teman dan adik-adik, marilah kita teruskan perjuangan ini dengan serius dan sentiasa bersangka baik kepada Allah, nescaya Allah akan berlaku baik kepada kita. Jangan tinggalkan Allah walau sesaat sebagaimana Allah tidak pernah meninggalkan kita. Oleh itu jangan biarkan diri kita tertipu dengan belitan iblis sehingga kita menyangka kita telah berbuat sesuatu kepada jamaah dan perjuangan sedangkan dalam masa yang sama kita lalai daripada berdampingan dengan Rabb. Iblis mungkin akan sibukkan kita dengan ceramah, sibuk dengan kerja-kerja parti, hiburkan kita dengan kemenangan yang hampir menjelma, seronok dengan sambutan masyarakat umum kepada seruan dan perjuangan kita. Namun ditengah-tengah keseronokan itu, janganlah kita lupa kepada Allah walau sesaat. Tuhan yang sentiasa memimpin kehidupan kita. Bolehkah diraih kemenangan dari Allah Tuhan yang kita lupai kemurahanNya?.
Nota
1). Beliau berasal daripada Kedah. Ditukar kebeberapa buah sekolah di Pahang, termasuk sekolah jenis kebangsaan cina Mentakab. Rumah beliau diPendang diwakafkan kepada Pas dan dijadikan pejabat oleh Pas kawasan pendang ketika itu.
2). Ketika itu jawatan presiden digelar dengan "Yang Di Pertua Pas Pusat".
3). Rumah beliau adalah tempat pertemuan naqib-naqib usrah Pondok Pasir Tumboh sewaktu era 80an.
No comments:
Post a Comment