HAKIM YANG TERSILAP MEMBERIKAN KEMAAFAN
LEBIH BAIK DARIPADA TERSILAP MENJATUHKAN HUKUMAN.
---------------------------------------------------------------------
Minggu kedua di T1, kami dibawa ke Hospital Taiping untuk "medical check-up". Kami dibawa secara berpasangan dengan diiring oleh dua orang warden,seorang driver, pegawai pengiring dan dua orang lagi pegawai dengan kenderaan yang berasingan. Pasangan saya ialah Basri.
Ketika diiring keluar dari tembok kawasan T1, saya merasa sangat lapang. Saya boleh lihat kawasan yang luas, bangunan-bangunan, bukit jana dan kenderaan. Udara diluar pun berlainan daripada udara yang terkepung dalam kawasan kami yang bertembok. Walaupun telah tiga puluh tahun lebih saya melihat semua itu, namun kerana dikurung dalam kawasan yang berdinding tinggi dan tambahan dikunci pula dalam cell selama seminggu lebih, menyebabkan saya sangat menghargai kebebasan ( ini tidak bermakna saya menyesal dengan takdir yang menimpa saya). Patutlah Islam sangat memperketatkan syarat dan peraturan sebelum seseorang hakim menjatuhkan satu-satu hukuman kepada tertuduh. Ini adalah kerana Islam tidak mengizinkan "kebebasan" seseorang itu direnggut secara zalim, seperti ISA. Allah menyebut di dalam Al-Quraan surah An-Nisa' ayat 94 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (Apa jua perkara Dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang Yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang Yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) Dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya Yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia Yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu Dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak Dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati Dengan mendalam akan Segala Yang kamu lakukan".
Rasulullah saw bersabda;
ادرأ الحدود عن المسلمين ما الستطعتم فان كان له مخرج فخلوا سبيله
فان الامام ان يخطى فى العفو خير من ان يخطى فى العقوبة
" Elakkan daripada menjatuhkan hukuman terhadap seorang Muslim, jika terdapat
keraguan seberapa mana yang kamu mampu. Jika kamu temui jalan keluar baginya maka
berikan ia jalan itu. Kerana sesungguhnya kesilapan Imam memberikan kemaafan terlebih baik daripada kesalahan menjatuhkan hukuman."(1)
Kami dibawa menaiki van penjara. Dihadapan kami seorang pegawai penjara didalam sebuah kereta yang dipasangkan siren. Saya tersenyum bila warden disebelah saya berbisik bahawa kereta peronda bersiren itu baru sampai. Khusus untuk mengiringi kami, kerana kami dianggap "sangat bahaya". Patutlah saya lihat sesetengah warden dan pegawai macam bersemangat sangat nak mengiringi orang tahanan keluar. Rupanya rasa syok bila "kita lalu, semua orang berhenti dibahu jalan". Terasa macam vvip la tu agaknya. Sekali lagi saya rasa nak tergelak.
Van yang membawa saya dan Basri masuk terus kekawasan Hospital Taiping. Kebanyakan mata orang yang ada di perkarangan Hospital ketika itu merenung kearah kenderaan kami. Mungkin mereka fikir van penjara membawa Ketua Mafia yang sangat-sangat dikehendaki oleh Interpol. Atau paling tidak ketua sindiket dadah cuba yang ditangkap bersama dadahnya satu kontena. Lucu datang lagi menyerang tangkai jantung saya. Sehingga Basri menyiku saya dan bertanya mengapa saya senyum. Saya hanya diam. Biarlah Basri bermain dengan tandatanyanya.
Sebelum kami digiring turun dari van, terlebih dahulu pegawai yang mengiringi kami tadi masuk kedalam bangunan Hospital dan kemudian, beberapa orang kakitangan Hospital semacam mengarahkan pelanggan lain agar memberi laluan untuk kami. Wahhh..saya tak tahu apa yang ada dalam perasaan orang ramai ketika itu. Sekali rasa macam kami ni orang besar yang datang melawat kawasan. Tapi dalam masa yang lain rasa macam kami ni harimau zoo yang digiring masuk kekandang. Basri agak malu untuk turun dan berjalan dihadapan orang ramai yang menyisih ketepi untuk memberi laluan kepada kami. Anehnya saya tak rasa malu sedikit pun. Bukan kerana saya memang jenis tak pemalu tapi sejurus saya melangkah ke perkarangan bangunan Hospital, seorang tua berkopiah yang sejak tadi merenung kearah saya dan Basri, tiba-tiba memberi salam. Assalamualaikum ustaz..Orang kat luar semua dah tahu cerita sebenar (mungkin dirujuk kepada berita Al-Maunah) jangan risau. Segera selepas salam pertama itu, "malu" digari dan digiring macam penjenayah tercabut dari dada saya. Saya tahu, Allah semacam melarang saya merasa malu. Malu bermakna saya bersalah. Tetapi hakikatnya saya tidak bersalah, bahkan saya ditahan secara zalim. Maka apa yang harus saya malukan.
Ketika saya diduduk di kerusi menunggu, sebelum nama dipanggil, beberapa orang pertengahan usia cuba duduk tidak jauh dari saya, Basri dan dua orang warden masing disebelah saya dan Basri. Sesekali mata saya bertembung dengan mata mereka. Senyum ramah terukir pantas. Saya tahu, mereka seolah-olah menghantar isyarat yang mereka tahu kami tidak bersalah bahkan mereka tahu kami adalah mangsa kepada kerakusan ISA.
Doktor yang merawat saya agak kasar, atau sengaja bersikap kasar. Ketika mahu saya berpusing kebelakang, ditolaknya dengan keras. Nada arahannya juga semacam mahu saya merasa hina. Ketika mengambil butiran maklumat saya, sempat beliau bertanya; kes apa?. ISA jawab saya agak perlahan. Apa? ulangnya. Tahanan ISA! jawab saya agak lantang. Serentak dengan habisnya jawapan saya, beliau mendongak kearah saya. Wajahnya berubah. Dari bengis dan kasar mendadak terukir senyum dan kelembutan. Sekaligus saya merasa hairan. Mengapa kalimah ISA mencaikan keegoannya. Saya ingatkan banduan! ucap beliau ramah. Ini Kes Maunah ke? ..ye jawab saya..beliau angguk dan sebelum pegawai yang mengiringi saya masuk sempat beliau berpesan, bersabarlah..unjian Allah semua ni..kemudian saya terus beredar dengan digari kepada pergelangan tangan warden yang masuk tadi.
Ketika melangkah semula masuk ke dalam van untuk dikurung semula di T1, sempat saya membuat kesimpulan bahawa semua orang tahu dan faham bahawa Penahanan tanpa bicara adalah Zalim. Yang belum faham barangkali bukan "orang". Malamnya ingatan saya terhadap peristiwa di hospital siang tadi menjelma kembali. Bermula dengan Salam orang tua ditepi pintu masuk, senyum beberapa orang pelanggan yang bertentangan mata dengan saya dan kesombongan doktor yang segera bertukar menjadi ramah, menyedarkan saya bahawa semua itu hiburan Allah buat saya. Allah mahu saya ditarbiyyah secara prektikal. Allah mahu membasuh saya dengan air kehinaan agar terhakis segala kesombongan. Allah mahu saya belajar mengasingkan diri supaya saya sempat membilang bilah-bilah kesilapan yang berlaku sepanjang kehidupan saya. Kini roda hidup saya terhenti seketika, maka sempatlah saya meninjau mana-mana lidi yang patah. Allah mahu perjalanan saya seterusnya selamat. Syukur Ya ALlah..atas tarbiyyahMu.
--------------------------------
Nota:
1) Lihat "Punishment in Islamic Law : An Enquiry into the Hudud Bill of Kelantan" oleh Mohammad Hashim Kamali.
2) Pada tahun 1948 Ustaz Abu Bakar Al-Bakir pernah ditangkap kerana menyeru orang ramai supaya jangan membeli susu dan sabun dari kedai kaum Cina. Lihat Nabir Haji Abdullah, Maahad Ihya' As-Syariff Gunung Semanggol 1034-1959.
No comments:
Post a Comment