20 November 2008

Gamitanmu membelai rinduku wahai BaituLlah.


Semalam 19.Nov.2008 kami (saya,zaujah dan tiga orang anak kami) ke Kelana Jaya menghantar Kakak, Abang dan Kakak Ipar menunaikan Haji dengan penerbangan KT 54. Sudah agak lama saya tidak berbuat demikian. Bukan kerna tidak ada kaum keluarga terdekat atau sahabat rapat yang menunaikan haji, tapi atas sebab-sebab tertentu saya tidak berbuat demikian. Jika ada kaum keluarga atau sahabat yang akan berangkat ketanah suci, saya hanya akan datang kerumah mereka dan mengucapkan selamat jalan beserta doa agar mereka memperolehi hajji mabrur.

Tapi semalam saya terpaksa. Mengenangkan kakak yang akan pergi menunaikan haji adalah satu-satunya kakak kandung yang saya ada. Hubungan kami agak rapat sejak kecil. Memandangkan jarak usia antara kami hampir enam tahun, maka kakak sejak zaman kanak-kanak kami juga sebagai pengasuh kepada saya. Bila beliau masuk kesekolah rendah, saya adalah murid setianya yang akan melalui sessi persekolahan dirumah. Kakak akan berlagak sebagai cikgu. Bila kerap kali sangat kena marah saya akan lawan balik (maklumlah anak bongsu). Biasanya kalau berlaku pergaduhan sayalah yang memulakannya.Tapi biasanya kami akan berdamai semula tanpa campurtangan mak atau ayah. Sebenarnya apabila pulang kerumah dari sekolah, kakak tidak ada kawan lain selain saya dan begitu juga dengan saya. Ini adalah kerana rumah kami berada jauh dalam belantara diseberang sungai Pahang. Jiran kami yang terdekat sejauh 2 kilometer. Untuk sampai kerumahnya kami terpaksa meredah denai hutan dan sebuah kawasan lapang yang dipenuhi lalang setinggi bahu. Pernah beberapa kali ketika saya dan kakak berlari menuju kepengkalan perahu untuk kesekolah, kami hampir bertembung dengan sekawan babi hutan. Kebersamaan kami menyebabkan keakraban yang terjalin sangat erat.

Yang kedua, kerana mengenangkan kakak lah orang yang paling mengambil berat tentang perbelanjaan saya ketika saya belajar di Pondok Pasir Tumboh. Dengan gaji permulaannya sebagai kerani biasa di Kementerian Perdagangan Jalan Duta itulah beliau menyara saya dan bakinya dihantar kepada mak dikampung. Suami kakak meninggal pada tahun 2000 ketika saya dalam tahanan. Sejak itu kakak sangat gigih dan sabar membesarkan anak-anaknya yang seramai 6 orang itu. Kini anak sulung kakak pelajar tahun 2 diUIA jurusan undang-undang. Alhamdulillah, kakak dikurniakan anak-anak yang boleh dikatakan pintar dan baik-baik. Anak kecil kakak sudahpun berusia 8 tahun. Anak kecil ini tidak pernah mengenal wajah ayahnya.

Sudah lama saya dengar kakak menabung untuk membolehkannya menjadi tetamu Allah diBaitNya. Kini Allah makbulkan impian dan hasrat kakak. Saya turut bersyukur kepada Allah.

Sebentar tadi saya katakan sudah lama saya tidak menghantar seseorang menunaikan haji. Bukan kerana saya kesuntukan masa atau sengaja malas berbuat demikian. Sebenarnya saya tidak tahan melihat sesiapa sahaja yang akan berangkat keMakkah. Hatta jika disiarkan siaran langsung solah terawih dari Masjidil Haram di bulan Ramadhan, saya tidak sanggup. Kalau ada sahabat yang membuka TV waktu tengah malam, dan siaran langsung tersebut sedang keudara, saya akan buat seolah-olah tidak dengar atau jika berpeluang saya akan tutup tv. Lihat saja Masjidil Haram, hati saya akan merasa cukup hiba,pilu, sedih dan sejuta kenangan akan bergulung-gulung datang memenuhi lipatan memori.



20 tahun dahulu dimasjid itulah saya tidur dan baring. Di celah tiang yang menghala pintu kaabah itulah tempat simpanan baju-baju renyuk saya dan kitab-kitab. Disitulah tempat saya dan teman-teman sepengajian akan bertemu. Sehingga tempat pertemuan itu dikenali dengan nama stesen Malaysia sehingga sekarang. Didataran marmar yang mengelilingi Baitullah itulah kelas pengajian hadis saya. Bersimpuh dibawah dagu syaikh dengan disimbah cahaya matahari pagi kami tekuni bersama pengajaran guru. Kemudian kami akan sama-sama tawaf sunat sebelum teman-teman lain balik kerumah sewa dan saya lelapkan mata sebentar dicelah tiang stesen malaysia itu. Teman yang paling akrab dengan saya ketika itu ialah YB Ustaz Lutfi ADUN kemuning sekarang. Kami lalui bersama kehidupan di Bumi Bakkah yang mulia itu.

Di Bukit Ajyad ( Jabal Aulia) juga terukir kenangan yang tidak sedikit. Masjid Pattani adalah tumpuan kami. Kuliah Baba Yasin Surat adalah antara kelas pengajian yang kami tunggu-tunggu. Kemudian saya bersama beberapa orang sahabat akan mendaki satu demi satu mata tangga untuk mengikuti pengajian dirumah Abang Lah Sedawa dan Abang Mad sedawa. Pmergian mereka berdua beberapa bulan selepas saya kembali ketanahair sangat membelai tangkai kesedihan saya. Jabal Auliya bagaikan kampung halaman kami. Kunjungan saya beberapa kali ke Jabal Auliya selepas tahun 1990 disambut bagai keluarga oleh masyarakat pattani Ajyad. Terjalin ukhuwah dan persaudaraan yang membekas jauh kelubuk jiwa hingga kehari ini. Saya diberitahu sudah ramai orang-orang tua di Jabal Auliya yang telah meninggal dunia. Anak-anak mereka pun sudah ramai yang pulang dan menetap di Pattani. Saya boleh bayangkan jika saya datang kembali ke Jabal Auliya, bagaikan kembali semula kesebuah kampung tinggal. Yang dapat dilihat hanya runtuhan rumah,batu-batu berselerakan dan tiada lagi sapaan dan keriuhan anak-anak bermain dihalaman. Tanah-tanah pamah juga sudah ditumbuhi hutan dan belukar kecil. Sedangkan dalam belukar itulah padang permainan yang menyimpan sejuta kenangan.

Di puncak jabal Auliya terdapat sebuah padang kecil. Dahulunya disitulah saya dan kawan-kawan beriadah seketika sambil menikmati pemandangan penuh kota Makkah dan Masjidil Haram yang bergemerlapan. Dicelah-celah batu itu jugalah saya dan Ustaz Lutfi pernah bermalam sepanjang malam kerana bersembunyi dari Imigresen Saudi yang melakukan operasi menangkap penduduk yang tidak memilki visa menentap yang sah.

Bukit Ajyad juga menjadi saksi mesyuarat kami yang pertama. Mesyuarat yang bertujuan menubuhkan persatuan pelajar melayu makkah. Maka terlantiklah Tn Haji Mohd Saghrir sebagai pengerusi, Abang Lah Tarzan sebagai timbalan, Tuan Haji Mad Nat sebagai Bendahari, Saya sebagai ketua biro penerangan dan sahabat-sahabat yang lain sebagai ajk dan ahli. Tuan Haji Md Sgharir telah mewakafkan rumah sewanya untuk dijadikan pejabat sekaligus merangkap markaz perjumpaan. Rumah bertuah itu telah didatangi oleh sebahagian besar pimpinan Pas. Allahyarham Tuan Guru Haji Zakaria, ketika itu menjawat jawatan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan pernah berkata kepada saya; insyallah pilihanraya akan datang ini (1990) Pas akan berjaya merampas Kelantan dari BN. Alhamdulillah kata-katanya itu di Amiiinkan oleh Malaikat-malaikat Allah.

Itulah kenangan Tanah Haram Makkah dan Baitullah yang selalu menggamir rindu. Sejak ditahan pada tahun 2000 saya tidak berkesempatan lagi mengunjunginya. Insyallah..aku akan datang kepadamu jika diizinkan Allah wahai Baitullah. Saat itu kita akan berbicara bersama. Membuka lebar demi lembar kenangan yang akhirnya memaut cinta akan kebasaran Allah. Alangkah sebentarnya dunia ini dan alangkah abadinya bersama Mu ya Allah.

Kakak..jangan kau ingat lagi tanahair ini,jangan kau kenang hartaa yang tak seberapa, jangan kau rindui teman yang selalu alpa..ingat Allah dan dakaplah kasih dan Rahmatnya dalam takungan sanubarimu, nescaya akan kau temui rindu kepadaNya yang kekal abadi.


Buat guru-guruku di Masjidil Haram, Syeikh Dr Soleh,Syeikh Fattah,Syeikh Makki, Syeikh Ali AlHindi, dan Syeikh Toha, juga Baba Yasin Surat,Abang Lah sedawa,Abang Mad sedawa dan Ustaz Yahya Burma..doakan kejayaanku..tiada yang ku dambakan selain redha Allah dan redha guru-guru semua.


No comments: