25 November 2008

Alangkah tulus doamu Ibu (siri motivasi untuk kaum ibu 2 )


WAHAI KAUM IBU.JANGAN MEMANDANG RENDAH KEPADA KUASA DOAMU, JANGAN DIREMEHKAN KEAMPUHAN AIRMATA MU. SETITIS AIRMATA IBU, PENGHILANG DAHAGA ANAK SEPANJANG HAYATNYA.
___________________________________________

Ayam berkokok sayup-sayup kedengaran, jam sudahpun menunjukkan angka 3.30 pagi. Angin sejuk dinihari sesekali menyelinap masuk melalui bingkai tingkap yang agak renggang. Saya bangun berjuntai dikatil,bilik sempit yang agak usang itu saya tatap, bagaikan itulah kali pertama saya menginap disitu. Perlahan-lahan kenangan hari jumaat lepas saya lipat penuh cermat dipenjuru hati. Saya bingkas bangun. Bagai ujud satu kekuatan buat saya kini. Saya mesti nekad. Dunia yang mengelirukan ini mesti saya tinggalkan. Biarlah titisan air mata Ibu yang mengalir sejak jumaat lalu membasuh seluruh kealpaan saya selama ini.

Perlahan-lahan saya melangkah keluar dari bilik dan turun ketepi rumah. Di situ ada sebuah kolah air yang agak besar. Saya ambil wudhuk dan kemudian perlahan-lahan saya berjalan masuk semula kebilik saya. Saya tidak mahu Ibu yang sedang terbaring diatas sejadahnya sejak selepas Isyak malam tadi tersedar. Begitu juga dengan Abang dan Kakak Ipar saya. Biarlah mereka tidur. Biarlah Ibu tidur, ibu telah tersangat lelah dan terbeban dengan perasaan sedihnya kerana melihat tingkah laku saya, anak bongsunya. Saya tahu, hati ibu sangat pilu bila banyak nasihatnya tidak saya indahkan.

Setelah membetulkan sejadah dan menghadap kiblat saya pun mengangkat takbir. Saya cuba solah taubat sekadar yang saya ingat-ingat lupa. Tapi saya tak kesah, Allah tahu saya hambaNya yang sedang mencari jalan pulang yang berliku. Tentunya banyak ketidaksempurnaan yang dilakukan oleh musafir yang sudah sekian lama tersasar ini. Selesai solah saya berdoa. Saya mahu baca quraan macam amalan ibu, tapi saya tak selancar ibu. Quraan pun saya belum tamat. Segera air mata saya mengalir bila mengenangkan diri saya. Dalam usia 16 tahun itu saya masih belum khatam Al-Quraan. Tangan saya tadahkan ke langit, memohon kekuatan atas niat yang telah tersimpul erat dalam hati saya. Saya tidak boleh menoleh kebelakang lagi. Biarlah saya tebus airmata ibu yang tertumpah sejak seminggu lepas dan bahkan sebelum itu. Doa juga saya lafazkan buat Ibu. "Ya Allah, Engkau kasihilah ibuku sebagaimana ia kasih kepadaku diwaktu kecilku dan selamanya.

Lama saya berzikir dengan menyebut nama Allah sekadar yang saya tahu. Selesai berzikir saya solah kembali dan berdoa kembali. Itulah yang saya lakukan sehingga saya merasakan satu kemanisan pula melakukannya berulang kali. Setiap kali kalimah "Ya Allah tunjukkan aku jalan yang lurus" saya baca dalam al-Fatihah, maka setiap kali itu jugalah air mata saya mengalir. Saya rasa bagaikan berkelana sendirian disebuah padang yang luas dan gersang, diselimuti pula oleh kegelapan dikaki langit. Saat itu terasa betapa hinanya saya yang jahil ini. Segera terbayang bagaimana sepupu-sepupu dan saudara mara saya di Kelantan yang sebaya dengan saya. Sesekali ketika balik ke kampung dimusim cuti sekolah saya lihat mereka beramai-ramai ke Surau setiap petang. Di hadapan "tok" mereka baca Al-quraan. Lepas tu ramai-ramai pula sembahayang Asar. Dua pupu saya Halim dan Suhaimi, dengar ceritanya belajar di Pondok Pasir Tumboh sejak setahun yang lalu. Masa terus merangkak menjengah fajar sodik. Saya terdengar ibu sudah bangun dan telah pun selesai berwudhu di kolah. Kemudian Ibu bertakbir, tentunya ibu solah tahajjud sebelum mendirikan solah subuh. Sejak kebalakangan ini ibu tidak lagi mengejutkan saya bila subuh telah masuk. Ibu jauh hati dengan saya. Tapi saya tahu dalam doanya ibu tidak pernah lupa untuk mendoakkan saya.

Perlahan-lahan saya bangun dan solah subuh. Saat ibu berwirid dan menyambung bacaan al-quraannya, saya sudahpun membuat satu keputusan yang muktamad. Saya bangun mengumpul beberpa helai baju dan seluar saya yang tidak berapa helai. Semuanya baju-T. Hanya dua helai baju kemeja. Kain pelekat yang sudah agak lusuh saya lipat rapi. Setelah agak kemas bag pakaian, saya kemaskan pula bilik kecil saya itu. Bilik tersebut tidak lah terlalu berselerak, walaupun hidup dan pergaulan saya waktu itu agak teruk. Tapi dek kerana asuhan kakak sejak kecil, saya agak minat berkemas. Setelah cahaya pagi mula masuk melalui tingkap yang saya buka sejak tadi. Di dapur kakak ipar saya sudah mula menyediakan sarapan kami. Dengan lengkap berseluar dan berbaju T, saya gagahkan hati keluar menemui ibu yang masih disejadahnya. Ibu dalam pakaian telekong kelihatan sudah agak pucat dan kurus. Saya bersimpuh dihadapannya. Saya cium tangannya dan saya mohon kemaafannya. Ibu agak terkejut dan kaget. Kepada ibu saya nyatakan saya sudah buat keputusan akan belajar di Pondok Pasir Tumboh. Ibu semacam tidak percaya. Sesaat itu juga terjurai air jernih dari kelopak matanya. Saya tahu ibu sedih dan gembira. Saya mohon restu ibu. Dah ada duit tambang ke? soal ibu perlahan dan hiba. Dah ada RM 50, ujar saya, juga perlahan dan hiba. Kemudian saya bertemu dengan Abang dan kakak ipar. Mereka juga terkejut dengan keputusan saya. Bagaimana saya boleh berubah begitu cepat. Abang hulurkan duit RM 30. Kakak minta saya tunggu sebentar untuk sarapan. Tapi saya beritahu saya perlu cepat mengejar bas ekspress Temerloh ke Kota Bharu.

Bag yang sebuah itu saya galas. sebelum turun kejalan raya, sekali lagi tangan ibu saya cium. Berbekalkan duit RM 80.00 itulah saya memulakan langkah kedunia pengajian. Ketika sedang menunggu kereta ke Temerloh saya masih belum percaya akan keputusan yang saya buat. Namun saya merasa sangat lapang. Kegelisan hati yang mendesak disegenap urat saraf saya seminggu yang lalu, terlerai semuanya. Alham dulillah. Saya tinggalkan kampung Kuala Triang yang masih dibungkus kabus pagi menuju kesuatu distinasi yang saya pun tidak tahu entah dimana. Tapi saya yakin disitu saya bakal menemui kehidupan saya yang sebenar.


Bersambung

No comments: