26 November 2008

Mengapa dibela suatu yang "haram". ( siri 1)


PERGUNAKANLAH SISA USIA INI UNTUK MEMBELA KEBENARAN. JANGAN MELAKUKAN SUATU YANG JIKA DIKENANG DIPENGHUJUNG USIA KELAK, KITA MERASA SANGAT MALU KERANA PERNAH MELAKUKANNYA.
---------------------------------------------------------
Berita yang hangat sehari dua baru-baru ini ialah mengenai sekumpulan NGO (bukan GRO) telah mengadakan satu "demonstrasi yang sangat aman", untuk menyatakan sokongan terbuka kepada undang-undang ISA. Buat seketika berita kumpulan NGO terbabit berjaya menutup berita Shahrizat yang sedang bercakaran dengan Rafidah untuk merebut kerusi yang reput bersama reputnya akar-akar maruah UMNO.

Sebelum ini pun telah ramai blogers yang menyentuh tentang kezaliman ISA. Penderitaan mangsa dan keluarga dipaparkan saban hari. Sekurang-kurangnya masyarakat umum tahu betapa hodohnya muka ISA apatah lagi muka manusia yang melaksanakannya. Saya sekadar membaca dan sesekali cuba berkongsi pengalaman dengan bloger-bloger lain. Namun apabila "sokongan terhadap ISA" dipamirkan secara demonstrasi dan terbuka di tempat awam, maka terlonjak sedikit kepedihan disudut hati. Menyokong ISA, bermakna menyokong suatu yang haram, menyokong kezaliman yang dilakukan terhadap hamba-hamba Allah yang tidak diadili secara sah, menyokong penganiyaan terhadap kaum keluarga mereka dan menyokong suatu yang bercanggah dengan perinsip-perinsip keadilan dalam Islam. Saya bimbang sedikit masa nanti ada pula kumpulan NGO yang berdemonstrasi memakai baju "Yes to alcohol", "Yes to gambling" dan macam-macam "yes" lagi terhadap perkara yang haram.

Kezaliman ISA sudah jelas lagi bersuluh. Ianya di akui oleh Ulama'-ulama' Islam, pakar-pakar perundangan yang jujur, pejuang-pejuang hak-hak asasi manusia dan manusia-manusia awam yang waras. Buku " Malaysia 45 years under the internal Security act" tulisan Koh Swe Yong, antara buku-buku yang merakamkan episod kezaliman ISA. Antaranya beliau menulis "In 1998, on the international Human Rights Day, December 10, the Bar Council submitted a memorandum ti the Prime Minister, calling upon the goverment to repeal the ISA". Beliau menambah lagi; "Gerak comprised various opposition parties, including Party Rakyat (PRM), Democratic Action Party (DAP), Pan-Malaya Islamic Party (PAS), Party Sosialis Malaysia (PSM) and the large number of Non-Govemerntal Organization (NGOs) including Suaram and Rights Committee (CRC), A large number of UMNO members loyal to Anwar also joined forces with Gerak". Sebagai memperlengkapkan lagi rakaman kezaliman itu Dr Kasim Ahmad menulis dalam bukunya "Universiti kedua", Dr Hussain Ali dalam bukunya "Dua Wajah", YB Sdr Sa'ari Sungaip dalam bukunya siri "Suara dari Kemunting", Dr Badrul Amin di dalam bukunya "Dari UIA ke ISA" dan banyak lagi khazanah penulisan yang seumpama itu. Penulisan yang merupakan rakaman pengalaman penulis, yang tentunya lebih mengenali ISA berbanding dua tiga orang "awak-awak"NGOs yang dinakhodakan oleh UMNO dalam demonstrasi baru-baru ini.

Dalam tulisan ini saya ingin mengajak pembaca semua kepada memahami sebab mengapa ISA itu haram dari sudut agama (Islam). Mudah-mudahan Allah membuka hati kita dan mereka untuk menggunakan sisa usia ini bagi menegakkan kebenaran.
1. ISA bertentangan dengan perinsip keadilan yang dibawa oleh Islam.
Di dalam surah An-Nisa ayat 58, Allah berfirman;
واذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
"Apabila kamu berhukum dikalangan manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil".

Maulana Al-Maududi menyebut;

"Islam menetapkan perinsip asas, iaitu tiada siapa pun boleh dipenjarakan sehinggalah kesalahannya dibuktikan dalam Mahkamah terbuka"(1).

Islam tidak pernah mengiktiraf pembicaraan di Mahkamah tertutup, apatah lagi hukuman tanpa pembicaraan (Detention without trial). Islam tidak membenarkan seseorang itu ditahan dan dihukum hanya kerana berasaskan kepada "syak" atau bukti-bukti yang tidak pernah dibuka di Mahkamah. Perinsip keadilan Islam memberikan ruang yang luas untuk orang yang tertuduh membela dirinya tanpa sebarang kekangan dari pihak yang mendakwanya.

Perinsip yang dikemukakan oleh Islam itu, dicabul sepenuhnya oleh undang-undang ISA (2). Seseorang akan ditahan atas budi bicara Menteri berdasarkan cadangan yang dibuat oleh pihak Polis. Pertuduhan tersebut tidak pernah dibacakan dimana-mana Mahkamah dan dihadapan mana-mana Hakim. Manakala orang tahanan dinafikan haknya untuk membela diri atau mendapatkan khidmat peguam. Pencabulan total itu menyebabkan tiada bentuk keadilan yang dapat ditegakkan. Justeru menegakkan keadilan adalah "wajib" dan melaksanakan kezaliman adalah "haram".

Bersambung siri 2 (InsyaLLah)

Nota

1). "Human Rights in Islam" oleh Maulana Al-Maududi.
2). "Freedom under Executive Power in Malaysia" oleh Dr Rais Yatim.

No comments: