05 November 2008

Bina kekuatan dakwah dan Pendakwah bermula di Masjid

Melihat kepada pentingnya masjid kepada perkembangan Islam dan Dakwah, maka usaha-usaha menjauhkan ummat Islam daripada fungsi masjid yang sebenar telah dilakukan oleh musuh-musuh Islam sejak zaman Baginda RasuluLlah saw. Abu Amir Ar-Rahib seorang yang 'alim dengan ilmu Ahlul Kitab telah diperalatkan oleh Kaisar Rome untuk menentang Islam dan RasuluLlah saw. Beliau telah membina sebuah masjid tidak jauh daripada masjid Nabawi di Madinah. Masjid yang dibina bukan bertujuan untuk memperkukuhkan Islam dan menyatukan ummatnya, bahkan bertujuan mencerai beraikan kesatuan ummat yang telah dan sedang dibangunkan oleh Baginda saw. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mencabut tunjang ukhuwah yang menunjangi kesatuan ummah(1). Firman Allah swt;

والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المئومنين وارصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن ان أردنا الا احسنى والله يشهد انهم لكاذبون


Maksudnya: Dan orang-orang yang membangunkan Masjid kerana hendak menimbulkan kemudharatan, kekafiran dan perpecahan dikalangan orang-orang mu'min. Dan kerana hendak menyambut kemahuan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya. Sesungguhnya mereka bersumpah; tidak lah kami kehendaki melainkan kebaikan. Dan sesungguhnya Allah bersaksi bahawa mereka itu adalah pendusta."(2)

Musuh Islam sepanjang sejarahnya telah berusaha sedaya upaya agar ummat ini tidak mengambil ruh kekuatan dakwah dan Pendakwahnya daripada masjid-masjid. Antara pendekatan yang mereka lakukan ialah;

1. Memesongkan fahaman ummat islam tentang fungsi sebenar Majid.

2. Membangunkan Masjid Dhirar yang dapat menghalang kegiatan Masjid yang dibangunkan di atas dasar Taqwa.

3. Menyerahkan urusan pentadbiran Masjid kepada orang-orang yang jahil tentang peranan masjid, lemah, dan penakut.(3)

4. Mengujudkan peraturan-peraturan yang mempersempitkan fungsi masjid atau menyukarkan usaha-usaha memakmurkan masjid.

5.Memperbanyakkan program mungkar dan maksiat sehingga menggangu minat masyarakat Islam terhadap program di Masjid.

Untuk mengembalikan semula kekuatan dakwah dan Pendakwah, kita hendaklah meletakkan kembali pembinaan ummat ini dan dakwahnya bermula di Masjid. Inilah asas awal yang telah dilaksanakan oleh Nabi-nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. Nabi Ibrahim telah membina ummat bermula dengan pembinaan Masjidil Haram. Nabi Daud dan Zakrian telah mengasaskan pembinaan ummah dengan membangunkan Masjidil Al-Aqsa, manakala Nabi Muhammad saw telah membina kesatuan dan kekuatan ummat dan Negara Islam Madinah dengan mengasaskan Masjid Quba dan Masjid Nabawi.

Imam Malik berkata:

لا يصلح هذه الامة الا بما صلح به اولها

Ummat ini tidak akan menjadi baik kecuali (jika dilaksanakan semula) apa yang telah menjadi mereka baik pada awalnya dahulu.

Jika sejarah telah membuktikan ummat terdahulu berjaya mencapai kejayaan Rohani dan Jasmani yang sangat mengkagumkan melalui Masjid, mengapa kita masih terkial-kial mencari dan mencuba berbagai fomula untuk mencapai kejayaan?. Tidak salah mencari fomula-fomula baru yang tidak bercanggah dengan syara', tetapi sifat melupai fomula yang telah terbukti membawa kejayaan kepada ummat ini dahulunya, adalah sikap lalai yang sangat memalukan.

Apakah kita rasa semacam melangkah kebelakang semula jika jamaah ini diajak semula kepada program Usrah, Qimullail, Tamrin, Mukhayyam, Kuliah di Masjid-masjid dan sebagainya. Apakah kita sudah hanyut dengan sedikit kemenangan yang "Allah" hulurkan kepada kita. Sudah lemas dalam dewan-dewan seminar berhawa dingin sambil berucap dengan bahasa-bahasa yang hanya difahami oleh golongan elit dan educated?. Apakah kita sudah merasa sangat gah dengan sedikit kemenangan yang dianugerahi Allah, sehingga beranggapan usrah, seminar, tamrin, kuliah dan qiamullail hanya layak dihadiri oleh ahli-ahli biasa yang tidak sibuk dengan urusan mentadbir negeri.

"Saudaraku..walaupun sangat perlu kita memandang kehadapan, namum sesekali menolehlah kepada cermin pandang belakang, untuk lihat siapa dibelakang kita. sesekali tolehlah kepada side mirror untuk kita tahu siapa dikiri dan kanan kita."

Tegasnya jamaah ini perlu membangunkan semula dakwah dan Pendakwahnya melalui Masjid-masjid. Ini adalah kerana masjid itu sebagai;

1. Madrasah Rohani Para Du'at.

Para Du'at sangat memerlukan kekuatan Rohani. Pendakwah yang hatinya bertaut dengan Masjid-masjid(4) sangat jauh bezanya dengan du'at yang jauh daripada Masjid. Du'at yang hadir menunaikan solah berjamaah Lima waktu dimasjid sangat jauh bezanya dengan rohani du'at yang tidak hadir solah berjamaah.(5) Solah berjamaah mebina kekuatan iman, ukhuwwah, sifat tawadhuk dan serta pertalian dengan Allah. Sedangkan semua sifat-sifat tersebut sangat-sangat diperlukan untuk dimiliki oleh Du'at fiLlah.

2. Madrasah Haraki.

Masjid dan solah berjamaah akan mendidik du'at erti kebersamaan dalam perjuangan. Bekerja dan berjuang secara jamaei (kolektif). Solah berjamaah di Masjid membentuk keperihatinan terhadap konsep kepimpinan, taah, wala, serta asas-asas hidup berorganisasi.(6). Sifat terbuka, kerendahan diri, kepatuhan, istiqamah serta keperihatinan akan terbentuk didalam setiap muslim yang menunaikan solah berjamaah.

3. Madrasah Soasial dan Ukhuwwah

Masjid adalah saluran ta'aruf yang paling berkesan. Du'at dapat mengenali mad'u nya dengan lebih dekat dan mesra. Hati-hati yang bertaut melalui ibadah bersama didalam masjid jauh bezanya dengan persahabatan yang terjalin ditempat-tempat lain.

Salam ketika pertemuan di Masjid, bahu0bahu yang bersentuhan di dalam saf, zikir-zikir yang dialunkan bersama serta tangan yang berjabat selepas solah dengan wajah penuh ubudiyyah kepada Allah sebenarnya saluran dakwah yang cukup besar kepada jamaah. Jambatan dakwah mudah dihubungkan melalui kermesraan yang terjalin lewat suasana ibadah diMasjid.(7)

4. Madrasah Ilmu dan Maklumat.

Pendakwah dapat dihasilkan melalui masjid dan di masjid jugalah pendakwah dapat menyalurkan dakwahnya. Ilmu dan kefahaman terhadap Islam dapat dibangunkan secara beransur-ansur melalui masjid. Pendakwah dapat menerapkan tasawwur Islam yang sebenar kepada masyarakat umum. Pendakwah yang menjadi "guru" kepada masyarakatnya akan lebih dipercayai dan diberikan Thiqah oleh mad'u. Thiqah dan kepercayaan itulah esset yang cukup bernilai untuk melayari bahtera dakwah.

Pimpinan dimana peringkat pun hendaklah menjadikan masjid sebagai medan dakwah serta medan pertemuan dengan masyarakat. Kita tidak nafikan masih banyak medan lain yang ada dalam dakwah ini, tetapi Masjid lah medan yang terbaik. Sangat janggal jika kita dikenali sebagai pendakwah dan pendokong gerakan Islam tetapi jauh dari masjid-masjid Allah. Tentunya pelik jika dikatakan penyeru kejalan Allah itu jarang kerumah Allah. Wallahu 'Allam.

Notakaki:
_______

1) Lihat Ibnu Kathir jilid 3 halaman 451-452 cetakan Bairut
2) At-Taubah 107
3) Sedangkan Masjid hanya layak diurus oleh orang yang beriman kepada Allah, Hari akhirat, mendirikan Solah, mengeluarkan jakat dan tidak takut kecuali hanya kepada Allah swt.
4) Di antara Tujuh orang yang mendapat naungan Araysh Allah pada hari kiamat ialah "lelaki yang hatinya bergantung dengan masjid".
5) Baca kembali tulisan Sdr Subky Latif di dalam Harakah yang bertajuk "Ummat Islam hanya akan menang jika solah subuhnya seramai solah jumaat."
6) Lihat Fiqh Dakwah oleh Jum'ah Amin Abdul Aziz.
7) Kaedah fiqh mengatakan : التأليف قبل التعريف ( mengikat hati sebelum memperjelaskan dakwah)
Keterangan gambar: Masjid Pusat Pendidikan Islam An-Nuur.

No comments: