29 October 2009

Sekali lagi Iblis dan para Sayaatin menangis...


Harapan "Iblis dan para Syaathin" untuk melihat Pas berpecah dua dan akhirnya pupus dari muka bumi Malaysia ini sekali lagi hancur berkecai. Mereka bercadang memperlengkapkan agenda mereka itu sebelum berlabuhnya tirai 2009 ini. Namun selepas tamatnya mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat malam tadi, mereka terpaksa mengakui bahawa cukup sukar melaga-lagakan pimpinan Parti Islam ini, tidak sebagaimana parti-parti yang tidak bertunjangkan taqwa.

Iblis selaku boss terpaksa memanggil satu sidang khas selepas ini, bertujuan membuat suatu Post Mortem, mengapa mereka gagal melapah dan membelah dua jasad Pas. Sehingga menjadi dua kelompok yang kemudiannya saling berantakan. Dalam masa 4 jam, mereka ( Iblis dan para Syaathin) terpaksa berputih mata setelah beberapa hari yang lalu mereka cukup yakin cubaan mereka kali ini akan berjaya.Mereka cukup optimis, kali ini landskap politik malaysia akan sedikit berubah, kerana Pas telah terbelah dua. Satunya kelompok Tuan Guru Presiden dan yang keduanya kelompok Tok Guru Mursyidul Am.

Iblis dan bala tenteranya telah pun memasang banyak jerat dimerata tempat. Sehingga telah ada dikalangan orang-orang Pas sendiri yang dah berkira-kira nak keluar parti. Telah ada dikalangan vateren Pas yang dah cakap Pas Sekarang sudah tersasar dari landasannya yang asal. Sudah ada ahli-ahli bawahan yang mula berselera mendengar ceramah Muhyidin Yassin, walaupun sebelum ini, usahkan ceramah Umno mereka tak berselera, kalau ada Pemimpin Umno baca Quraan pun mereka mual mendengarnya. Bukan mualkan Quraan, tapi mualkan lidah Umno itu. Sudah ada ahli-ahli Pas yang gatal-gatal tangan menghantar sms yang mereka terima lalu diforwardkan kepada teman-teman yang lain. Ada sms yang hentam TGHA, dan ada sms yang kutuk TGNA. Telah ada penulis-penulis Blog atau lebih bangga jika digelar Blogger yang mula rasa ketinggalan kalau tak tambah apa-apa dalam resepi "api-api" tersebut.

Melihat situasi itu, Iblis dan para Sayaathin merasa cukup galak. "Kemenangan besar bakal kita raih", kata Iblis dalam satu perjumpaan dengan petugas-petugasnya, disertai tepukan gemuruh, tanda bangga atas kebijaksanaan boss mereka menyusun stratigi. " Jika kita berjaya menghancurkan Pas, bermakna bumi Malaysia ini sudah tidak ada sebuah pun parti yang menjadikan dasar perjuangannya Quran dan Sunnah, tanpa parti yang bersuara dengan nada Islam, bermakna kita semua akan hidup dikelilingi dengan kemungkaran dan kemaksiatan,rasuah,pecah amanah, penipuan, penindasan dan banyak lagi bonus-bonus kejahatan yang akan kita perolehi"...kata Iblis semakin bersemangat.

Namun..apabila Dua orang Tok Guru bertemu wajah, Iblis dan para Sayaathin mula gusar. Bila kedua mereka berjabat tangan dan memberi salam, Iblis dan para Sayaathin mula tercium aroma kekecewaan dan kehampaan. Selesai sahaja Mesyuarat Khas tersebut jam 12.30 pagi, Iblis cepat-cepat keluar bersama bala tenteranya. Saat ahli-ahli Pas diseluruh negara sujud Syukur kepada Allah, atas pertolongan Allah kepada jamaah ini, para Sayaathin itu masih meraung-raung dan berguling-guling penuh kecewa. Sudah tentu selepas rasa kecewa itu berakhir, jiwa mereka akan semakin dibakar dendam terhadap Pimpinan dan Ahli-ahli Pas. Tentunya Iblis akan segera memanggil sidang tergempar, dan satu perancangan baru akan disusun mereka sebelum Seminar Khas Pas 7 November nanti.

Nasihat saya kepada teman-teman Ahli Pas..Apa pun yang berlaku selepas ini, serahkan sahaja kepada pimpinan yang mengurusinya. Mereka semua adalah orang yang berilmu. Cukup lah apa yang telah kita lalui itu memberikan kita pengajaran. Pengajaran itu sepatutnya membentuk sikap kearah yang lebih tenang dan bijak. Tiada gunanya kita menyambung messege dan email yang berniat jahat kepada Harakah kita. Tiada gunanya kita terpengaruh dengan tulisan orang yang berada diluar dari jamaah kita. Mereka bukan pimpinan kita, mereka bukan faham benar dengan apa yang ada dalam dunia rumahtangga kita. Jangan memberikan sebarang komen dan andaian sebelum pimpinan. Kerana itu akan menzahirkan kelemahan adab kita dalam berjamaah. Jika ada cadangan, maka salurkan kepada saluran yang sewajarnya.

Ambillah iktibar.Kerana cukuplah bagi seorang mukmin itu dengan satu teguran dari Allah.

26 October 2009

Taubat UMNO bagai Ular bersalin kulit...

Menyorot ucapan Presiden Umno di dalam Mesyuarat Agong Umno baru-baru ini zahirnya kelihatan agak luar biasa. Nada bertaubat dan insaf mengaluni perhimpunan Agong parti yang sudah pernah "mati" itu. Ucapan Najib disulami dengan irama sentimental dan berbaur dengan rasa gembira kerana berjaya juga akhirnya BN menang satu pusingan daripada lapan pusingan Pilihan Raya Kecil di Semenanjung. Rayuan dan nada "taubat Umno" yang digarap dalam ucapan Najib, nampaknya sedikit sebanyak berjaya menyakin beberapa orang kampung yang pekat UMNO, bahawa UMNO telah benar-benar insaf akan ke alpaannya selama ini terhadap rintihan rakyat bawahan. UMNO sudah insaf terhadap keangkuhannya. UMNO sudah taubat nasuha dan tidak akan jadi parti Rasuah lagi selepas ini. UMNO tidak lagi UMNO yang sebelum Mesyuarat Agong tersebut. Ertinya satu lakaran wajah baru UMNO cuba ditampilkan melalui perhimpunan itu.

Tidak dinafikan memang ada "beberapa kerat" orang yang yakin benar dengan "taubat Umno" itu, sebagaimana mereka cukup yakin dengan Pak Lah saat mula-mula memegang tanpuk kuasa UMNO dahulu. Pak Lah diimejkan sebagai cucu Ulama', PM yang boleh menjadi imam solah Terawih, PM yang "clean"dari sebarang sekandal dan Imam yang berjaya meletakkan batu asas kepada "Islam Hadari". Begitulah yakinnya mereka kepada "keinsafan UMNO".

Kasihan sungguh melihat UMNO yang berhempas pulas untuk menyakinkan rakyat bahawa UMNO hari ini bukan lagi macam UMNO yang lepas-lepas itu. Lebih kasihan lagi melihat mereka yang masih menyakini UMNO. Masih disengat beberapa kali dalam satu lubang. Tidakkah mereka tahu bahawa "taubat UMNO" tidak akan sampai kemana pun. Pak Lah yang sebelum menjadi PM dikenali sebagai "Mr Clean" pun gagal membersihkan UMNO daripada kemungkaran dan dosa, ini kan pula Najib yang datang dengan berbagai sekandal yang masih belum terjawab. "Taubat UMNO" hanyalah seperti "Ular yang bersalin kulit". Kulit sahaja yang kelihatan semacam baru dan berlainan corak, namun ia tetap ular yang sama. Naluri "keularannya" tetap sama dan lidahnya pun sama. Kulit itu pun dalam tempoh beberapa bulan lagi akan kembali seperti corak dan warna asalnya.

Bagaimana UMNO mahu membersihkan dirinya daripada rasuah?. Sedangkan Rasuah sudah menjadi darah daging UMNO. Membuang rasuah daripada UMNO semacam membuang semua darah yang ada dalam tubuh. UMNO akan terkulai layu dan lebih layu dari kelayuannya sekarang. Mempercayai UMNO mahu menghapuskan Rasuah samalah seperti mempercayai kata-kata seekor Singa bahawa ia berjanji tidak akan makan daging lagi. Mampukah singa meneruskan kehidupan kalau hanya makan kangkong dan lobak. Begitulah UMNO ...Lagi pun bagaimana mungkin UMNO mampu membasmi "Rasuah" jika UMNO tidak kembali kepada dasar-dasar Al-Quraan dan Hadis?. Kerana yang paling tegas "mengharamkan" rasuah hanya Al-Quraan dan Hadis. Sehingga dijanjikan Neraka bagi pemberi rasuah dan penerima rasuah. Takutkah UMNO kepada "tindakan tegas" SPRM yang tidur sebantal dengan UMNO?.

Taubat UMNO hanya gendang lama dan irama lama yang tidak lagi raleven dengan kehendak rakyat Malaysia umumnya dan Orang-orang Islam khususnya.

14 October 2009

Jawatan kosong!!..Ulama' Haraki dikehendaki...


4. Oct yang lalu, satu perjumpaan ulama'-ulama pelapis telah di adakan di Darul Amin Sungai Gau Temerloh. Program yang dianjurkan oleh Lajnah Jawatankuasa Ulama Pelapis, Dewan Ulama Pas Pahang ini telah dirasmikan oleh ketua Dewan Ulama Negeri, Ustaz Abu Kassim Manaf. Program yang julung-julung kali di adakan ini boleh disifatkan berjaya, apabila dihadiri oleh lebih 45 orang muda yang berpendidikan agama, lepasan dari berbagai institusi pengajian. Menurut ketua Lajnah, Ustaz Mohd Redha, sebahagian besarnya adalah lepasan Universiti Luar Negara.

Saya dan Ustaz Khairuddin At-Takiri ( Bendahari Dewan Ulama Pusat) telah diamanahkan untuk menyediakan kertas untuk perjumpaan ini. Beliau telah membentangkan tajuk "memperkasakan Ulama', sebagai lanjutan dan respon kepada Ucapan Dasar Presiden, Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Manakala saya pula membentangkan kertas bertajuk "Ulama Pelapis, Harapan dan cabaran". Turut hadir dalam program pertama ini ialah Pengerusi Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulama Pusat, Ustaz Mutanazzar.

Saya sebenarnya cukup gembira apabila melihat kesungguhan anak-anak muda, khususnya mereka yang berpendidikan agama, bersedia memberikan komitmen mereka kepada Pas. Pas sebagai sebuah "gerakan Islam", sangat-sangat memerlukan tenaga, kebolehan dan pengaruh mereka untuk meneruskan dasar perjuangannya. Apabila Rasulullah saw wafat, tugas dakwah dan perjuangan telah diwariskan kepada pundak para Sahabat. Apabila para Sahabat meninggal dunia, bebanan perjuangan itu telah digalas pula oleh para Taabi'en. Apabila para Taabi'en meninggal,warisan perjuangan itu diamanahkan pula kepada Taabi'un Taabi'en. Seterusnya amanah kepimpinan dan perjuangan gerakan Islam itu di pindahkan pula kepada para Ulama dan mereka-mereka yang memiliki ilmu Islam dan dakwahnya. Ustaz Musthafa Mashyur mengatakan tidak ada orang yang paling layak menerajui perjuangan Islam ini kecuali mereka yang paling mirip dengan Rasulullah saw. Hal ini pernah disebut oleh Rasulullah saw, "Apabila diserahkan "amanah" kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kehancuran". Dari ulama' lah datangnya ilmu dan nasihat, manakala nasihat itu pula adalah "ruh" kepada agama.

Justeru itu saya sangat berbangga dengan kesedian mereka berkhidmat untuk "gerakan" ini. Pimpinan disemua peringkat perlu memberikan ruang,galakan dan dorongan kepada mereka untuk berperanan dalam jamaah. Kerana Pas yang bergerak semakin jauh ketengah gelombang perjuangan sangat memerlukan "generasi ulama yang kental" untuk mengnakhodainya. Ulama yang bukan hanya mahir dengan tafsir, hadis, usul fiqh, Balaghah dan ilmu-ilmu hujjah. Tetapi juga memiliki fikrah yang jelas dan memahami tabiat Pas sebagai "Gerakan Islam" yang mengambil pendekatan berpilihanraya. Disamping itu mereka juga perlu memiliki ruhani yang benar-benar taqarrub dengan Rabbnya.

Melihat kepada saranan Presiden dalam ucapan Dasarnya mengenai memperkasakan Ulama, Pas Negeri-negeri seharusnya serius menyusun agenda "pendidikan". Pendidikan adalah "tapak semaian", untuk melahirkan generasi ulama". Ulama' tidak akan lahir hanya melalui kuliah umum, khutbah dan ceramah umum. Pusat Tarbiyyah dan Perkadiran Pas perlu ada disetiap Negeri, (Tahniah kepada negeri yang telah ada Pusat pendidikannya sendiri) yang dikendalikan secara serius dan tersusun. Pusat yang dimaksudkan itu tidak perlu hebat dan gah ( cukuplah seadanya sahaja),tetapi yang penting mampu melahirkan produk yang berilmu dan bersedia mengisi perjuangan dalam jamaah Pas. Di pusat pendidikan ini mereka bukan sahaja di asuh menghafal Al-Quraan dan ilmu-ilmu agama, bahkan mereka juga dididik dengan ilmu-ilmu ruhani, Dakwah dan kecintaan kepada jihad. Saya tidak fikir jika masih ada pimpinan yang terlepas pandang dengan "program pendidikan", yang merupakan program yang begitu penting dalam agenda mana-mana gerakan Islam. Bahkan diwaktu peperangan, Allah masih mengingatkan para sahabat agar ada segolongan mereka yang menekuni ilmu agama, agar mereka faham dengan agamanya dan memberikan peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka.

Saya masih ingat ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika mengetuai Dewan Ulama Pas Pusat. Waktu itu beliau datang memberikan ucapan dalam "Tamrin Pas Pahang" yang diadakan di Balai Islam Darul Amin Sungai Gau. "Tuan-tuan...pagi ini kita berceramah, Alhamdulillah..mana-mana ceramah itu adalah ilmu. Kita boleh tahu ilmu-ilmu semasa dan perkembangan politik di negara kita. Tapi tuan-tuan..ceramah ini ibarat "goreng pisang"..Kita ni tak cukup dengan goreng pisang..kita perlu nasi, untuk kita benar-benar kenyang dan perut benar-benar kejap. Oleh itu...tuan-tuan yang mari dengar ceramah hari ni..perlu pulak balik, belajar pulak dimana-mana balaisah,surau baik, masjid baik atau mana-mana tempat orang menadah kitab, dengan cara tu kita akan lebih faham kehendak kertaskerja Tuhan, yang kita panggil Al-Quran dan kertas kerja Nabi yang kita panggil Hadis....".

"Program Muqaddimah" ulama Pelapis Pas Pahang yang dianjurkan oleh Lajnah Ulama Pelapis yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Redha itu diharapkan menjadi titik tolak untuk golongan Ulama disemua peringkat mengembelingkan tenaga demi perjuangan suci ini. Ulama' lah yang akan melahirkan ulama'. Jangan diharapkan "rama-rama itu lahir melalui kepongpong kupu-kupu".

Kepada semua ustaz-ustaz muda yang masih belum menyertai Lajnah Ulama Pelapis di mana-mana Negeri, sila segera menyertainya. Masih banyak jawatan kosong yang perlu di isi...

11 October 2009

Ilmu Pemangkin kepada adab,idea dan segalanya..


Dalam melalui jadual harian yang agak padat, sempat saya meneroka beberapa blog teman-teman dan sahabat diserata dunia. Tulisan teman Bloger di Malaysia kebanyakannya berkisar berkaitan pilhanraya kecil di Bagan Pinang.Semua itu saya baca dengan penuh minat, kerana saya sendiri tidak berkesempatan untuk kesana. Cuma sekadar memberi bantuan dalam bentuk yang lain , dari hadir bersama teman-teman yang berkampung disana sejak selepas raya yang lalu. Dalam banyak-banyak laman yang saya jelajahi, saya agak tertarik dengan sebuah atikel yang menyebut "Ibrahim Ali lebih bijak"... Penulis menyorot berita mengenai desakan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan agar Ibrahim Ali melepaskan jawatan kerana ternyata "simulut celupar" itu sudah jelas tidak seiring dengan Pas. Penulis memberikan komen sebaiknya Tok Guru berdiam diri sahaja. Kerana kononnya jika Tok Guru terus membuat desakan, semacam mengembalikan ingatan umum yang kedudukan Ibrahim itu pun direstui oleh Tok Guru juga asalnya. Jadi penulis mahu menasihati Tok Guru agar jangan membuka pekung sendiri.

Yang kedua, penulis menyebut Ibrahim Ali lebih bijak dari semua orang Pas. Hujjahnya Ibrahim Ali berjaya menipu dan membohongi sikap sebenarnya dari pandangan pimpinan dan ahli-ahli Pas, termasuk semua pengundi Pas dalam kawasan Parlimen Pasir Mas. Selanjutnya Penulis mengemukakan semacam kesimpulan bahawa Pas tidak layak menerajui negara ini kerana pimpinannya mudah ditipu oleh musuh.

Beliau juga menyebut; "sesungguhnya pemimpin yang berpolitik menerusi Agama sangat beruntung, keberuntungan mereka adalah kerana, walaupun sudah melakukan kesalahan tetapi dengan memetik beberapa potong ayat Al-Qur'an dan Hadis, maka para penyokong akan mudah menerima penjelasan kenapa kesilapan itu perlu dimaafkan.Kalaulah kesilapan itu dilakukan oleh politikus biasa, kemunkinan besar tokoh tersebut terpaksa melepaskan jawatannya, sementelahan pula tokoh tersebut sudah lanjut usia serta sering diserang berbagai penyakit".

Dengan bahasa di atas, siapa pun dapat memahami maksud tersirat yang hendak diluahkan oleh penulis. Maksudnya Pas dan pimpinannya selama ini memperalatkan ayat-ayat Al-quraan untuk kepentingan parti, walaupun antara ayat dan perjuangan parti itu tidak sejajar dan sejalan.

Sebenarnya saya sangat kesal dengan tulisan ini. Pertama kerana kebenaran yang kononnya diperjuangankan oleh penulis tersebut tidak bertunjangkan kepada apa-apa nas selain akal dan pengamatan sendiri. Saya pasti penulisnya bukan seorang wartawan seperti Sdr Sayuti Omar yang tajam pengamatannya atau seorang politikus seperti mahfuz Omar yang petah berhujjah dan jauh sekali sebagai seorang ahli agama seperti Tuan Guru Nik Aziz yang sentiasa tenang dalam zikrullah. Pertama beliau menyebut Ibrahim Ali lebih
bijak. Apakah sebenarnya difinasi bijak pada perkiraan penulis?. Difinasi itu dirujuk kepada kamus "barat" atau kamus "islam" beserta takrifan para ulama"?. Atau sekadar dirujuk kepada perkataan "bijak" yang sering diguna oleh pertuturan orang kampung, yang sering menyebut; "pencuri yang mencuri malam tadi memang bijak, sebab tidak meninggalkan apa-apa kesan". Difinasi mana yang diguna pakai oleh penulis pun saya tidak pasti. Jika kepandaian Ibrahim Ali berlakon, menipu dan berpura-pura itu dianggap bijak, ternyata difinasi yang digunapakai oleh penulis adalah difinasi "orang kampung". Maka layakkah sebuah "kebenaran" di tegakkan diatas difinasi yang serapuh itu?. Bijak kah kerja-kerja menipu?.Bijak kah mengabaikan amanah dan kepercayaan?.


Penulis semacam merendahkan Tok Guru kerana mendesak Ibrahim Ali melepaskan jawatannya. Penulis menyarankan lebih baik Tok Guru berdiam diri daripada terus mendesak Ibrahim. Tahukah penulis bahawa Ibrahim Ali telah mencarik amanah. Ibrahim Ali diundi oleh pengundi Pasir Mas bukan kerana dia "Ibrahim Ali". Ini terbukti dalam pilihanraya kecil pengkalan Pasir, Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas, tersungkur dibumi Pasir Mas dihadapan anak beranaknya. Ini bermakna amanah yang digalaskan atas bahu Ibrahim itu amanah Pas bukan amanah Ibrahim. Mencabul amanah adalah "kemungkaran". Ini bermakna Ibrahim menyandang sebuah jawatan yang mungkar dan haram. Lalu Tok Guru selaku Ulama, wajib menegur dan memperingatkan Ibrahim. Maka apakah penulis merasakan berdiam diri dari menegur sebuah kemungkaran itu lebih baik dari mencegahnya?. Hujjah agama apa yang dipakai oleh penulis?.

Seterusnya penulis semacam merendahkan pas dan Pimpinan, khususnya Tok Guru kerana mempercayai Ibrahim Ali dan mudah terpedaya dengan lakunannya. Justeru itu "bahaya" jika Pas menjadi Perdana Menteri. Inilah sifat "berlapang dada" yang ada kepada pimpinan Islam yang tidak ada kepada pimpinan Umno.Pas tidak pernah berdendam dengan siapa pun, apabila mereka telah kembali kepangkuan kebenaran. Berapa ramai pimpinan Semangat 46 dan PKR yang ketika berada dalam UMNO dahulu yang belasah Pas. Namun apabila mereka tersingkir dari UMNO dan datang kepada Pas dalam ikatan "tahalluf", Pas meraikan kehadiran mereka. Ini berbeza dengan UMNO. Apabila Tengku Ghazali Hamzah kembali kepada UMNO semula, apa layanan Mahathir kepada Tengku?.

Penulis pernahkah membaca sejarah pengkhianatan golongan Yahudi di Madinah?. Bukankah sebelum itu mereka mengadakan perjanjian dan persefahaman dengan Rasulullah saw. Sekali lagi saya ulangi, mereka mengadakan perjanjian damai dengan Rasulullah, bukan dengan Tok Guru Nik Aziz. Penulis pernahkan membaca kesah "Yaumul Raji'". Dimana beberapa orang para sahabat Rasulullah saw telah terbunuh termasuk Khubaib bin Adi kerana telah dikhianati oleh beberapa kabilah musuh yang memperdaya Rasulullah saw dan Para sahabat?. Saya kemukakan kesah ini bukan bermaksud kita harus merelakan diri diperdaya berulang kali. Namun sekadar untuk mengingatkan kita betapa pentingnya berhati-hati dengan sebuah pandangan dan idea. "Memang bagus tidak peduli apa orang kata' kalau kita benar-benar bediri dengan hujjah kebenaran yang kukuh. Tapi jika kita tidak punya apa-apa hujjah, kemudian tidak peduli apa orang kata adalah "keanggkuhan".


Terakhir, penulis blog tersebut menganggap Pas dan pimpinannya selama ini "bermain" dengan ayat-ayat Al-Quraan dan Hadis untuk kepentingan pimpinan dan parti. Saya kira sampai sahaja pada kalimah ini , ianya telah benar-benar menelanjangkan kedangkalan penulis terhadap kaedah penghujjahan di dalam Islam. Saya yakin penulis gagal memahami sistem pendalilan yang diprektikkan di dalam Islam. Saya yakin Penulis gagal memahami Tafsiran Al-Quraan dan Usul Fiqh serta Ulum Al-Hadis. Saya juga yakin Penulis tidak pernah berada dalam Pas dengan keberadaan yang sebenar. Penulis hanya membaca akhbar, blog dan berita TV kemudian berbincang dengan fikiran sendiri. Akhirnya saya meminta Penulis membuktikan ayat yang telah dimanipulasi oleh Pas untuk kepentingan hujjah mereka. Saya mohon satu sahaja bukti...


Wassalam. Subuh 11.Oct.2009

04 October 2009

Munculnya satu persatu tanda2 hampirnya kiamat.


Dunia sedang menyaksikan berlakunya satu persatu bencana besar yang muncul ditengah-tengah kehidupan manusia moden yang sudah benar-benar kehilangan arah. Manusia yang teraba-raba mencari hakikat kebenaran dan kedamaian sedangkan Al-Quraan yang dibekalkan Allah kepada mereka tidak dihiraukan.benarlah sabda Nabi saw

فى هذه الأمة خسف ومسخ وقذف فقال رجل من المسلمين يا رسول الله ومتى ذاك ؟ فال اذا ظهرت القينات والمعازف وشربت الخمور



Maksudnya:

Akan terjadi di akhir zaman penenggelaman bumi, hujan batu dan pengubahan rupa. Seorang lelaki bertanya kepada RasuluLlah saw; Bilakah itu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda bersabda; Apabila muzik dan penyanyi wanita berleluasa serta Arak dianggap halal".(1).

Akhir abad ke 20 dan awal abad ke 21 merupakan tahun yang paling banyak membuktikan benarnya kenyataan Rasulullah saw. Kecanggihan peralatan manusia moden tidak mampu memberikan apa-apa penyelesaian kepada bencana ini. Gempa bumi yang berlaku di Kobe pada tahun 1995 membuktikan perkara tersebut. Jika bencana tersebut berlaku di negara yang miskin dan mundur, maka tentu ramai yang akan beranggapan ianya disebabkan ketidak mampuan negara tersebut memiliki peralatan pengesan gerak bumi. Tetapi apabila ianya berlaku dinegara maju yang mempunyai berbagai peralatan dengan disokong pula oleh kepakaran pakar-pakar, maka apa lagi alasan mereka untuk menidakkan "bala dari Allah itu?". Masih degilkah kita untuk mengakui "keperkasaan Allah" dan "kealpaan diri terhadap ajaranNya?".

Bencana yang berlaku serentak di Samoa,Padang, Australia,dan Filipina beberapa hari yang lalu sepatutnya menyedarkan kita betapa hebatnya kuasa Rabbul 'Alamin. Seorang petugas di Padang melapurkan ;

"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S. Pakaya yang dipetik detikcom, hari ini."
Islam melihat kemusnahan itu semua adalah berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia itu sendiri. Manusia yang lalai terhadap peringatan Allah. Di negara kita sendiri dapat kita saksikan betapa kemaksiatan dan kemungkaran diberikan "kebenaran" manakala kebaikan dan kesolehan dihalang-halang dan disekat. Munculnya badan-badan dan kumpulan yang terang-terangan menghina Agama Allah dan hukumnya. Setakat ini hanya PAS dan badan-badan NGO yang membantah keceluparan SIS dan JAG. Dimana "bantahan kerajaan"dan UMNO? yang mewar-warkan "negara Islamnya itu". Dimana bantahan "Harussani?. Dimana bantahan Firdaus Al-Hafiz?. Apakah mereka mahu memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada kedua-dua "Pertubuhan Jahil" ini menganyang Islam sepuas-puasnya?. Kemudian selepas itu mereka bersedia menunggu datangnya "bala daripada Allah?.
Sesungguhnya Gempa Bumi, Taufan, munculnya manusia yang mengaku menjadi Nabi, Lahirnya manusia-manusia yang jahil yang bercakap tentang agama serta bisunya para-para ahli Agama adalah ramuan yang memperlengkapkan lagi dalil hampir sudah Kiamat menjelma. Maka kembalilah kita segera kepada perintah agama. Kerana disitulah jalan kesejahteraan yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambaNya.
_________________________________
(1). Riwayat Imam Turmuzi dalam sohehnya di dalam bab "Al-Fitan" hadis dari Imran bin Hussain. Ibnu Majjah juga meriwayatkan hadis ini, juga dalam Bab "Al-Fitan" dari Sahl bin Sa'ad. Manakala Imam Thabaroni meriwayatkannya dalam "Majmu' Al-Ausat". hadis ini dihukukkan Hadis Soheh.
(coretan dinihari)

02 October 2009

Rombakan jadual demi An-Nuur


Sebagaimana yang saya janjikan sebelum ini bahawa saya akan merombak sebahagian besar jadual kuliah umumi saya demi memberikan tumpuan kepada An-Nuur, kini langkah-langkah awal rombakan telah pun disusun. Dengan membatalkan kuliah dibeberapa buah surau dan Masjid disekitar Kuantan, Pekan dan Kuala Lumpur, kini saya mempunyai masa yang agak luas untuk memberikan tumpuan kepada pentadbiran da n pendidikan. Penyusunan semula kelas Khusus Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan penambahan aliran vokesional diharapkan kurikulum An-Nuur akan lebih kemas dan rapi.

Kelas Umumi yang pada asalnya dibuka untuk peserta luar hanya pada malam Ahad kini ditambah pula dengan jadual pada malam Jumaat. Kitab "Mutlain Badrain" dan kitab "Siirasus Salikin" telah dijadual kan pada malam Jumaat. Manakala Kitab "Muhimmah" dan "Hikam Ibnu Atho" diteruskan mengikut jadual asalnya pada malam Ahad. Saya sendiri akan mengendalikan kedua-dua kelas umumi ini, disamping kelas Tahfiz pada waktu pagi dan Kelas Pondok Tradisional selepas waktu rihat dan selepas Zohor.

Antara kuliah luar yang dubatalkan ialah;
1. Surau Indramahkota 2,
2. Surau Indramahkota 3,
3. Surau Ikhwan Taman LKNP,
4. Madrasah At-Taufiq Kelat Rendang
5. Surau Pelangkah Pekan
6. Masjid Tok Senik Beserah
7. Surau Paklong Ghani Chengal Lempong.
8. Surau Tasek Selatan
9. Masjid Fatimah Az-Zahrah.
10. Surau Taman Permata.

Untuk program bulanan di Jengka 4, Batu 1.Bentong dan Masjid Batu 1 Temerloh diteruskan seperti biasa. Manakala program di Kuala Lumpur yang asalnya dijadualkan pada Khamis, Jumaat dan pagi sabtu pada minggu pertama dan ketiga, kini diubah kepada hanya hari jumaat dan pagi sabtu sahaja, setiap minggu.

Untuk persiapan pengambilan pelajar baru tahun hadapan kini An-Nuur sedang membangunkan asrama tahfiz yang akan memuatkan 100 orang pelajar. Pungutan derma yang dilancarkan pada sepanjang Ramadhan baru-baru ini Alhamdulillah dapat menampung sebahagian daripada kos pembinaannya. Terima kasih kepada semua para dermawan.

_____________________________
Gambar:
1. Kanan atas: Pejabat Pengerusi Pentadbiran
2. Pejabat Pentadbiran dan bilik guru.
3. Bilik Mesyuarat guru-guru An-Nuur.