22 February 2009

Salam untuk tetamu yang dimuliakan Allah.


Sudah hampir seminggu saya tidak menulis. Sekembali dari program ziarah suarabaya dua minggu lepas, hanya satu artikel yang sempat saya coretkan iaitu mengenai kemunculan "ANIS" atau An-Nuur Islamic PreSchool. Tugasan yang menghambat masa menyebabkan saya terpaksa menangguhkan penulisan artikel baru. Kalaupun ada sedikit ruang, saya hanya sempat melayari blog sahabat-sahabat. Alhamdulillah info yang saya perolehi dari blog-blog tersebut cukup untuk mengisi ruang maklumat yang saya tertinggal beberapa hari, saat berada diSurabaya.

Kemelut politik di Perak sempat saya ikuti lewat blog sahabat-sahabat. Terima kasih sebanyaknya saya ucapkan kepada sahabat-sahabat semua yang tidak pernah jemu-jemu menghidangkan maklumat-maklumat. Khususnya isu-isu politik yang semakin hangat. Sahabat-sahabat telah berjaya mendedahkan wajah sebenar UMNO. Rupa-rupanya mereka adalah Lanun yang bersembunyi disebalik topeng "Hadari". Percayalah..suatu hari terhukum jua manusia-manusia yang punya banyak wajah ini. Cuma saatnya belum tiba..
Insyallah selepas warkah salam ini, saya akan menulis siri lengkap pengalaman ISA sebagai perkongsian maklumat rasa dan perasaan serta semangat perjuangan.

13 February 2009

ANIS MULA BEROPERASI


LANGKAH PERMULAAN INI DIHARAPKAN TERUS BERKEMBANG SEHINGGA UJUDNYA SISTEM TARBIYYAH DISEMUA PERINGKAT.
-------------------------------------------------------------
Alhamdulillah, sebagaimana yang dijadualkan akhirnya ANIS (An-Nuur Islamic PreSchool) dilahirkan dengan selamat pada tanggal 9.Feb.2009. Walaupun sudah agak terlewat, namun sebagai permulaan kelahirannya sudah cukup memuaskan hati kami (An-Nuur) kerana ia adalah petanda kearah satu perjalanan yang lengkap dalam dunia pendidikan dan pentarbiyyahan generasi ummat ini.

ANIS menggunakan kurikulum yang disusun khas, namun pada asasnya kelihatan tidak banyak perbezaan dengan pusat pendidikan Islam pra sekolah yang ada sebelum ini. Matlamat ANIS, bukan sahaja melahirkan anak-anak yang tahu membaca,menulis, mengetahui asas-asas fardhu ain dan adab, namun ANIS lebih kepada pembukaan ruang seawal mungkin untuk anak-anak mengenali dunia "penghafalan Al-Quraan". Gabungan kurikulum antara kurikulum prasekolah di Negara ini dan Negara jiran ( Indonesia ) diharapkan dapat memberikan kebaikan dan rangsangan yang sewajarnya kepada dunia pendidikan Prasekolah.

ANIS yang berada sepenuhnya dibawah program "Rangkaian pendidikan An-Nuur" berhasrat memperkenalkan kurikulum pendidikannya kecawangan-cawangan ANIS menjelang 2010 nanti. Insyallah. Diharapkan sebelum itu ANIS dapat memperkemaskan lagi beberapa perkara yang berkaitan dengan latihan pengajaran kepada guru-guru dan pengurusan sekolah. Pada peringkat permulaan ini, ANIS beroperasi dengan menumpang di Rumah Tetamu An-Nuur. Insyallah bangunan ANIS yang akan menempatkan Pejabat Guru,Bilik Kelas,Dapur,Tandas dan padang permainan mini akan dibangunkan pada pertengahan Mac nanti.

Pentadbiran An-Nuur sedang berusaha keras merealisasikan penubuhan KIAN ( Kolej Islam An-Nuur) yang telah pun masuk kepada fasa perlaksanaan menjelang 2009 ini. Sebagaimana ANIS, KIAN juga mempunyai keistimewaan kurikulumnya yang menjadikan Kitab-kitab Thuras sebagai keutamaan. Disamping itu An-Nuur juga sedang mempromosikan pembukaan cawangan Pertama "Akademi Tahfiz dan Ilmu-ilmu Al-Quraan" di Kota Damansara. Cawangan yang dijangka akan mula beroperasi April nanti, diharapkan dapat memenuhi ruang pendidikan tahfiz kepada sahabat-sahabat disekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini drestui dan diredhai Allah swt.

Disamping itu An-Nuur sedang berusaha seupaya mungkin menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi yang diharapkan dapat menampung sebahagian kos aktiviti pendidikan dan Pentadbiran An-Nuur. Sebagai permulaan An-Nuur menghidupkan kembali aktiviti syarikat "Sri Nuur Edar" yang pernah dibangunkan oleh An-Nuur sebelum ini. Syarikat ini akan bertindak secara agerisif memasarkan produk-produk Muslim kepada masyarakat umum. Langkah permulaan telah diambil dengan menubuhkan "Baqolah Kiswah". Kedai yang menjual keperluan pelajar dan makanan ringan dari produk halal. Disamping itu baqolah Kiswah juga mengedar Air Gau, Air minuman Maduria dan Sardin Pertima ( Air Maduria dan Sardin Pertima adalah dua produk yang dijamin halal). Dalam masa terdekat Insyallah, Sri Nuur Edar akan memasarkan "Halal Food" dari Majuikan sebagai altanatif kepada produk makanan yang bersumberkan laut yang ada dipasaran sekarang yang bukan daripada Muslim Product. Sri Nuur Edar juga menjadi Stokis Negeri Pahang, pemasaran "Telefon Al-Quraan Digital", yang dijangka dapat dipasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 500 unit sebulan diseluruh Negeri Pahang.

Program "AN-NUUR KEBECO" ,program yang menggabungkan Kebajikan dan Ekonomi secara beransur-ansur telah dirintis oleh An-Nuur dengan memperkenalkan "Program Ziarah ke Pesantren dan Umrah", disamping Program Korban di Kemboja. An-Nuur perlu mengumpul dana kewangan yang cukup, kerana cita-cita An-Nuur untuk membina Asrama Anak-anak Yatim ( ASAS - Asrama anak-anakku sayang ) masih belum tercapai. Buat sementara waktu 15 orang anak-anak yatim yang belajar di An-Nuur menginap bersama pelajar-pelajar lain di Asrama. Keseluruhan yuran pelajar mereka ditanggung oleh "tabungan amal Atiq".

Al-Hamdulillah.Dengan izin Allah, sudah sampai kesini An-Nuur menapak. Walaupun kedhaifan dan kepayahan sering membebani perjalanan An-Nuur, namun syukur sebanyak-banyaknya kepada Yang Esa. Dengan InayahNya jua An-Nuur terus disayangi ummah.
YA ALLAH..IZINKAN KAMI BERBAKTI DALAM SISA USIA YANG MASIH ADA. YA ALLAH..JANGANLAH ENGKAU BENARKAN MUSUH MU DAN MUSUH KAMI MENGUASAI DAN MENGERASI KAMI, SEHINGGA KAMI TUNDUK HINA KEPADA MEREKA. YA ALLAH..JANGANLAH ENGKAU SUBURKAN HASAD SESAMA KAMI, SEHINGGA TERHENTINYA PERJUANGAN INI KERANANYA.

01 February 2009

Manisnya mengendalikan sekolah agama persendirian ( siri akhir).



KESANGGUPAN IBU BAPA MEMILIH SEKOLAH AGAMA RAKYAT (PERSENDIRIAN) ADALAH SEBUAH PENGORBANAN YANG TIDAK HARUS DILUPAKAN.
----------------------------------------------------

26.01.2009 yang lalu saya terpaksa bergegas balik selepas menyampaikan kuliah subuh di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya. Saya mesti segera sampai ke Pondok saya sebelum jam 11.00 pagi. Walaupun malam nanti saya dijadualkan menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Taman Permata Malewati, dan terpaksa berkejar pula ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya jam 4.00 petang. Namun majlis pagi itu di pondok An-Nuur tidak boleh saya abaikan. Majlis tersebut ialah majlis perjumpaan dengan ibu-Bapa pelajar-pelajar An-Nuur sessi terdahulu dan sessi 2009. Bagi saya kesempatan bertemu,beramah mesra dan berdailog dengan Ibu-Bapa Pelajar adalah suatu kesempatan yang tersimpul kukuh di dalamnya nikmat persaudaraan dan semacam membentuk satu kebersamaan dalam perjuangan pendidikan ini.

Ibu-Bapa adalah antara insan terpenting yang terpaksa berkongsi suka dan duka,susah dan senang serta terpaksa pula membahui bebanan bersama guru-guru dalam mencapai matlamat pendidikan anak-anak. Anak-anak mereka adalah pelajar-pelajar kami, justeru itu perkongsian rasa antara guru-guru dan ibu bapa adalah amat penting. Sama pentingnya dengan perkongsian pertanggungjawaban. Bahkan terasa lebih indah jika pertanggungjawaban itu lahir dari lubuk rasa yang dikongsi bersama.

Dalam menyampaikan ucapan perasmian penutup pagi itu, saya sampaikan penghargaan saya kepada insan yang bernama IBU-BAPA yang ada dihadapan saya. Apa tidaknya, bukan sedikit pengorbanan yang telah mereka buat sehingga hati kecil mereka mempercayai "pusat pendidikan rakyat" ini sesuai untuk mengasuh anak-anak mereka. Bukan kecil pertaruhan yang terpaksa mereka lakukan. Mereka telah mempertaruhkan masadepan anak-anak mereka yang disayangi. Tersimpul dalam kepercayaan itu satu amanah yang maha besar yang tidak harus disia-siakan oleh pihak kami. Menyedari bebanan amanah tersebut, lantas saya menyeru mereka untuk terus berkongsi rasa, berkongsi perasaan, berkongsi tenaga dan segalanya. Kerana tidak terpikul rasanya bebanan itu tanpa sebuah perkongsian yang jujur dan persefahaman yang tinggi.

Walaupun Pusat Pendidikan agama persendirian serba kekurangan, namun ibu- bapa tetap menitipkan anak mereka ditengah-tengah kekurangan itu. Tentunya ada suatu yang diharapkan oleh mereka sehingga pengorbanan nekad di ambil oleh mereka. Suatu yang diburu oleh mereka tentunya suatu yang sangat berharga. Pastinya lebih berharga daripada sebuah kemewahan dan kebanggaan. Bukan satu keputusan yang mudah untuk mempercayai Pusat Pendidikan seperti kami. Lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang saban hari menonjolkan nilai-nilai kecemerlangan seseorang manusia itu diukur dari pencapaian akademik dan kemampuannya meraih pekerjaan yang gah. Untuk meruntuhkan tembok kepercayaan "Bidaah" seumpama itu bukan satu perkara yang boleh dibuat sambil lewa. Bahkan memerlukan gembelingan tenaga semua pihak yang mencintai Islam, ilmu dan perjuangan. "Meyakini" kepentingan ilmu dan berani pula membuat keputusan untuk menghantar anak-anak ke Pusat Pendidikan Rakyat adalah satu "keajaiban" dizaman ini. Ini adalah kerana betapa ramai mereka yang berbicara soal-soal kepentingan ilmu,agama, perjuangan Islam bahkan soal-soal fikrah, kepimpinan ummah,taqwin,tanfiz dan tarbiyyah, namun anak-anak mereka sendiri sedari kecil tidak dipercayakan kepada Pusat Asuhan Islam dan sekolah-sekolah Islam, jauh sekali untuk dipercayakan kepada "sebuah Pondok" seumpama kami.

Justeru itu dalam menutup ucapan hari itu, saya rakam sejujur-jujur penghargaan kepada IBU-BAPA yang bersama dengan kami dan bersama-sama dengan rakan-rakan kami di Pusat-pusat pendidikan rakyat diseluruh negara. Sesungguhnya untuk melihat sesuatu yang berada disebalik tabir dunia dan nafsu itu memerlukan 'Ainul Basyirah yang jernih dan ikhlas.
Syabass kepada Ibu-Bapa samua.