28 February 2010

Aktiviti Februari ....


Tirai Februari dibuka dengan program kuliah di masjid Balok dan Chandrawasih Kuantan. Kemudian diikuti dengan jadual Mesyuarat Dewan Ulama Pusat. Al-Fadhil Ustaz Harun Taib masih tidak hadir kerana masih perlu berihat atas nasihat doktor. Saya pun tidak hadir mesyuarat Dewan pada 7 Feb itu, kerana pada malamnya saya telah hadir mesyuarat Lajnah Tarbiyyah Dewan Ulama Pusat dan pagi Ahad tersebut satu program telah disusun oleh Urusan Ulama Pas kawasan Rompin untuk saya hadir dalam program mereka. Lalu saya meminta Ustaz Najmi ( su. dewan Ulama Pahang) untuk hadir ke Mesyuarat DUM.Pusat.

Sambil membuat persiapan Ijtima Ulama Negeri yang dijadual berlangsung pada 20 Feb, saya juga terpaksa bersiap untuk program Krusus Umrah bagi peserta Umrah Mac yang dianjurkan oleh An-Nuur Travel & Tours. Al-Hamdulillah..walaupun An-Nuur Travel and Tours baru ditubuhkan dan aktivitinya masih baru, namun sambutan agak menggalakkan. Boleh dikatakan setiap bulan dalam jadual Umrah tersebut telah ada peserta yang akan menyertainya. Bermula daripada mac,April,Mei,June,Ramadhan dan Haji.

13 feb..Rombongan "Jelajah Pesantren dan Menjejak Wali Songo" seramai 20 orang berlepas ke Surabaya. Alhamdulillah perjalanan kali ini lebih lancar berbanding sebelumnya. Pengalaman telah banyak mengajar kami untuk mengambil berat perkara-perkara remeh. Program ini walaupun hanya selama 4 hari sahaja, namun berjaya menjadikan peserta rombongan terasa semacam telah lama berkenalan antara satu sama lain. Hubungan ukhuwwah itu kami sambung lagi selepas kembali ke Malaysia.

Kali ini rombongan tidak sempat ke Gunung Muria dimana bersemadinya makam Sunan Muria. Namun banyak tempat juga yang sempat dilawati. Di akhir program, saya memohon berjuta kemaafan kepada semua peserta jika sepanjang program jelajah itu berlangsung terdapat kelemahan dari pihak An-Nuur Travel & Tours. Program siri dua pada Mei nanti akan di pimpin oleh Ustaz Zaini Musthafa..Insyallah.

Kembali dari Surabaya saya terpaksa tumpukan pula kepada Program Ijtima Ulama Negeri. Ustaz Mohd Zain setiausaha DUP.Pusat dijemput membentangkan kertas kerja yang memberikan fokus kepada Wala' dalam berjamaah. Alhamdulillah agak ramai yang hadir termasuk ulama-ulama Pelapis dibawah pimpinan Ustaz Mohd Redho. Walaupun pada hari tersebut berlaku banyak pertembungan program namun kehadhiran cukup membanggakan. Selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyyah DU Negeri saya mengucapkan berbanyak terimakasih atas kerjasama yang diberikan oleh Dewan Ulama dan Badan Perhubungan Negeri sehingga berlangsungnya program ini dengan jayanya. Program susulan ke kawasan-kawasan akan disusun selepas ini. Insyallah.


Umrah Mac sudah semakin hampir.Banyak lagi urusan terpaksa diselesaikan oleh An-Nuur Travel. Di samping itu An-Nuur Mart & Halal Food sedang merancang untuk memasarkan "kopi Nuurcafe" dan program promosi sedang di susun. Dalam waktu yang sama An-Nuur Agro mula beroperasi dengan kemasukan 5000 ekor benih Puyu, sebagai percubaan. Tempahan baju-T muslimah yang dipasarkan oleh An-Nuur Textiles pula semakin mendapat sambutan. Sehingga dalam tempoh yang singkat stok baru terpaksa diambil.Al-Hamdulillah. 26-27 Feb, Ekspo Penerangan Pas Negeri Pahang di adakan di Kerdau. An-Nuur Digital & Publication bersama An-Nuur Mart & Halal Food menempah sebuah gerai untuk mempromosikan barangan edaran mereka.Alhamdulillah..nampaknya gerai kami antara gerai yang mendapat sambutan. Terimakasih kepada semua pelanggan.

Insyallah pada 4.April saya bersama seorang teman akan berangkat ke Australia untuk tinjauan awal program "menjejak masyarakat Islam di bumi Kanggaroo". Jika urusan berjalan dengan baik, maka An-Nuur Travel & Tours akan memperkenalkan 3 pakej baru pada pertengahan dan akhir tahun ini, iaitu "Menjejak Masyarakat Islam di bumi Kanggaroo", Jelajah Bumi Ambia'" dan "Jelajah Eropah".

Bulan ketika dalam tahun 2010 akan menjengguk wajah esok. Alhamdulillah An-Nuur terus bergerak dengan program pendidikannya. Insyallah pada pertengahan Mac nanti pakej baru pendidikan An-Nuur akan dimulakan, iaitu SEKOLAH RENDAH ISLAM AN-NUUR ( SERI-Nuur). An-Nuur merancang akan mula membawa keluar sistem pendidikan ANIS ( An-Nuur Islamic PreSchool) dan SERI-Nuur mulai tahun hadapan. Lokasi-lokasi stratigik sedang dikenal pasti khususnya di sekitar daerah Kuantan. Insyallah.

26 February 2010

Masih ada yang berminat menjadi Badwi..



PILIHLAH MENJADI "UMAR" JANGAN PILIH MENJADI "BADWI".
____________________________

Kebelakangan ini saya dapati banyak jugak blog yang memuatkan atikel mengkritik keputusan badan Displin Pas yang menjatuhkan hukuman kepada YB Khalid dan YB Dato' Hassan Ali. Ada antara atikel-atikel tersebut yang menyerang Badan Displin secara terang-terangan dan ada jugak yang malu-malu mata kepada Dato' Tuan Ibrahim, lalu disindirnya secara samar-samar. Samar-samar pun tetap boleh difahami akan ketidakpuasan hatinya terhadap badan tersebut, terutamanya Dato' Tuan.

Yang menghairankan saya ialah, kebanyakkan yang "tidak puas hati itu" mereka-mereka yang sering bercakap soal Tarbiyyah dan adab berorganisasi. Rupanya memang sukar nak laksanakan tuntutan berorganisasi berbanding bercakap mengenainya. Kebanyakkan mereka memang kaki cakap, pembentang kertas diseminar dan pimpinan parti. Kasihan kepada peserta seminar yang dipanggil datang dari jauh. Meninggalkan urusan harian dan keluarga, semata-mata mahu datang keseminar mendengar pembentang "berbohong" kepada mereka. Dalam seminar peserta diajar oleh pembentang mengenai wala', sikap berjamaah, sami'na wa atho'na, adab-adab berorganisasi, redha dengan keputusan jamaah dan singgkirkan kepentingan diri demi jamaah dan macam-macam lagi. Namun hakikatnya pembentang sendiri tak faham pun mengenai "adab berjamaah".

Yang paling meloyakan tekak ialah setiap kali mereka mengkritik pimpinan secara terbuka, mereka akan selalu mengaitkan kesah "Saidina Umar dan Badwi". Tujuannya untuk membenarkan tindakan mereka yang membelasah pimpinan dikhalayak ramai. Antara akhlak Umar dan Badwi dipilih oleh mereka untuk meniru akhlak "ARAB BADWI". Walhal mereka pimpinan,educated,Doktuurah, dan Profesionalis....takkan mereka gagal mengesan "syahid" kesah tersebut?. atau buat-buat tak faham?. Untuk menghalalkan tindakan tidak beradab itu, mereka tegaskan; kalau dulu Badwi menegur dengan mata pedang, maka sekarang saya menegur dengan "blog". Di sini bukan soal "alat" menegur. Tapi soal "adab menegur". Badwi tetap badwi walau dengan alat apa sekalipun ia menegur.

Sebelum Badan Displin Pas yang dipengerusikan oleh Dato' Tuan Ibrahim mengistiharkan keputusannya, semua orang ada harapan sendiri. Saya pun ada harapan sendiri dan mengharapkan keputusan yang diambil sama dengan apa yang saya harapkan. Namun apabila keputusan sudah diputuskan, kita hendaklah akur dengan keputusan jamaah. Dato' Tuan hanya pengerusi Badan, manakala Badan Displin tersebut dilembagakan dalam Parti. Pemilihan anggota dan pengerusinya dibuat oleh parti. Lalu apa bezanya menghentam Dato' Tuan dengan menghentam Parti?.

Rasulullah saw bersabda: "Apabila pemimpin dikalangan kamu orang-orang yang mulia di kalangan kamu, apabila orang-orang kaya dikalangan kamu adalah orang-orang yang dermawan, dan apabila urusan dikalangan kamu "dimusyawarahkan" dikalangan kamu, maka belakang bumi ( hidup) adalah lebih baik bagi kamu daripada perut bumi ( mati)."

Ada orang bertindak melanggar adab-adab berjamaah kerana ia memang jahil mengenainya, ada yang dirasuk oleh orang lain dan ada yang memang mempunyai team dan agenda sendiri?. Jarang ada orang yang sayangkan parti dan jamaah menghentam pimpinan dan parti sendiri dikhalayak umum. Dimana mereka?

19 February 2010

Dulu dan Kini...dimana kita?



Ada orang berjuang kerana mencari pangkat dan jawatan. Ada orang berjuang kerana mencari pahala dan kebajikan. Ada orang berjuang kerana mencari "CINTA" Rabbnya. Dimanakah kita?.
________________________________

Melihat kepada berbagai kemelut politik dalaman sejak akhir-akhir ini, mengingatkan saya kepada Pas di awal-awal tahun 80an. Kerinduan berputik ditangkai hati,untuk dapat menikmati manisnya liku-liku perjuangan. Rindu rasanya untuk melalui kembali saat manis berusrah. Saat manis berukhuwwah dan makan setalam dalam program Pas. Saat manis bermathurat lewat qiamullail jamaaei yang dianjurkan oleh Pas dimarkaz Pas yang pastinya serba sederhana. Saat manis mendengar rintihan doa-doa pimpinan yang merayu kemenangan untuk Pas,Mujahidin di Afghanistan dan diserata dunia. Saat manis melihat airmata pimpinan dan ahli Pas menitis ketika berlakunya peristiwa Lubuk Merbau dan Memali. Saat manis mendengar pidato pimpinan yang bersemangat menancap keampuhan akidah didada para hadirin. Saat manis melihat ahli-ahli Pas yang datang dari jauh memenuhi kebun-kebun getah dan tanah sawah yang kering untuk berijtima. Saat manis mendengar siri-siri kuliah pimpinan Pas yang menyedarkan hadirin betapa perjuangan ini memerlukan pengorbanan dan kejujuran. Saat manis melihat betapa "tok ayah" yang datang jauh dari kampung pendalaman menghulurkan duit "Samah" ( 50 sen) kedalam kopiah lembik yang dihulurkan kepadanya dalam perlancaran derma kilat Pas. Ketika duit samah yang diambil dari lipatan plastik lusuh yang digulung dalam kilas kain pulikatnya itu dihulur, terpancar keikhlasan yang sungguh dari wajah tua yang tiada yang diharapkan kepada Pas ini selain harapan untuk memacu sebuah perjuangan Islam sehingga keakhirnya. Ketika itu saya berusia pertengahan belasan tahun, dan masih dalam dunia pengajian. Namun kemanisan itu masih melekat kukuh dalam jiwa saya hingga saat ini.

Ketika itu Ahli-ahli Pas cukup puas dengan keyakinannya, walaupun jumlah mereka tidak ramai disesebuah kampung. Bahkan hak-hak mereka sering dinafikan oleh Tok Pengawa,Tok Penghulu dan JKK Umno. Namun mereka cukup istiqamah dengan apa yang pimpinan dan ulama ajar kepada mereka. Sifat "Sami' Na wa Atho' Na" benar-benar muncul dalam amalan mereka. Mereka patuh dan taat kepada pimpinan bukan kerana mereka "orang bodoh" yang tiada idea dan wawasan. Tapi oleh kerana tebalnya rasa hormat mereka kepada pimpinan, dan fahamnya mereka tentang adab-adab berjamaah maka segala rasa tidak puas hati itu mereka luahkan secara sangat tertib melalui saluran yang telah ditetapkan oleh Islam. Wala' mereka kepada jamaah dan pimpinan sangat tinggi. Mereka akur dengan pandangan jamaah bukan kerana mereka orang-orang dungu yang hanya layak jadi "Pak Turut", tetapi dek berkesannya asuhan yang mereka perolehi dari usrah-usrah Pas dan kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh pimpinan kepada mereka, maka mereka tahu membezakan antara "tidak puas hati" dengan "keputusan jamaah". Walaupun ilmu dan asuhan itu mereka perolehi dari usrah-usrah kekampungan dan ceramah-ceramah dalam kebun-kebun getah, namun kerana ikhlasnya mereka, Allah berikan mereka sifat tawadhu' yang sangat mulia dan persaudaraan islam yang sungguh manis.

Keadaan itu telah beransur pergi meninggalkan kita. Watak-watak baru telah muncul. Samaada kerana mereka tidak pernah berada dalam usrah-usrah Pas atau kerana telah ada orang lain yang "merasuk" akhlak mereka sehingga muncul suara-suara "histiria" yang merobek adab terhadap pimpinan. Sifat "biadap" dengan apa alasan sekalipun tidak pernah diterima oleh Islam sebagai budaya yang mulia. Yang menghairankan ialah munculnya watak-watak angkuh itu saat Pas telah dipenuhi oleh orang-orang "hebat" yang "educated". Dimana letaknya nilai-nilai educated itu?. Ilmu tiada nilai jika tidak disertai adab. Atas nama "hak bersuara", maka jamaah dan pimpinan dikritik dimana-mana Kononnya kerana kita hidup di era informasi. Apakah era informasi itu bermakna era "tanpa syariat"? era tanpa "adab"? era berjamaah tanpa "wala"?. Apakah kerana merasa "gah" bilama sering dijemput kestudio untuk berwacana maka kesopanan dan adab berjamaah tidak perlu diutamakan lagi?. Sayang..bilamana manusia berpelajaran dalam dunia informasi ini rela dijadikan "peluru" untuk musuh menembak pimpinan dan jamaahnya sendiri. Orang-orang kampung Memali dipendalaman Baling sangup di "tembak" kerana mempertahankan pimpinan dan tokguru mereka. Tapi kita yang berpelajaran yang berseminar di dewan-dewan berhawa dingin pula menjadi "penembak" pimpinan dan tokguru sendiri. Sesungguhnya menjadi orang jahil yang mulia lebih baik dari menjadi orang berilmu yang hina.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah. Marilah kita kembalikan kemanisan perjuangan ini dengan akidah,akhlak,ukuwwah, adab dan wala' yang sejahtera terhadap jamaah dan pimpinan. Ada orang berjuang kerana mahukan pangkat dan kedudukan, ada orang berjuang kerana mencari pahala dan kebajikan dan ada orang yang berjuang kerana mencari "cinta" Rabbnya. Di manakah kita?.

08 February 2010

Bila Dedalu kian membesar


KETERBUKAAN PAS JANGAN DISALAH ERTI DAN DIKHIANATI.

_________________

Pas telah membuktikan ruh dan jiwanya adalah ruh dan jiwa Islam. Jelas Islam bukan hanya tercatat sebagai perlembagaan Pas dan cita-cita perjuangan Pas. Pas bertahan dengan prinsip islamnya walaupun terpaksa menghadapi kekalahan dalam banyak siri pilihanraya sebelum ini. Pas bukan tidak berselera untuk menang dan memegang tanpuk kuasa dalam negara ini, tapi bagi Pas apalah ertinya kuasa jika Islam tidak dapat didaulatkan.

Politik hanya satu juzuk daripada tuntutan perjuangan yang ada dalam kerangka perjuangan Pas. Perinsip ini terus menjiwai perjalanan Pas melangkah berbagai era. Hatta dalam era "Informasi" yang dibanggakan ini pun Pas masih dengan perinsipnya. Era 80an menyaksikan Pas kembali berada di bawah kepimpinan Ulama. Dewan Pemuda ketika itu telah memberikan sumbangan yang cukup besar. Atas desakan mereka melalui muktamar pemuda, telah membentuk satu perubahan besar landskap perjuangan Pas. Masyarakat umum mula menyaksikan sayap perjuangan Pas mula menyentuh soal-soal Gerakan dan penghayatan Islam yang syumul. Tidak lagi hanya berkisar kepada soal-soal politik semata-mata. Ceramah-ceramah Pimpinan Pas yang menekankan aspek Akidah telah meniupkan kesedaran kepada masyarakat umum bahawa Pas benar-benar serius dan bersungguh-sungguh mengembalikan ummah kepada dasar-dasar Islam yang menyeluruh.

Dimana-mana kuliah ulama-ulama Pas dipenuhi hadirin. Peristiwa Memali dan cengkaman ISA tidak berjaya melemahkan semangat ahli-ahli Pas, bahkan mereka semakin yakin dengan perjuangan yang dipandu oleh Pas. Tindakan jahat kerajaan Umno semakin menampilkan wajah "Thoghut" mereka pada mata ahli Pas dan Masyarakat umum. Pas terus menapak. Kesenian pimpinan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor diadun dengan Pidato bersemangat Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan Kelembutan sentuhan kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta Kebernasan Pidato Abang Mad ( Mohd Sabu) telah menarik ramai orang untuk mengenali dan seterusnya menyertai Pas. Seiring dengan itu, gerakan-gerakan pelajar mula tumbuh dimana-mana dengan semangat "perjuangan Islam".

Disamping menghadapi kejahatan BN khususnya UMNO, Pas juga terpaksa bertarung dengan kumpulan-kumpulan Islam yang lain. Ada antara mereka secara terang-terangan menzahirkan mereka Pro Umno dan ada yang menamakan mereka jamaah Islam tetapi bertindak menyerang Pas. Pas dianggap tidak syumul dalam perjuangannya. Pas bergerak secara tidak sistematik, Pas masih tradisional dan tidak mampu menjuari zaman. Pas tidak syarie,kerana mengambil pendekatan Demokrasi. Sedikit sebanyak suara-suara itu menganggu perjalanan Pas, khususnya pelajar-pelajar yang mula berjinak-jinak dengan Pas di Pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Hingga berlaku rebut merebut ahli Usrah. Penampilan "elit" jamaah tersebut berjaya mencuri anak-anak usrah Pas yang seketika terlupa erti "berjamaah dan wala".

Dengan kehendak Allah..Pas berjaya membentuk kerajaan di Kelantan selepas Pilihanraya 1990. Sejak itu Pas terpaksa memperluaskan tingkapnya ( bukan hanya pintu dibuka) kerana menyambut "tetamu" yang datang dari segenap lapisan masyarakat. Parti yang dahulunya dilihat kolot dan tradisional mula dipuji dan didampingi. Benarlah kata seorang ulama; "tawanlah kerusi nescaya engkau akan lebih berjaya menawan hati". Alhamdulillah..akhirnya mereka-mereka yang sebelum itu agak geligeleman untuk berdampingan dengan Pas, kerana dilihatnya Pas hanya parti pak-pak lebai yang tidak punya wawasan,akhirnya dapat makan setalam. Kumpulan elit yang gagal membentuk "jamaah Islam elit" akhirnya terpaksa bertenggek di dahan Pas. Ramai antara mereka yang telah insaf bahawa jamaah Islam mestilah syumul sebagaimana Islam itu sendiri adalah agama yang syumul.

Namun malangnya..ada antara mereka masih tidak senang berketuakan sesetengah pimpinan Pas. Lalu dibentuknya Komuniti sendiri diatas "dahan Pas". Sesekali dilihat dari jauh mereka seperti sebahagian dari dedaun yang merimbun diatas pohon Pas. Namun bila diamat-amati rimbunan itu rupanya DEDALU yang sedang bertenggek dicelah dahan. Mereka ada ketua sendiri yang lebih mereka wala'. Mereka ada mesyuarat sendiri yang lebih mereka taati. Mereka ada wawasan sendiri yang sesekali dilontar dan jelas bertentangan dengan wawasan Pas. Justeru itu mereka tidak hairan dengan pimpinan Pas. Justeru itu tiada lagi adab dan hormat kepada pimpinan Pas. Kini rimbunan Dedalu itu semakin membesar. Benih-benih kecil mula bertenggek disetiap dahan. Percaturan disusun dengan rapi ...Tahniah kepada yang ikhlas bersama dengan Pas dan Awaslah kepada yang berniat khianat. Keterbukaan Pas bukan untuk dikhianati.Waspadalah sentiasa agar jamaah ini terpelihara daripada pengkhianatan.