21 May 2009

Mengapa kecewa jika tidak dipikulkan bebanan amanah?

Sekembali dari Surabaya dalam lawatan Jelajah baru-baru ini, saya bercadang menyambung tulisan berkaitan dengan "musim mu'tamar pemilihan", tetapi kerana diburu masa maka kesempatan itu tidak menjelma jua sehinggalah selesainya musim muktamar pas kawasan-kawasan dan dewan-dewan. Walaubagaimana pun saya bersyukur kepada Ilahi kerana hari-hari yang dilalui penuh dengan nikmat dan pengajaran daripadaNya. Sekurang-kurangnya apabila kita disibukkan dengan aktiviti-aktiviti islami, maka ruang untuk kita hanyut dan lalai agak sempit.

Lawatan ke Surabaya dalam program "Jelajah Pesantren" berjalan dengan jayanya. Walaupun terdapat beberapa kelemahan teknikal dari sudut jadual perjalanan dan lawatan, namun rata-rata dikalangan kami merasa puas. Di Pesantren langitan, rombongan dapat menghayati kehidupannya yang sebenar. Kehidupan santri yang bergelumang dengan kitab-kitab dan ibadah. Lawatan kali ini adalah kunjungan keempat saya kesini. Gembira hati melihat putera yang dititipkan dibawah bimbingan murabbi yang rabbani dapat belajar dengan baik. Kerana titisan ilmu yang Rabbaniyyah sahaja yang dapat menghilangkan kedahagaan rohani setiap manusia. Pencarian dan perjalanan 'Ibad tidak akan kunjung henti sehinggalah menemui erti ma'rifah yang sejati.

Kembali dari program Jelajah Surabaya, keluarga saya sibuk pulak dengan acara walimah anak perempuan Abang saya yang ke tiga. Kebetulan sudah agak lama tidak pulang ke kampung, maka acara walimah ini memberikan alasan yang kukuh untuk saya dan keluarga pulang kekampung. Walimah keluarga kami kali ini agak istimewa kerana antara tetamu kami ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Presiden Pas, Sdr Mazlan Aliman dan pimpinan Pas Negeri dan Kawasan. Kehadiran Tuan Guru Presiden selaku Bapa Saudara kepada pengantin lelaki telah memberi ruang kepada hadirin bersalaman dan bersua wajah dengan ulama tersohor ini. Malamnya Tuan Guru menyampaikan ceramah di Markas Darul Ihhwan Mengkarak. Saya cuma menyampaikan ucapan alu-aluan bagi pihak perhubungan Negeri atas kehadiran Tuan Guru Presiden.
Keesokannya berlangsung muktamar Dewan Ulama Pas Negeri Pahang. Saya telah dicalunkan untuk bertanding jawatan ketua Dewan Ulama bersama penyandang jawatan Ustaz Abu Kassim Manaf. Dalam pertandingan ini saya kalah dan terus dicalunkan untuk jawatan Timbalan Ketua tanpa pertandingan. Jawatan Naib disandang oleh sahabat saya Ustaz Nafiri juga tanpa pertandingan. Jawatan Ahli Jawatankuasa dibarisi oleh ramai muka-muka baru dikalangan ulama muda (Alhamdulillah). Diharapkan dengan kehadiran mereka Dewan Ulama akan lebih agresif dalam gerakan dakwah dan ilmunya.
Selesai muktamar saya dan ustaz Rosli Jabbar telah dijemput menjadi panel Forum di Darul Izzah Temerloh. Alhamdulillah, ramai jugak hadirin. Mudah-mudahan hasrat pentadbir Darul Izzah yang mahukan suasana di Darul Izzah menjadi "Imarah ilmu dan Tarbiyyah" akan dimakbulkan Allah.

Hari-hari kebelakangan ini saya kembali sibuk untuk persiapan umrah siri 2 pada 2 june nanti. Nampaknya buat pertama kali saya terlepas muktamar Pas Pusat. Diharapkan kepada perwakilan Dewan Ulama Pahang dapat menyuntik idea-idea baru yang membina jamaah dalam muktamar nanti.


Keterangan Gambar:
________________
1. Gambar atas kanan: Makan bersama Tuan Guru di Majlis Walimah anak abang di Felda Purun.
2. Gambar atas kiri: Bersama Kiai Hj Abdullah Faqih Pengasuh Pesantren Langitan.
3. Gambar atas kanan: Anak saya yang belajar dipesantren langitan (Hasyimi Rafsanjani)
4. Gambar tengah kiri: Tuan Guru akan berangkat pulang
5. Gambar tengah kanan: Program di Darul Ikhwan Menggkarak (PAS kawasan Bera)
6.Gambar bawah kiri: Mesyuarat agung Dewan Ulama Pas Pahang.

06 May 2009

Tulisan Ustaz Nik Abduh,Gempar tapi bermanfaat


Sehari dua ini saya cuba tinjau banyak blog sahabat-sahabat sejamaah. Samaada Pimpinan Pusat,Ulama, Pemuda, Muslimat, pimpinan negeri, kawasan dan bloger-bloger pas yang sempat saya ziarahi. Saya cuba lihat apa riaksi mereka terhadap tulisan berani Ustaz Nik Abduh tenpoh hari. Di samping itu saya cuba memahami tulisan-tulisan mereka seupaya mungkin. Sekelumit pengalaman selama 23 tahun dalam Pas saya jadikan sebahagian daripada keupayaan itu. Memahami manusia adalah suatu yang sangat sukar, khususnya apabila manusia tersebut tidak dimujahadahkan dengan jiwa rohani yang sebenar. Maka seringkali lah ucapan atau tulisan mereka berlainan dari apa yang mereka "sedang usahakan". Benar kata seorang ahli tassauf, "waspadalah dengan manusia. Sehodoh-hodoh binatang, wajahnya tetap sama sejak mula kita melihatnya. Tetapi seindah-indah manusia, wajahnya sering berubah-ubah".

Jika kita amat-amati tulisan dari blog ke blog. Khususnya dimusim "tahun pemilihan". Berbagai wajah dapat kita saksikan. Ada sesetengahnya secara mendadak menjadi wara'. Tetapi dicelah-celah kewarakan itu tetap ada unsur-unsur lobi yang agak ketara. Atau paling kurang ucapan yang bersifat mempertahankan diri selepas selesai melakukan kerja-kerja yang tersembunyi. Ada pula yang terang-terang melobi diri sendiri. Cumanya dengan cara yang agak segan-segan. Di copynya tulisan orang lain yang melobi dirinya lalu di pastekan kat blognya sendiri. Ini pun termasuk kerja-kerja kelakar jugak yang menghiasi pentas tahun pemilihan.

Sesetengahnya pula sangat bijak bermain "catur" ( pinjam perkataan seorang bloger). Dicaturnya semua orang disemua peringkat pemilihan. Sehingga dapat kita lihat "king" pun nak dicaturkannya. Kalau King boleh dicaturnya maka mudah sangat lah ia mencaturkan "kuda" dan bidak-bidak yang lain. "Castle" dijadikan benteng terakhir untuk berlindung diri jika ada orang yang menyedari kerja-kerja mencatur itu. Maka Castle akan memberi peringatan kepada ahli umum, "waspadalah menjaga hati, jangan bersangka buruk kepada sesama kita". Saya tidak menuduh semua ucapan seumpama itu adalah bertujuan meredakan suasana atau melindungi seseorang. Kerana ada orang yang memberi peringatan sebegitu benar-benar lahir dari keikhlasan lubuk hati mereka.

Dapat kita lihat semua ini dengan jelas jika kita ikuti tulisan dan tindakan sesetengah mereka dengan tersusun. Ada orang yang sesekali nampak macam mahu lonjakkan temannya keatas, supaya berjaya menduduki posisi yang lebih sesuai dengan tarafnya. Lalu diajak lah ahli umum bersama dengan "hasrat ikhlasnya" itu. Namun dalam masa yang sama diidamkannya kerusi yang bakal dikosongkan oleh temannya. "Anta kena bertanding lawan "orang ini" kerana dia bukan orang kita". "Anta kena pertahankan jawatan anta, jangan tarik diri, kerana kalau orang dia yang duduk disini susah kita nanti".

Pendedahan yang dibuat oleh Ustaz Nik Abduh mungkin agak mengemparkan dan tindakan yang kurang POPULAR bagi sesetengah orang. Namun apakah kita perlu membiarkan keadaan yang tidak betul berlaku dalam jamaah hanya sekadar mahu menjaga populariti diri sendiri?. Umum ahli Pas, juga diri saya, sudah lama menyedari adanya usaha-usaha menyemai bibit permusuhan antara Ulama dan Profesional serta seorang pimpinan dengan pimpinan yang lain. Namun oleh kerana "kita hanya ahli biasa", siapalah yang akan mengambil perhatian terhadap apa yang kita bangkitkan. Paling-paling tidak kita akan dianggap mudah "bersangka buruk" kepada sesama jamaah. Mahu tak mahu kita terpaksa tunggu kalau-kalau ada dikalangan pimpinan atasan yang tidak "mementingkan populariti" yang akan bersuara mengenainya. Suara amaran adanya jamaah dalam jamaah telah kerap kali disuarakan dimana-mana. Saya sendiri pernah menyentuh perkara ini dalam Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Ipoh dahulu. Namun seperti yang saya katakan tadi "siapa lah kita". Jamaah dalam jamaah tetap bergerak subur dalam Pas. Untuk menyelamatkan Pas daripada landaan kerja-kerja tersusun ini kita memerlukan mereka-mereka yang berani dan tidak mementingkan "populariti". Jamaah dalam jamaah inilah yang mengerat akar-akar wala ahli kepada pimpinan. Jamaah dalam jamaah inilah yang akan mengheret Pas kepada porak puranda dan kacau bilau.

Malangnya apabila kita suarakan perkara ini, ada yang cuba mengalih pemahaman dan perhatian umum ahli Pas. Kononya kita tidak menerima hadirnya bekas ahli jamaah-jamaah lain atau NGO kedalam Pas. Kononnya kita "jumud" dengan Pas. Sedangkan kita telah mengwar-warkan "Pas For All". Tiba-tiba kita tidak boleh menerima kehadiran orang lain yang tentunya membawa manfaat kepada Pas. Saya tidak tahu, tulisan dan anggapan begitu dilontarkan samaada mereka tidak faham dengan maksud "jamaah dalam jamaah" atau sengaja buat-buat tidak faham apa yang sedang berlaku dalam jamaah.

Sudah acap kali kita suarakan. "Pas For All" bukan selogan yang menghalalkan mana-mana orang masuk Pas dan kemudian membina jamaah mereka sendiri dalam Pas. Kita terima keujudan jamaah-jamaah atau NGO-NGO lain diluar Pas. Namun untuk membentuk team mereka dalam jamaah ini sehingga wala' sebenar mereka bukan kepada Pas adalah usaha yang telah kita lihat sebelum ini menghancurkan Pas. Apakah kita mahu disengat berkali-kali dalam satu lubang?. Mereka yang belum pernah disengat mungkin tak kesah perkara-perkara seperti ini. Sebab itu Ustaz Nik Abduh bertindak "menyengat", kerana sudah tidak tahan disengat. Apatah lahi operasi menyengat itu berlaku dihadapan beliau sendiri.

Tahun ini kembali semuala berkumandang perkataan "Ulama dan Profesional". Seolah-olah payah sangat untuk ulama menerima golongan Profesional dan seolah-olah degil benar golongan Profesional untuk menerima kepimpinan ulama". Saya bimbang issue ini hanya dihangatkan oleh manusia tertentu dalam jamaah, yang mempunyai agenda menghancurkan Pas daripada dalam. Apabila Pas sudah lemah maka akan memberi peluang mereka menguasai posisi penting dalam Pas. Jangan biarkan "syaitan hitam" menyelitkan diri ditengah-tengah saf kita. Sedangkan selama ini kedua-dua golongan tersebut berjaya menyuntik tenaga kepada perjuangan Pas. Kita dapat lihat Ulama-ulama tekun menyertai program yang dikendalikan oleh pimpinan dari kalangan profesional. Ulama sertai seminar kepimpinan dan pengurusan. Ulama sertai Seminar gerakkerja pilihan raya. Ulama sertai kursus pengurusan IT dan macam-macam lagi. Disamping itu kita juga pernah melihat pimpinan dari kalangan profesional bersimpuh dalam majlis ulama, menadah kitab... semuanya okey jika masing-masing tawaddhu dan tidak dikacau oleh "syaitan hitam". Golongan ulama sudah acap kali memberitahu bahawa "kepimpinan ulama" tidak bemberi makna keseluruhan barisan kepimpinan pas itu mesti semuanya ulama". Kepimpinan Ulama ialah kepimpinan yang diterajui oleh Ulama danbarisan kepimpinan yang berfikrah ulama walaupun mereka bukan ulama. Sebenarnya tidak susah untuk faham. Tapi yang susahnya wajah manusia itu berbagai-bagai dan hati pula mempunyai keinginan yang sering berubah-ubah.

Sebelum saya berundur, sekali lagi saya menyeru kita semua berani memperkatakan kebenaran walaupun dengan itu kita tidak popular bagi sesetengah orang. Orang yang sebenar-benarnya popular ialah orang yang namanya disebut dilangit dalam himpunan para Malaikat Allah swt.


Al-Faqir.

03 May 2009

Akhirnya kerinduan itu terubat jua ( siri 2)

"Wahai Tuhan..Langit itu langitMu, Bumi itu bumiMu...apa yang ada antara keduanya juga adalah milikMu..kembalikan lah anak ku."
___________________________


Pagi 12 haribulan April, cuaca tanah haram Makkah seperti biasa cerah dan agak panas. Namun henbusan anginnya masih biasa-biasa sahaja, tidak seperti hembusan angin dimusim panas. Waktu sudah merangkak ke angka 9 malam. Dua orang anggota jamaah yang datang bersama kami dari kuantan sudah melelapkan mata mereka. Begitu juga dengan anak saya Muhammad Irfan. Mereka keletihan barangkali, kerana siang tadi kami terpaksa menunaikan umrah ditengah-tengah banjiran jamaah yang semakin bertambah, berbanding beberapa hari yang terdahulu. Dibawah sana, masih riuh dengan bunyi hon kenderaan dan suara peniaga memanggil pelanggan ke kedai mereka. Saya cuba lelapkan mata, namun agak sukar saya memaksanya. Walaupun saya juga keletihan ditambah pula sakit tumit yang agak kerap saya hidapi ditanahair kembali terasa, disebabkan terlalu banyak berjalan.


Saya menatap jam yang sudahpun menunjukkan pukul 10.30 malam ( waktu Makkah). Akhirnya saya buat keputusan cuba melelapkan mata. Sebelum itu saya menatap jam waktu malaysia di talifon saya. jam menunjukkan pukul 3.30 pagi waktu malaysia. Belum pun sempat saya menarik selimut, tiaba-tiba satu message masuk ketalifon saya. Butang in-box saya buka."Along hilang lagi"..tertera satu message dari isteri saya. Segera dada saya berdebar. Sudah berbulan lamanya anak sulung saya itu selamat dari sebarang gangguan. Sebelum ini sudah beberapa kali gangguan itu berlaku. Yang hairannya gangguan itu berlaku bila saya tiada dirumah dalam jangka waktu yang agak lama. Sudah banyak kali dibawa berubat, namun gangguan itu tetap juga berlaku. Biasanya bila anak saya itu hilang, jiran-jiran, pelajar dan guru-guru An-Nuur akan segera mencarinya. Menjelang subuh, biasanya akan ditemui ia terbaring dimana-mana. Di tepi paya berhampiran pantai, dalam lopak kubang kerbau atau tertiarap dalam kolam dekat perdu palas dekat dengan semak samun jalan ke kuala. Gangguan itu tidak menyebabkan dia agrisif atau meraung tak tentu pasal. Dia hanya senyap, letih dan tidak bermaya serta pingsan. Ke hospital pun telah saya bawa, namun pihak hospital tidak dapat mengesan apa-apa. Ikhtiar saya hanyalah solah hajat, berdoa dan membenteng keluarga saya dengan amalan-amalan yang ma'thur.


Kali ini Along hilang lagi. Saya ubati debaran saya dengan berbisik jauh didalam nurani; "Insyallah menjelang subuh akan ditemuilah along sebagaimana sebelum ini". Jam menunjukkan angka 2 pagi waktu Makkah. Ini bermakna di Malaysia telah pun jam 7 pagi. Saya hantar message bertanyakan along kepada isteri saya. Namun message balasnya, along belum ditemui. Saya sms kepada Azmil, pekerja Am dan Pemandu sekolah kami, namun jawapan Azmil sama dengan jawapan isteri saya, Along belum ditemui. Jam 8 pagi waktu malaysia, anak saya masih belum ditemui. Debar saya semakin mendesak dada, kerana belum pernah anak saya belum ditemui melampaui jam 7 pagi.

Di kampung keluarga Isteri saya mula datang menziarahi rumah saya. Bapa mentua saya yang tinggal dirumah saya kerana menemani isteri yang masih dalam pantang turut menyertai kumpulan mencari. Tiada alur sungai yang tidak dijenguk. Tiada lopak air atau kubang kerbau yang tidak ditinjau, samaada oleh guru-guru atau pelajar atau orang-orang kampung.

Apabila jam 9 pagi anak saya masih belum ditemui, saya mengarahkan mereka membuat lapuran polis. Manakala saya di Tanah Haram Makkah mengambil keputusan merayu kepada Allah dihadapan pintu BaitNya. Jam menunjukkan angka 4 pagi waktu Makkah. Azan pertama telah pun dikemundangkan bergema dipuncak menara Masjid yang berdiri hebat. Perlahan-lahan saya melangkah menuruni tangga hotel penginapan saya dan terus menapak ke Masjidil Haram.

Tanpa menghiraukan tetamu Allah yang lain, saya terus menuju penjuru Hajarul Aswad. Dinihari itu saya tawaf dengan penuh khusu'. Saya merayu kepada Allah, agar mengembalikan anak saya yang hilang. Saya mohon agar ia diselamatkan Allah daripada gangguan Jin dan Syaitan, juga dari manusia yang mempunyai sifat hasad. Dalam ombak manusia yang berzikir dan berdoa kepada Allah itu, tiba-tiba saya teringat kepada sebuah kesah yang pernah saya baca dalam kitab " Tazkiratul Aulia". Di dalam kitab tersebut mengesahkan seorang perempuan tua datang kepada seorang wali Allah yang bernama Ma'ruuf Al-Kharkhi. Ketika itu Ma'ruuf sedang berzikir kepada Allah. Selepas memberi salam kepada Maruuf, lantas wanita tersebut meminta tolong Ma'ruuf agar berdoa kepada Allah mudah-mudahan anak lelakinya yang hilang dikembalikan oleh Allah. Selepas mendengar permintaan ibu tua yang dhoif itu, Maruuf lantas menadah tangannya kepada Allah dengan doanya; "Wahai Tuhan, Langit itu langitMu. Bumi itu bumi-Mu. Dan apa yang ada antara keduanya juga adalah milik-Mu..kembalikanlah ia wahai Tuhan....". Seketika itu juga tiba-tiba muncul anak lelaki perempuan tersebut. Mengingati itu saya terus mengulangi doa Maruuf Al-Kharkhi setiap keliling tawaf saya.

Selesai Tawaf, saya berdiri betul-betul dihadapan pintu BaituLlah. Kepada Allah saya merayu, merintih dan memohon kasihan belasnya. Azan subuh bergema memenuhi setiap ruang Masjidil Haram. Semua jamaah bergegas mengambil tempat dan saf masing-masing, kecuali jamaah yang sedang tawaf mengelilingi BaituLlah.

Selesai solah subuh, saya terus tawaf dan tawaf. Penat Tawaf saya akan berdiri seketika dalam saf yang betul-betul membetuli pintu Baitullah. Di Malaysia, jam 2 petang, anak saya masih belum ditemui. Manakala pihak polis belum bertindak apa-apa kerana kononnya tempoh hilang belum genap 24 jam. Dengan itu pihak polis tidak boleh berbuat apa-apa sebelum tempoh tersebut. Selesai solah zohor sekali lagi saya tawaf dalam panas terik matahari Makkah. Kepada Allah saya berbisik; Ya Allah, aku datang kerumah Mu mencari anak ku yang hilang..apa pun Qada' Mu aku redha Ya Allah... Selesai Tawaf saya terus mencari ruang yang teduh untuk berdoa dan berzikir. Tidak banyak ruang kosong yang ada dalam waktu sebegitu. Selepas agak lama mencari ruang yang agak lengang, tiba-tiba mata saya tertumpu kepada satu sudut yang agak tersisih dari lorong para jamaah lalu lalang. Saya terus menuju kearah sudut itu. Seorang lelaki Arab yang sedang baring menarik sedikit kakinya untuk memberi ruang kepada saya solah disisinya. Selesai solah hajat saya terus membaca surah Ar-Rahman dan seterusnya Surah Al-Waqiah. Setelah melihat saya selesai berdoa, laki-laki Arab dalam lingkungan usia 60 tahun itu memberi salam kepada saya sambil menghulurkan tangannya.

Malizy? soalnya. Saya angguk bagi menampakkan kemesraan dengannya. Pertanyaannya itu telah membuka pintu perbualan kami. Selepas berbual banyak perkara yang berkisar disekitar soal-soal ilmu dan ummah, tiba-tiba laki-laki itu berkata kepada saya; Saya lihat anta macam ada masaalah. betul tak? Pertanyaannya itu agak memeranjatkan saya, kerana tidak saya sangka kegusaran yang bergelora dalam hati saya rupanya dapat dikesan oleh lelaki tersebut. Kerana tidak mampu menyembunyikan kebenaran telahannya itu, lantas saya angguk sahaja. Apa masaalahnya ? tanya beliau semakin jauh. Tanpa ada banyak pilihan lantas saya ceritakan segala-galanya kepada lelaki Arab itu. Selepas menceritakan kesedihan yang sedang saya hadapi kepada lelaki itu, tiba-tiba nun jauh di dasar hati, saya mula rasa bersalah kepada Allah. Seolah-olah tidak memada mengadu kepada Allah, sehingga saya perlu mengadu kepada seseorang selain Allah. Lantas segera saya bangun menunaikan solah taubat atas kesalahan saya itu.

Bila selesai solah dan berdoa..saya tunduk seketika. Akhi...kata laki-laki tersebut sambil menepuk peha saya. Anta minta pelajar-pelajar anta solah hajat di satu kawasan yang lapang. Rakaat pertama selepas Fatihah baca Wadduha 11 kali dan selepas fatihah pada rakaat kedua baca Izaaja 11 kali. Insyallah dengan izin Allah bacaan Waddhuha akan menyingkap hijab syaitan yang menyembunyi anak anta. Saya tatap mata lelaki itu. Saya hulurkan tangan berjabat salam dengannya tanda terima kasih saya atas simpatinya. Selepas meminta izin kepadanya, saya segera bangun menunaikan solah hajat mengikut kaifiat yang dikatakannya. Selepas solah saya dapati lelaki itu yang tadinya berbaring dibahagian belakang kiri saya, tiba-tiba telah tiada. Segera saya raba Handphone dalam bag sandang saya dan menghantar message kepada ustaz Soleh agar meminta pelajar menunaikan solah hajat di dataran di hadapan masjid sekolah saya. Saya sms kan sama kaifiat yang disebut oleh lelaki tadi.

Sedang saya menunggu masuknya waktu Asar juga sambil menunggu lelaki tadi yang saya ramal mungkin keluar untuk mengambil wudhu dan kemudian akan kembali semula kesudut tersebut. Tepat jam 3 petang waktu Makkah dan Jam 8 malam waktu Malaysia, tiba-tiba satu message masuk ke in-box handset saya. Segera saya buka. "Along telah ditemui...begitulah message yang sangat mengembirakan saya dan segera saya bersyukur kepada Allah. Kepada Allah saya berjanji ( bernazar) akan saya berikan seekor kambing untuk pelajar-pelajar melayu di Bukit Ajyad. Hingga Maghrib saya masih disitu kerana menunggu lelaki arab tadi. Namun saya tidak lagi menemui beliau sehinggalah saya meninggalkan Tanah Haram Makkah.

Ya Allah..Betapa Banyaknya nikmat dan pertolonganMu kepada ku, Namun betapa sedikitnya Syukur ku kepada-Mu.

( bersambung siri 3)