29 September 2008

Rahmat sebuah "pertemuan".

Hari ini 28 Ramadhan.Pagi semalam ana mengakhiri "program Ramadhan" disekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Petangnya ana singgah di Temerloh untuk mengikuti program Dewan Ulama Negeri di Taman Tinah Temerloh. Al-Hamdulillah, sempat juga bertemu teman-teman lama dari Temerloh. Walaupun satu jamaah, tapi kerana masing-masing sibuk dengan program jamaah yang sering membatasi pertemuan, maka pertemuan sangat memberi makna bagi sebuah persahabatan. Sebab itu bila kawan-kawan tanya, apa yang paling seronok bila menghadiri muktamar selain kewajipan parti, ana akan selalu jawab "kesempatan bertemu dengan sahabat-sahabat lama dari seluruh negara" sangat indah dan manis. Justeru itu sejak 1985, ana tidak pernah tidakk hadir muktamar, samaada dipilih menjadi perwakilan atau tidak. Persaudaraan adalah "rahmat". Maka pertemuan adalah nikmat yang sangat sukar diungkapkan.

Malam tadi ana sempat bertemu Cikgu Majid. kini beliau adalah "setiausaha Perhubungan" Pas Negeri Pahang. Persahabatn kami telah bermula sejak hampir 20 tahun yang lalu. 1989 ana dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda (DPP) Pas Kawasan Temerloh mengantikan beliau. Manakala beliau pula dilantik sebagai Setiausaha Kawasan. Sejak itu hubungan kami agak rapat, lebih-lebih lagi bila ana pindah ke Rumah Dewan Ulama Negeri di Sungai Gau, berhampiran dengan rumah beliau dan YDP Kawasan Allahyarham Ustaz Ishak Abdullah. Cikgu Majid banyak memberikan panduan dan pandangan kepada ana untuk memimpin DPP Kawasan. Sikap "Friendly" beliau menyebabkan hubungan kami mesra hingga kini. Banyak hal yang kami bincangkan bersama, termasukkah penubuhan sekolah di Sungai Gau. Kemudian kami lanjutkan perbincangan itu bersama Tuan Guru Haji Mohd Baqi selaku Ketua Dewan Ulama' . Ana dan Cikgu Majid antara Ahli Lembaga Pengarah Sekolah Gau yang pertama, yang kemudiannya dinamakan As-Sa'adatud Daaraini sebelum di tukar nama kepada Sek Men Ar-Raasyidin. Banyak juga pahit maung yang kami lalui bersama sebelum seekolah itu ujud menjadi kenyataan.

Malam itu ana diminta oleh Dewan Ulama menyampaikan ceramah bergandingan dengan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (Dato'). Beliau adalah Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang. Perkenalan ana dengan beliau bermula tahun 1992. Waktu itu beliau masih sebagai pensyarah di ITM Kuantan. Manakala ana pula dilantik sebagai Ketua Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda Negeri (DPP waktu itu dipimpin oleh Cikgu Raja Ismail Raja Shahdan). Waktu itu nama beliau telah disebut-sebut sekitar Kuantan sebagai penceramah yang baik dan rapat dengan Tengku Mahkota Pahang. Dalam suatu mesyuarat DPP Negeri di Temerloh ana suarakan hasrat untuk menjemput Ustaz Tuan Ibrahim dan Ustaz Nik Radhi (sepupu Ustaz Tuan, juga sebagai pensyarah ITM Kuantan) menyertai Lajnah Tarbiyyah DPP Negeri. Ramai jugak anggota DPP Negeri yang membantah hasrat ana itu. Alasan mereka Ustaz Tuan belum jelas Pas atau tak. Ustaz Tuan rapat sangat dengan Istana serta macam-macam lagi. Ada jugak ajk DPP yang membantah secara ekstrim. Namun bila ana dapat persetujuan Ketua DPP (Cikgu Raja), ana teruskan juga hasrat itu. Ana tak ingat, ana jemput mereka berdua secara bersurat atau lisan. Tapi yang jelasnya mereka berdua bersetuju berada di dalam Lajnah Tarbiyyah DPP dan menguatkan kerja-kerja tarbiyyah. Kemudiannya apabila Cikgu Raja melepaskan jawatannya dan ana pun turut berbuat demikian kerana pada tahun itu ana terpaksa menumpukan banyak masa kepada Pondok An-Nuur yang baru dibangunkan serta ana pula telah dipilih sebagai YDP Kawasan Paya Besar (Kawasan yang baru selepas persempadanan baru). Sejak itu kami agak kurang bertemu. Sehinggalah ketika dalam tahanan kemunting ana dengar cerita beliau telah dipilih sebagai Ajk Pas Pusat dan kemudiannya dilantik sebagai PJ mengantikan Tuan Guru Haji Baqi Osman. Ana bersyukur kerana keputusan ana mencadangkan beliau sebagai Ajk Lajnah Tarbiyyah Dpp Negeri belasan tahun yang lalu adalah keputusan yang betul dan berkat.

Malam tadi juga ana berkesempatan bertemu Ustaz Abdul Rahim Latif, bekas ketua DPP Negeri dan sekarang sebagai YDP Pas Kawasan Temerloh. Persahabatan ana dengan beliau bermula pada tahun 1987 ketika itu beliau masih bekerja diPejabat Tanah Temerloh. Waktu itu beliau masih belum Pas. Salah seorang anak usrah ana (Zaki Yahya) memperkenalkan ana dengan Ustaz Rahim (lepasan Akademik Islam UM) di Masjid Temerloh. Sebelum itu Zaki beritahu ana, Ustaz Rahim ni bagus. Pidatonya lancar, cumanya tak tahu beliau Pas atau tidak. Ana minta zaki perkenalkan ana dengan teman sepejabatnya itu. Alhamdulillah. Perjumpaan singkat itu mengheret kami berusrah bersama. Kami meniti denai persahabatan yang erat. Liku-liku persahabatan kami berterusan cukup lama. Dalam perjalanan sejauh itu kerap kali juga keeratan kami tercabar dan dicabar. Namun ana cukup berpegang dengan kalimah Allah bahawa "persaudaraan itu adalah Rahmat Allah". Ini bermakna memutuskan persahabatan bererti memutuskan tali rahmat dari Allah. Alhamdulillah, persahabatan kami tetap terpelihara hingga kini.

Alhamdulillah..Ya Allah rahmatilah diri ku, Keluarga ku, mereka-mereka yang bersama ku ( sahabat dan sanak saudara) serta rahmatilah orang-orang yang menolongku.

Teman-teman dan adik-adik dalam perjuangan dan jamaah. Ingatlah..syaitan selalu berusaha memutuskan persahabatan kita dengan sahabat-sahabat. Lalu jangan biarkan syaitan ketawa bangga. Bahkan berusahalah menjaga tali "Rahmat Allah", nescaya dirimu akan dimuliakan Allah dan Malaikatnya. Memutuskan persahabatan boleh dibuat dalam satu saat, tetapi membina persahabat sepanjang hayat.





27 September 2008

Apa yang menarik minat orang bukan Islam kepada Islam?


Saya tertarik kepada komentar "Pembunuhanai2" yang dilulus siar oleh "Tranungkite online". Penulis telah merujuk kenyataan Khalid Samad (gambar) ketika ditemubual oleh "ummahonline.com". Didalam temubual itu Khalid telah membuah telahan punca kekalahan Pas Trengganu adalah kerana terlalu suka menonjolkan aktiviti "mengharamkan".
Saya sendiri sebenarnya telah membaca kenyataan itu yang disiarkan oleh "malaysiakini.com"dengan tajuk 'Mentaliti suka haramkan' punca PAS T'ganu tewas. Saya tidak tahu serangan kepada siapa sebenarnya ucapan itu, walaupun saya boleh agak-agak jugak selaku Ahli Pas. Tetapi apa yang mahu saya sebutkan disini ialah kenyataan Khalid itu lah sebenarnya "fikrah dan mentaliti Khalid". Kenyataan yang beragenda itu perlu difikir-fikirkan bersama oleh pendokong perjuangan Pas.

Saya tidak pasti apakah suatu yang diharamkan oleh kerajaan Trengganu saat Pas memerintah dahulu itu memang benar suatu yang haram atau suatu yang harus atau makruh sahaja. Jika suatu yang diharamkan oleh kerajaan pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi itu sebenarnya harus, maka saya bersetuju jika itu dianggap mentaliti yang salah. Tetapi salahkah jika memiliki mentaliti mengharamkan suatu yang pada hukumnya haram? Kalau itu dianggap salah maka betapa ramai sudah ulama yang memiliki mentaliti yang salah. Termasuk Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang menggunakan pendekatan yang sama dikelantan. Jadi bagaimana sebenarnya fikrah yang betul?. Jangan kata haram apa yang haram? makruhkan saja apa yang haram dan haruskan saja apa yang makruh?.

Dikatakan juga kerajaan Pas Trengganu gagal memahami "Fiqh Aulawiyyat". Mengutamakan suatu yang bukan utama dan meremahkan suatu yang utama. Terlepas pandangkah Tuan Guru Haji Abdul Hadi selaku Menteri Besar waktu itu dengan soal-soal Fiqh Aulawiyyat ini?.Mungkin Tuan Guru telah terlalu banyak membaca buku-buku "engineering" sehingga lupa kitab-kitab muktabar yang berkaitan dengan Fiqh Muwaazanat, Fiqh Waqi'iyyat serta Fiqh Aulawiyyat. Atau menthod dakwah Tuan Guru terlalu sempit kerana hanya berkisar dalam usrah-usrah Pas sahaja tanpa pernah menyertai dan terlibat dengan mana-mana jamaah selain Pas?.

Pada saya, Pas selangor teruskan pendekatan yang dirasakan memberi manfaat kepada perjuangan dan jamaah dan tidak perlu menyalahkan Pas Negeri lain yang sudah tentu berada dalam waki' dan lingkungan yang berbeza. Dalam saat kita menompang kemenangan dengan "Tuah orang, maka janganlah kita merasa sudah terlalu kuat sehingga mengambil sikap menyalahkan orang lain.

Khalid juga menyebut; "pendekatan mengharamkan" itu menyebabkan orang-orang yang bukan Islam tidak berminat memberikan sokongan kepada Pas. Benarkah begitu?. Telah berapa banyak research yang telah dibuat mengenainya?. Merosotkah sokongan kaum Cina dan Siam dikelantan terhadap Pas Kelantan apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengharamkan Arak, Judi, Makyong, Menora, Puteri dan lain-lain yang diharamkan oleh Ulama?. Benarkah sokongan Orang-orang bukan Islam kepada Calon-calon Pakatan Rakyat di Negeri Selangor disebabkan kesediaan Pakatan Rakyat untuk tidak mengharamkan apa yang Islam kata haram?. Atau sokongan mereka itu kerana mahukan perubahan politik serta menyakini keadilan dan kebajikan yang telah dibuktikan oleh Pas Kelantan sebelum ini?. Masih banyak kajian dan perbincangan perlu dibuat sebelum menerima bulat-bulat telahan Khalid itu.

Dakwah Islamiyyah tidak akan meletakkan kepentingan Populariti lebih utama daripada hukumnya. Tahukah kita, mengapa selama ini orang-orang bukan Islam tidak berminat mengambil tahu tentang Islam?. Ini adalah kerana Umno yang menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional gagal menonjolkan penghayatan Islam yang konsisten dan jitu. Mereka melihat pengangan agama pimpinan Umno sangat longgar. Mereka melihat Umno sendiri selaku Parti orang-orang Islam dalam BN tidak menghormati hukum-hukum Islam. Lalu bagaimana mereka yang bukan Islam perlu menaruh minat dengan Islam. Tetapi apabila mereka melihat ketegasan Kerajaan Kelantan dibawah Pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, rasa ingin tahu mereka terhadap Islam dan hukumnya semakin bertambah. Ini bermakna orang bukan Islam hanya akan memberikan perhatian kepada Islam apabila pimpinan Islam khususnya Pas berpegang teguh dengan perinsip-perinsip "halal haram dalam Islam".
Apakah ketegasan kita dengan hukum Islam menghambat "kepentingan dakwah"? masih banyak cara untuk kita berdakwah dengan tidak perlu merombak hukum agama yang telah disepakati secara qat'iyyah atau Ijma'. Sifat Islam sebagai agama "berkebajikan" itu sudah cukup mesra ummah jika dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan jujur disamping berdoa kepada Allah agar dakwah diberi kejayaan.

18 September 2008

Pesanan Luqmanul Hakim dan sebuah pengalaman

Semalam sedang ana membelek-belek sebuah kitab. Ana terbaca satu petikan ucapan Luqmanul Hakim kepada anaknya. Riwayat itu menuebut;

يابنى لاتعرف ثلاث الا بثلاث لاتعرف الحلم الا عند الغضب. ولاتعرف السجاع الا عند الحرب ولا تعرف الاخ الا عند الحاجة
"Wahai anakku..engkau tidak akan tahu tiga perkara melainkan dengan tiga perkara. Engkau tidak tahu sifat lembut (enngkau miliki atau seseorang itu memeilikinya) kecuali ketika ia marah. Engkau tidak akan mengerti apa itu keberanian melainkan ketika berlakunya peperangan. Engkau tidak akan mengenal rakan yang sebenar kevuali ketika engkau kesusahan dan berhajat kepada sokongannya."
Dari tiga perkara itu ana ingin memetik perkara yang terakhir dan kemudian ana akan padankan dengan sedikit pengalaman hidup yang telah ana susuri selama 44 tahun ini. Mudah-mudahan dapat dikongsi bersama dengan teman-teman pembaca juga menjadi selembar peringatan buat adik-adik yang sedang berkayuh didada perjuangan yang bergelombang ini.
Memang benar apa yang dikatakan oleh Luqman yang soleh itu. Kita tidak akan kenal rakan yang sebenar kecuali bila kita terhimpit oleh kepayahan dan saat kita memerlukan sokongan teman-teman. Waktu itu kita akan dapat melihat wajah mereka yang sebenar. Marilah ana kongsikan bersama apa yang telah ana lalui.Ambillah pengajaran daripadanya dan berhati-hatilah dengan tipudaya dunia ini.
1. Rakan dan teman yang sentiasa mencari peluang menikam kita.
Awaslah..manusia yang sebegini ada dimana-mana. Mereka mungkin kelihatan baik dihadapan kita. manis senyum dan tuturkatanya. Tetapi jika terdapat sedikit kesilapan kita maka peluang itu segera disambarnya. Dikuasainya issu tersebut sehingga berjaya memburukkan kita dimana-mana. Jika tidak dilakukannya sendiri, maka akan digunakannya seseorang yang boleh diperalatkannya. Tangannya sentiasa disembunyikan dibelakang, tetapi batu yang dilemparnya sangat menyakitkan. Kadang-kadang mereka menampakkan wajah simpati, tetapi tersembunyi senyuman puas atas kesusahan yang kita hadapi. Perkara ini pernah ana hadapi. Maklumlah ana ini pun manusia biasa. Yang sudang tentunya mempunyai kelemahan dan melakukan kesilapan. Namun kelepaman itu segera di perbesarkan. Teman yang kita harapkan datang membela kita atau setidak-tidaknya memberikan kita semangat menghadapinya entah dimana. Usahkan diziarahinya kita, malahan menghubungi kita melalui telefon pun tidak. Jika ada seseorang lain yang bertanya kepadanya mengenai issu tersebut, lantas dijawabnya "entah, ana tak tau, ana malas nak campur . ye kot!". Jika jawapan itu datang dari teman kita, maka tiada pilihan bagi si bertanya melainkan mengiakan berita tersebut. Maka tinggallah kita bersendirian menghadapi fitnah dan kesusahan.
2. Teman yang ada kepentingan lalu diburukkan kita.
Teman yang kedua ialah teman yang bersama kita hanya kerana ada kepentingan yang dihajatinya. Jika didapatinya kita tidak lagi dapat memberikannya apa-apa, lantas dipinggirnya kita dan lebih dahsyat diburuk-burukkannya kita. Ana dahulu ada seorang sahabat atau teman. ketika itu beliau masih peringkat bawahan dalam jamaah. Kerana melihat beliau seorang yang agak aktif bekerja untuk jamaah, lalu banyak kali ana sarankan kepada pimpinan kawasan agar beliau dilantik kejawatan tertentu, atau dipilih sebagai salah seorang aktivis yang berpotensi. Rupa-rupanya apabila beliau dilantik, beliau merasa seronok dengan jawatan. Jawatan baginya Tasyrif ( keistimewaan) bukannya Taklif (tanggungjawab). Saat itu berlaku sedikit krisis antara ana dan seorang pimpinan. Oleh kerana ingin mendapat perhatian pimpinan tersebut maka beliau tiada pilihan kecuali memburukkan ana. Di jaja serata tempat mengatakan ana ini SB dalam jamaah. Bila sahabat rapat yang berkata begitu, maka tiada pilihan kepada orang yang mendengarnya selain mempercapainya. Akibat tuduhan itu ana merana dipulau teman-teman bertahun lamanya.
3. Sahabat yang baik tetapi tidak sanggup menanggung risiko.

Ada sahabat yang baik, tetapi tidak sanggup menanggung risiko bersama kita. Lalu saat kita kepayahan, beliau akan agak renggang. Kita tidak duburukkanya atau di aibkan. Namun kita dijauhinya. Ana ada seorang teman. Beliau baik dan jujur. Satu ketika beliau datang memberitahu kepada ana bahawa beliau telah kenal seorang gadis dan berhasrat mengahwininya. Sedangkan isterinya tidak tahu. Beliau meminta bantuan agar ana dapat menunjukkan jalan dimana beliau boleh berkahwin tanpa keizinan isteri pertamanya. Kali pertama beliau meminta tolong, ana diamkan sahaja. Dengan harapan beliau dapat selesaikan dengan baik bersama isteri pertamanya itu. Ana tak berminat mencampuri urusan rumahtangganya. Kalau boleh biarlah ianya selesai tanpa pengelibatan ana. Namun setahun kemudiannya beliau datang lagi. Saat itu ana lihat beliau sudah agak tidak terkawal. Dari maklumat teman-teman yang lain juga dari mulutnya sendiri ana dapat tahu beliau sering bertemu gadis itu sembunyi-sembunyi. Sudah kerap kali mereka keluar dari daerah kuantan berhari-hari lamanya. Mengetahui situasi itu ana fikir ana terpaksa membantunya. Jika apa-apa berlaku kepadanya dengan gadis itu, seluruh keluarganya akan malu. Anak-anak dan isterinya akan menerima aib yang besar. lalu atas nama seorang muslim dan sahabat, ana tolong tunjukkan kepadanya jalan untuk beliau mengahwini gadis itu secara sah. Urusan beliau dengan isteri pertama, biarlah beliau selesaikan sendiri selepas itu. Apabila perkahwinannya telah selesai dan isterinya tahu bahawa ana yang membantu suaminya berkahwin. Maka ana menjadi sasaran kemarahan isterinya. ketika itu ana menjangkakan sahabat ana itu akan membela ana dan menceritakan keadaan yang sebenarnya. Rupa-rupanya beliau sendiri turut menyisihkan diri dari ana. Apa yang patut ana buat. Menceritakan kepada isterinya bahawa ana terpaksa membantu suaminya berkahwin kerana di dapati suaminya telah berbuat begitu dan begini dengan gadis tersebut?. itu tidak mungkin ana lakukan. Ana tidak mahu sahabat ana itu kelihatan rendah dan hina pada pandangan mata isterinya. Lalu terpaaksalah ana menanggung sangkaan buruk isterinya kepada ana. Suaminya atau teman ana itu entah kemana. Tinggallah ana sendirian.

4. Teman yang sejati.
Alhamdulillah..Allah mengurniakan ana ramai teman yang sejati. Teman yang tetap menjaga nama baik ana saat ana dicemuh oleh sebahagian yang lain. Teman yang tetap bersama ana dan keluarga saat ana ditahan dalam tahanan kemunting selama 3 tahun. Teman yang berduyun-duyun datang menziarahi ana selepas ISA. Setiap hari sejak jam 9 pagi hingga 9 malam selama 2 bulan teman-teman datang dari segenap daerah melahirkan persaudaraan dan kasihsayang. Dalam pada itupun ada teman yang dulunya rapat dan tinggal tidak jauh dari kediaman ana yang tidak datang menziarhi ana selepas bebas. Ana bukan mahu diziarahi bahkan ana mahu menziarahinya, namun tahanan terhad yang dikenakan keatas ana menghalang ana berbuat demikian. Beliau hanya mengiriim salam sahaja dan beralasan sibuk dan tidak berkesempatan untuk datang menziarahi ana. Kalau betul kita berteman dan bersahabat. Maka menziarhi sahabat saat mereka kepayahan itu ada agenda dan urusan utama kita. Tapi jika agenda dan urusan lain itu lebih utama dan menziarahi sahabat itu pekara remeh sahaja, bermakna kita tidak menghargai langsung tali persahabatan itu. Buat teman-teman yang sejati, terimakasih atas kasih sayang kalian. Mudahan-mudahan kita bersahabat hingga ke akhirat.

11 September 2008

Sebutir harapan dilautan rahmat Ilahi

Ketika memutuskan hasrat untuk menubuhkan Pondok An-Nuur 12 tahun yang lalu, ana hanya berbekalkan keyakinan "jika kita menolong agama Allah, Allah akan menolong usaha kita". Kalau nak dikirakan kemampuan, ana jauh sangat dari kemampuan itu. Harta tak ada, wang ringgit tak ada apatah lagi ilmu yang melayakkan ana untuk membuka sebuah pusat pengajian.Tapi teringatkan kata-kata Tuan Guru ana di Pasir Tumboh, "jika hasrat kita ikhlas kerana Allah maka setiap kerja yang mulia itu teruskan sahaja. Baki daripada itu tawakkallah kepada Allah.Lalu setelah istikharah berberapa kali dan meminta pandangan beberapa orang ulama' termasuk Tuan Guru Haji Hashyim (Pasir Tumboh) maka ana istiharkan hasrat menubuhkan Pondok An-Nuur. Malu jugak nak war-warkan kat orang ramai, sebab ana ni takde ilmu dan takde harta.Ana pejamkan mata, pekakkan telinga dan hati hanya bertawwjuh kepada Allah.. Maka hasrat tersebut ana luahkan juga kepada sahabat-sahabat dan teman.Alhamdulillah sahaabat-sahabat dan teman-teman serta masyarakat sekitar Kuantan memberikan sokongan dan galakkan. Bila dah ramai orang beri sokongan ana pulak merasa malu pada diri sendiri. Hati ana selalu berbisik " siapalah aku ini. Ilmu tak sebanyak mana tapi ada hati nak buka Pondok. Tok-tok guru pondok zaman dulu mengaji 20 tahun baru berani buka pondok". Suara itu sering memburu ana setiap masa. Ana tak tahu, apakah suara itu teguran Allah atau bisikan syaitan yang mahu menghambat keinginan mulia itu.Kepada Allah ana berdoa agar memberikan ana keteguhan hati serta kurniakan ana ilmu dari sisiNya. Sahabat-sahabat mula bertanya, bagaimana kita nak beli tapak, yang tentunya berharga ratusan ribu. Dalam keadaan hati yang sedikit gusar ana tegaskan kepada mereka Allah akan menolong kita. Ana terpaksa jawab begitu kerana ana tak boleh lemahkan semangat dan sokongan mereka. Ya Allah.. pertolonganMu mula datang. Ana di datangi tiga orang pemilik tanah yang menawarkan tanah mereka untuk tujuan tersebut. Sebidang tanah menghala ke Felda Bukit Goh, sebidang tanah di Besrah dan sebidang tanah di Kg Kuala Penor. Di Bukit Goh tanahnya subur tetapi agak suram suasananya kerana dikelilingi kebun getah. Tanah di Besrah berhampiran dengan bukit dan tanahnya adalah kawasan paya lama yang telah kering dan dikelilingi pokok-pokok nibung. Baiknya besrah mempunyai kepadatan penduduk. Manakala tanah di Kg Kuala Penor, tanahnya rata berrumput, berhampiran pantai tetapi tanahnya tidak sesuai untuk bercucuk tanam serta penduduknya tidak ramai.Setelah istikharah beberapa kali, akirnya ana memilih Kg Kuala Penor. Ana pilih tanah seluas 4 ekar setengah itu bukan kerana minat dan rasa seronok berada ditepi pantai, tapi itulah keputusan hati selepas beristikharah. Alhamdullilah.. masaalah pertama telah selesai. Tanah yang berharga 240 ribu di perolehi secara percuma. betapa indah susunan takdir Allah. Mula saat itu ana tidak ragu lagi bahawa pertolongan Allah akan sentisa datang jika kita berada diatas landasan agamaNya.Kini An-Nuur telah berusia 12 tahun. Pahit maung serta manis lazat perjalanannya sudah banyak dirasai. Ana pernah difitnah dan dituduh dengan berbagai tuduhan. Di pulau, ditahan dibawah akta ISA selama 3 tahun setengah. Tapi Alhamdulillah semuanya "indah dan Lazat". Asalkan takdir itu takdir dari Allah, semuanya manis dan lazat. Dengan hanya berbekalkan keyakinan kepada Allah serta semangat yang tersisa ana akan terus melangkah. Kini kami merancang membangunkan "Kolej Islam AN-Nuur" atau KIAN. Bila sahabat tanya dimana lagi kita mahu mencari belanja yang besar itu.? ana jawab; perbendaharaan Allah belum habis dan tidak akan habis.
Ana paparkan sejarah ringkas penubuhan AN-Nuur ini sebenarnya untuk memberikan semangat kepada adik-adik dan sahabat-sahabat yang berhasrat membangunkan pusat pendidikan. Teruskanlah. Jangan lemah semangat dengan cacian dan jangan sombong diri dengan pujian. Pujilah Allah kerana Dialah sumber segala-galanya.

05 September 2008

Tazkirah Ramadhan

Hari ini (Khamis) genaplah 4 hari ana bermukim di Kuala Lumpur bagi mengisi jadual "tazkirah" ramadhan di surau2 dan masjid2. Di samping itu juga bertujuan melancarkan derma bagi pembinaan asrama An-Nuur dan jualan lot wakaf tapak Kolej Islam An-Nuur (KIAN). Mengikut jadual ana kena berada di kuala Lumpur sehingga 26 Ramadhan. Walaubagaimana pun setiap Ahad ana mesti berada di Kuantan untuk jadual kuliah Dhuha di Masjid Al-Fatah. Masuk tahun ini kuliah Dhuha itu telah berjalan selama 4 tahun. Alhamdullah.
Menyampaikan kuliah atau ceramah dibulan Ramadhan memang agak penat dan letih berbanding bulan2 biasa. Tetapi disana ada nikmatnya yang sangat indah. Melalui jelajah kuliah ini ana dapat bertemu dengan ramai sahabat-sahabat lama yang mungkin terputus hubungan sebelum ini. lalu ikatan ukhuwah itu kembali terjalin erat. Disamping itu dapat pula menambah kenalan baru, bermakna bertambah lagi keberkatan hidup ini di atas nama persaudaraan. Dalam setiap pertemuan itu ana berkesempatan memohon maaf dari teman-teman lama yang gagal dihubungi sebelum ini. Indahnya Ramadhan.
Tengah hari tadi (4 ramadhan) ana kuliah di Bank Islam. Di sana ana dapat bertemu kembali teman-teman yang satu ketika dulu berada di dalam persatuan kebajikan kakitangan Islam Bank2 Kuala Lumpur (PERKIB). Walaupun sebahagian besar di antara mereka telah berpindah kerja atau berhenti kerja. Namun perjumpaan dengan teman2 lama itu mengimbau kembali ingatan indah persahabatan yang sekian lama. hari sebelumnya ana kuliah di KLCC. Di sana betemu kembali sahabat2 yang sudah agak lama tidak bertemu. Bertanya khabar, bertukar2 nombor telefon adalah nikmat pertemuan yang indah nilai-nilai ukuhwwahnya. Indahnya hidup ini jika kita dikelilingi teman-teman yang soleh dan jujur. kasihsayang akan termeterai kukuh dalam simpulan persaudaraan yang utuh. persahabatan sering terungkai dan hancur disebabkan kealpaan menjaga perhubungan. Di samping itu landaan fitnah juga berperanan besar dalam memisahkan tautan persahabatan antara dua insan.

Ramadhan benar-benar bulan rahmat. Ramadhan adalah tetamu yang diutus oleh Allah untuk datang bertandang kesetiap rumah hamba2-Nya. Ramadhan melunakkan jiwa dan memberikan sakinah kepada setiap insan yang melayaninya secara santun.
Sabda Rasulullah saw;
اتاكم رمضان سيد الشهر فمرحبا به واهلا جاء شهر الصيام بالبركات فاكرم به من زائر هوات
Telah datang kepada kamu Ramadhan penghulu segala bulan. Persilakanlah ia dan sambutlah. Telah datang bulan puasa dengan membawa keberkatan yang banyak maka muliakanlah tetamu ini.
Alhamdulillah dengan ketibaan bulan yang berkat ini persahabatan kita kembali erat. Hati kita kembali tenang. tidak lagi digoncang oleh tiupan fitnah dan buruksangka. Lalu lapang lah dada, luaslah jiwa dan terbangunlah sebuah pribadi yang mulia. Ramadhan...kaulah tetamu mulia yang tiada bandingannya.