01 December 2008

Sahabat,engkau telah membenarkan janjimu. secebis kisah tahanan ISA ( siri 5 )

"USTAZ, TENANGKAN HATI,HADAPILAH UJIAN INI DENGAN TABAH. INSYALLAH ANA AKAN JAGA PONDOK HINGGA ANA MATI".
---------------------------------------------------------

Petang semalam saya tak kuliah dimana-mana. Sengaja mahu berihat sedikit dan menyelesaikan urusan-urusan ringan di Pejabat sekolah. Keindahan cuaca petang yang cerah itu dapat saya manfaatkan sebaik mungkin. Jarang saya berkesempatan menikmati waktu petang (asar - maghrib) di kediaman sendiri.

Sambil memerhati anak-anak (pelajar dan peserta kem intensif ibadah) beriadah didataran An-Nuur, saya cuba memerhatikan setiap ceruk perkarangan An-Nuur. Kepuasan dan kesyukuran silih berganti menerpa hati saya. Syukur kepada Mu ya Allah,sejauh ini sudah perjalanan ku dan betapa Engkau tidak pernah jemu membantuku..bisik hati kecil saya tenggelam dalam keriangan anak-anak yang sedang bermain.

Dari wakaf tempat saya duduk, saya cuba bandingkan An-Nuur 12 tahun yang lalu dengan An-Nuur pada hari ini. Pokok-pokok palma yang subur dengan dibarisi pokok-pokok bunga yang lain berseri memagari dataran An-Nuur. Nun dihujung sana, berderet barisan chalet, Rumah tetamu, kafetaria, bilik kelas, asrama dan sebuah wakaf lagi yang berada dikanan pintu masuk ke An-Nuur. Semua itu tidak ada dahulunya. Saat itu segera menyapa di jendela ingatan saya kehadiran seorang sahabat. Beliau turut merasai segala pahit maung membangunkan An-Nuur. Namun beliau tidak sempat melihat An-Nuur,sebuah sekolah dalam taman menjadi kenyataan.

Sepulangnya saya dari menyampai kuliah disurau Kampung Tengah Kuantan kira-kira 14 tahun yang lalu. Terus saya letakkan kitab diatas meja. Sebuah bag kertas yang dihadiahkan oleh seorang pemuda disurau tadi pantas saya buka. Begitulah saya sejak dulu. Biasanya saya akan segera membuka apa-apa pun hadiah yang diberikan oleh seseorang. Itu adalah cara saya yang tersendiri sebagai tanda sangat menghargai sebarang pemberian. Sebuah cup berukuran sederhana saya keluarkan dari kertas bag tersebut. Cantik hadiahnya. Dikaki cup itu tertulis perkataan "Tahniah ustaz..akhirnya tercapai juga hasarat untuk membangunkan pusat pendidikan..yang benar Rais". Mungkin ucapan tersebut merujuk kepada pelancaran derma pembinaan An-Nuur yang saya lancarkan di Masjid Al-Fatah dua malam sebelum itu. Ditengah-tengah lengkungan cup tersebut terdapat sebuah jam kecil yang mempunyai latarbelakang hijau cerah. Hadiah comel itu saya letakkan diatas almari kitab saya.

Malam tersebut telah membentuk ikatan persahabatan antara saya dan pemuda itu. Namanya Rais. Beliau tinggal disebelah surau Haji Ali Kampung Tengah. Ketika itu beliau bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran di bandar Kuantan. Beliau kerap mengikut mengikuti saya berceramah dan berkuliah dimana-mana. Bahkan acap kali kami sampai kerumah sudah hampir masuk waktu subuh. Namun beliau tidak pernah serik menemani saya melancarkan derma untuk tabung pembinaan An-Nuur dimana-mana. Bahkan setelah An-Nuur mula beroperasi pun beliau masih tetap mengunjunggi An-Nuur saban minggu. Dengan ringan tulang, akan dibantunya apa-apa yang boleh dibantu.

Keakraban kami terus berlangsung dalam jangka masa yang cukup panjang. Bahkan dua orang daripada anak beliau, saya yang memberikan namanya ( Ehsan Ilahi Zahir dan Dzu Nun )(1). Ketika An-Nuur kekurangan guru pada tahun 1998 dan berkebetulan syarikat ditempat beliau bekerja ura-ura akan ditutup, kerana kemelesetan ekonomi, maka saya menawarkan beliau mengajar di An-Nuur. Tanpa banyak soal tawaran itu diterimanya dengan ikhlas. Saban pagi akan kelihatanlah Datsun Sunny biru memasuki perkarangan An-Nuur. Beliau bertugas di An-Nuur tanpa batasan waktu. Adakalanya hingga larut malam baru beliau balik kerana menghantar pelajar-pelajar yang sakit kehospital. Esoknya beliau akan muncul lagi dengan wajah ceria. Hari cuti dihujung minggu akan diajaknya pelajar mencari pokok-pokok bunga atau pinang hutan untuk ditanam dikawasan pondok. Kerap kali diluahkan kepada saya, bahawa beliau mahu jadikan An-Nuur sekolah dalam taman(2).

Julai 2000 saya ditahan dibawah Isa. Beliaulah yang menemani saya ke IPD Kuantan ketika dipanggil untuk memberikan keterangan. Ketika ASP Ismail menghulurkan kepada saya surat perintah penahanan dibawah ISA, beliau memandang sayu kepada saya. Tergenang air jernih di kelopak matanya. Saya tepuk bahunya, "Sabarlah akhi.." ucap saya kepadanya. Hanya itu yang mampu saya ucapkan kerana saya pun merasa pilu. Kepiluan itu bukan disebabkan surat penahanan itu, tapi kepiluan itu muncul kerana tersentuh dengan keikhlasan sebuah persahabatan. Sebelum dibawa ke IPK Kuantan, saya serahkan semua dokumen saya, termasuk kad bank dan nombor pin kepada beliau, untuk diserahkan kepada isteri saya. Kepadanya saya berpesan agar jagalah pondok. Jangan fikir soal saya, tapi pondok atau sekolah lebih penting untuk difikirkan. Beliau berlalu pergi, tapi diwajahnya terpamir sebuah kesedihan.

Ketika saya akan dipindahkan ke Pulapol di Kuala Lumpur, pihak IPK membenarkan keluarga bertemu dengan saya. Petang itu saya tunggu keluarga datang di Perpustakaan IPK ditemani Insp. Mad, Kop Zainuddin, Cif Insp Mohd Noor dan Cif.Insp Zulkifli. Tepat jam 2.30 petang keluarga saya dibenarkan naik. Bersama dengan isteri, mak dan anak-anak saya ialah Ustaz Rais. Anak kedua saya ( Umar Abdul Aziz ) didukung oleh beliau. Dalam perjumpaan singkat itu tidak banyak perkara yang dapat dibualkan. Ustaz Rais lebih banyak berdiam dan mengasingkan diri, kerana mungkin memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan apa-apa pesanan kepada isteri saya. Ketika pertemuan itu akan berakhir saya cium tangan mak saya, mohon doa dan restunya, kepada isteri saya berpesan agar bersabar dan menjaga anak-anak sebaik mungkin. Akhirnya ustaz Rais menyalami saya. Beliau memeluk saya erat, bagaikan itulah pertemuan terakhir kami. Sambil menggengam tangannya saya berpesan; "akhi..kepada anta anak serahkan tanggungjawab menjaga pondok. Kerana pondok itulah cita-cita dan ruh perjuangan ana". Dengan memandang tepat ke mata saya beliau lafazkan; ustaz,ustaz bukan sahaja guru dan sahabat ana, ustaz adalah Abang ana. Ana berjanji, Insyallah ana akan jaga pondok sehingga ana mati". Berderau darah saya saat itu. tapi cepat-cepat saya akhiri pertemuan itu sebelum kesedihan membanjiri hati saya.

Setelah saya ditahan di Kemunting, boleh dikatakan setiap minggu surat beliau akan muncul. Beliau cukup rajin menulis. Paling kurang tiga mukasurat kertas examination pad. Bermula dengan cerita perkembangan Pondok, cerita anak-anak dan keluarga saya, perkembangan parti dan akhirnya coretan beliau sendiri. Pendek kata saya cukup gembira dan terhibur setiap kali surat beliau sampai.

Setiap menjelang Raya, kami sesama orang tahanan akan bertanding siapa paling banyak dapat kad raya dan kad raya siapa paling besar. Biasanya katagori "kad paling besar" akan dimenangi oleh saya. Ustaz Raiz akan belikan kad paling besar, dan kad tersebut akan ditandatangani oleh semua pemuda dan ahli jamaah surau Haji Ali beserta ucapan ringkas. Begitulah usaha beliau agar saya rasa gembira dalam tahanan dan persahabatan kami terus terjalin erat.

Di hari tempoh tahanan saya mencecah 2 tahun, awal-awal lagi beliau datang ke Taiping bersama dua orang sahabat. Beliau tunggu diluar kem, dengan harapan tempoh tahanan saya akan berkahir pada hari itu. Namun bila diberitahu tempoh tahanan saya disambung lagi, beliau pulang dengan sedih. Saya diberitahu sepanjang perjalanan pulang beliau hanya mendiamkan diri.

Begitulah Ustaz Rais. Beliau terus berkhidmat di An-Nuur. Anak-anak saya akan dilayannya dengan mesra. Umar Abdul Aziz akan selalu meminta duit dari beliau setiap kali beliau datang ke Pondok. Dilayannya kehendak anak kecil itu tanpa jemu, walaupun berapalah sangat gajinya dengan An-Nuur. Beliau terus mengutusi saya. Surat-suratnya sarat dengan perangsang, nasihat dan maklumat semasa An-Nuur. Beberapa bulan selepas itu saya tidak lagi menerima surat beliau. Kata isteri saya beliau sakit, tetapi tidak tahu apa sakitnya. Siapa pun tidak menjangka beliau akan jatuh sakit seteruk itu, kerana beliau tidak pernah memberitahu sesiapa. Sebulan selepas bergelut dengan penyakitnya, Saya menerima berita beliau telah meninggal. Airmata saya bercucuran tanpa boleh disekat. Terbayang kepada saya bagaimana janji yang pernah beliau lafazkan dipertemuan terkahir kami. Kini beliau pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan kecintaannya kepada An-Nuur dan harapannya untuk melihat saya bebas. Malam itu dalam munajat yang panjang, saya iringkan pemergiannya dengan sejambak doa yang tulus ikhlas buat seorang sahabat yang telah membenarkan janjinya kepada Allah dan kepada saya.
Al-Fatihah buat mu sahabatku.
Nota dan keterangan gambar.
_____________________
1). Gambar atas kanan: (dari kiri) Cikgu Raja Ismail,Sdr Abu dan Allahyarham Ustaz Raiz di Pejabat An-Nuur.
2). Gambar bawah kiri: Perkarangan An-Nuur 1995
3). Gambar bawah Kanan: Perkarangan An-Nuur 2008
Footnote 1. Nama Ehsan saya ambil sempena nama seorang ulama Hadis Pakistan. Dzu Nun sempena nama seorang aulia'ieLlah.
Footnote 2. Hingga minggu-minggu terkahir beliau, sempat dibangunkannya para untuk tanaman orkid.


No comments: