18 September 2008

Pesanan Luqmanul Hakim dan sebuah pengalaman

Semalam sedang ana membelek-belek sebuah kitab. Ana terbaca satu petikan ucapan Luqmanul Hakim kepada anaknya. Riwayat itu menuebut;

يابنى لاتعرف ثلاث الا بثلاث لاتعرف الحلم الا عند الغضب. ولاتعرف السجاع الا عند الحرب ولا تعرف الاخ الا عند الحاجة
"Wahai anakku..engkau tidak akan tahu tiga perkara melainkan dengan tiga perkara. Engkau tidak tahu sifat lembut (enngkau miliki atau seseorang itu memeilikinya) kecuali ketika ia marah. Engkau tidak akan mengerti apa itu keberanian melainkan ketika berlakunya peperangan. Engkau tidak akan mengenal rakan yang sebenar kevuali ketika engkau kesusahan dan berhajat kepada sokongannya."
Dari tiga perkara itu ana ingin memetik perkara yang terakhir dan kemudian ana akan padankan dengan sedikit pengalaman hidup yang telah ana susuri selama 44 tahun ini. Mudah-mudahan dapat dikongsi bersama dengan teman-teman pembaca juga menjadi selembar peringatan buat adik-adik yang sedang berkayuh didada perjuangan yang bergelombang ini.
Memang benar apa yang dikatakan oleh Luqman yang soleh itu. Kita tidak akan kenal rakan yang sebenar kecuali bila kita terhimpit oleh kepayahan dan saat kita memerlukan sokongan teman-teman. Waktu itu kita akan dapat melihat wajah mereka yang sebenar. Marilah ana kongsikan bersama apa yang telah ana lalui.Ambillah pengajaran daripadanya dan berhati-hatilah dengan tipudaya dunia ini.
1. Rakan dan teman yang sentiasa mencari peluang menikam kita.
Awaslah..manusia yang sebegini ada dimana-mana. Mereka mungkin kelihatan baik dihadapan kita. manis senyum dan tuturkatanya. Tetapi jika terdapat sedikit kesilapan kita maka peluang itu segera disambarnya. Dikuasainya issu tersebut sehingga berjaya memburukkan kita dimana-mana. Jika tidak dilakukannya sendiri, maka akan digunakannya seseorang yang boleh diperalatkannya. Tangannya sentiasa disembunyikan dibelakang, tetapi batu yang dilemparnya sangat menyakitkan. Kadang-kadang mereka menampakkan wajah simpati, tetapi tersembunyi senyuman puas atas kesusahan yang kita hadapi. Perkara ini pernah ana hadapi. Maklumlah ana ini pun manusia biasa. Yang sudang tentunya mempunyai kelemahan dan melakukan kesilapan. Namun kelepaman itu segera di perbesarkan. Teman yang kita harapkan datang membela kita atau setidak-tidaknya memberikan kita semangat menghadapinya entah dimana. Usahkan diziarahinya kita, malahan menghubungi kita melalui telefon pun tidak. Jika ada seseorang lain yang bertanya kepadanya mengenai issu tersebut, lantas dijawabnya "entah, ana tak tau, ana malas nak campur . ye kot!". Jika jawapan itu datang dari teman kita, maka tiada pilihan bagi si bertanya melainkan mengiakan berita tersebut. Maka tinggallah kita bersendirian menghadapi fitnah dan kesusahan.
2. Teman yang ada kepentingan lalu diburukkan kita.
Teman yang kedua ialah teman yang bersama kita hanya kerana ada kepentingan yang dihajatinya. Jika didapatinya kita tidak lagi dapat memberikannya apa-apa, lantas dipinggirnya kita dan lebih dahsyat diburuk-burukkannya kita. Ana dahulu ada seorang sahabat atau teman. ketika itu beliau masih peringkat bawahan dalam jamaah. Kerana melihat beliau seorang yang agak aktif bekerja untuk jamaah, lalu banyak kali ana sarankan kepada pimpinan kawasan agar beliau dilantik kejawatan tertentu, atau dipilih sebagai salah seorang aktivis yang berpotensi. Rupa-rupanya apabila beliau dilantik, beliau merasa seronok dengan jawatan. Jawatan baginya Tasyrif ( keistimewaan) bukannya Taklif (tanggungjawab). Saat itu berlaku sedikit krisis antara ana dan seorang pimpinan. Oleh kerana ingin mendapat perhatian pimpinan tersebut maka beliau tiada pilihan kecuali memburukkan ana. Di jaja serata tempat mengatakan ana ini SB dalam jamaah. Bila sahabat rapat yang berkata begitu, maka tiada pilihan kepada orang yang mendengarnya selain mempercapainya. Akibat tuduhan itu ana merana dipulau teman-teman bertahun lamanya.
3. Sahabat yang baik tetapi tidak sanggup menanggung risiko.

Ada sahabat yang baik, tetapi tidak sanggup menanggung risiko bersama kita. Lalu saat kita kepayahan, beliau akan agak renggang. Kita tidak duburukkanya atau di aibkan. Namun kita dijauhinya. Ana ada seorang teman. Beliau baik dan jujur. Satu ketika beliau datang memberitahu kepada ana bahawa beliau telah kenal seorang gadis dan berhasrat mengahwininya. Sedangkan isterinya tidak tahu. Beliau meminta bantuan agar ana dapat menunjukkan jalan dimana beliau boleh berkahwin tanpa keizinan isteri pertamanya. Kali pertama beliau meminta tolong, ana diamkan sahaja. Dengan harapan beliau dapat selesaikan dengan baik bersama isteri pertamanya itu. Ana tak berminat mencampuri urusan rumahtangganya. Kalau boleh biarlah ianya selesai tanpa pengelibatan ana. Namun setahun kemudiannya beliau datang lagi. Saat itu ana lihat beliau sudah agak tidak terkawal. Dari maklumat teman-teman yang lain juga dari mulutnya sendiri ana dapat tahu beliau sering bertemu gadis itu sembunyi-sembunyi. Sudah kerap kali mereka keluar dari daerah kuantan berhari-hari lamanya. Mengetahui situasi itu ana fikir ana terpaksa membantunya. Jika apa-apa berlaku kepadanya dengan gadis itu, seluruh keluarganya akan malu. Anak-anak dan isterinya akan menerima aib yang besar. lalu atas nama seorang muslim dan sahabat, ana tolong tunjukkan kepadanya jalan untuk beliau mengahwini gadis itu secara sah. Urusan beliau dengan isteri pertama, biarlah beliau selesaikan sendiri selepas itu. Apabila perkahwinannya telah selesai dan isterinya tahu bahawa ana yang membantu suaminya berkahwin. Maka ana menjadi sasaran kemarahan isterinya. ketika itu ana menjangkakan sahabat ana itu akan membela ana dan menceritakan keadaan yang sebenarnya. Rupa-rupanya beliau sendiri turut menyisihkan diri dari ana. Apa yang patut ana buat. Menceritakan kepada isterinya bahawa ana terpaksa membantu suaminya berkahwin kerana di dapati suaminya telah berbuat begitu dan begini dengan gadis tersebut?. itu tidak mungkin ana lakukan. Ana tidak mahu sahabat ana itu kelihatan rendah dan hina pada pandangan mata isterinya. Lalu terpaaksalah ana menanggung sangkaan buruk isterinya kepada ana. Suaminya atau teman ana itu entah kemana. Tinggallah ana sendirian.

4. Teman yang sejati.
Alhamdulillah..Allah mengurniakan ana ramai teman yang sejati. Teman yang tetap menjaga nama baik ana saat ana dicemuh oleh sebahagian yang lain. Teman yang tetap bersama ana dan keluarga saat ana ditahan dalam tahanan kemunting selama 3 tahun. Teman yang berduyun-duyun datang menziarahi ana selepas ISA. Setiap hari sejak jam 9 pagi hingga 9 malam selama 2 bulan teman-teman datang dari segenap daerah melahirkan persaudaraan dan kasihsayang. Dalam pada itupun ada teman yang dulunya rapat dan tinggal tidak jauh dari kediaman ana yang tidak datang menziarhi ana selepas bebas. Ana bukan mahu diziarahi bahkan ana mahu menziarahinya, namun tahanan terhad yang dikenakan keatas ana menghalang ana berbuat demikian. Beliau hanya mengiriim salam sahaja dan beralasan sibuk dan tidak berkesempatan untuk datang menziarahi ana. Kalau betul kita berteman dan bersahabat. Maka menziarhi sahabat saat mereka kepayahan itu ada agenda dan urusan utama kita. Tapi jika agenda dan urusan lain itu lebih utama dan menziarahi sahabat itu pekara remeh sahaja, bermakna kita tidak menghargai langsung tali persahabatan itu. Buat teman-teman yang sejati, terimakasih atas kasih sayang kalian. Mudahan-mudahan kita bersahabat hingga ke akhirat.

No comments: