20 September 2010

Kenangan Ramadhan & kemanisan Syawal

I Syawal telah berlalu..namun ruh Aidilfitri masih dirasai dimana-mana. Untuk sekian kalinya saya menyambut Aidilfitri di Kampung Bukit Keledang. Khutbah Aidilfitri di sampaikan oleh Ustaz Sulaiman ( lebih dikenali dengan nama Aki Net) YDP Pas kawasan Bera. Seusai Solah Aidilfitri dan Khutbah, saya yang berada di saf belakang kerana hadir agak lewat terpaksa segera kehadapan untuk mengambil peluang bersalam dengan jamaah. Lapan puluh peratus jamaah yang saya salami, tidak saya kenali. Cuma sekadar melemparkan senyum tanda persaudaraan dan jiran sekampung.

Selesai solah saya singgah sebentar kerumah peninggalan arwah Mak saudara saya. Walaupun rumah tersebut ditinggalkan kosong sejak kematian beliau hampir setahun yang lalu, namun saya merasa bangga dengan sepupu-sepupu saya ( anak-anak beliau) yang sanggup pulang beraya di kampung dan berkumpul sesama anak beranak mereka walaupun tiada siapa lagi dirumah tersebut samaada Ayah atau Ibu mereka. Alhamdulillah.

Setelah itu kami sama-sama menziarahi kubur di tanah perkuburan yang terletak dibahagian belakang Pondok An-Najjah. Di Tanah perkuburan itu lah bersemadinya Abang Ipar saya ( Ustaz Yunus), Bapa saudara saya ( Abang ayah) dan Mak Saudara saya. Sebahagian besar jasad2 yang bersemadi tanah perkuburan itu adalah mereka yang saya kenali. Kepada mereka semua saya hadiahkan Fatihah dan serangkai doa, sambil berbisik kepada diri saya, bahawa suatu hari nanti saya pastinya akan menyusuli mereka..hanya Allah Yang Maha Tahu masa dan waktunya.

Hari Raya kedua saya habiskan masa beraya dirumah mak metua di Felda Purun. Sepanjang hari saya banyak menghabiskan masa di rumah tersebut memandangkan kedua-dua mereka, ayah dan Mak mertua saya dalam keadaan uzur. Ayah yang diserang penyakit kencing manis selalu tidak bermaya. Manakala Mak Mertua pula yang baru saja menjalani pembedahan jantung masih lemah dan perlu banyak berihat. Namun saya bersyukur mereka selamat dan sama-sama menceriakan Aidilfitri tahun ini. Ketika berehat di veranda hadapa rumah Bapa mertua saya, sambil memerhati anak-anak asyik bermain bunga api dihalaman rumah. Sedetik itu fikiran saya kembali menyulam kenangan manis Ramadhan di Tanah Haram Makkah yang baru tiga hari saya tinggalkan. Ramadhan kali ini mempertemukan saya dengan beberapa orang kenalan lama.

Shukri..sahabat yang sering menjadi teman berbual saat sama-sama belajar di Ajyad Makkah. Telah 20 tahun kami berpisah. Tiba-tiba di Ramadhan ini kami bersua kembali. Begitu juga dengan Asri dan Ridzuan yang masing-masing menentap di Rantau Panjang dan Ketereh Kelantan. Ridzuan yang masih bujang memberitahu Abang Soh dan Kak Mah ( teman serumah saya ) telah pun meninggal dunia. Kak Mah kemalangan bersama anak. Manakala Abang Soh meninggal beberapa bulan selepas itu kerana mengidap TB. Sebak hati saya menerima perkhabaran itu. Masih baru rasanya pergaulan kami yang sering bersarapan bersama dan bergurau senda. Kini mereka telah pergi meninggalkan segalanya.

Sedang saya menyusuri lorong-lorong yang dipadati manusia di Shabab Amer, tiba-tiba saya terserempak dengan Ustaz Mokhtar ( kami panggil beliau Ustaz Tho). Beliau pernah mengajar di Pondok saya beberapa tahun. ketika saya dalam tahanan Ustaz Tho terpaksa pulang ke Pattani kerana masaalah visa. Beliau adalah kelahiran Saudi dan berasal daripada selatan Thailand. Pertemuan kami yang secara kebetulan itu telah dilanjutkan lagi apabila beliau mempelawa saya bersahur dirumah sepupu beliau dan sahabat beliau yang bekerja sebagai pegawai di pejabat Muassasah Saudi untuk rantau Asia. Kesempatan itu telah memberi peluang untuk kami bercerita panjang. Isteri beliau adalah Mak Susu kepada anak ketujuh saya iaitu Hujjatul Islam. Kenangan Ramadhan di Bumi Barokah itu menjelma silih berganti antara kenangan lama yang berbaur antara kemanisan dan kepiluan.

Hari raya ketiga, dalam perjalanan pulang ke Kuantan kami singgah di rumah Pak sepupu saya ( Ayah beliau adalah Bapa saudara ayah saya) di Felda Chini 5. Kebetulan pada hari itu beliau mengadakan Majlis Walimah anak beliau. Saya berpisah dengan beliau kira-kira pada tahun 1981. Alhamdulillah pertemuan itu menghubungkan kembali saya dan Pok Sim.

Hari Raya ke Empat saya terus bertolak ke Kelantan untuk menziarahi Pusarah ayah di Kampung Delima Wakaf Bharu dan menziarahi sepupu Mak yang juga guru saya ( Tuan Haji Abdul Ghani) yang terlantar sakit sejak awal Ramadhan. Hari Raya ke Lima saya terus berlepas dengan Flight dari Kota Bharu ke KLIA untuk menunggu ketibaan Jamaah Umrah yang berumrah selama sebulan yang dijangka tiba di KLIA jam 12.30 pada 16 Sept itu.

Semalaman berada di Kota Bharu, saya mengambil kesempatan bertemu dengan beberapa orang sahabat Politik kelantan, untuk mendengar maklumat-maklumat terkini Politik Kelantan. Keesokkan kami sambung lagi perbualan itu di Airport pengkalan Chepa sehingga saya terlepas penerbangan saya dan terpaksa mengambil tiket baru untuk segera ke Kuala lumpur. Banyak Isu-isu baru Politik Kelantan dan tanahair yang kami bualkan. Alhamdulillah.

Kerana kelewatan ketibaan penerbangan Yamen Air dari Jeddah ke KLIA..maka terpaksa sekali lagi saya tunda penerbangan ke Kuantan. Walaupun agak kepenatan namun saya merasa lega..kerana dapat menyelesaikan banyak urusan dalam tempoh yang singkat. Rabu lepas kami Lima beranak berlepas ke Surabaya atas urusan anak ketiga kami yang masih belajar di sana. Seharian suntuk kami melayan anak-anak yang sekian lama berhasrat melawat Taman Safari Surabaya yang merupakan taman Safari terbesar di Asia itu.Selepas ini saya terpaksa berdepan pula dengan urusan persiapan walimah anak perempuan sulong kami. Mudahan2 Allah sentiasa membantu dan mempermudahkan urusan saya dan teman-teman semua.
_______________________

Keterangan Gambar:
1. Atas: Saya bersama sepupu-sepupu saya di Rumah Allahyarham Pak Saudara sebelah ayah.
2. Di Lobby Hotel Mawaddah Madinah, bersama Sdr Abdul Wahab dari Trengganu.
3. Bersama Ustaz Tho ( Paling kanan) dirumah sepupu beliau di Makkah.
4. Melayan anak lelaki saya ( Imam Izzuddin Abdus Salam) di Surabaya yg seronok sangat menaiki beca.

1 comment:

Putra's said...

Salam kenal,

Moga terus diberikan kekuatan dan kesihatan.

Promosi ESULIN, formulasi herba yang dikaji & diuji khusus untuk digunakan pesakit kencing manis.

Utamakan Kualiti, Pertahankan Keberkesanan

Jemput ziarah ke web ESULIN.biz