08 February 2010

Bila Dedalu kian membesar


KETERBUKAAN PAS JANGAN DISALAH ERTI DAN DIKHIANATI.

_________________

Pas telah membuktikan ruh dan jiwanya adalah ruh dan jiwa Islam. Jelas Islam bukan hanya tercatat sebagai perlembagaan Pas dan cita-cita perjuangan Pas. Pas bertahan dengan prinsip islamnya walaupun terpaksa menghadapi kekalahan dalam banyak siri pilihanraya sebelum ini. Pas bukan tidak berselera untuk menang dan memegang tanpuk kuasa dalam negara ini, tapi bagi Pas apalah ertinya kuasa jika Islam tidak dapat didaulatkan.

Politik hanya satu juzuk daripada tuntutan perjuangan yang ada dalam kerangka perjuangan Pas. Perinsip ini terus menjiwai perjalanan Pas melangkah berbagai era. Hatta dalam era "Informasi" yang dibanggakan ini pun Pas masih dengan perinsipnya. Era 80an menyaksikan Pas kembali berada di bawah kepimpinan Ulama. Dewan Pemuda ketika itu telah memberikan sumbangan yang cukup besar. Atas desakan mereka melalui muktamar pemuda, telah membentuk satu perubahan besar landskap perjuangan Pas. Masyarakat umum mula menyaksikan sayap perjuangan Pas mula menyentuh soal-soal Gerakan dan penghayatan Islam yang syumul. Tidak lagi hanya berkisar kepada soal-soal politik semata-mata. Ceramah-ceramah Pimpinan Pas yang menekankan aspek Akidah telah meniupkan kesedaran kepada masyarakat umum bahawa Pas benar-benar serius dan bersungguh-sungguh mengembalikan ummah kepada dasar-dasar Islam yang menyeluruh.

Dimana-mana kuliah ulama-ulama Pas dipenuhi hadirin. Peristiwa Memali dan cengkaman ISA tidak berjaya melemahkan semangat ahli-ahli Pas, bahkan mereka semakin yakin dengan perjuangan yang dipandu oleh Pas. Tindakan jahat kerajaan Umno semakin menampilkan wajah "Thoghut" mereka pada mata ahli Pas dan Masyarakat umum. Pas terus menapak. Kesenian pimpinan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor diadun dengan Pidato bersemangat Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan Kelembutan sentuhan kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta Kebernasan Pidato Abang Mad ( Mohd Sabu) telah menarik ramai orang untuk mengenali dan seterusnya menyertai Pas. Seiring dengan itu, gerakan-gerakan pelajar mula tumbuh dimana-mana dengan semangat "perjuangan Islam".

Disamping menghadapi kejahatan BN khususnya UMNO, Pas juga terpaksa bertarung dengan kumpulan-kumpulan Islam yang lain. Ada antara mereka secara terang-terangan menzahirkan mereka Pro Umno dan ada yang menamakan mereka jamaah Islam tetapi bertindak menyerang Pas. Pas dianggap tidak syumul dalam perjuangannya. Pas bergerak secara tidak sistematik, Pas masih tradisional dan tidak mampu menjuari zaman. Pas tidak syarie,kerana mengambil pendekatan Demokrasi. Sedikit sebanyak suara-suara itu menganggu perjalanan Pas, khususnya pelajar-pelajar yang mula berjinak-jinak dengan Pas di Pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Hingga berlaku rebut merebut ahli Usrah. Penampilan "elit" jamaah tersebut berjaya mencuri anak-anak usrah Pas yang seketika terlupa erti "berjamaah dan wala".

Dengan kehendak Allah..Pas berjaya membentuk kerajaan di Kelantan selepas Pilihanraya 1990. Sejak itu Pas terpaksa memperluaskan tingkapnya ( bukan hanya pintu dibuka) kerana menyambut "tetamu" yang datang dari segenap lapisan masyarakat. Parti yang dahulunya dilihat kolot dan tradisional mula dipuji dan didampingi. Benarlah kata seorang ulama; "tawanlah kerusi nescaya engkau akan lebih berjaya menawan hati". Alhamdulillah..akhirnya mereka-mereka yang sebelum itu agak geligeleman untuk berdampingan dengan Pas, kerana dilihatnya Pas hanya parti pak-pak lebai yang tidak punya wawasan,akhirnya dapat makan setalam. Kumpulan elit yang gagal membentuk "jamaah Islam elit" akhirnya terpaksa bertenggek di dahan Pas. Ramai antara mereka yang telah insaf bahawa jamaah Islam mestilah syumul sebagaimana Islam itu sendiri adalah agama yang syumul.

Namun malangnya..ada antara mereka masih tidak senang berketuakan sesetengah pimpinan Pas. Lalu dibentuknya Komuniti sendiri diatas "dahan Pas". Sesekali dilihat dari jauh mereka seperti sebahagian dari dedaun yang merimbun diatas pohon Pas. Namun bila diamat-amati rimbunan itu rupanya DEDALU yang sedang bertenggek dicelah dahan. Mereka ada ketua sendiri yang lebih mereka wala'. Mereka ada mesyuarat sendiri yang lebih mereka taati. Mereka ada wawasan sendiri yang sesekali dilontar dan jelas bertentangan dengan wawasan Pas. Justeru itu mereka tidak hairan dengan pimpinan Pas. Justeru itu tiada lagi adab dan hormat kepada pimpinan Pas. Kini rimbunan Dedalu itu semakin membesar. Benih-benih kecil mula bertenggek disetiap dahan. Percaturan disusun dengan rapi ...Tahniah kepada yang ikhlas bersama dengan Pas dan Awaslah kepada yang berniat khianat. Keterbukaan Pas bukan untuk dikhianati.Waspadalah sentiasa agar jamaah ini terpelihara daripada pengkhianatan.

2 comments:

ANAKSENGAT' ( aku tak rela diperdaya umNO) said...

tahniah ustaz...nak tumpang kongsi sama d www.anaksengat.blogspot.com harap ustaz izinkan...jazakallah

ANAK BAPAK said...

Mohon izin dari ustaz untuk ana copy dan pastekan dalam blog ana di:

http://anakbapak8385.blogspot.com/