23 September 2009

Selamat ketemu kembali ya Ramadhan..Ahlan Ya Syawal...

Jumaat 18 sept. adalah hari terakhir saya bermukim di
Sri Gombak. Setelah memenuhi program Khutbah di Masjid Lapangan Terbang Subang, kami kembali semula ke Kabin di sebelah Surau Ubudiyyah. Setelah mengemaskan kabin yang kami diami hampir sebulan itu, saya terus bertemu dengan "Pakcik Ibrahim",siak surau Ubudiyyah. Kepada beliau saya serahkan kunci kabin dan mengucapkan berbanyak terimakasih atas segala bantuan dan pertolongannya. Juga saya tak lupa mengucapkan berbanyak terima kasih juga kepada "pengerusi" dan Ahli jawatankuasa Surau Ubudiyyah. Hampir setiap petang kami berbuka di surau yang berkat ini dan setiap malam kami dibekalkan dengan air teh dan kueh muih. Jazakumullah hu Khairan Kathira.

Malam itu saya dijadualkan menyampaikan tazkirah di Surau Muttaqin. Tazkirah tersebut adalah program terakhir saya dalam kembara tazkirah tahun ini, dan juga merupakan tazkirah terakhir dalam jadual Surau Muttaqin. Alhamdulillah..surau yang memang terkenal dengan program ilmu ini tidak surut ahli jamaahnya walaupun malam terakhir dan telah ramai yang pulang kekampung. Ahli Jawatankuasa dan ahli jamaahnya sudah tidak asing bagi saya. Surau Muttaqin bagaikan surau kampung saya sendiri. Kerana disurau ini saya sudah berkuliah sejak akhir tahun 90an. Kepada mereka semua saya ucapkan jazakallah dan mohon kemaafan sempena Aidil Fitri yang mulia ini.

Malam itu selepas Tazkirah kami terus pulang ke Kuantan. Perjalanan melalui lebuh raya Pantai Timur dari Tol Gombak ke Tol Bentong sahaja mengambil masa selama 2 jam setengah. Ustaz Yusuf Embong bersama dengan kami. beliau baru sahaja menamatkan program tazkirah ramadhannya di Masjid Fatimah Az-Zahrah Ampang. Sudah agak lama kami tidak berkereta bersama. Dulu ketika sama-sama berada dalam Dewan Pemuda Pas Negeri, kami kerap menghadhiri mesyuarat bersama. Kebersamaan itu menjadikan kami sering disangka adik abang. Tambahan ketika itu kami sama-sama bertubuh gemuk. Tapi kini kami dah sama-sama menjenggah usia tua. Beliau pun dah ada cucu. Dalam perjalanan sejauh itu telah banyak koleksi cerita dan pengalaman yang adakalanya kami kumpul bersama dan tentunya banyak juga koleksi cerita yang kami simpan dalam album berasingan. Perjalanan bersama malam itu tidak banyak dipenuhi dengan cerita-cerita parti atau jamaah. Kami lebih banyak bercerita soal-soal umum sebagai renda perjalanan pulang.

Malam 1 syawal saya,isteri dan anak-anak telah berada di Rumah ibu di Madrasah An-Najjah Bukit Keledang. Ibu pada mulanya demam dan terbaring sahaja di katilnya. Tetapi setelah anak,menantu dan cucu-cucunya pulang, ibu kembali bertenaga dan boleh bangun bersama kami, seolah-olah tidak pernah demam sebelum itu. Hati ibu gembira barangkali dengan kepulanga kami. Saya berdoa agar Allah memberikan saya kekuatan dan kelapangan untuk sentiasa menghiburkan hati ibu.

Menghadiri Solah sunat Aidil Fitri di Masjid Bukit Keledang. Bahagian dalam masjid tersebut telah banyak perubahannya, namun keluasannya masih sama. Ahli Jamaah boleh dikatakan ramai dan memadati setiap ruangnya. Namun ketika bersalaman selepas khutbah, saya dapati hanya satu perempat daripada mereka yang masih saya kenali. Selainnya anak-anak muda yang tidak saya kenali. Yang tua telah ramai yang "tiada".Begitulah perjalanan usia. Dunia ini hanya tempat persingahan yang tidak akan kita lalui buat kali keduanya. Perjalanan "sehala" ini pasti ada penghujungnya.

Ketika menziarahi rumah mak saudara saya ( isteri kepada abang ayah yang sulung) sempatlah saya bertemu dengan sepupu-sepupu saya sebelah ayah. Abang Yah atau cikgu Abbas adalah sepupu saya yang paling kerap pulang berhari raya di kampung. Beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan. Selepas bersara beliau dilantik sebagai Pengerusi Parti Keadilan bahagian Bera. Justeru itu perbualan kami lebih banyak menjurus kepada soal-soal politik semasa. Sebelum saya meninggalkan rumah mak dhe ( panggilan bagi mak saudara saya) muncul pula seorang lagi sepupu saya. Adik kepada Abang Yah. Saya panggil beliau Abang Aziz. Saya masih ingat nama samaran beliau ialah "Ababina" atau Abdul Aziz bin Awang. Seingat saya, itulah pertama kami saya mengenali istilah nama samaran. Beliau kini menentap di Felda Kota Gelanggi 1. Sudah agak lama saya tidak menemui beliau. Kini anak-anaknya telah besar-besar belaka. Pastinya saya tidak kenal jika bertemu dimana-mana.

Saya menghabiskan hari raya pertama dirumah ibu dan kampung Bukit Keledang. Malamnya kami bertolak ke Felda Purun, berhari raya di rumah Ayah dan Ibu mertua pula. Kepada mereka saya salami penuh hormat. Saya mohon kemaafan dan keredhannya. Kerana perjalanan kesyurga Allah itu dihiasi dengan keredhaan mereka semua. Keesokannya harinya ( hari raya ke 2 ) saya sekeluarga bersama ibu dan kakak bersama anak-anaknya, berhari raya pula di rumah Abang saya yang kedua di Felda Kota Gelanggi 2. Abang tidak pulang ke kampung kerana tidak sempat menghidupkan road tex kenderaanya. Abang Him dan Kak Nik juga telah dimamah usia. Sudah pun mempunyai 5 orang cucu. Mereka juga tidak terkecuali terikut dalam putaran roda kehidupan ini,saya dan kita semua.

Setelah semalam dirumah abang, kami pun meninggalkan daerah Jerantut menunju ke Kuantan. Singgah sebentar di Jengka 4, menziarahi Ayah Haji Mahussain dan Mak Aji. Kedua-duanya telah uzur. Namun anak-anak beliau cukup mesra meraikan kunjungan kami. menjelang tengah hari kami pulang ke Kuatan..esok kami akan berhari raya pula di Batu 3 dan seterusnya menziarahi pusara ayah di Kelantan...Ya Allah terimakasih atas segala anugerahMu kepada kami dan selamatkan lah perjalanan kami...

__________________________________
Keterangan Gambar:

1. Kanan atas: Tazkirah di Surau Muttaqin Taman Melati
2. Kanan bawah: Saya bersama Cikgu Abbas dirumah Mak Dhe
3. Kiri Bawah: Saya dan Abang Aziz ( Ababina)
4. Kanan bawah: Anak-anak sepupu saya ( Anak2 cik Pah)
5. Kiri 2 dari bawah: Anak2 perempuan saya bersama kak nik, kakak dan anak saudara saya
6. Anak-anak lelaki saya bersama Abang Him dan cucu dipangkuannya.

No comments: