06 September 2009

Kembara Tazkirah,10 ramadhan yang kedua


INDAHNYA PERSAHABATAN,INDAHNYA PERSAUDARAAN DAN INDAHNYA PERJUANGAN DI ATAS LANDASAN YANG HAK.
_________________________
Al-Hamdulillah..Kita semua baru sahaja melepasi gerbang separuh Ramadhan yang kedua. Perjalanan menuju kemuncak keberkatan bulan yang mulia. Bergembiralah mereka yang sentiasa berupaya merebut kelebihan ibadah yang ditaburkan Allah dimana-mana, dan rugilah mereka yang alpa dengannya.

1,2 dan 3 sept lalu saya sempat mengisi jadual Tazkirah di Masjid Balok Makmur, Surau Sungai Isap Damai dan Masjid Balok kubah hijau. Menariknya bertazkirah di Balok Makmur ialah, bilamana pihak Masjid meminta saya bertazkirah diatas mimbar. Sesekali terasa macam khutbah malam hari. Di Sungai Isap Damai suraunya padat dengan jamaah. Walaupun surau tersebut sudah dibesarkan, namun masih belum dapat menampung limpahan jamaah Ramadhan. Tazkirah di Masjid Balok Makmur membolehkan saya bertemu sahabat-sahabat Hikam yang sudah agak lama tidak bersua. Alhamdulillah..Ramadhan merapatkan kita. Sama-sama kita lapangkan dada dan menerima sahabat kita seadanya sebagaimana ia menerima kita seadanya. Saudara Razak yang sudah lama saya tidak ketemu, kelihatan ceria, berbuka puasa bersama sambil Haji Hasyim sibuk melayani kami. Akhi Mohd Noor yang ditemui selepas solah witir juga sihat nampaknya.Alhamdulillah.

Pagi jumaat 4 Sept, saya terpaksa segera ke Kl, kerana tengaharinya saya diminta menyampaikan khutbah di Kampung Pandan. Surau Islah, namanya saja surau, besarnya mengalahkan Masjid. Di sini saya diminta menyampaikan Tazkirah sebelum solah, Khutbah dan seterusnya mengimamkan solah jumaat. Kiranya full pakej la.Terasa jugak penat, kerana sebelum itu saya telah melalui perjalanan yang jauh dari Kuantan. Namun kepenatan itu terubat, bilamana selepas solah saya dipertemukan Allah dengan sahabat lama Sdr Kamal, bekas kakaitangan Bank Negara. Lama sungguh saya tidak bertemu dengan beliau. Dahulunya diawal penubuhan An-Nuur, Sdr Kamal banyak membantu saya. Kami pernah bersama ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Berunei Darus Salam, bertemu dengan Dr Aziz Hanafi. Waktu itu cadang saya untuk memohon sumbangan derma daripada orang-orang Berunei. Tetapi sesampai sahaja kami disana, kami dimaklumkan beberapa bulan sebelum itu, ada orang dari Malaysia yang datang pungut derma di Berunei kerana mahu mendirikan pusat pendidikan. Tetapi kemudiannya orang-orang Berunei dapat tahu, sekolah tersebut tak ujud pun. Pengalaman mereka ditipu sebegitu, menyebabkan saya batalkan hasrat memungut sumbangan derma mereka untuk An-Nuur. Sdr Kamal jugalah yang menyiapkan replika An-Nuur dan susunaturnya beberapa hari sebelum kedatangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk merasmikan Pondok saya. Setelah agak lama terputus hubungan, tiba-tiba Ramadhan mempertemukan kami kembali. Terima Kasih sahabat atas persahabatan ini.

Sedang saya berbual dengan Kamal, tiba-tiba masuk Tuan Haji Arifin. Juga sosok tubuh yang telah lama terputus hubungan dengan saya. Hj Arifin berasal dari Kelantan, dan telah berpuluh tahun menentap di Kampung Pandan. Tiga orang anak Hj Arifin pernah belajar di Pondok saya. Selepas ketiga-tiga anak beliau menamatkan pelajaran, Haji Arifin tidak berkesempatan lagi untuk mengunjungi An-Nuur. Kini anak-anak Haji Arifin telah berumahtangga dan telah pun mempunyai cahayamata. Selamat berbahagian Tuan Haji.

Subuh 5 sept, saya dijadualkan menyampaikan tazkirah di Masjid Kota Damansara. Bersua pula saya dengan teman-teman kota Damansara. Sekitar waktu Dhuha, Pas Cawangan meminta saya menyampaikan sedikit tazkirah kepada penduduk flat Cempaka dan Tanjung. Di akhir program Pas Cawangan telah menyampaikan sumbangan kepada lebih 50 orang penduduk. Alhamdulillah, Allah pilih saya untuk menyertai program kebajikan anjuran mereka. Mudah-mudahan Allah menerima amal kebajikan Pas Cawangan tersebut.

Malam tadi ( 5 hb) saya bertazkirah pula di Masjid Al-Amin Bandar Hussain Onn. Keramahan sdr Ali dan teman-teman dari Al-Amin membuatkan saya tidak terasa asing. Selepas kuliah Iftar, kami berbuka bersama dan kemudian bersolat Taraweh bersama. Alangakah indahnya persaudaraan. Di surau ini saya bersua dengan seorang Pakcik tua yang pernah saya kenali 15 tahun dahulu. Dahulu beliau tinggal di Batu 3 Kuantan, dan berniaga koropok. Kemudiannya selepas saya berpindah ke Kuala Penor ( tapak pondok saya sekarang), beliau telah kembali menetap di kampung asalnya Besut Trengganu. Malam tadi kami bertemu kembali. Beliau teragak-agak untuk mendekati saya. Mungkin beliau bimbang saya tidak mengenalinya. Maklumlah beliau telah tua dan telah lama saya tidak bertemu dengannya. Namun bila saya datang memeluk bahunya, beliau terkejut. Sejurai airmata seorang tua menitis di kelopak matanya. Beliau terharu saya masih mengenalinya. Lama kami berbual. Rupa-rupanya beliau sekarang menetap bersama keluarga anak perempuannya diBandar Hussain Onn. Semoga Allah merahmati Pakcik.

Pagi tadi ( 6 Sept) saya langsung ke Bangi. Memenuhi jemputan kuliah subuh di Surau An-Nur Bangi. Surau yang diasaskan oleh Dato' Dr Harun Din ini tersergam indah. Ahli Jamaahnya ramai. Muslimin dan Muslimat berpusu-pusu ke Surau bilamana suara azan berkumandang. Selesai Kuliah seorang pemuda menghampiri saya. Raut wajahnya ceria tersenyum. Beliau bertanya samaada saya mengenalinya atau tidak. Lorat Pahangnya, segera mengingatkan saya kepada salah seorang anak usrah saya sekitar akhir 80an dahulu. Beliau ialah Nor Hisham dari Kampung Awah, Maran. Ketika beliau mengikuti usrah saya dahulu, usianya sekitar 15 atau 16 tahun. Alhamdulillah, anak Pakcik Sani ini telah berjaya melangkah jauh sehingga ke UK selama 8 tahun. Pemuda yang berkelulusan perakaunan dari UK ini masih istiqamah dengan jalur perjuangannya. Dalam perbualan kami selepas kuliah, beliau masih menyebut kemanisan berusrah, bertamrin dan bermukhayyam dizaman remajanya. Alhamdulillah anak muda ini tidak berganjak dari paksi perjuangannya. Beliau kini pengimport daging, dan membekalkan dagin beku untuk pasaraya Tesco,Mydin,Jusco dan Carrefour. Teruskan perjuanganmu anak muda, mudah-mudahan Allah melahirkan ramai lagi tenaga muda seumpamamu.

Itulah rakaman kembara Tazkirah saya dalam menempuh gerbang 15 hari yang kedua Ramadhan ini. Indahnya pertemuan,indahnya persahabatan dan indahnya istiqamah dalam perjuangan.

______________________________
Keterangan Gambar:
1. Atas kanan : Di Pejabat Pentadbiran An-Nuur
2. Gambar bawah kanan: Bertazkirah atas mimbar Masjid Balok Makmur.
3. Gambar 3 kiri: Berkhutbah di Masjid Islah Kg Pandan
4. Gambar 4 kanan: Penduduk Flat Cempaka K.Damansara
5. Gambar bawah kiri: Sumbangan kpd penduduk Flat.
6. Bawah kiri: Tazkirah di Al-Amin Bndr Hussain Onn.
7. Bawah kanan: Tazkirah di Surau An-Nuur Bangi.

2 comments:

Tabib Haji Norjae said...

Salam perkenalan buat Tuan rumah. Apakhabar ? Semoga kita mendapat lebih barakah di bulan Ramadan ini. :)

School Of Tots said...

Kembara tazkirah yg penuh barokah. Saya doakan ust sihat dan dicukupkan rezki.