21 March 2009

Secarik doa disyahdu malam untuk kalian sekeluarga...




SAAT MENGHADAPI MUSIBAH DALAM HIDUP INI, PASTINYA KITA
MERASA PERIT. TETAPI JIKA DIKENANG SELEPAS ITU KITA AKAN RASAI SEBUAH KEMANISAN YANG TIDAK TERHINGGA. ITULAH MANISNYA SEBUAH KESABARAN.
-------------------------------------------------------------
Gambar disebelah kanan ini ialah gambar saudara Zul. Saya mulai mengenali beliau ialah sekembalinya saya dari tahanan ISA empat tahun yang lalu. Ketika itu beliau datang mendaftarkan anak-anaknya ke Pondok saya.

Perkara pertama yang menarik perhatian saya terhadap beliau ialah saat kereta Honda Odessynya memasuki perkarangan pondok saya. Segera mata saya terpandangkan nombor plat hadapannya yang bermula dengan huruf PAS xxx. "Tentu orang kuat Pas ni" bisik hati saya. Perkara kedua yang membuka salam perkenalan saya dengan beliau ialah "keramahan" beliau. Semacam telah lama saya mengenali beliau.

Hubungan beliau dengan Ustaz Fadli ( Mudir An-Nuur) menjadikan beliau sering mengunjungi Pondok, disamping menziarahi anak-anak beliau yang belajar di sini. Pernah satu ketika saya dijemput berceramah di Kampung beliau, Berenjut bersama Sdr Azmil ( bekas pelakon filem Ali Setan). Sebelum ketempat ceramah saya dipelawa untuk makan dirumah beliau. Seperti yang saya kata, kermahan beliau menjadikan tiada jurang antara saya dan beliau.

Dua tahun lepas beliau mempelawa saya dan guru-guru An-Nuur mengikut beliau mencandat sotong diperairan Kemaman. Program tersebut menjadi salah satu kenangan manis dalam dairi saya. Sesekali berada dilaut luas dengan diulit deburan ombak dan desiran angin sungguh menyegarkan. Itulah pertama kali saya belajar mencandat. Sotong-sotong segar yang dicandat dikerat dan terus digoreng, sungguh lazat dan menyelerakan. Cumanya yang agak malang pada hari itu ialah kami terlupa membawa serbuk teh. Justeru itu kami terpaksa minum air panas yang hanya dicampur gula sahaja. Sungguhpun begitu kira-kira okey la.

Beliau pernah mengadu kepada saya mengenai isteri beliau yang mengidap sejenis penyakit. Beberapa kali beliau meminta saya solah hajat dan buatkan air penawar. Selain itu beliau selalu berulang alik ke KMC (Kuantan Medical Centre) untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut. Saya dapat lihat ketabahan beliau yang terpaksa menjaga isteri yang sakit, anak-anak yang sedang belajar, kerja yang selalu menuntut beliau Offshore dan dalam pada masa yang sama beliau sentiasa mengikuti program-program parti termasuk Demonstrasi.

Hampir Hari Raya Kurban tahun lepas, beliau ingin menyertai saya dan Ustaz Fadli ke Kemboja dalam misi kebajikan An-Nuur. Namun dengan takdir Allah, sekali lagi beliau diuji Allah, bilamana anak beliau (Hassan) yang menuntut diPondok saya mengalami kemalangan jalan raya yang agak serius. Sehingga jari kakinya terpaksa dipotong. Terpaksalah beliau membatalkan program ke Kemboja. Mereka sekeluarga terpaksa berkampung diKuantan untuk silih berganti menemani Hassan. Beberapa hari sebelum ke Kemboja, saya sempat melawat anak beliau di Wad ICU Hospital Ampuan Hafzan. "Beliau memang tabah menghadapi ujian Allah"..itulah kata-kata yang mampu saya ucap jauh didasar hati bersama secebis doa agar beliau sekeluarga sentiasa dirahmati Allah. Semoga penderitaan hari ini (didunia)memberikan kebahagian yang berkekalan pada hari esoknya (Akhirat).

Tengah hari tadi (21.Mac.2009) saya terbuka blog anak beliau ( berenjut.blogspot.com). Tiba-tiba mata saya segera menatap sekeping gambar beliau yang sedang berdiri memegang pancing mencandat sotong. Teringat saya sewaktu kami sama-sama mencandat sotong dua tahun lepas. Dalam gambar itu terpamir senyuman sdr Zul. Hati saya berbisik, disebalik senyum itu siapa tahu, beliau terpaksa menanggung bebanan perasaan. Hanya Allah yang tahu.

Saya mengajak sahabat-sahabat yang mengunjungi blog ini, marilah kita doakan kebaikan untuk sahabat dan saudara kita ini. Biarlah kita sama-sama menangis saat saudara kita menangis, sebagaimana dahulunya kita sama-sama ketawa saat kita bahagia.

Aminn Ya Rabbal 'Alamin.

1 comment:

Anonymous said...

Terimakasih Ustaz dan Syukur kepada Allah semuga Allah perkenan dan makbul doa tersebut..