30 March 2009

Minggu yang berbagai warna

Dua minggu kebelakangan ini saya terpaksa melalui aktiviti harian yang agak kurang tersusun. Biasanya saya akan susun jadual dan aktiviti sebulan atau dua bulan sebelumnya. Dengan itu saya dapat membuat persediaan lebih awal bagi satu-satu program. Namun disebabkan dalam saat menunggu kelahiran "orang baru", menjadikan jadual saya agak kelam kabut. Program jauh-jauh terpaksa ditangguhnkan dan program dekat pula terpaksa disusun secara sepontan. Isteri saya sepatutnya melahirkan cahayamata kami yang ke 10 seminggu yang lalu, namun hingga kini hanya terdapat tanda-tanda kecil sahaja yang menunjukkan akan bersalin.


Anak ketiga kami,Hasyimi Rafsanjani ( gambar di atas) yang pada asalnya menangguhkan jadual kembali ke Pesantren Langitan di Surabaya kerana mahu menunggu kelahiran adik baru, akhirnya terpaksa juga kembali kerana sudah terlewat mengakhiri cuti. Sambil-sambil mengisi program kuliah di Masjid dan Pejabat-pejabat, baru-baru ini sempat jugak saya menghadiri kursus blog yang dikendalikan oleh bloger pahang "cucu Mat Kilau". Banyak perkara baru yang saya dapat daripada kursus santai yang dikendalikan oleh beliau. Alhamdulillah.

Minggu ini jugak saya cuba selesaikan urusan yang berkaitan dengan cyber cafe dan bilik Komputer An-Nuur, Projek Ikan dagangan An-Nuur bersama LKIM. Sambil-sambil itu menyelia pembinaan Chalet An-Nuur yang dah pun hampir siap dibina,keseluruhannya 29 pintu. Dalam pada itu membuat hantaran ( Pos Laju) tempahan telefon Al-Quraan digital. Dengan pemasaran Talifon Al-Quraan ini dapatlah saya dahulukan mana-mana perbelanjaan An-Nuur yang tersangkut. Tak perlulah tercari-cari sana-sini. Alhamdulillah.

Hati memang melonjak-lonjak untuk menyertai teman-teman di Bukit Gantang. Tapi memandangkan Isteri dah "over due" dan bila-bila masa akan bersalin maka terpaksalah saya dengar cerita Bukit Gantang dan Selembau dari jauh. Kalau nak tinggalkan isteri tu boleh jugak. Namun memandangkan 9 kali isteri bersalin sebelum ini, hanya baru sekali ( ketika melahirkan anak yang keempat, 14 tahun yang lalu) saya ada disamping beliau saat penentuan hidup dan mati itu. 8 kali isteri saya melahirkan baby ketika saya berceramah dan berkuliah diluar. Kini masuk kali yang kesepuluh, maka tidak sampai hati pula untuk saya meninggalkan beliau sendirian.


Memandangkan 4 April nanti saya akan berangkat menunaikan Umrah, maka dua hari lepas ( Sabtu) kami berbincang dengan pihak "Pusat Rawatan Keluarga Al-Farabi" untuk mengambil langkah kelahiran paksa. Lagipun isteri saya telah melepasi tempoh jangkaan. Alhamdulillah pagi tadi ( Isnin), awal-awal pagi lagi kami ke Al-Farabi. Jam 8.30 isteri saya mula dimasukkan ke bilik bersalin, dan Jam 1.31 Tengah hari isteri saya selamat melahirkan baby perempuan seberat 3.3 kg. Petangnya saya menjemput anak-anak yang lain untuk melawat adik baru mereka. Anak saya yang ke 9 ( Kiswah Syaheedah Az-Zahrah) kelihatan sangat gembira dengan kehadiran adik baru yang sekian lama ditunggu-tunggunya. Alhamdulillah...bertambah lagi rezki dan amanah Allah untuk kami. Itulah perjalanan kehidupan. Kesedihan dan kegembiraan silih berganti. Dalam perjalanan usia yang jauh itu, pastinya kita akan tersungkur dan rebah berkali-kali. Namun yang penting setiap kali kita rebah dan tergelincir, kita bangun dan meneruskan perjalanan dengan sabar dan istiqamah. Melakukan kesilapan dalam kehidupan adalah perkara lumrah. Tetapi yang penting setiap kali tersasar, kita segera kembali kepada landasannya. Beruntunglah mereka-mereka yang ada "guru" dan "Sahabat" yang dapat memapah mereka untuk bangun setiap kali mereka rebah tersungkur.

21 March 2009

Secarik doa disyahdu malam untuk kalian sekeluarga...




SAAT MENGHADAPI MUSIBAH DALAM HIDUP INI, PASTINYA KITA
MERASA PERIT. TETAPI JIKA DIKENANG SELEPAS ITU KITA AKAN RASAI SEBUAH KEMANISAN YANG TIDAK TERHINGGA. ITULAH MANISNYA SEBUAH KESABARAN.
-------------------------------------------------------------
Gambar disebelah kanan ini ialah gambar saudara Zul. Saya mulai mengenali beliau ialah sekembalinya saya dari tahanan ISA empat tahun yang lalu. Ketika itu beliau datang mendaftarkan anak-anaknya ke Pondok saya.

Perkara pertama yang menarik perhatian saya terhadap beliau ialah saat kereta Honda Odessynya memasuki perkarangan pondok saya. Segera mata saya terpandangkan nombor plat hadapannya yang bermula dengan huruf PAS xxx. "Tentu orang kuat Pas ni" bisik hati saya. Perkara kedua yang membuka salam perkenalan saya dengan beliau ialah "keramahan" beliau. Semacam telah lama saya mengenali beliau.

Hubungan beliau dengan Ustaz Fadli ( Mudir An-Nuur) menjadikan beliau sering mengunjungi Pondok, disamping menziarahi anak-anak beliau yang belajar di sini. Pernah satu ketika saya dijemput berceramah di Kampung beliau, Berenjut bersama Sdr Azmil ( bekas pelakon filem Ali Setan). Sebelum ketempat ceramah saya dipelawa untuk makan dirumah beliau. Seperti yang saya kata, kermahan beliau menjadikan tiada jurang antara saya dan beliau.

Dua tahun lepas beliau mempelawa saya dan guru-guru An-Nuur mengikut beliau mencandat sotong diperairan Kemaman. Program tersebut menjadi salah satu kenangan manis dalam dairi saya. Sesekali berada dilaut luas dengan diulit deburan ombak dan desiran angin sungguh menyegarkan. Itulah pertama kali saya belajar mencandat. Sotong-sotong segar yang dicandat dikerat dan terus digoreng, sungguh lazat dan menyelerakan. Cumanya yang agak malang pada hari itu ialah kami terlupa membawa serbuk teh. Justeru itu kami terpaksa minum air panas yang hanya dicampur gula sahaja. Sungguhpun begitu kira-kira okey la.

Beliau pernah mengadu kepada saya mengenai isteri beliau yang mengidap sejenis penyakit. Beberapa kali beliau meminta saya solah hajat dan buatkan air penawar. Selain itu beliau selalu berulang alik ke KMC (Kuantan Medical Centre) untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut. Saya dapat lihat ketabahan beliau yang terpaksa menjaga isteri yang sakit, anak-anak yang sedang belajar, kerja yang selalu menuntut beliau Offshore dan dalam pada masa yang sama beliau sentiasa mengikuti program-program parti termasuk Demonstrasi.

Hampir Hari Raya Kurban tahun lepas, beliau ingin menyertai saya dan Ustaz Fadli ke Kemboja dalam misi kebajikan An-Nuur. Namun dengan takdir Allah, sekali lagi beliau diuji Allah, bilamana anak beliau (Hassan) yang menuntut diPondok saya mengalami kemalangan jalan raya yang agak serius. Sehingga jari kakinya terpaksa dipotong. Terpaksalah beliau membatalkan program ke Kemboja. Mereka sekeluarga terpaksa berkampung diKuantan untuk silih berganti menemani Hassan. Beberapa hari sebelum ke Kemboja, saya sempat melawat anak beliau di Wad ICU Hospital Ampuan Hafzan. "Beliau memang tabah menghadapi ujian Allah"..itulah kata-kata yang mampu saya ucap jauh didasar hati bersama secebis doa agar beliau sekeluarga sentiasa dirahmati Allah. Semoga penderitaan hari ini (didunia)memberikan kebahagian yang berkekalan pada hari esoknya (Akhirat).

Tengah hari tadi (21.Mac.2009) saya terbuka blog anak beliau ( berenjut.blogspot.com). Tiba-tiba mata saya segera menatap sekeping gambar beliau yang sedang berdiri memegang pancing mencandat sotong. Teringat saya sewaktu kami sama-sama mencandat sotong dua tahun lepas. Dalam gambar itu terpamir senyuman sdr Zul. Hati saya berbisik, disebalik senyum itu siapa tahu, beliau terpaksa menanggung bebanan perasaan. Hanya Allah yang tahu.

Saya mengajak sahabat-sahabat yang mengunjungi blog ini, marilah kita doakan kebaikan untuk sahabat dan saudara kita ini. Biarlah kita sama-sama menangis saat saudara kita menangis, sebagaimana dahulunya kita sama-sama ketawa saat kita bahagia.

Aminn Ya Rabbal 'Alamin.

20 March 2009

KEMANA ULAMA UMNO SAAT NAFAS UMNO SEMAKIN LEMAH?


Degup jantung Umno semakin lemah. Ternyata ubat yang ditelan bukan lagi penawar, bahkan racun yang menjalar keurat nadi. Saat mata jasad umno hampir tertutup, kemana perginya para Ulama Umno yang sekian lama menompang mencari sesuap rezki dipinggir periuk Umno?.

_________________________________________________

Beberapa bulan lepas saya mengandaikan Umno dihinggapi "Ostioporosis" atau penyakit kereputan tulang daripada dalam. Sebab pada zahirnya Umno kelihatan sihat bahkan agak tembam kerana vitamin dan zat "rasuah" boleh didapati dimana-mana. Walaupun sesekali kelihatan PAS,PKR dan DAP membelasah Umno, namun semua itu sekadar menselsemakan Umno sahaja. Kerana Umno mempunyai daya anti body yang boleh dikira kuat lebih-lebih lagi jika digaul bersama gas pemedih mata dan dimandikan dengan air penawar dari water cannon. Tetapi bila diserang penyakit daripada dalam tubuh Umno sendiri, akhirnya hari demi hari Umno semakin lemah. Mata makin kelabu untuk membedakan benar dan salah. Telinga semakin tuli untuk mendengar rintihan dan kehendak rakyat. Sehingga kini Umno sudah tidak ada tempat lagi untuk menyembunyikan keuzurannya yang semakin parah. Sehingga pak dukun pun tersalah letak azimat kat bawah meja Pak Lah.

Semua rakyat berbagai bangsa dan taraf pendidikan dah tau bahawa Umno yang sedang dirawat dalam Wad ICU sedang terkapai-kapai mencari "talian hayat" untuk terus bernafas. Dalam keadaan kelam kabut begitu, tiba-tiba sampai pulak berita yang "panglima" Melaka tertikam keris Tamingsari buatan sendiri. Akhirnya hasrat untuk bertarung dengan Tyson hancur berkecai. Apa lagi nak direbut jawatan dalam Kapal yang sudah hampir pecah itu?... Dah lama Tok Guru MB Kelantan beritahu, selagi Umno tidak mengambil Islam sebagai jalan perjuangan nya selagi itulah Umno akan terus dilanda masaalah. Bukankah apa yang Tok Guru selalu cakap itu benar-benar dah berlaku.

Apa yang menghairankan saya ialah, saat Umno meronta-ronta dengan segala penyakit dalamannya itu, tidak ada seorang pun ulama Umno yang tanpil menawarkan diri untuk pimpin solah Hajat perdana, memohon kepada Allah agar Umno diselamatkan dari marabencana. Ulama Umno sebenarnya banyak menyumbang kearah kegelinciran Umno. Kalau dulu kamu tegur dan Nasihat Pimpinan Umno agar kembali kepada Islam, jangan amalkan budaya gengster ketika berdepan dengan suara rakyat, jangan guna ISA, kerana ISA itu haram menurut Islam, Jangan sekat Kelantan untuk melaksanakan hukum Allah, tutup semua pusat-pusat perjudian dan maksiat serta jangan amalkan budaya Rahsuah dalam pemilihan Umno dan Negara..kalau dulu kamu nasihati mereka, taklah mereka separah ini sekarang. Dulu kamu hanya tahu bertenggek dibirai kawah untuk menjilat kerak-kerak nasi Umno, sekarang bila Umno dah terlantar, kamu tinggalkan begitu sahaja. Sekurang-kurangnya bacalah "Yassin untuk selamatkan Umno". Atau jauh disudut hati kamu merasakan macam suatu yang tak kena kalau baca Yassin dan sembahayang Hajat untuk selamatkan parti rasuah?".

Fikir-fikirlah bersama wahai saudaraku Ulama dalam Umno.