29 January 2009

Manisnya mengendalikan sekolah agama persendirian (siri 2)

DITENGAH-TENGAH KEPAYAHAN ITU PASTINYA ADA TALI PERTOLONGAN DARI ALLAH, DAN DITENGAH-TENGAH KEMANISAN ITU PULA PASTINYA ADA KENANGAN PAHIT,SEBAGAI UJIAN DARI YANG ESA.

Sejak tarikh itu bermulalah satu jalur perjuangan yang tidak mungkin diundurkan lagi. Apapun kepayahan dan kesukaran terpaksa dirempuh dan dipikul. Keringat,senyuman dan Air mata pastinya berbaur melatari background perjuangan ini. Namun itulah inayah Allah. Ditengah-tengah kepayahan itu Allah hulurkan bantuan dan pertolongannya melalui tangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas terhadap agama-Nya.

Sahabat-sahabat dari persatuan kebajikan kakitangan Islam bank-bank Kuala Lumpur (PERKIB) telah bermurah hati menghulurkan bantuan. Pelancaran derma pembinaan Pondok An-Nuur disusun disetiap bank-bank, pejabat-pejabat kerajaan,surau-surau dan masjid-masjid diseluruh Kuala Lumpur dan Selangor. Itulah kemanisan perjuangan. Dengan ukhuwah dan kejujuran segala kepayahan dan bebanan dirasakan ringan. Sehingga kini,setiap kali saya menatap persekitaran An-Nuur, akan menjelmalah wajah-wajah sahabat-sahabat dan individu-individu yang telah menyumbangkan pengorbanan dan pertolongan mereka kepada An-Nuur. Wajah tenaga-tenaga pengajar yang pernah dan sedang menaburkan bakti mereka kepada An-Nuur. Wajah-wajah tua tuan empunya tanah yang mewakafkan tanah mereka kepada An-Nuur. Tentunya kepada mereka semua, tiada yang diharapkan oleh mereka selain keredhaan Allah dan cintakan agama ini. Mengenang itu semua, terasa betapa kerdilnya sumbangan saya berbanding pengorbanan mereka semua.
Kerana itu, sehingga kini saya cukup berterima kasih kepada mereka semua. Hari ini An-Nuur sudah kelihatan cantik dan kemas berbanding dahulu. Namun itu semua tidak pernah menjadikan saya lupa kepada sumbangan sahabat-sahabat yang terdahulu. Di kampung ini dahulu ada Pak Andak Li,Paksu Daud,Pakde Awang,Pak Itam Berahim,Tok Empat Idris ,Pak Za,Abang Usop,Abang Umar dan Abang Pa. Pantang mereka mendengar Pondok mengadakan gotong royong,nescaya akan muncullah mereka seawal mungkin. Pak Andak Li dengan Chain-saw nya akan memotong batang-batang kelapa yang ditebang. Pak Uda awang dengan kudrat lemahnya yang diratah usia pasti datang menarik pelepah-pelepah kelapa untuk dibakar. Pak Itam berahim akan membawa cangkul menarah mana-mana rumput yang dilihat tumbuh liar dihalaman masjid An-Nuur. Pak Su Daud sambil terketar-ketar menyapu masjid sambil wajahnya sentiasa tersenyum. Abang Pa akan sibuk dibawah teduhan pohon kelapa menyediakan sedikit jamuan untuk semua. Manakala tok empat idris dan mereka yang lain sibuk mengali telaga dan membantu tukang-tukang membancuh simen. Kini sebahagian besar dari mereka telah tiada. Mereka telah pergi meninggalkan dunia ini, tetapi sempat memahat jasa ditugu kenangan An-Nuur.

Sekilas itu juga saya terkenangan jasa Ayah Man (belukar),Allahyarham Pak Ali dan Ayah Haji Yusof (Batu 3). Sejauh mana pun saya melangkah, jasa mereka tetap saya kenang. Ayah Man dan Ayah Haji Yusof dengan tekun akan memandu jauh menemani saya memungut derma. Mereka tidak pernah mengeluh. Bahkan hubungan "Ayah dan Anak" antara saya dan mereka bertinga sentiasa saya hargai. Mereka bukan sahaja memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha-usaha membangunkan An-Nuur,bahkan ketulusan mereka berkhidmat kepada agama ini sungguh saya kagumi. Waktu dinihari yang sejuk, kami masih bergerak dijalan raya. Pak Ali dengan ukuran kencing manisnya yang agak tinggi akan meminta Ayah Man atau Ayah Haji Yusof berhenti berkali-kali dimana-mana masjid atau stesen minyak untuk buang air. Namun kami semua tidak pernah jemu mengajak Pak Ali kemana-mana. Bahkan jika sesekali Pak Ali uzur sangat dan tidak dapat menyertai kami, satu kesunyian dan kehilangan dirasakan. Pak Ali pandai berceloteh, namun celotehnya celoteh agama. Kini Pak Ali telah tiada. Ayah Man dan Ayah Haji Yusof pun telah uzur. Namun mereka semua telah melakar sebuah lakaran yang berharga dalam sejarah An-Nuur.
Setiap kali saya menjenggah Masjid Lapangan Terbang Subang, hati saya akan menjadi pilu. Segera saya terkenangkan Allahyarham Ustaz Dahlan. Saya mengenali beliau pada tahun 1988. Ketika itu saya datang menyambut kepulangan ibu saya dari tanah suci. Sementara flight sampai kami sekeluarga berhimpun dimasjid lama lapangan terbang subang. Disebelah masjid beratap zink itu terdapat sebuah rumah kayu yang sederhana besarnya. Itulah rumah Ustaz Dahlan. Tidak sangka, perkenalan saya dan ustaz Dahlan pada hari itu telah menjalinkan hubungan "ayah dan anak" antara kami. Ustaz Dahlan yang mengistiharkan pelancaran derma untuk saya melanjutkan pelajaran ke Makkah. Beliau menyusun program kuliah dan khutbah bulanan saya di Masjid Subang. Sehingga hunbungan saya dengan sebahagian kakitangan MAS yang menjadi ahli jamaah tetap Masjid Subang,sangat mesra dan erat. Subang sebahagian dari kampung saya. Apabila beliau tahu saya akan membangunkan sebuah Pusat Pendidikan, maka beliau telah memberikan laluan kepada saya untuk menyampaikan khutbah setiap jumaat akhir bulan, dan semua kutipan derma hari itu akan diserahkan kepada tabung pembangunan An-Nuur. Program itu berlangsung berterusan, sehinggalah saya ditahan dibawah akta ISA. Ketika saya dalam tahanan, Allah memanggil Ustaz Dahlan kembali kepangkuan-Nya, dengan meninggalkan bakti yang besar kepada Masyarakat sekitar Masjid Lapangan Terbang Subang dan Pondok An-Nuur. Kini anak-anak beliau pula mengantikan tempat beliau, menyumbang bakti kepada Masjid dan An-Nuur. Anak-anak beliau terus menyambung hubungan "adik beradik" dengan saya hingga kini. Hubungan saya dan ayah mereka telah meninggalkan jejak yang disambung terus oleh Ustaz Fikri dan adik beradik beliau.
Ketika membicarakan kejayaan An-Nuur, saya pasti akan menyebut nama-nama sahabat dari PERKIB. Antara mereka ialah Tn Haji Halim, Ibrahim, Shafie Osman, Izzat,Fuad, Halim Dutch Bank,Kamal, Awang Bakar, Ustaz Salahudin Nasir, Anuar dan ramai lagi sahabat yang saya lupa nama mereka, namun wajah mereka tetap menghiasi album ingatan saya. Jasa dan sumbangan mereka cukup besar kepada An-Nuur. Mereka tidak pernah jemu dan penat membantu saya menyusun program samaada kuliah,forum atau ceramah. Tujuannya ialah mengisi tabung pembangunan An-Nuur. PERKIB juga pernah mengadakan jamuan sambil menderma dengan menumbangkan dua ekor lembu di Masjid Subang untuk mengisi tabungan tersebut. Atas bantuan PERKIB, An-Nuur pernah mengadakan pameran "pembangunan An-Nuur" di Masjid Jamik Bandaraya, satu program yang mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Malam itu saya dijemput menjadi Ahli Panel Forum bersama Ust Mujahid Yusuf Rawa. Itu semua adalah kenangan yang tidak pernah pudar saat saya menatap wajah An-Nuur.Raut wajah mereka yang telah cukup berjasa kepada An-Nuur sentiasa menjadi bait-bait doa, saat saya menadah tangan kepada-Nya. Kini sebahagian mereka masih dapat dihubungi, dan sebahagian yang lain tidak dapat dihubungi. Kerana itu apabila satu soalan diajukan kepada saya, mengapa saya masih terus keluar dan mengisi banyak program di Kuala Lumpur, sedangkan Pondok An-Nuur semakin membesar dan memerlukan tenaga saya sepenuhnya di sini. Kepada mereka saya katakan; saya mempunyai banyak kenangan indah dengan sahabat-sahabat di Kuala Lumpur. Saya tidak mahu pertalian dan kenangan itu putus dan terkubur. Selagi usia masih ada, saya tidak rela terputus hubungan dengan siapa pun sahabat yang pernah saya kenali,sekalipun mungkin antara saya dan mereka telah agak terpisah,dibatasi jarak,masa,peristiwa dan fitnah, namun saya tetap sayangkan mereka semua. Sebagai pernyataan sayang dan terimakasih saya kepada mereka, maka saya akan terus mengunjungi mereka,sekalipun mungkin saat-saat tertentu keadaan telah merubah keadaan dan pertalian tersebut. Namun saya tetap disini, meraikan sebuah persahabatan yang pernah terjalin. Menghargai jasa yang pernah tersiram dibumi An-Nuur.

Apabila sesekali saya membuka fail-fail lama dipejabat pentadbiran An-Nuur,segera jendela ingatan saya akan terkenangkan guru-guru dan kakitangan An-Nuur yang telah banyak berjasa kepada An-Nuur. Sdr Johari Wahid, adalah setiausaha pertama An-Nuur. Beliau adalah orang pertama yang menemani saya dalam pentadbiran An-Nuur. Dengan bantuan beliau lah pejabat pentadbiran An-Nuur beroperasi buat pertama kalinya. Kemudian hadir pula guru-guru dan tenaga pengajar pertama An-Nuur. Antara mereka ialah Ustaz Khalid,Ust Awang, Ust Nasir, Ust Md Redho,Ustazah Nurul, dan ramai lagi. Dengan gaji permulaan yang tidak seberapa, kami hidup bersama. Menghirup pahit getir yang silih berganti dengan keriangan dan kepuasan berkhidmat kepada Islam. Keringat bakti mereka semua cukup bermakna kepada sejarah An-Nuur. Semua itu tersusun rapi diatas rak kenangan An-Nuur. Saya dan guru-guru yang masih berkhidmat di An-Nuur akan terus mengilap semua kenangan itu, sebagai tanda terima kasih kami kepada mereka semua. Biarpun sesekali api fitnah sempat menyambar, namun tidak pernah saya biarkan api itu membakar jambatan persahabatan saya dan sahabat-sahabat semua.

Hidup hanya sebentar. Maka apakah dalam kesempatan hidup dan perjalanan yang ringkas ini kita mahu memenatkan diri dengan suatu yang lain selain daripada Islam dan Perjuangan?. Sama-sama kita bertanya kepada rasa yang berada jauh dilubuk dalam jiwa masing-masing. Alangkah manis mengendalikan pusat pendidikan persendirian. Kita dapat merasai manisnya perjuangan,kepayahan, persaudaraan dan manisnya kenangan.

YA ALLAH RAHMATILAH MEREKA SEMUA.

22 January 2009

Manisnya mengendalikan Sekolah Agama persendirian (siri 1).


14 Tahun lampau kawasan dipenuhi dengan pokok kelapa. Di penjuru tanah ini, berhampiran dengan sebuah kolam kecil terdapat kandang kerbau. Kelihatan tanah yang bercampur dengan najis kerbau mengalir bersama air hujan mengalir ke Kolam tersebut yang dipenuhi dengan pokok mengkuang yang agak subur. Kedudukan tanah ini agak jauh tersisih dari jalan besar, menghala ke sebuah tanjung. Dikanannya sungai Penor dan dikirinya pantai Laut Cina Selatan. Suasananya agak sunyi, walaupun sesekali digegarkan dengan bunyi pesawat terbang yang TUDM yang membuat latihan dilapang sasar yang terletak diseberang sungai.

Disatu petang pada tahun 1990, buat pertama kali saya datang ke Kampung ini. Ketika itu saya masih menuntut di Makkah. Ustaz Hamid ( Allahyarham) yang mengajar di Sekolah Agama Maran telah menjemput saya di Temerloh. Beliau meminta saya menyampaikan ceramah Isra' dan Mikraj dikampung mertuanya,di Kuala Penor Kuantan. Nama kampung tersebut sedikit asing kepada saya. Dalam perjalanan ke Kuantan saya bertanya kepada beliau asal nama Penor. Sambil tersenyum beliau menjawab, "ana tak berapa kenal sangat Penor ni ustaz. Yang ana kenal hanya "orang penor" je..". Saya turut tersenyum, kerana perkataan "orang Penor" itu tentunya dirujuk kepada isteri beliau yang baru dikahwininya. Saya berkira sorang-sorang mengenai nama "penor". Akhirnya saya katakan kepada ustaz Hamid; "mungkin diambil dari perkataan "Pannur" kot ustaz..Pan bermakna Ilmu dan Nuur bermakna cahaya" . Ustaz Hamid hanya sengih sahaja. Perbualan kami mati seketika. Saya mengambil peluang menghayati keindahan hamparan pantai dan deburan ombak disepanjang perjalanan itu.

"Sampai dah kita ustaz di Kampung Penor", tiba-tiba ustaz Hamid bersuara,sekaligus mematikan lamunan saya. Ketika kereta kami membelok kearah sebuah jambatan kecil,satu pemandangan waktu petang yang indah terbentang dihadapan kami. Kawasan sawah yang luas yang bersambung terus dengan pantai yang hanya dibatasi batasan tanah tinggi berpasir. Kerbau-kerbau yang sedang leka meragut rumput mendonggakkan kepala memandang kearah kami. Nun disana pepehon nyiur melambai dupuput angin petang. beberapa orang kanak-kanak sedang bersorak riang dipantai dengan ditemani ibu bapa mereka. "Cantik tempat ini ustaz"..kata saya,sambil mengkagumi pemandangan yang terlukis indah dikanvas alam cimptaan Allah. "Ya,memang cantik"..balas Ustaz. Kemudian kami melewati kebun kelapa yang bertanah lapang. Rumput hijau diteduhi rimbunan kelapa yang dilatari pemandangan laut china selatan menarik perhatian saya. "Kalau lah dibangunkan pusat pengajian disini,alangkah tenang ye Ustaz", tambah saya lagi sebagai menghargai keindahan alam cimptaan Allah. "sungguh ustaz"..balas ustaz hamid.

Sesungguhnya tidak kami sangka,perbualan ringkas pada petang tersebut, akhirnya menjadi kenyataan 4 tahun kemudiannya. Namun dengan takdir Allah juga,Ustaz Hamid tidak sempat melihat perbualan sepontan kami petang itu dimakbulkan Allah. Alhamdulillah dan Mahasuci Allah,Dialah Tuhan Yang Mendengar segala rintihan hambaNya.

Dengan perasaan yang sangat berat,ditambah pula dengan kelemahan diri dan ilmu, akhirnya saya menerima pandangan sahabat-sahabat yang mahukan ujudnya sebuah pusat pendidikan Islam yang berkonsepkan Pendidikan Pondok tradisional dan garapan kurikulum moden. Kepada Allah saya memohon kekuatan. sebelum itu saya mengadap Tuan Guru Haji Hasyim, guru saya, mohon pandangan, nasihat dan redhanya. Al-hamdulillah..walaupun Tok Guru tau sebanyak mana sangatlah ilmu saya untuk membuka pondok, namun beliau tetap memberikan dorongan dan semangat. Saya masih ingat diantara kata-kata beliau ialah; "Mokhtar..ingat, bila mengendalikan Pondok, tawakkal kepada Allah adalah perkara no 1, sabar menghadapi kesulitan, dampingi Allah, kerana banyak ujian dan fitnah. Jangan sibukkan diri dengan suatu yang lain selain dengan mengajar dan mentalaah. Jangan mudah marah dengan anak-anak murid. Jangan jemu dengan kerenah ibu-bapa. Jangan sombong dengan orang jahil dan jangan menonjolkan diri dikalangan orang alim. Amal selalu wirid ini (sambil beliau bacakan kepada saya wirid yang selalu tokguru baca lepas subuh),Insyallah, Allah akan murahkan rezki..."
Itulah pesanan tokguru. Masih terpahat kukuh hingga kini,bahkan saya tuliskan didalam sebuah buku. Tulisan itu akan saya baca bila saya teringatkan tokguru.

Akhirnya dengan sokongan sahabat-sahabat dalam jamaah, pelancaran derma pembinaan Pondok An-Nuur di lancarkan di Masjid Alfatah pada jumaat malam sabtu awal bulan June 1994.

bersambung

17 January 2009

Guru ku telah uzur,namun jasamu semakin subur dalam hati ku.



TANPA MU GURU,SIAPALAH AKU. ILMU YANG GURU CURAHKAN DALAM TAKUNGAN HIDUP KU,BAGAI AIR JERNIH YANG HENING,PENGHILANG DAHAGAKU DUNIA DAN AKHIRAT.

-------------------------------------------------------------- ------

Semalam 16.Januari.2009 (Jumaat) ketika sampai ke Kelantan, sahabat saya Ustaz Zulkifli, Imam Masjid Pondok Pasir Tumboh telah meminta saya menyampaikan Khutbah jumaat mengantikan beliau. Walaupun agak sibuk dengan urusan membeli kitab-kitab untuk pelajar-pelajar saya, namun permintaan menyampaikan khutbah di Masjid Pondok sukar untuk saya tolak,walau dengan apa alasan pun. Kerana Pondok Pasir Tumboh adalah madrasah pertama saya mengenai diinullah, kampung tempat saya menghabiskan sebahagian usia remaja, dan disamping itu saya mempunyai pertalian yang tidak akan putus sampai keakhirat, iaitu pertalian saya sebagai murid dan tok-tokguru saya sebagai guru. Kesempatan untuk menziarahi mereka tidak akan saya lepaskan, sekalipun saya tidak diminta menyampaikan khutbah disitu. Mereka adalah guru dan ayah saya. Saya wajib menghormati mereka selamanya.

Sebelum bertolak ke Pondok Pasir Tumboh,terlebih dahulu saya menziarahi Tuan Guru Ishak, mudir Pondok Gelang Mas, Pasir Mas ( Isteri beliau dua pupu saya). 20 tahun yang lalu saya kerap berulang alik kesurau beliau ditapak pondok Gelang Mas sekarang. Ketika itu kawasan pondok tersebut masih kebun getah. Di tengah kebun getah itu dibangunkan sebuah surau kayu, tempat orang kampung berjamaah. Biasanya saya akan kesurau itu petang khamis ( cuti mingguan pondok Pasir Tumboh ialah mulai petang khamis hingga petang jumaat) selepas mengikuti pengajian dengan Baba Aziz di Kampung Bunut Payung,bersama dua orang sepupu saya ( kini kedua-dua mereka adalah menantu kepada Tuan Guru Haji Musthafa,pengasas Pondok Pasir Tumboh).

Selepas Maghrib Tuan Guru Ishak akan membaca kitab Furu' Masaail untuk jamaah kampung. Kami akan duduk ditepi dinding sahaja kerana memberi peluang kepada orang kampung menadah kitab. Selesai solah Isyak dan selepas naik kerumah seketika, beliau akan turun semula membaca kitab untuk kami bertiga. Mula-mula beliau akan baca kitab 'ianatut Tholibin dan kemudian akan baca kitab Nahu, Qatrunada. Kadang-kadang kelas ini akan berlanjutan sampai jam 1 pagi. Bila sudah terlalu mengantuk beliau akan bersandar seketika pada tiang sambil berkata; " kita tidur sebentar, lepas ni kita sambung balik...". Lebih kurang 15 hingga 20 minit beliau akan tersedar kembali dan menyambung semula pengajian. Begitulah keadaan kami sehingga tamat kedua-dua kitab tersebut. Walau jam berapa kami selesai mengaji, kami akan balik ke Lambor ( kampung asal kami ) kerana selepas subuh hari jumaat kami akan menadah kitab pula dengan Tuan Guru Haji Rani ( Sepupu ibu saya ). Beliau akan baca kitab Tauhid "Hudhudi 'ala Tahrir" dan Fathul Mu'in". Biasanya selepas kelas tersebut saya akan pulang ke Pasir Tumboh berasingan dari kedua orang sepupu saya tadi. Ini adalah kerana kedua mereka akan pulang semula ke Pondok petang nanti, kerana terpaksa membantu keluarga di sawah. Manakala saya pula dalam perjalanan pulang akan singgah di Kota Bharu untuk mengikuti kuliah tafsir yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Hampir waktu solah jumaat semalam saya pun meminta diri dari Tuan Guru Ishak. Dalam keadaan yang semakin dimamah usia, beliau menghantar kami kehalaman masjid pondok beliau. Saya tinggalkan beliau dengan doa agar Allah memberkati hidup dan matinya. Kemudian saya bersama teman yang bersama saya terus bertolak ke Pondok Pasir Tumboh. Selesai menyampaikan Khutbah dan solah jumaat saya sempat bertemu dengan Tuan Guru Haji Hasyim ( beliau adalah adik ipar kepada Tuan Guru Haji Musthafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz ). Beliau sudah uzur benar. Bersama dua tongkatnya sambil dipapah oleh cucu menantunya Ustaz Naim ( rakan sepengajian saya ). Saya salami dan cium tangan Tok guru. Hati saya merasa sebak dan berbisik," sudah sejauh ini perjalanan hidup mu wahai guru. Berbahagia lah guru disana nanti atas taburan bakti kepada agama Allah swt". Wajah jernihnya saya tatap, sambil mohon restu dan doa keberkatan untuk saya. Bersama saya ketika itu Ustaz Taib Azamuddin ( bekas imam Masjid Negara ) juga bekas murid Pasir Tumboh. Sambil berbual saya urut tangan tok guru, saya curahkan tanda kasih saya kepada guru yang sangat berjasa kepada saya. Jasa yang tidak mungkin dapat saya balas sampai bila-bila.

Masih saya ingat saat tokguru masih sihat. Awal pagi beliau telah mengimamkan solah subuh. Selesai solah subuh beliau akan memimpin kami dalam wirid yang panjang, sehingga naik matahari. Sesudah itu beliau akan balik untuk sarapan. Kemudiannya jam 8 pagi beliau akan bersandar ditiang "surau tengah". Kami akan bersila dengan hormat disekeliling tokguru. Begitulah kami bersama tokguru bertahun lamanya, sehingga menghabisi kitab "Siraajut Tholobin" (Syarah Minhajul 'Abidin). Tengah hari tokguru mengajar lagi. Lepas Asar tokguru akan baca kitab Nahu "Jawahirul Maknun". Kemudian kami akan menandah lagi dengan tok guru kitab tafsir "Al-Jalalaini" selepas Maghrib. Begitulah ketekunan tokguru membimbing kami. Kini tokguru telah uzur. Namun sinar mata dan kejernihan wajahnya tetap segar menyinari hidup saya. Sebelum meminta diri, sekali lagi saya cium tangan tokguru. "Tokguru..restuilah ana, doakan ana tokguru"..ujar saya sebelum bangun meninggalkan beliau yang kemudiannya meneruskan wiridnya sehingga solah Asar.

Ketika berjalan keluar dari Masjid saya bertembung pula dengan Abang Lah ( gelaran kepada seorang lagi tuang guru saya). Sambil berdiri dalam keadaan menggigil kerana keuzurannya saya cium tangan abang Lah. Tubuh lemahnya saya peluk, tanda betapa sayangnya saya kepada beliau. Dengan senyum abang Lah menyapa saya; "mari bila?". Semalam jawab saya, sambil tangannya terus saya genggam. Saya tatap wajahnya. Sejuta kedut didahinya menceritakan betapa sudah jenuh langkah hidupnya. Terkenang saya 15-20 tahun yang lalu. Selesai wirid subuh kami akan berkerumun disekeliling Abang Lah. Kami akan catat didada kitab "Iqna" setiap kalimah penting yang keluar dari bibirnya. Selesai membaca kitab Iqna', Abang Lah akan sambung pula dengan Kitab Nahu "Ibnu Aqil". Bersama Abang Lah, saya pernah belajar seorang sama seorang ( bermakna saya dan beliau sahaja) tetapi kemudiannya kelas kami berdua diikut serta oleh Ustaz Ramli ( kini mudir Pondok Al-Islahiyyah Pasir Putih). Saya minta Abang Lah bacakan untuk saya kitab Qawaied Fiqhiyyah "Asyhbah wan Nazaaeir" dan kitab "Mahalli". Abang Lah cukup tekun dengan tugasnya. Pada tahun pertama Ihtifal Pondok saya, Abang Lah datang bersama rombongan dari Pasir Tumboh, memberikan sokongan moral kepada saya.

Kini Abang Lah telah uzur. Kata-katanya sudah tidak jelas. Namun dari raut senyum wajahnya, saya tahu, abang Lah gembira melalui hari-hari tuanya. Masakan tidak..sebahagian besar bekas pelajar Pasir Tumboh yang bertaburan dibumi Malaysia ini adalah anak muridnya. Sebelum beredar, sekali lagi saya peluk Abang Lah dan saya cium tangannya. Terima kasih guru ku. Guru-guru ku telah uzur, namun ilmu yang ku kutip dari mereka tetap subur selamanya..Ya Allah, rahmatilah guru ku.