11 October 2009

Ilmu Pemangkin kepada adab,idea dan segalanya..


Dalam melalui jadual harian yang agak padat, sempat saya meneroka beberapa blog teman-teman dan sahabat diserata dunia. Tulisan teman Bloger di Malaysia kebanyakannya berkisar berkaitan pilhanraya kecil di Bagan Pinang.Semua itu saya baca dengan penuh minat, kerana saya sendiri tidak berkesempatan untuk kesana. Cuma sekadar memberi bantuan dalam bentuk yang lain , dari hadir bersama teman-teman yang berkampung disana sejak selepas raya yang lalu. Dalam banyak-banyak laman yang saya jelajahi, saya agak tertarik dengan sebuah atikel yang menyebut "Ibrahim Ali lebih bijak"... Penulis menyorot berita mengenai desakan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan agar Ibrahim Ali melepaskan jawatan kerana ternyata "simulut celupar" itu sudah jelas tidak seiring dengan Pas. Penulis memberikan komen sebaiknya Tok Guru berdiam diri sahaja. Kerana kononnya jika Tok Guru terus membuat desakan, semacam mengembalikan ingatan umum yang kedudukan Ibrahim itu pun direstui oleh Tok Guru juga asalnya. Jadi penulis mahu menasihati Tok Guru agar jangan membuka pekung sendiri.

Yang kedua, penulis menyebut Ibrahim Ali lebih bijak dari semua orang Pas. Hujjahnya Ibrahim Ali berjaya menipu dan membohongi sikap sebenarnya dari pandangan pimpinan dan ahli-ahli Pas, termasuk semua pengundi Pas dalam kawasan Parlimen Pasir Mas. Selanjutnya Penulis mengemukakan semacam kesimpulan bahawa Pas tidak layak menerajui negara ini kerana pimpinannya mudah ditipu oleh musuh.

Beliau juga menyebut; "sesungguhnya pemimpin yang berpolitik menerusi Agama sangat beruntung, keberuntungan mereka adalah kerana, walaupun sudah melakukan kesalahan tetapi dengan memetik beberapa potong ayat Al-Qur'an dan Hadis, maka para penyokong akan mudah menerima penjelasan kenapa kesilapan itu perlu dimaafkan.Kalaulah kesilapan itu dilakukan oleh politikus biasa, kemunkinan besar tokoh tersebut terpaksa melepaskan jawatannya, sementelahan pula tokoh tersebut sudah lanjut usia serta sering diserang berbagai penyakit".

Dengan bahasa di atas, siapa pun dapat memahami maksud tersirat yang hendak diluahkan oleh penulis. Maksudnya Pas dan pimpinannya selama ini memperalatkan ayat-ayat Al-quraan untuk kepentingan parti, walaupun antara ayat dan perjuangan parti itu tidak sejajar dan sejalan.

Sebenarnya saya sangat kesal dengan tulisan ini. Pertama kerana kebenaran yang kononnya diperjuangankan oleh penulis tersebut tidak bertunjangkan kepada apa-apa nas selain akal dan pengamatan sendiri. Saya pasti penulisnya bukan seorang wartawan seperti Sdr Sayuti Omar yang tajam pengamatannya atau seorang politikus seperti mahfuz Omar yang petah berhujjah dan jauh sekali sebagai seorang ahli agama seperti Tuan Guru Nik Aziz yang sentiasa tenang dalam zikrullah. Pertama beliau menyebut Ibrahim Ali lebih
bijak. Apakah sebenarnya difinasi bijak pada perkiraan penulis?. Difinasi itu dirujuk kepada kamus "barat" atau kamus "islam" beserta takrifan para ulama"?. Atau sekadar dirujuk kepada perkataan "bijak" yang sering diguna oleh pertuturan orang kampung, yang sering menyebut; "pencuri yang mencuri malam tadi memang bijak, sebab tidak meninggalkan apa-apa kesan". Difinasi mana yang diguna pakai oleh penulis pun saya tidak pasti. Jika kepandaian Ibrahim Ali berlakon, menipu dan berpura-pura itu dianggap bijak, ternyata difinasi yang digunapakai oleh penulis adalah difinasi "orang kampung". Maka layakkah sebuah "kebenaran" di tegakkan diatas difinasi yang serapuh itu?. Bijak kah kerja-kerja menipu?.Bijak kah mengabaikan amanah dan kepercayaan?.


Penulis semacam merendahkan Tok Guru kerana mendesak Ibrahim Ali melepaskan jawatannya. Penulis menyarankan lebih baik Tok Guru berdiam diri daripada terus mendesak Ibrahim. Tahukah penulis bahawa Ibrahim Ali telah mencarik amanah. Ibrahim Ali diundi oleh pengundi Pasir Mas bukan kerana dia "Ibrahim Ali". Ini terbukti dalam pilihanraya kecil pengkalan Pasir, Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas, tersungkur dibumi Pasir Mas dihadapan anak beranaknya. Ini bermakna amanah yang digalaskan atas bahu Ibrahim itu amanah Pas bukan amanah Ibrahim. Mencabul amanah adalah "kemungkaran". Ini bermakna Ibrahim menyandang sebuah jawatan yang mungkar dan haram. Lalu Tok Guru selaku Ulama, wajib menegur dan memperingatkan Ibrahim. Maka apakah penulis merasakan berdiam diri dari menegur sebuah kemungkaran itu lebih baik dari mencegahnya?. Hujjah agama apa yang dipakai oleh penulis?.

Seterusnya penulis semacam merendahkan pas dan Pimpinan, khususnya Tok Guru kerana mempercayai Ibrahim Ali dan mudah terpedaya dengan lakunannya. Justeru itu "bahaya" jika Pas menjadi Perdana Menteri. Inilah sifat "berlapang dada" yang ada kepada pimpinan Islam yang tidak ada kepada pimpinan Umno.Pas tidak pernah berdendam dengan siapa pun, apabila mereka telah kembali kepangkuan kebenaran. Berapa ramai pimpinan Semangat 46 dan PKR yang ketika berada dalam UMNO dahulu yang belasah Pas. Namun apabila mereka tersingkir dari UMNO dan datang kepada Pas dalam ikatan "tahalluf", Pas meraikan kehadiran mereka. Ini berbeza dengan UMNO. Apabila Tengku Ghazali Hamzah kembali kepada UMNO semula, apa layanan Mahathir kepada Tengku?.

Penulis pernahkah membaca sejarah pengkhianatan golongan Yahudi di Madinah?. Bukankah sebelum itu mereka mengadakan perjanjian dan persefahaman dengan Rasulullah saw. Sekali lagi saya ulangi, mereka mengadakan perjanjian damai dengan Rasulullah, bukan dengan Tok Guru Nik Aziz. Penulis pernahkan membaca kesah "Yaumul Raji'". Dimana beberapa orang para sahabat Rasulullah saw telah terbunuh termasuk Khubaib bin Adi kerana telah dikhianati oleh beberapa kabilah musuh yang memperdaya Rasulullah saw dan Para sahabat?. Saya kemukakan kesah ini bukan bermaksud kita harus merelakan diri diperdaya berulang kali. Namun sekadar untuk mengingatkan kita betapa pentingnya berhati-hati dengan sebuah pandangan dan idea. "Memang bagus tidak peduli apa orang kata' kalau kita benar-benar bediri dengan hujjah kebenaran yang kukuh. Tapi jika kita tidak punya apa-apa hujjah, kemudian tidak peduli apa orang kata adalah "keanggkuhan".


Terakhir, penulis blog tersebut menganggap Pas dan pimpinannya selama ini "bermain" dengan ayat-ayat Al-Quraan dan Hadis untuk kepentingan pimpinan dan parti. Saya kira sampai sahaja pada kalimah ini , ianya telah benar-benar menelanjangkan kedangkalan penulis terhadap kaedah penghujjahan di dalam Islam. Saya yakin penulis gagal memahami sistem pendalilan yang diprektikkan di dalam Islam. Saya yakin Penulis gagal memahami Tafsiran Al-Quraan dan Usul Fiqh serta Ulum Al-Hadis. Saya juga yakin Penulis tidak pernah berada dalam Pas dengan keberadaan yang sebenar. Penulis hanya membaca akhbar, blog dan berita TV kemudian berbincang dengan fikiran sendiri. Akhirnya saya meminta Penulis membuktikan ayat yang telah dimanipulasi oleh Pas untuk kepentingan hujjah mereka. Saya mohon satu sahaja bukti...


Wassalam. Subuh 11.Oct.2009

04 October 2009

Munculnya satu persatu tanda2 hampirnya kiamat.


Dunia sedang menyaksikan berlakunya satu persatu bencana besar yang muncul ditengah-tengah kehidupan manusia moden yang sudah benar-benar kehilangan arah. Manusia yang teraba-raba mencari hakikat kebenaran dan kedamaian sedangkan Al-Quraan yang dibekalkan Allah kepada mereka tidak dihiraukan.benarlah sabda Nabi saw

فى هذه الأمة خسف ومسخ وقذف فقال رجل من المسلمين يا رسول الله ومتى ذاك ؟ فال اذا ظهرت القينات والمعازف وشربت الخمور



Maksudnya:

Akan terjadi di akhir zaman penenggelaman bumi, hujan batu dan pengubahan rupa. Seorang lelaki bertanya kepada RasuluLlah saw; Bilakah itu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda bersabda; Apabila muzik dan penyanyi wanita berleluasa serta Arak dianggap halal".(1).

Akhir abad ke 20 dan awal abad ke 21 merupakan tahun yang paling banyak membuktikan benarnya kenyataan Rasulullah saw. Kecanggihan peralatan manusia moden tidak mampu memberikan apa-apa penyelesaian kepada bencana ini. Gempa bumi yang berlaku di Kobe pada tahun 1995 membuktikan perkara tersebut. Jika bencana tersebut berlaku di negara yang miskin dan mundur, maka tentu ramai yang akan beranggapan ianya disebabkan ketidak mampuan negara tersebut memiliki peralatan pengesan gerak bumi. Tetapi apabila ianya berlaku dinegara maju yang mempunyai berbagai peralatan dengan disokong pula oleh kepakaran pakar-pakar, maka apa lagi alasan mereka untuk menidakkan "bala dari Allah itu?". Masih degilkah kita untuk mengakui "keperkasaan Allah" dan "kealpaan diri terhadap ajaranNya?".

Bencana yang berlaku serentak di Samoa,Padang, Australia,dan Filipina beberapa hari yang lalu sepatutnya menyedarkan kita betapa hebatnya kuasa Rabbul 'Alamin. Seorang petugas di Padang melapurkan ;

"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S. Pakaya yang dipetik detikcom, hari ini."
Islam melihat kemusnahan itu semua adalah berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia itu sendiri. Manusia yang lalai terhadap peringatan Allah. Di negara kita sendiri dapat kita saksikan betapa kemaksiatan dan kemungkaran diberikan "kebenaran" manakala kebaikan dan kesolehan dihalang-halang dan disekat. Munculnya badan-badan dan kumpulan yang terang-terangan menghina Agama Allah dan hukumnya. Setakat ini hanya PAS dan badan-badan NGO yang membantah keceluparan SIS dan JAG. Dimana "bantahan kerajaan"dan UMNO? yang mewar-warkan "negara Islamnya itu". Dimana bantahan "Harussani?. Dimana bantahan Firdaus Al-Hafiz?. Apakah mereka mahu memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada kedua-dua "Pertubuhan Jahil" ini menganyang Islam sepuas-puasnya?. Kemudian selepas itu mereka bersedia menunggu datangnya "bala daripada Allah?.
Sesungguhnya Gempa Bumi, Taufan, munculnya manusia yang mengaku menjadi Nabi, Lahirnya manusia-manusia yang jahil yang bercakap tentang agama serta bisunya para-para ahli Agama adalah ramuan yang memperlengkapkan lagi dalil hampir sudah Kiamat menjelma. Maka kembalilah kita segera kepada perintah agama. Kerana disitulah jalan kesejahteraan yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambaNya.
_________________________________
(1). Riwayat Imam Turmuzi dalam sohehnya di dalam bab "Al-Fitan" hadis dari Imran bin Hussain. Ibnu Majjah juga meriwayatkan hadis ini, juga dalam Bab "Al-Fitan" dari Sahl bin Sa'ad. Manakala Imam Thabaroni meriwayatkannya dalam "Majmu' Al-Ausat". hadis ini dihukukkan Hadis Soheh.
(coretan dinihari)

02 October 2009

Rombakan jadual demi An-Nuur


Sebagaimana yang saya janjikan sebelum ini bahawa saya akan merombak sebahagian besar jadual kuliah umumi saya demi memberikan tumpuan kepada An-Nuur, kini langkah-langkah awal rombakan telah pun disusun. Dengan membatalkan kuliah dibeberapa buah surau dan Masjid disekitar Kuantan, Pekan dan Kuala Lumpur, kini saya mempunyai masa yang agak luas untuk memberikan tumpuan kepada pentadbiran da n pendidikan. Penyusunan semula kelas Khusus Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan penambahan aliran vokesional diharapkan kurikulum An-Nuur akan lebih kemas dan rapi.

Kelas Umumi yang pada asalnya dibuka untuk peserta luar hanya pada malam Ahad kini ditambah pula dengan jadual pada malam Jumaat. Kitab "Mutlain Badrain" dan kitab "Siirasus Salikin" telah dijadual kan pada malam Jumaat. Manakala Kitab "Muhimmah" dan "Hikam Ibnu Atho" diteruskan mengikut jadual asalnya pada malam Ahad. Saya sendiri akan mengendalikan kedua-dua kelas umumi ini, disamping kelas Tahfiz pada waktu pagi dan Kelas Pondok Tradisional selepas waktu rihat dan selepas Zohor.

Antara kuliah luar yang dubatalkan ialah;
1. Surau Indramahkota 2,
2. Surau Indramahkota 3,
3. Surau Ikhwan Taman LKNP,
4. Madrasah At-Taufiq Kelat Rendang
5. Surau Pelangkah Pekan
6. Masjid Tok Senik Beserah
7. Surau Paklong Ghani Chengal Lempong.
8. Surau Tasek Selatan
9. Masjid Fatimah Az-Zahrah.
10. Surau Taman Permata.

Untuk program bulanan di Jengka 4, Batu 1.Bentong dan Masjid Batu 1 Temerloh diteruskan seperti biasa. Manakala program di Kuala Lumpur yang asalnya dijadualkan pada Khamis, Jumaat dan pagi sabtu pada minggu pertama dan ketiga, kini diubah kepada hanya hari jumaat dan pagi sabtu sahaja, setiap minggu.

Untuk persiapan pengambilan pelajar baru tahun hadapan kini An-Nuur sedang membangunkan asrama tahfiz yang akan memuatkan 100 orang pelajar. Pungutan derma yang dilancarkan pada sepanjang Ramadhan baru-baru ini Alhamdulillah dapat menampung sebahagian daripada kos pembinaannya. Terima kasih kepada semua para dermawan.

_____________________________
Gambar:
1. Kanan atas: Pejabat Pengerusi Pentadbiran
2. Pejabat Pentadbiran dan bilik guru.
3. Bilik Mesyuarat guru-guru An-Nuur.