20 June 2010

Catatan "Hamba" dihadapan pintu-Nya.


Pagi tadi ( 20 june) awal-awal lagi saya ke Masjidil Haram, sebelum azan pertama berkumandang. bila berada di Masjiil Haram, saya lebih suka mengambil posisi behadapan dengan pintu Baitullah. Kerana di lembah itulah dahulunya saya sentiasa bermalam dan merintih kepada Allah. Selesai mennaikan tawaf sunat dan berdoa di Multazam, saya kembali undur kebelakang dan masih bersetentang dengan pintu Bait yang mulia itu.

Dihadapan sedikit daripada saya seorang lelaki Arab sedang menangis sambil berdoa. Disampingnya seorang lelaki India juga sedang menadah tangan dan teresak-esak. Yang lain sedang khyusuk mendirikan solah dan ada yang sedang bertafakkur sambil bezikir perlahan-lahan. Suara jamaah yang sedang tawaf berselang seli dengan suara petugas Masjidil Haram memarahi sesetengah jamaah yang menunaikn solah diruang tawaf, menyebabkan limpahan jamaah yang tawaf semakin berasak-asak.

Dalam belaian angin tanah suci dipagi yang bersih itu saya terkenangkan betapa halusnya belaian kasih Allah kepada hamba-hamba-Nya, termasuk diri saya. Terkenangkan itu, terasa betapa kerdilnya diri dihadapan pintu-Nya.Sesungguhnya Kasih Allah sentiasa dan selamanya. Tetapi mengapakah diri masih lalai dari mengingatinya. Diri masih sering terbuai diulit khidupan dunia yang sangat sementara. Sedangkan kelak diri ini akan besendiri dalam lubang kecil terperosok diperut bumi. Tiada suatu suara pun yang dapat menembusinya. Tiada segaris cahaya pun yang menyuluhinya. Alangkan sepinya..alangkah terbuangnya jasad tidak bernyawa itu. Dulunya jasad itulah yang sentiasa sibuk dengan dunianya. Jasad itulah yang sering tertawa riang kerana berjaya mencapai hajat dan cita-citanya. Dulu jasad itulah yang sering membelakangkan urusan ibadah kepada Rabbnya. Kini jasad yang gah itu terbuang jauh tanpa siapa lagi yang mempedulikan nasibnya. Alangkah liciknya tipudaya dunia ini.


Saya renung Baitullah yang terseregam disitu ribuan tahun. Baitullah yang sudah jenuh menyakskan ada tetamu yang datang dengan tangisan dan rintihan, namun kembali lalai apabila berjauhn dengannya. Kemudian tetamu itu akan datang lagi, menangis lagi dan bertaubat lagi..kemudian akan kembali lagi dengan kehidupannya yang lalai...

Saya renung Baitullah lagi. Malu rasanya diri. Terasa bagaikan Bait yang suci itu memandang sinis diri yang banyak dosa ini. Diri yang dipanggil Allah berkali-kali menjadi tetamu rumah-Nya, namun sangat leka dengan suruhan-Nya. Dada Bait yag disuluhi cahaya lampu berbaur dengan sinar Fajar sangat gagah terpaku disitu. Tidak pernah terbayang dalam kotak angan-angan saya sedari kecil dahulu bahawa suatu hari saya akan dapat berdiri berteleku di hadapan rumah yang atiq itu. Mustahil rasanya anak kecil yang tidak punya teman yang sering berlari dan bermain sendirian di seberang sungai Pahang yang luas itu, satu hari nanti dijemput Allah berulang kali ketanah tempat tumbuhnya pohon Iman dan Islam itu. Bumi tempat lahirnya manusia agung Nabi Muhammad saw.


MasyaAllah..Engkaulah Tuhan dan Rabbku, Yang tidak pernah mengambil hati atas kelalaian dan kealpaan ku. Bahkan Engkau sentiasa mmbelaiku dengan RahmatMu.


Esok saya akan berangkat pula ke Halab ( utara Syria). Berjalan mencari erti pehambaan dan cinta Allah. Menjejak perjalanan para Nabi-Nya. beberapa hari di Syria kami akan berangkat pula ke Jordan sebelum ke Istambul Turky. Saya tidak tahu apakah perjalanan ini adalah perjalanan terakhir ataukah akan dijemput lagi oleh Rabb Yang Maha Mengetahui. Kalau pun hidup ini segera dijemput Allah, saya bermohon agar dimatikannya saya atas Iman dan Taqwa kepadaNya. Apalah yang ada pada hamba ini. Apalah jasa yang ditinggalkan oleh insan kerdil ini, kecuali singgah sebentar didunia dan akan terus berkelana kepada Tuhannya.

Rahmatilah aku Ya Allah, Ibu Bapaku,Isteriku, Anak-anakku, teman dan sahabat-sahabat yang sentiasa mengasihiku serta maafkan musuh-musuhku yang tentunya mereka tidak sengaja memusuhiku. Kerana siapalah aku untuk dikasihi. Hanya cintaMu Ya Allah yang sangat aku dambakan.

1 comment:

MOHD NOR HIDAYAT said...

salam ust,
bertuahnya ust dapat pergi ke rumah Allah,tahun ini hasrat ana ke sana belum di maqbulkan Allah. Masih tercari2 knapa Allah belum izinkan lagi.. mohon ust sentiasa mnulis di blog, sbb shd lma ana x pergi menadah kitab hikam dlln.