04 November 2009

Mengapa masih tidak merasa puas hati?



JANGAN JADI JURUBICARA KEPADA SYAITAN. " SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH KAMU, MAKA JADIKANLAH IA MUSUH".

--------------------------------------------------
Sebahagian kita Ahli dan Penyokong Pas merasa cukup lega, lapang dan tenang selepas tersimpulnya beberapa persetujuan dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pada malam khamis yang lepas. Kelegaan itu terpamir disetiap wajah mereka yang sayangkan Pas. Mereka yang tidak mahu melihat Pas terbelah dua apatah lagi berlakunya "perang saudara" sehingga yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang. Jelasnya mereka sangat inginkan kebulatan hati terbentuk daripada mesyuarat khas tersebut. Alhamdulillah... apa yang diharapkan oleh kebanyakan pencinta Pas itu telah dimakbulkan Allah. Allah telah menentukan takdirnya mengikut "kehendak Allah" bukannya mengikut kehandak makhluk. Manusia hanya boleh merancang, namun yang pasti berlaku ialah perancangan Allah. Jika Allah membiarkan manusia menentukan "takdir" mereka sendiri walau sekelip mata, maka sudah pasti akan binasalah manusia itu. Rata-rata ahli Pas yang telah dikuliahkan oleh pimpinan dengan berbagai tajuk Usuluddin dan Tasawwuf, pasrah dengan penuh akur apa yang telah diqada'kan Allah itu.

Namun malangnya ditengah-tengah kelegaan itu tetap ada mereka yang tak jemu-jemu berusaha "mempuak-puakan" Pas. Hati mereka belum puas dan sangat pedih rasanya melihat kemesraan dua orang Tok Guru yang disayangi oleh ahli Pas itu. Pedih itu menusuk jauh kedalam gaung hati mereka yang inginkan Pas ini berkecai. Tersiat-siat rasanya kepingan hati mereka mendengar keputusan resmi mesyuarat khas ialah "menutup issu UG dan EGM di ganti dengan Seminar Khas". Kalau boleh mereka mahu melihat "Puak TGHH terus memaki-maki puak TGHNA", manakala team TGHNA pula mengutuk dan menjerkah puask TGHH". Sepatutnya maki memaki itu diteruskan. Tidak kiralah samaada melalui tulisan di akhbar ke, blog ke atau pun buatlah apa cara sekalipun, asalkan jurang puak berpuak itu semakin melebar dan menjauh. Kalau boleh lebarnya jurang itu sehingga tidak mungkin lagi dibena jambatan penghubung dan ukhuwwah.

Usaha ini dapat kita lihat disusun rapi dalam tulisan-tulisan mereka. Mereka cuba terus membakar hati ahli-ahli Pas agar mewiridkan perasaan berpuak itu. Mereka yakinkan pencinta Pas bahawa " apa salahnya jika beberapa orang pimpinan Pas itu dicantas. Jangan takut Pas akan berkecai, kerana sejarah telah membuktikan Pas tidak akan berkecai. Sebelum ini pun keadaan yang sama berlaku, namun Pas tidak pun hancur". Inilah "kipas jahat" yang cuba menghidupkan semula issu yang telah ditutup rapat oleh barisan pimpinan menerusi mesyuarat khas tersebut. Bagi sebahagian besar ahli Pas mereka telah lama ditanamkan keyakinan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas ini pastinya akan tetap utuh walau apa badai sekalipun yang datang, samaada "badai luaran atau gelombang dalaman". Hal itu telah lama mereka yakini. Mereka telah khatamkan banyak kitab mengenai keyakinan tersebut. Mereka tidak memerlukan akhbar untuk menyakinkan mereka. Apatahlagi bakaran semangat dari "makhluk"yang berada diluar kandang Pas. Bagi mereka, sedikitpun tidak merasa takut Pas ini hancur. Sedikit pun mereka tidak heran untuk "berbalah" dan "bertetak". Namun yang mereka fikirkan ialah atas dasar apa mereka perlu berpuak?, atas dasar apa mereka perlu berbalah?, atas dasar apa mereka perlu bertetak dan berkapak?. Kalau berbalah dan bertetak itu "sah pada syarak" tak perlu ada siapa pun yang suruh, mereka pasti akan sanggup berbalah sebagaimana mereka sanggup berbalah dengan UMNO selama ini. Bagi mereka, kalau hukum kata boleh berpecah, mereka rela berpacah dan tak perlu tunjuk ajar dari "Aziz Bari". Tapi kalau Syara' kata tidak halal untuk berpecah dan berbalah, mereka tetap tidak akan berbalah walau disuruh oleh Tok Guru bertaraf wali sekalipun.
Apa tujuan penulis-penulis yang terus bertungkus lumus membangkitkan issu tersebut?. Sedangkan Mesyuarat Khas telah memutuskan seminar Khas Politik akan diadakan pada 7 Nov nanti di Taman Malewar. Tak boleh tunggu dan lihat ke apa yang terhasil daripada seminar tersebut. Kalau hati ikhlas..sabarlah seketika. Hormatilah keputusan mesyuarat. Jangan dibangunkan semula "api fitnah" dan "permusuhan" setelah ianya "ditidurkan" oleh Allah. Kalau pun ada agenda sendiri atau membantu agenda orang lain untuk memegang tampuk pimpinan, maka raihlah secara beradab, bersopan dan ikhlas kepada Allah. Bila Allah menyayangi seseorang Allah akan menyuruh para Malaikatnya menyayanginya. Bila makhluk dilangit menyayanginya nescaya makhluk dibumi akan turut menyayangi dan menyintainya. Ketika itu pastinya Allah wariskan bumi ini kepada hamba-hambaNya yang soleh.
Saya bersetuju dengan saranan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi agar kita menanggani apa-apa isssu sekalipun hendaknya jangan hanya berkiblatkan "fikiran, dan kebijaksanaan" semata-mata. Kita ada Rabb, maka kepada Rabb itulah kita pautkan segala pengharapan dan pertolongan. Ahli Pas jangan terganggu oleh suara-suara orang luar. Ini bukan bermakna kita "syok sendiri" sehingga tidak mengendahkan teguran orang lain. Namun kita tentunya tahu membezakan antara sebuah teguran dan dakyah halus yang bertujuan menghancurkan keharmonian kita. Siapa pun tokoh itu, apabila ia berada diluar gelanggang, ia hanya tahu "bersorak, bertempik hatta melompat-lompat" sahaja, dan tidak lebih dari itu. Namun kita ahli Pas yang telah sekian lama berada dalam gelanggang ini seharusnya tahu membezakan antara nasihat yang membangun dan "nasihat" yang menghancurkan. Pohonlah kepada Allah, agar memberikan kita dan pimpinan kita hati yang tenang, teguh dan bertawakkal kepada Allah. Taatilah Allah dan berikan wala' kepada pimpinan jamaah.

1 comment:

Al Quds Travel said...

PROMOSI MUSLIM TOUR
“Maghi Pakat Gi Jale”
Tel: 609-747 9999

TIANJIN-BEIJING
6DAYS 5NIGHT
HARGA DARI RM340