29 December 2013

KEMBALI AKTIF

Assalamualaikum buat teman-teman sekelian...Insyallah page blog ini akan diaktifkan kembali. Mudah-mudahan perkonsian bersama disini mendatangkan manfaat untuk Islam dan ummatnya.
- Al-Faqir ustaz Mokhtar Senik-

31 July 2012

Cerita diseberang jalan ....siri Akhir

Sepanjang perjalanan pulang kerumah saya di Desa Darul Naim, yang tidak jauh dari Pondok Pasir Tumboh, fikiran saya asyik memikirkan "We" yang sebentar tadi saya tinggalkan bersendirian di Masjid Tanah Merah. Sehingga sampai kerumah saya masih gagal menemukan wajah tua yang menyimpan sejuta derita itu dengan mana-mana orang tua yang pernah saya kenali. Akhirnya kesah pertemuan saya dengan "we" hilang begitu sahaja, dikabusi oleh aktiviti harian saya yang padat.

Dua bulan kemudian...ketika sahabat saya Ustaz Alwi ( lebih dikenali dengan panggilan Hamid Bilal) mengajak saya menemani beliau ke Kampong beliau di Ayer Lanas, segera saya memberikan persetujuan. Segera juga ingatan saya kembali kepada "we", kerana untuk sampai ke Air Lanas kami terpaksa melalui Tanah Merah ( ketika itu lebuh raya Macang ke Jeli masih belum dihubungkan oleh Jambatan Kusial). Kepada Hamid saya menceritakan kesah perjumpaan saya dengan "We" dua bulan yang lalu, dan betapa saya ingin sekali mengetahui kesah yang terbungkus dalam simpulan rahsia hidup "we" yang sudah sangat uzur itu.


Pergerakan kereta yang dipandu Ustaz Hamid terasa perlahan sekali, walaupun tidak banyak kenderaan ketika itu. Hati saya ingin segera sampai ke Tanah Merah. Kerana boleh jadi nanti Ustaz Hamid akan kenal siapa sebenarnya "we", kerana beliau tentunya kerap terserempak dengan "we", kerana Tanah Merah adalah daerah yang berada ditengah-tengah perjalanan beliau untuk pulang ke Ayer Lanas.

Ketika Ustaz Hamid memberhentikan kereta diperkarangan Masjid Tanah Merah, mata saya segera mencari-cari sosok tubuh "we" kalau-kalau ada terperosok disudut dinding antara tandas perempuan dan stor Masjid. Namun "we" tidak ada di situ. Bungkusan kusam dan kertas kotak yang digunakan sebagai lapik tidur juga tidak ada lagi.. Kami menjangkakan "we" memang sudah tidak lagi berteduh di Masjid itu. Kerana waktu zohor telah hampir, kami langsung saja beriktikaf sambil menunggu masuk waktu solat. Selesai solat kami sempat bersapa-sapaan dengan beberapa orang jamaah yang ada. Kesempatan itu kami guna untuk bertanya kepada siak masjid yang turut sama berjamaah sebentar tadi.

"OOoo..orang tua tuuu....orang tua tu sebulan dah mati ustaz....Kata siak kepada kami sambil memandang tepat ke muka Ustaz Hamid yang sebentar tadi mengajukan soalan mengenai "we". Berdegup jantung saya. Masih terbayang bagaimana wajah "we" saat beliau melipat baju-baju lusuh milik anaknya juki yang sangat dirinduinya, sambil lidahnya berselawat halus.

"Tuu kubur dia....ucap siak sambing menundingkan jari telunjuknya kearah tanah perkuburan yang bersebelahan dengan Masjid.

"Dia orang mana?" soal ustaz Hamid.

" Orang hala ke Pondok Telosan ( nama lain bagi Pasir Tumboh, bagi orang luar) jugok tuu"..Lama dah dia duk (duduk) sini...Takde waris..mati baru ni pun puak ( pihak) Masjid jah (sahaja) yang urus...cerita siak agak panjang lebar. Kami mendengar sahaja dengan tekun. Namun telinga saya masih terngiang-ngiang suara "we" mendodoi anak. Suaranya cukup mendayu kerana dibuai kerinduan yang tak tertanggung lagi.

Hari itu kami meneruskan perjalanan ke Kampung Ustaz Hamid. Namun fikiran saya masih memikirkan "we" yang telah pergi membawa kepiluan hati seorang ibu. Ketika dimasjid tadi mahu juga saya bertanya siak, samaada Juki, anak lelaki yang "we" sebut dulu itu hadir atau tidak. Tapi bila siak sebut takde waris yang datang saat jenazahnya dikebumikan, bermakna "we" pergi tanpa kehadiran juki.

Mengingatkan kata-kata siak dua hari lepas, sekembali ke Pasir Tumboh saya cuba bertanyakan khabar mengenai "we" kepada beberapa orang penghuni tua di Pondok. Akhirnya saya dimaklumkan oleh seorang warga tua yang berasal dari Bachok (Mak Aji)  bahawa "we" yang saya cari itu dulunya adalah penghuni sebuah pondok kecil diseberang jalan yang menghala ke taliair. "We" telah menghuni pondok itu sebelum kedatangan Mak Aji ke Pasir Tumboh. Kalau itulah "we" yang dimaksudkan, maka bukan aneh jika beliau sangat mengenali Pondok Pasir Tumboh dan Ayah Pha. Kerana pondok buruk yang didiaminya hanya dihalangi oleh sebatang jalan sahaja dengan jalan masuk ke Pondok Pasir Tumboh. Kalau itulah "we" yang saya jumpa di Masjid Tanah Merah dua bulan yang lalu, bererti saya telah menyaksikan kehidupan "we" sejak bertahun-tahun lamanya, selama tempoh pengajian saya di Pusat pendidikan itu..

Ingatan saya segera berputar. Saban pagi dan petang, ketika berada ditingkap pondok (asrama kecil) saya, yang diselangi oleh parit besar dengan Masjid. Saya akan dapat menyaksikan dengan mudah siapa sahaja yang melalui lorong diseberang parit sana. Antara penghuni kampung yang sering berulang alik melalui lorong tersebut ialah "we" dan anak lelakinya ( mungkin itulah juki yang dimaksudkan oleh we). "We" ketika itu masih agak bertenaga. Kehidupan "we" kelihatannya sangat miskin. Kerana dari pengamatan saya pakaian lusuh yang membalut tubuhnya tidak pernah berganti beberapa lama, begitu juga dengan pakaian anak lelakinya. Ketika itu "we" mungkin telah pun berstatus ibu tunggal, kerana saya tidak pernah nampak suami "we". Seawal pagi, ketika selesai solat Subuh, akan kelihatan lah "we" menjunjung bakul sambil mendukung anaknya. Sesekali anak itu tertidur di atas dukungnya. Tidak pernah saya terserempak dengan "we" tanpa bersama anak lelakinya itu. Bila tiba waktu petang ( hampir waktu Maghrib), akan kelihatan lah pula "we" berjalan pulang. Anak lelak yang berselut itu dipimpinnya penuh kasih sambil "we" menjinjit bakul yang dibawanya tadi. Setahu saya "we" mengambil upah apa sahaja jenis kerja yang ada. Adakalanya "we" kebendang mengambil upah Chedong ( mengubah benih padi kebendang), adakalanya "we" ambil upah jahit atap nipah dari pengusaha atap nipah diseberang sungai Pasir Tumboh.

"We" sangat memanjakan anak lelakinya itu. Sambil berjalan pulang, anak lelaki itu akan berlari-lari anak sambil berceloteh. "We" akan mengejarnya sambil tersenyum penuh sayang. Bila anak itu berjaya ditangkapnya, "we" akan menampar punggung anaknya penuh manja. Pernah saya terserempak dengan "we" dipasar ikan Pasir Tumboh. Ketika itu "we" sedang membelek-belek duit kertas ditapak tangannya, hanya kerana mahu membelikan anak lelakinya itu sebuah kereta mainan yang hanya berharga tiga amah ( seringgit setengah). Jarang benar saya lihat "we" keluar dari kampung walaupun pekan Pasir Tumboh terletak hanya dua kilometer dari kampung. Itulah kehidupan "we" yang saya saksikan dengan matakepala saya sepanjang bertahun-tahun. Pada tahun 1987 saya keluar daripada Pondok Pasir Tumboh. Meninggalkan pusat pendidikan itu, meninggalkan kesah kehidupan "we" dan anak lelakinya yang pada waktu itu telah pun berusia 8 tahun. Namun pada pengamatan saya anak itu tidak pernah bersekolah. Boleh jadi dikekang oleh kemiskinan hidup "we".


" Sayang sungguh dia ko Juki tu, Mok Aji tahu laa..mugo ( kerana) mulo ( dulu) pondok mok Aji tepi ( sebelah) pondok dia"...cerita Mak Aji Bachok kepada saya.

"Tapi takdok ( tidak) aroh laa, juki nyo wak ( buat) lagu (seperti) tu ke Mok dia..sambung Mak Aji Bachok. Sampai kepada ayat itu, saya dongak muka memandang kedut wajah Mak Aji yang dibalut kain tudung labuh yg sudah agak lusuh.

"Wak lagu mano ( mana) Mok Aji?"..tanya saya tak sabar. Saya yakin akirnya saya akan menemui jawapan kepada keluhan derita "we" yang bergumpal dalam duka wajahnya dan senandung dodoinya yang saya dengar dua bulan yang lalu.

"Yo laaa...Sayang tu gak ( sayang sangat-sangat) dia ko Juki, tapi budak tu, lepah (selepas) nikoh (kawin) dengan budok tino ( budak perempuan) Kota Bharu, tak kelik-kelik ( balik) tengok Mok dia..."We" ni gak...jerikkk (nangis) sokmo (selalu) bila teringat ke Juki"..lepah nikoh tu ada sekali dua juki tu kelik, tapi lepah tu..takdok (tiada). Hati saya mula disalut pilu mengenangkan penantian "we".

"lepah tuuu?...soal saya tak sabar, bila Mak Aji terhenti agak lama. Ada takungan air jernih dikelopak mata Mak Aji.

"Tak lama lepah tuu.."We" ni gi (pergi) bawak (bawa) diri...Hok (yang) dia bawak tu, baju juki laaa tu..tok leh (tak boleh) jumpa orang, dia akan tanya jumpa dok juki dia.....
"Takdok arah laa..nasib "we"..matiii tokdan (tak sempat) jumpa dengan juki"...Sambung Mak Aji dengan nada suara yang antara degar dengan tidak, kerana menahan sebak. Tanpa sedar setitis dua airmata saya mulamengalir menuruni pipi dan menitik dilantai jemboran (pelantar) pondok Mak Aji Bachok.

Perjumpaan secara kebetulan saya dengan "we" dua bulan yang lalu dan cerita yang saya dengar dari Mak Aji Bachok, benar-benar menginsafkan saya, betapa kasih seorang ibu. Masih terdengar ungkapan "we" yang minta saya, jika jumpa  anaknya Juki, tolong beritahu juki "we" tunggu dia kat masjid itu. Alangkah rindunya seorang ibu kepada anak yang dilahirkannya dan di manjakannya itu. "We" tidak menyalakan juki. "we" hanya mahukan juki. "we"mahu peluk Juki semacam "we" peluk juki waktu kecil dahulu. "we" tidak mendendami juki, kerana "we" sayang kan Juki....

Izinkan saya menghentikan catatan kesah ini disini. Tidak sanggup lagi saya melakarkan lakaran hati "we". Hati suci seorang ibu yang cinta dan kasihkan anaknya. Bertuahlah siapa yang masih punya IBU....

~Al-Faqir Ustaz Mokhtar Senik~
10.Ramadhan.1433

04 December 2010

Cerita diseberang jalan...siri 2

"We dah makan?".. tanya saya lagi bagi memulakan siri soalselidik yang tidak resmi itu.
"Makan dah...orang tepi stesen kereta api tu beri..nasi kerabu dia sedap"..jawab beliau. Sekali lagi ibu tua itu memberikan jawapan jauh lebih panjang dari soalan saya kepadanya. Dengan itu saya kira beliau dari jenis orang yang suka berbual. Sambil bercakap dengan saya tangannya sibuk melipat kain dan baju yang ada di dalam beg plastik kekuningan tadi. Ketika tangan beliau sibuk membelek-belek pakaian didalam beg tersebut, saya mengambil peluang mencuri pandang wajab ibu tua itu. Benak saya semacam berkata "aku pernah kenal wajah ibu tua ini. Tapi dimana?". Puas saya cuba mengingatinya, namun gagal. Kerana kegagalan untuk menemukan wajah itu dengan mana-mana wajah yang ada dalam memori saya, lantas saya buat kesimpulan "mungkin pelanduk dua serupa".
"Awang mari mana?.." tiba-tiba beliau pula yang menyapa saya. Boleh jadi kerana melihat saya terdiam sejenak. ( Awang dalam dailek Kelantan ada panggilan mesra atau manja kepada anak lelaki muda. Namun sebutannya tidak berakhir dengan "ng", tetapi lebih kepada bunyi "Awe" jika di eja).
"Mari Pasir Tumboh"..jawab saya jujur, Walaupun merasakan Ibu Tua yang terbatas pergerakannya itu tidak mungkin tahu di mana Pasir Tumboh.
"Emmm..Pondok Tok Ayah Pa?..soal beliau dengan renungan mata yang agak bersinar kearah saya.
"Yee..ye"..jawab saya dalam keadaan sedikit terkejut kerana tidak pula saya sangka beliau tahu Pasir Tumboh, malahan pula tahu menyebut Pondok dan nama Tok Ayah Pa ( gelaran kepada salah seorang Guru yang mengasaskan pondok Pasir Tumboh).
"We,kenal ke Ayah Pa?".. soal saya kembali. Ibu tua diam..saya fikir beliau kurang dengar pertanyaan saya.
"We kenal ke Tok Ayah Pa?".. ulang saya. Ibu tua masih diam..
"Awang kenal Juki?"..(bukan nama sebenar).. tiba-tiba satu soalan lain yang dilemparkan kepada saya. Ketika soalan itu diajukan kepada saya, mata kami bertembung. Sempat saya lihat sedikit genangan airmata berlopak di birai kelopak matanya. Kerutan wajahnya saat itu semacam berbaur antara putus asa dukacita dan pengharapan. Saya terhenti seketika dari memikirkan siapa "Juki" yang dimaksudkan olehnya. Fikiran saya lebih kepada memecahkan persoalan sendiri, mengapa soalan saya tidak dijawabnya. Seolah-olah siapa "Ayah Pa" tidak penting. Tapi yang penting ialah "Juki".
"Awang ngaji (belajar) Pasir Tumboh ke mula (dulu)?"..belum sempat soalan terdahulu saya jawab, ibu Tua lontarkan lagi soalan kepada saya.
"Ye..jawab saya ringkas.
"Tak kan awang tak kenal Juki?"..beliau semacam megasak saya agar saya menjawab soalan beliau sebelum itu.
"Orang ngaji disitu ramai We,..Juki tu sapa?..disamping megharapkan beliau faham jawapan saya, saya juga mengambil kesempatan untuk mengetahui apa hubungan beliau dengan juki yang dimaksudkannya itu.
"Juki tu anak We"..jawab beliau dengan nada perlahan, tapi kepiluan jelas terdengar dari getaran suaranya. Belum sempata saya bertanya apa-apa, beliau terus dengan celotehnya.
"Juki tu budak baik..comel..ni baju dia ni"..sambil beliau mengeluarkan beberapa helai baju kanak-kanak laki-laki dalam lingkungan 9 atau 10 tahun. Baju yang telah sangat lusuh itu dibukanya dari gumpalan. Lalu dilipat dan dibuka kembali. Tangan lesu itu terus memintal-mintal helaian baju-baju itu sambil suara halus kembali kedengan berselawat merdu. Suara yang semakin jauh sayup kedalam rongganya itu seakan-akan menyimpan sejuta rahsia yang tidak mungkin difahami oleh siapa pun. Ibu tua tidak lagi menghadap kearah saya. Beliau terus menyapu-nyapu lantai kotak yang didudukinya dan kemudian baju-baju tadi dihampar di atasnya. Kemudian baju itu dilipat rapi, kemudian dibuka kembali dan seterusnya dimasukkan semula kedalam beg plastik tadi. Beliau tidak lagi menghiraukan saya. semacam saya sudah tidak penting diajak berbual, kerana saya tidak mengenali anaknya "Juki".

Kerana merasakan ibu tua itu tidak mengendahkan saya lagi, lalu saya pun bangun dan mengambil keputusan meneruskan perjalanan saya.
"We..pergi dulu deh"..ucap saya, tanda hormat kepadanya.
"Ingat deh..kalau jumpa Juki royak ( beritahu) we tunggu dia sini sokmo-sokmo ( sampai bila) pun"..sambil ibu tua memandang saya dengan wajah lesu yang dibalut pengharapan untuk kesekian kalinya. Sebelum berlalu saya hulurkan kepadanya note RM 5...
"Ni..we, sedekah buat beli Nasi Kerabu ye?..kata saya berbahasa.
"Emm terima kasih..buleh ( boleh) buat beli aiskrim (ice cream) ko ( ke ) Juki"..sekali lagi nama anaknya Juki disebut-sebut.

Ketika akan memulakan perjalanan yang terhenti itu, jiwa saya digayuti kepiluan. Pilu menyaksikan betapa jiwa seorang ibu yang sangat merindui anaknya. Walaupun saya tidak tahu siapa ibu tua itu, siapa anaknya Juki, dan kemana anaknya menghilang, namun saya simpulkan betapa tingginya "kasih seorang ibu". Kasih yang disimpan rapi dalam dadanya. Kasih yang tidak pernah layu, walaupun tubuh ibu semakin lemah dimamah usia dan waktu. Jauh disudut hati saya doakan ibu saya serta saya doakan ibu tua itu.
________________________

Sambung siri 3.