03 October 2008

Seteguk kasih ayah di Aidilfitri (anak mangsa ISA).

Beberapa hari sebelum menjelangnya 1 syawal Harakah, Siasah, Wasilah, Harakahdaily dan juga Tranungkite antara akhbar dan berita online yang kerap mengingatkan Muslimin dan Muslimat, khususnya ahli-ahli Pas agar menghulurkan bantuan dan simpati kepada keluarga mangsa ISA. Akhbar Harakah sendiri melalui ketua pengarangnya telah menghulurkan sumbangan kepada keluarga terbabit hasil daripada derma para simpatis. GMI sendiri telah memainkan peranan yang aktif, tahniah Sdr Syed Ibrahim.

Bagi saya secara peribadinya sangat tersentuh apabila terbaca atau terdengar apa-apa yang berkaitan dengan keluarga tahanan ISA. Pengalaman 3 tahun ( julai 2000 - Nov 2003 ditambah 10 bulan tahanan terhad) dalam tahanan Kemunting meninggalkan banyak kenangan, pengajaran, keinsafan tentang hakikat perjuangan dan kehidupan, pegembaraan rohani, hakikat persahabatan dan persaudaraan, erti berjamaah serta seribu satu macam nikmat Allah dan pahit getir hasil daripada undang-undang buatan tangan manusia itu. Insyallah akan saya kongsikan pengalaman itu secara bersiri di dalam blog ini. Tujuan saya ialah agar teman-teman dan pembaca sedar bahawa ISA adalah undang-undang "Zalim" yang "wajib" disingkirkan daripada kehidupan "manusia bertamaddun". Sebagaimana wajibnya mengharamkan arak maka begitulah wajibnya diharamkan ISA. Hasrat yang kedua daripada paparan ini ialah agar pembaca semua jangan terlalu gerun kepada Puaka ISA ini sehingga menganggu tugas-tugas perjuangan Islam. Teruskan perjuangan seperti biasa, bahkan lipatgandakan segala usaha ubudiyyah samaada dalam lapangan ibadah,ekonomi mahupun politik. ISA pasti akan pupus jua sebagaimana agenda-agenda bathil yang lain. Iklim kesedaran Islam yang berlaku sekarang tidak akan menjadi persekitaran yang baik untuk ISA terus hidup. Lalu marilah kita lipat gandakan penerangan kesedaran agama dan politik kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya orang-orang Islam.

Sahabat saya dalaam tahanan (inmate) Yb Sdr Saari Sungip telah banyak menulis mengenai ISA (Syabas). Tetapi apa yang akan saya paparkan nanti ialah pengalaman dari sudut yang berbeza. Perbezaan itu mungkin kerana ianya dilihat dari dimensi yang berlainan. Namun kesimpulannya satu sahaja iaitu ISA adalah ZALIM. tunggu siri satu dengan tajuk "Melangkah ke dunia Asing". Insyallah.

No comments: