10 October 2008

Berzikir menggunakan biji (buah) Tasbih..

Hadis-hadis yang menyebut tentang zikir dalam bilangan dan jumlah-jumlah tertentu sangat banyak. Seperti berzikir dalam jumlah seratus atau dua ratus atau sebagainya. Antaranya hadis Ibnu Umar daripada Rasulullah saw;


قولو خيرا قولو سبحان الله وبحمده فبالواحدة عشرة وبالعشرة مائة وبالمائة ألف ومن زاد زاده الله عزوجل
Maksudnya:

Hendaklah kamu mengatakan yang baik. Katakanlah Subhanallah wabihamdihi sekali sebut dibalas sepuluh, sepuluh dibalas seratus dan seratus dibalas seribu. Siapa yang menambah bilangannya maka Allah tambahkan untuknya (1).
Dalam sebuah hadis yang soheh daripada Sa'ad bin Abi Waqas menyebut, beliau bersama Rasulullah saw mendatangi seorang wanita. Ketika itu terdapat biji-biji kecil atau batu-batu kecil. Dia menggunakannya untuk bertasbih. Lalu Baginda saw bersabda;

" mahukah aku memberitahumu cara yang lebih mudah kepadamu berbanding cara ini?. sebutlah SubhanaLlah sebanyak makhluk yang diciptaNya di bumi. SubhanaLlah sebanyak makhluk yang diciptaNya di antara lanngit dan bumi. SubhanaLlah sebanyak makhluk yang diciptaNya. Allah hu Akbar seumpama itu juga. Alhamdulillah seumpama itu juga dan La Ila ha IllaLah seumpama itu juga dan La Haulawala Quwatailla bi Llah hil 'Aliyyil 'Azim seumpama itu juga (2).

Dari Soffiah Ummul Mukminin katanya;
"Rasulullah saw datang kepadaku. sedangkan waktu itu di hadapanku ada empat ribu biji-biji kecil yang aku gunakan untuk bertasbih. lalu baginda bersabda;

لقد سبحت بهذا ألا أعلمك بأكثر مما سبحت به, فقالت علمنى فقال قولى سبحان الله عدد خلقه
Maksudnya: Engkau bertasbih menggunakan ini? Mahukah aku ajarkan kepadamu cara yang lebih banyak lagi daripada benda yang engkau gunakan untuk bertasbih ini. Sofiyyah menjawab; ajarkanlah aku. Maka baginda bersabda; katakan oleh mu Subahana Llah 'adada Khalqihi (mahasuci Allah sebanyak makhluk ciptaanNya) (3).

Satu Hadis dari Yusairah ( seorang perempuan Muhajirin), beliau berkata; Rasulullah saw bersabda;
عليكم بالتسبيح والتهليل والتقديس واعقدن بالانامل فانهن مسئولات مستنطقات
Maksudnya:
Hendaklah kamu bertasbih, bertahlil dan bertaqdis. Dan hitunglah ia menggunakan jari-jari kerana jari-jari itu akan disoal dan diizinkan bertutur (4).
Jika dilihat kepada hadis-hadis tersebut tidak terdapat satu kalimah yang terang-terangan daripada Rasulullah saw yang melarang menggunakan biji tasbih. Serta tidak menolak keharusan menggunakannya saat berzikir. Terdapat athar daripada para Sahabat bahawa mereka menghitung zikir mereka menggunakan biji-biji kecil, anak-anak batu atau simpulan-simpulan benang yang disimpul ( 5).
Imam Al-Hafiz As-Sayuti menegaskan bahawa tidak terdapat atau pernah dinukilkan daripada seorang pun dikalangan salaf atau khalaf yang melarang berzikir menggunakan biji-biji tasbih atau sebagainya sebagai alat hitungan.Mereka tidak menganggapnya sebagai makruh.
Para ulama' terdahulu melihat penggunaan buah tasbih lebih menenagkan sewaktu berzikir, kerana tidak perlu mengingati bilangan zikir yang telah dilafazkan, disebabkan jumlah jari tidak cukup untuk memenuhi jumlah hitungan zikir. Ad-Dailami meriwayatkan dalam kitabnya Musnad al-Firdaus daripada Saidina Ali secara marfu'
نعم المذكر السبحة
( sebaik-baik mengingat ialah dengan biji tasbih) (6)

Hadis yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin abi Waqqas dan Sofiah di atas ditolak dan didhaifkan Al-Albani. Namun Al-Syaukani menyebut di dalam kitabnya Nailul Autar pada kedua-dua hadis tersebut terdapat faedah yang sangat besar. Kerana biji tasbih hanyalah alat untuk lebih menenangkan hati waktu berzikir. Sebagaimana pena yang diletakkan diatas telinga jurutulis (7). Tujuannya ialah supaya lebih senang diingat dimana pena itu disimpan bila mahu menggunakannya.

Pandangan yang membidaahkan serta menkatogerikan orang yang menggunakan biji tasbih waktu berzikir adalah tuduhan yang keterlaluan dari insan yang gemar melempar dirinya keluar dari batasan akhlak dan ilmu.

NOTA:

(1). Sanadnya dhaif. Ibnu 'Adiy dalam kitabnya Al-Kamil ( 2/388). Lihat Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Taarikh Al-Khatib ( 1/210). Di dalam sanadnya terdapat Hafs bin Umar. Hadis-hadis riwayatnya tidak dihafal dengan sempurna.
(2). Hadis ini di sohehkan oleh Ibnu Hibban (Lihat Al-Ihsan m.s 834) dan Hakim tetapi di Hasankan oleh At-Tirmizi di dalam kitabnya Al-Da'awat ( 3568). juga di hukum soheh oleh Az-Zahabi.
(3). Sanadnya Dhaif. Lihat Al-Da'awat oleh At-Tirmizi (3554). Di dalamnya terdapat Hasim bin Sa'id yang mana periwayatannya lemah pada pandangan sebahagian Ahlul Hadis (lihat At-Taqrib)
(4). Sanadnya soheh. At-Tirmizi dan Az-zahabi mensohehkannya. As-Sayuti menyebutnya dalam kitabnya Jami' As-Saghir (5587) bahawa hadis ini soheh.
(5). Disebut oleh As-Sayuti di dalam kitabnya Al-Minhah fi As-Subhah.
(6). Hadis ini Dhaif. Riwayat Ad-Dailami ( 6765). Al-Albani menyatakan hadis ini Maudhu' (lihat Al-Silsilah Al-Dha'ifah (83). Namun Sebahagian besar Ulama' Hadis menghukumkan hadis ini Dhaif. Walaupun dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak diketahui tetapi tidaklah sampai kepada tahap Mau'dhu.
(7). At-Tarmizi meriwayatkan sebuah hadis yang dhaif daripada Zaid bin Thabit. Dimana RasuluLlah saw bersabda kepada jurutulis Baginda; Letakkan pena di atas telingamu. Kerana ia lebih mengingatkan kepada orang yang menulis.

No comments: