30 October 2008

Mimpi itu hiburan dari Allah


Tiga hari lepas (malam selasa) saya sempat makan malam bersama seorang sahabat (Ismail) selepas menyampaikan kuliah di Surau Taman Permata Melawati. Ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang Isnin itu, tergerak hati saya untuk menalifon beliau. Kerana saya merasakan sudah agak lama tidak menghubunginya. Beliau agak terkejut dengan panggilan itu, kerana beberapa saat sebelumnya beliau sedang berbual dengan isterinya mengenai saya. Kebetulan pula beberapa malam sebelumnya beliau bermimpi bertemu dengan saya. Lantas beliau bercadang untuk menghubungi saya. Tiba-tiba saat itu saya yang lebih dahulu menalifonnya. Itulah kebetulan. Kebetulan pada manusia tetapi sememangnya ketentuan dan takdir dari Yang Maha Esa.

Menyentuh mengenai mimpi saya teringat satu mimpi yang saya alami pada tahun 1986. Ketika itu saya sedang belajar di Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Malam itu saya dan teman-teman usrah mengadakan mukhayyam tarbawi di Bukit Keluang Besut. Beberapa detik setelah memejamkan mata didada pasir pantai Bukit Keluang itu, saya bermimpi berada dalam satu kawasan yang berdinding tinggi. Pagarnya berwarna hijau gelap. Terdapat satu padang kecil dan sebuah bangunan yang sederhana besarnya, lebih kurang berukuran 60 kaki x 30 kaki. Dalam mimpi itu saya dapati saya memakai seluar berwarna biru dan berkemeja Putih berlengan pendek. Selain saya terdapat beberapa orang lagi pemuda sebaya dengan saya. Kami tidak bercakap antara satu sama lain. Sebelum saya dapat mengenal pasti dimana saya ketika itu, tiba-tiba sahabat saya (Allahyarham) Syukri Wahab ( bekas setiausaha kerja Pas Kawasan Kuala Kedah) mengejutkan saya kerana waktu qiamullail telah masuk. Saya pun bangun dan mimpi itu saya lupakan begitu sahaja.

Dengan susunatur takdir Allah pada bulan julai 2000, saya ditahan di bawah akta zalim ISA. Bila saya dibawa masuk kekawasan tahanan yang bernombor T1, tiba-tiba saya rasakan suasana itu pernah saya lalui. Pagarnya, padang kecil disebelah kanan bangunan yang sederhana besarnya. Lama saya mengingati pemandangan tersebut. Tapi saya tidak berjaya mengingatinya. Hinggalah pada satu malam ketika dalam kurungan sell T1, saya bermimpi mengadakan satu program tamrin bersama-sama sahabat-sahabat di Bukit Keluang. Apa yang saya alami dalam mimpi itu sama dengan perjalanan mukhayyam yang saya sertai pada tahun 1986. Bila tersedar dari tidur, barulah saya teringat, bahawa suasana kem tahanan itu saya alami dalam mimpi ketika bermukahayyam di Bukit Keluang Besut. Mahasuci Allah...Sejenak saya terhibur dan tenggelam dalam kebesaran Allah.

Insyallah saya akan sambung dengan kesah "mimpi bertemu Saidina Umar" ketika dalam lock-up Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuantan. Puji dan Pujalah Allah.

No comments: