29 September 2008

Rahmat sebuah "pertemuan".

Hari ini 28 Ramadhan.Pagi semalam ana mengakhiri "program Ramadhan" disekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Petangnya ana singgah di Temerloh untuk mengikuti program Dewan Ulama Negeri di Taman Tinah Temerloh. Al-Hamdulillah, sempat juga bertemu teman-teman lama dari Temerloh. Walaupun satu jamaah, tapi kerana masing-masing sibuk dengan program jamaah yang sering membatasi pertemuan, maka pertemuan sangat memberi makna bagi sebuah persahabatan. Sebab itu bila kawan-kawan tanya, apa yang paling seronok bila menghadiri muktamar selain kewajipan parti, ana akan selalu jawab "kesempatan bertemu dengan sahabat-sahabat lama dari seluruh negara" sangat indah dan manis. Justeru itu sejak 1985, ana tidak pernah tidakk hadir muktamar, samaada dipilih menjadi perwakilan atau tidak. Persaudaraan adalah "rahmat". Maka pertemuan adalah nikmat yang sangat sukar diungkapkan.

Malam tadi ana sempat bertemu Cikgu Majid. kini beliau adalah "setiausaha Perhubungan" Pas Negeri Pahang. Persahabatn kami telah bermula sejak hampir 20 tahun yang lalu. 1989 ana dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda (DPP) Pas Kawasan Temerloh mengantikan beliau. Manakala beliau pula dilantik sebagai Setiausaha Kawasan. Sejak itu hubungan kami agak rapat, lebih-lebih lagi bila ana pindah ke Rumah Dewan Ulama Negeri di Sungai Gau, berhampiran dengan rumah beliau dan YDP Kawasan Allahyarham Ustaz Ishak Abdullah. Cikgu Majid banyak memberikan panduan dan pandangan kepada ana untuk memimpin DPP Kawasan. Sikap "Friendly" beliau menyebabkan hubungan kami mesra hingga kini. Banyak hal yang kami bincangkan bersama, termasukkah penubuhan sekolah di Sungai Gau. Kemudian kami lanjutkan perbincangan itu bersama Tuan Guru Haji Mohd Baqi selaku Ketua Dewan Ulama' . Ana dan Cikgu Majid antara Ahli Lembaga Pengarah Sekolah Gau yang pertama, yang kemudiannya dinamakan As-Sa'adatud Daaraini sebelum di tukar nama kepada Sek Men Ar-Raasyidin. Banyak juga pahit maung yang kami lalui bersama sebelum seekolah itu ujud menjadi kenyataan.

Malam itu ana diminta oleh Dewan Ulama menyampaikan ceramah bergandingan dengan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (Dato'). Beliau adalah Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang. Perkenalan ana dengan beliau bermula tahun 1992. Waktu itu beliau masih sebagai pensyarah di ITM Kuantan. Manakala ana pula dilantik sebagai Ketua Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda Negeri (DPP waktu itu dipimpin oleh Cikgu Raja Ismail Raja Shahdan). Waktu itu nama beliau telah disebut-sebut sekitar Kuantan sebagai penceramah yang baik dan rapat dengan Tengku Mahkota Pahang. Dalam suatu mesyuarat DPP Negeri di Temerloh ana suarakan hasrat untuk menjemput Ustaz Tuan Ibrahim dan Ustaz Nik Radhi (sepupu Ustaz Tuan, juga sebagai pensyarah ITM Kuantan) menyertai Lajnah Tarbiyyah DPP Negeri. Ramai jugak anggota DPP Negeri yang membantah hasrat ana itu. Alasan mereka Ustaz Tuan belum jelas Pas atau tak. Ustaz Tuan rapat sangat dengan Istana serta macam-macam lagi. Ada jugak ajk DPP yang membantah secara ekstrim. Namun bila ana dapat persetujuan Ketua DPP (Cikgu Raja), ana teruskan juga hasrat itu. Ana tak ingat, ana jemput mereka berdua secara bersurat atau lisan. Tapi yang jelasnya mereka berdua bersetuju berada di dalam Lajnah Tarbiyyah DPP dan menguatkan kerja-kerja tarbiyyah. Kemudiannya apabila Cikgu Raja melepaskan jawatannya dan ana pun turut berbuat demikian kerana pada tahun itu ana terpaksa menumpukan banyak masa kepada Pondok An-Nuur yang baru dibangunkan serta ana pula telah dipilih sebagai YDP Kawasan Paya Besar (Kawasan yang baru selepas persempadanan baru). Sejak itu kami agak kurang bertemu. Sehinggalah ketika dalam tahanan kemunting ana dengar cerita beliau telah dipilih sebagai Ajk Pas Pusat dan kemudiannya dilantik sebagai PJ mengantikan Tuan Guru Haji Baqi Osman. Ana bersyukur kerana keputusan ana mencadangkan beliau sebagai Ajk Lajnah Tarbiyyah Dpp Negeri belasan tahun yang lalu adalah keputusan yang betul dan berkat.

Malam tadi juga ana berkesempatan bertemu Ustaz Abdul Rahim Latif, bekas ketua DPP Negeri dan sekarang sebagai YDP Pas Kawasan Temerloh. Persahabatan ana dengan beliau bermula pada tahun 1987 ketika itu beliau masih bekerja diPejabat Tanah Temerloh. Waktu itu beliau masih belum Pas. Salah seorang anak usrah ana (Zaki Yahya) memperkenalkan ana dengan Ustaz Rahim (lepasan Akademik Islam UM) di Masjid Temerloh. Sebelum itu Zaki beritahu ana, Ustaz Rahim ni bagus. Pidatonya lancar, cumanya tak tahu beliau Pas atau tidak. Ana minta zaki perkenalkan ana dengan teman sepejabatnya itu. Alhamdulillah. Perjumpaan singkat itu mengheret kami berusrah bersama. Kami meniti denai persahabatan yang erat. Liku-liku persahabatan kami berterusan cukup lama. Dalam perjalanan sejauh itu kerap kali juga keeratan kami tercabar dan dicabar. Namun ana cukup berpegang dengan kalimah Allah bahawa "persaudaraan itu adalah Rahmat Allah". Ini bermakna memutuskan persahabatan bererti memutuskan tali rahmat dari Allah. Alhamdulillah, persahabatan kami tetap terpelihara hingga kini.

Alhamdulillah..Ya Allah rahmatilah diri ku, Keluarga ku, mereka-mereka yang bersama ku ( sahabat dan sanak saudara) serta rahmatilah orang-orang yang menolongku.

Teman-teman dan adik-adik dalam perjuangan dan jamaah. Ingatlah..syaitan selalu berusaha memutuskan persahabatan kita dengan sahabat-sahabat. Lalu jangan biarkan syaitan ketawa bangga. Bahkan berusahalah menjaga tali "Rahmat Allah", nescaya dirimu akan dimuliakan Allah dan Malaikatnya. Memutuskan persahabatan boleh dibuat dalam satu saat, tetapi membina persahabat sepanjang hayat.





No comments: