26 September 2009

Ziarah pusara ayah, penutup jadual berhari raya.


Pagi 5 syawal ( 24 sept) kami sekeluarga bertolak ke Kota Bharu melalui Kuala Lipis dan Gua Musang. Walaupun perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu melalui Gua Musang lebih jauh berbanding melalui Kuala Trengganu, namun kali ini saya mengambil keputusan melalui Gua Musang. Yang pertama kerana saya bercadang berhari raya dirumah sahabat saya Sdr Fauzi di Gua Musang. Tetapi ketika melepasi Merapoh telefon saya tidak dapat membuat panggilan keluar. Sangka saya line telefon saya telah ditahan dari membuat panggilan kerana mungkin bill telah melebihi had. Lalu saya cuba membuat panggilan menggunakan telefon isteri dan anak2 saya, juga gagal. Malamnya baru kami tahu rupanya semua panggilan melalui khidmat Celcom tergendala kerana pengunaan melebihi 5 kali ganda diseluruh negara dalam musim hari raya ini. Oleh kerana gagal menghubungi Sdr Fauzi, maka saya meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dengan perasaan sedikit hampa.

Sebab yang kedua mengapa saya melalui Gua Musang ialah kerana menghantar anak ke empat saya ( Abdul Hadi) kembali ke Pondoknya di Sungai Bayu. Pondok yang baru dibuka ini terletak antara Gua Musang dan Kuala Krai. Sebab yang ketiga, saya sebenarnya merasa jemu melalui jalan yang sama ke Kota Baru. Samaada melalui Kuala Trengganu ke Jertih, atau Bukit Besi ke Jertih atau Penarik ke Bachok melalui Besut. Jalan-jalan tersebut sudah terlalu kerap saya lalui. sehingga tiada apa lagi yang menarik perhatian saya sebagai hiburan perjalanan. Melalui jalan Kuala Lipis ke Gua Musang, walaupun agak sempit dan bengkang bengkok, namun kehijauan hutan dan bukit-bukaunya cukup mendamaikan perasaan. Sesekali beberapa ekor kera melintasi jalan sambil si Ibu menggendong anak kecil yang berpaut kemas ditubuhnya, menjadi tontonan desa yang menarik.

Selepas meninggalkan anak saya di Pondok An-Naajiyyah,Sungai Bayu, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Oleh kerana kami sampai di Kota Bharu sudah melepasi jam 9 malam, maka saya mengambil keputusan bermalam dahulu di Jelita Inn berhampiran Wisma Persekutuan. Rancangan saya, ingin berihat dahulu, kemudia esok pagi-pagi akan ke Pusara ayah dan menziarahi saudara mara di Kampung Lambor dan Delima.

Selepas Check-in, kami mandi dan menunaikan solah. Kemudia saya bawa anak-anak keluar makan di gerai pasar malam berhampiran Masjid Muhammadi. Ayam Percik, Sup Perut Muda dan kuih Akok adalah menu "mesti" bagi saya apabila sampai ke Kota Bharu. Tetapi kali ini tiada Sup Perut, mungkin kerana bekalan terputus disebabkan cuti Hari Raya. Selesai makan kami kembali ke Hotel untuk berihat.

Esoknya..awal-awal pagi lagi saya bawa anak-anak ke Pusara Ayah. Saya mahu membiasakan mereka dengan "amalan menziarahi kubur". Supaya mereka tahu hidup ini ada kesudahannya. Supaya mereka tahu selepas dunia yang zahir ini masih ada alam yang lebih sukar untuk diharungi tanpa bekalan yang suci. Supaya mereka tahu, antara tanggungjawab seorang anak kepada Ibu Bapanya ialah menziarahi kubur mereka selepas kematian mereka. Supaya mereka tahu wang ringgit tiada ertinya berbanding serangkai doa seorang anak kepada ibu dan Bapanya. Saya tahu..mungkin saat ini mereka tidak mengerti sepenuhnya tujuan menziarahi kubur, namun satu masa nanti mereka akan mengerti dan memahaminya. Di sebelah kubur ayah saya ialah kubur Tok Chek ( ayah kepada ayah) saya.

Saya masih ingat, ketika itu umur saya baru 5 tahun. Di suatu malam, selepas solah maghrib, ayah berwirid panjang. Ayah baca Quraan lebih lama daripada biasa. Suara ayah serak dan mendayu. Kemudian ayah berdoa juga agak panjang. Dalam suluhan cahaya pelita minyak tanah, saya lihat sejurai air jernih mengalir dipipi ayah. Saya tidak mengerti, pun saya tidak mahu bertanya. Esoknya baru saya dapat tahu dari ibu, petang semalam ayah menerima telegram berita kematian Tok Chek. Kesusahan hidup dan kesukaran pengangkutan menyebabkan ayah tidak dapat pulang ke Kelantan menziarahi jenazah Tok Chek. Hampir berbulan selepas itu, dimusim cuti persekolahan baru ayah berpeluang balik. Ayah bawa saya ke Kubur Tok Chek. Di sebelah kubur Tok Chek ( tapak kubur ayah sekarang), ayah bersimpuh di atas sebidang tikar mengkuang kecil sambil ayah bertahlil dan berdoa. Walaupun saat itu tidak banyak perkara yang saya faham selain menampar nyamuk yang hinggap di muka atau membuang pacat yang cuba mencari betis yang terdedah, namun kenangan itu cukup kuat menunjanggi jiwa dan keyakinan saya bahawa hidup ini "ada akhirnya".

Selepas menziarahi beberapa buah rumah di Lambor dan Delima. Ketika kami akan berangkat meninggalkan rumah sepupu saya, tiba2 menjelma dua pupu saya Ustaz Hamid Derani, yang dahulunya UMNO tapi kini kembali kepangkuan Pas. Tidak banyak perkara yang sempat kami bualkan dalam tempoh sesingkat itu kecuali hanya bertanya khabar sahaja. Kami terus ke Kota Bharu. Kami mesti Check-out sebelum jam 12, kalau tidak mahu menyambung tempoh penginapan. Selepas itu kami ke gerai menjual jubah dan peralatan ibadah di hadapan Masjid Muhammadi. Kesempatan itu saya ingin bertemu dengan sahabat lama saya Ustaz Hamid, Bilal Masjid Muhammadi. Dalam kelekaan melihat barangan yang dijual, tiba2 saya di sapa oleh seorang sahabat jamaah surau An-Nur Bangi yang juga pulang berhari raya di Kelantan. Kemudian bertemu pula dengan Cikgu Azlan ( atau Mazlan, saya lupa namanya) yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Pas Kawasan Lipis, dan merupakan orang kuat Allayarham Ustaz Kassim bekas YDP Kuala Lipis. Jam 12 Tengahari, kami meninggalkan Kota Bharu dan kemudian singgah menunaikan solah Jumaat di Masjid Bukit Yong, sempadan Trengganu.

Sepanjang perjalanan dari Jertih ke Kuatan, saya terserempak dengan dua kemalangan. Kemalangan yang pertama berlaku di Kg Chalok, membabitkan dua buah kereta Proton Saga jenis lama dan sebuah kancil. Salah sebuah dari proton saga tersebut bengkok dua dan terperosok dalam parit. Manakala sebuah lagi hampir terbakar dan remuk. Kemalangan yang kedua berlaku berhampiran sungai Tong. Sebuah kereta Toyota jenis MPV terbabas sendiri dan hampir merempuh penjuru sebuah rumah. Saya sempat turun dan bertanya keadaan mereka dengan pemandunya. Katanya Beliau bersama emak dan kawanya dalam perjalanan dari Bachok ke Pasir Gudang. Mujurnya mereka tidak mengalami apa-apa kecederaan serius. Nampakkanya Ops sikap yang dilancarkan musim perayaan ini tidak banyak merubah angka kemalangan diseluruh negara.

Kami sampai kerumah jam 9 malam. Alhamdulillah perjalanan kami selamat pergi dan balik. Keadaan di pondok saya masih sepi dan sunyi. Pelajar2 akan kembali ke pondok pada hari Ahad. Dalam sehari dua ini saya masih punya kesempatan untuk merangka perubahan jadual kuliah saya sebagaimana yang saya rancang sebelum ini. Saya berharap sangat sahabat-sahabat memahami saya, apabila sebahagian besar jadual kuliah disekitar Kuantan terpaksa saya batalkan selepas ini. Saya sayangkan sahabat-sahabat semua, namun saya memerlukan masa yang luas untuk memberikan tumpuan kepada pondok saya. Dalam usia 45 tahun kini, saya rasa sangat perlu saya memendekkan langkah keluar, bahkan menghabisi sisanya dengan mengajar dan menulis. Walaupun begitu beberapa jadual utama dilokasi-lokasi tertentu masih saya kekalkan kuliah umum saya.
________________________
Keterangan Gambar:Dari atas ke bawah.
1. Bergambar sebelum bertolak ke Kota Bharu
2.Lebuh raya dari Kuala Lipis ke Merapoh...tenang dan mendamaikan.
3. Gabungan sebuah tasik kecil dan bukit batu di Gua Musang.
4.Anak-anak saya disisi kubur ayah. Biar mereka memahami kematian lebih dari mereka memahami kehidupan.
5. Berhenti makan di Bukit Yong Pasir Putih.
6. Kenderaan ini terbabit kemalangan dengan kenderaan biru dibawah.
7. Proton biru yang terbakar bahagian hadapannya.
8. Toyota (MPV) yang terbabas menghampiri sebuah rumah.

24 September 2009

Ayah..anakmu datang menziarahimu.


Pagi semalam ( 23.Sept) saya dan keluarga berhari raya sambil menziarahi Ustaz Aziz, imam Masjid Al-Fatah yang terlantar sejak bulan Ramadhan yang lepas. Sepanjang Ramadhan, walau sesekali pulang ke Kuantan, namun saya tidak berkesempatan menziarahi beliau di Hospital. Ini disebabkan waktu melawat tidak sama dengan waktu saya berada di Kuantan.

Keadaan beliau masih tenat. Tetapi ketika saya usap tangan beliau dan membisikkan kalimah syahadah ditelinganya, kedengaran jauh dikerongkong beliau menyebut kalimat suci itu. Kata Makcik Zakiah, pendarahan dalam otaknya tidak dapat dikeluarkan. Pembedahan tidak dapat dilakukan kerana faktor usia beliau. Di sisinya saya doakan agar Allah menyembuhkan Ustaz Aziz dan menentapkan beliau di atas iman yang suci.

Masih saya ingat ketika mula-mula saya pindah ke Batu 3 awal tahun 1992 dahulu. Ustaz Aziz ada sebuah kedai gunting disebelah Masjid Al-Fatah, bersebelahan kedai Ayah Ngah. Kerap kali saya bercukur degan beliau. Tapi tidak pernah beliau mengambil bayaran. Di samping itu beliau juga ada mengusahakan pembuatan arang bakar. Pernah ketika Isteri saya baru sahaja melahirkan anak kami yang ke empat(1), dengan bersusah payah Ustaz Aziz menyorong sebuah kereta sorong yang sarat dengan guni arang untuk isteri saya bersalai. Begitulah perihatinnya ustaz Aziz kepada sesiapa jua. Kini beliau terlantar lesu, pasrah kepada ketentuan Ilahi.

Selepas menziarahi Ustaz Aziz kami berhari raya pula ke rumah Ayah Man. "Orang kuat" kampung Belukar. Ayah Man juga sudah uzur. Ketika saya sampai, beliau sedang tidur diruang tamu. Wajahnya pucat. Sering benar ia terbaring diserang demam dan sakit-sakit. Lidahnya sentiasa menyebut "Tak lama dah". Ingatannya kepada mati, menjadikan beliau istiqamah dengan solah berjamaah dan perjuangan. Saya masih ingat, dahulu ketika kami mengadakan usrah dari rumah kerumah. Giliran rumah Ayah Man sentiasa kami tunggu-tunggu. Ini adalah kerana, asalkan ada usrah dirumah beliau, jamuannya pasti nasi berlauk Udang sungai Belat. Ketika itu Ayah Man adalah nelayan Sungai ( sambilan) disamping sebagai peraih Udang di Kampung Belukar. Kerap kali juga saya mengikut beliau ke Sungai menjala Udang. Satu malam, saya, Ustaz Tuan Ibrahim dan Ustaz Yusuf Embong mengikut Ayah Man ke Sungai. Malangnya malam itu tidak banyak Udang yang dapat dijala. Kami cuma dapat gigitan nyamuk, sejuk air sungai belat dan gatal terkena ulat dihujung pelepah nipah yang berjuntai ke sungai.

Kini Ayah Man telah uzur dan kurang upaya hendak kemana-mana. Malahan sepanjang bulan Ramadhan beliau sempat kesurau hanya lima malam sahaja.

Hajat hati mahu ke Kelantan pada malam tadi. Kerana rasa tidak lengkap hari raya ini tanpa menziarahi pusara ayah. Tetapi disebabkan hujan yang sangat lebat sejak awal malam, saya membuat keputusan akan ke Kelantan pada esoknya (hari ini 24.sept). Saya terpaksa segera ke Kelantan sebelum cuti sekolah berakhir pada Ahad nanti. Kerana selepas itu pastinya kesibukan akan banyak merebut waktu yang ada. Minggu depan pula saya, isteri dan 4 anak perempuan akan ke Jakarta dan Surabaya. Ziarah sambil menguruskan visa anak ketiga kami yang belajar di Pesantren Langitan. Insyallah kesah hari raya di Serambi Makkah akan saya coretkan selepas ini...

23 September 2009

Selamat ketemu kembali ya Ramadhan..Ahlan Ya Syawal...

Jumaat 18 sept. adalah hari terakhir saya bermukim di
Sri Gombak. Setelah memenuhi program Khutbah di Masjid Lapangan Terbang Subang, kami kembali semula ke Kabin di sebelah Surau Ubudiyyah. Setelah mengemaskan kabin yang kami diami hampir sebulan itu, saya terus bertemu dengan "Pakcik Ibrahim",siak surau Ubudiyyah. Kepada beliau saya serahkan kunci kabin dan mengucapkan berbanyak terimakasih atas segala bantuan dan pertolongannya. Juga saya tak lupa mengucapkan berbanyak terima kasih juga kepada "pengerusi" dan Ahli jawatankuasa Surau Ubudiyyah. Hampir setiap petang kami berbuka di surau yang berkat ini dan setiap malam kami dibekalkan dengan air teh dan kueh muih. Jazakumullah hu Khairan Kathira.

Malam itu saya dijadualkan menyampaikan tazkirah di Surau Muttaqin. Tazkirah tersebut adalah program terakhir saya dalam kembara tazkirah tahun ini, dan juga merupakan tazkirah terakhir dalam jadual Surau Muttaqin. Alhamdulillah..surau yang memang terkenal dengan program ilmu ini tidak surut ahli jamaahnya walaupun malam terakhir dan telah ramai yang pulang kekampung. Ahli Jawatankuasa dan ahli jamaahnya sudah tidak asing bagi saya. Surau Muttaqin bagaikan surau kampung saya sendiri. Kerana disurau ini saya sudah berkuliah sejak akhir tahun 90an. Kepada mereka semua saya ucapkan jazakallah dan mohon kemaafan sempena Aidil Fitri yang mulia ini.

Malam itu selepas Tazkirah kami terus pulang ke Kuantan. Perjalanan melalui lebuh raya Pantai Timur dari Tol Gombak ke Tol Bentong sahaja mengambil masa selama 2 jam setengah. Ustaz Yusuf Embong bersama dengan kami. beliau baru sahaja menamatkan program tazkirah ramadhannya di Masjid Fatimah Az-Zahrah Ampang. Sudah agak lama kami tidak berkereta bersama. Dulu ketika sama-sama berada dalam Dewan Pemuda Pas Negeri, kami kerap menghadhiri mesyuarat bersama. Kebersamaan itu menjadikan kami sering disangka adik abang. Tambahan ketika itu kami sama-sama bertubuh gemuk. Tapi kini kami dah sama-sama menjenggah usia tua. Beliau pun dah ada cucu. Dalam perjalanan sejauh itu telah banyak koleksi cerita dan pengalaman yang adakalanya kami kumpul bersama dan tentunya banyak juga koleksi cerita yang kami simpan dalam album berasingan. Perjalanan bersama malam itu tidak banyak dipenuhi dengan cerita-cerita parti atau jamaah. Kami lebih banyak bercerita soal-soal umum sebagai renda perjalanan pulang.

Malam 1 syawal saya,isteri dan anak-anak telah berada di Rumah ibu di Madrasah An-Najjah Bukit Keledang. Ibu pada mulanya demam dan terbaring sahaja di katilnya. Tetapi setelah anak,menantu dan cucu-cucunya pulang, ibu kembali bertenaga dan boleh bangun bersama kami, seolah-olah tidak pernah demam sebelum itu. Hati ibu gembira barangkali dengan kepulanga kami. Saya berdoa agar Allah memberikan saya kekuatan dan kelapangan untuk sentiasa menghiburkan hati ibu.

Menghadiri Solah sunat Aidil Fitri di Masjid Bukit Keledang. Bahagian dalam masjid tersebut telah banyak perubahannya, namun keluasannya masih sama. Ahli Jamaah boleh dikatakan ramai dan memadati setiap ruangnya. Namun ketika bersalaman selepas khutbah, saya dapati hanya satu perempat daripada mereka yang masih saya kenali. Selainnya anak-anak muda yang tidak saya kenali. Yang tua telah ramai yang "tiada".Begitulah perjalanan usia. Dunia ini hanya tempat persingahan yang tidak akan kita lalui buat kali keduanya. Perjalanan "sehala" ini pasti ada penghujungnya.

Ketika menziarahi rumah mak saudara saya ( isteri kepada abang ayah yang sulung) sempatlah saya bertemu dengan sepupu-sepupu saya sebelah ayah. Abang Yah atau cikgu Abbas adalah sepupu saya yang paling kerap pulang berhari raya di kampung. Beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan. Selepas bersara beliau dilantik sebagai Pengerusi Parti Keadilan bahagian Bera. Justeru itu perbualan kami lebih banyak menjurus kepada soal-soal politik semasa. Sebelum saya meninggalkan rumah mak dhe ( panggilan bagi mak saudara saya) muncul pula seorang lagi sepupu saya. Adik kepada Abang Yah. Saya panggil beliau Abang Aziz. Saya masih ingat nama samaran beliau ialah "Ababina" atau Abdul Aziz bin Awang. Seingat saya, itulah pertama kami saya mengenali istilah nama samaran. Beliau kini menentap di Felda Kota Gelanggi 1. Sudah agak lama saya tidak menemui beliau. Kini anak-anaknya telah besar-besar belaka. Pastinya saya tidak kenal jika bertemu dimana-mana.

Saya menghabiskan hari raya pertama dirumah ibu dan kampung Bukit Keledang. Malamnya kami bertolak ke Felda Purun, berhari raya di rumah Ayah dan Ibu mertua pula. Kepada mereka saya salami penuh hormat. Saya mohon kemaafan dan keredhannya. Kerana perjalanan kesyurga Allah itu dihiasi dengan keredhaan mereka semua. Keesokannya harinya ( hari raya ke 2 ) saya sekeluarga bersama ibu dan kakak bersama anak-anaknya, berhari raya pula di rumah Abang saya yang kedua di Felda Kota Gelanggi 2. Abang tidak pulang ke kampung kerana tidak sempat menghidupkan road tex kenderaanya. Abang Him dan Kak Nik juga telah dimamah usia. Sudah pun mempunyai 5 orang cucu. Mereka juga tidak terkecuali terikut dalam putaran roda kehidupan ini,saya dan kita semua.

Setelah semalam dirumah abang, kami pun meninggalkan daerah Jerantut menunju ke Kuantan. Singgah sebentar di Jengka 4, menziarahi Ayah Haji Mahussain dan Mak Aji. Kedua-duanya telah uzur. Namun anak-anak beliau cukup mesra meraikan kunjungan kami. menjelang tengah hari kami pulang ke Kuatan..esok kami akan berhari raya pula di Batu 3 dan seterusnya menziarahi pusara ayah di Kelantan...Ya Allah terimakasih atas segala anugerahMu kepada kami dan selamatkan lah perjalanan kami...

__________________________________
Keterangan Gambar:

1. Kanan atas: Tazkirah di Surau Muttaqin Taman Melati
2. Kanan bawah: Saya bersama Cikgu Abbas dirumah Mak Dhe
3. Kiri Bawah: Saya dan Abang Aziz ( Ababina)
4. Kanan bawah: Anak-anak sepupu saya ( Anak2 cik Pah)
5. Kiri 2 dari bawah: Anak2 perempuan saya bersama kak nik, kakak dan anak saudara saya
6. Anak-anak lelaki saya bersama Abang Him dan cucu dipangkuannya.