08 March 2009

SEORANG "ISTERI" DENGAN 2 PANGGILAN.(siri 2 )


Program "membina Masjid baru" hari itu berjalan dengan baik. Ayah si gadis kelihatan ceria, mungkin kerana telah terungkai sebuah bebanan yang selama ini terbelenggu dilehernya. Si pengantin perempuan juga demikian. Namun wajah "pengantin" lelaki (Hj) seolah-olah berbaur antara gembira dan sedih. Gembira mungkin kerana berjaya melepaskan diri dari kehendak Syaitan dan sedih mungkin kerana memikirkan keluarga dan isteri yang pertama. Itu hanya telahan hati saya. Namun hakikatnya saya tidak tahu. Apa yang saya harapkan hanyalah kebaikan buat semua.

Sampai di Kota Bharu, Haji meminta saya kebilik beliau di Hotel Ansar. Untuk tidak membiarkan tandatanya bergayut lebih lama dihati, saya segera kebilik beliau dengan meninggalkan teman haji yang sebilik dengan saya melayan tidurnya. Bila pintu bilik saya ketuk dan pintu sudah terbuka, saya dapati semua keluarga isteri baru Haji ada di dalam. Selepas bersalam saya pun dipersilakan duduk disebuah kerusi yang kosong dopenjuru bilik. "Begini... ustaz" ..Haji memulakan bicara sambil membetulkan duduknya dibirai katil disebelah bapa mertua barunya. "Sebenarnya saya dan isteri saya ni dah lama kawin, ayah ni lah yang jadi walinya" kata Haji sambil menepuk peha ayah mertuanya. "Tapi oleh kerana akad nikah tu hanya untuk sah pada syarak saja, maka sebab itu sekali lagi kami datang hari ini untuk dapatkan surat nikah resmi dari Thailand dan saya akan tukar kepada surat nikah malaysia"... Lancar sekali Hj bercakap semacam cuba melepaskan suatu bebanan dengan secepat mungkin. "saya tahu,mungkin ustaz ada dengar macam-macam tentang saya dan isteri saya ni sebelum ini. Saya taknak ustaz syak bukan-bukan, sebab itu saya ceritakan kat ustaz hari ni dengan saksi ayah saya ni"..ujar Haji dan sekali lagi menyentuh peha ayah mertuanya. Saya angguk saja. Apa lagi saya nak cakap selain bersyukur kepada Allah kerana menghalang lidah saya dari berkata apa-apa kepada beliau sebelum ini. "Baguslah kalau macam tu"...kata saya dengan perasaan syukur yang tidak terhingga kepada Allah atas perkara sebenar yang berlaku.

Seminggu selepas itu, disatu petang yang agak sibuk, kerana saya terpaksa bergegas ke Masjid Balok selepas melayan kehadiran tetamu dari Johor, tiba-tiba satu deringan dari handset saya. Baru saja saya tekan butang "menerima panggilan", tiba-tiba satu suara garang dari seorang perempuan berdesing menusuk telinga saya. "Ustaz ni, ustaz jenis apa ha!, pemecah rumahtangga orang. Ingatkan Ustaz ni semuanya baik, rupanya ada jugak yang jahat macam perompak, aku benci ustaz macam engkau ni", tempik suara yang saya dah jangka akan dapat saya dengar selepas upacara perkahwinan haji selesai. "Begini..." kata saya..tapi saya terhenti disitu saja apabila sekali lagi suara nyaring disana memaki saya semahu-mahunya. Mula-mula saya bercadang mahu letakkan saja telefon. Tapi bila saya teringat kata seorang ulama'; salah satu sumber ketenangan manusia ialah bila dapat meluahkan perasaannya, walaupun hanya kepada seorang kanak-kanak yang tidak boleh berbuat apa-apa. Justeru itu saya fikir mungkin dengan saya mendengar segala makiannya itu akan membuatkan perempuan tersebut reda dan tenang, maka saya dengar apa saja yang dia nak kata. Rupa-rupanya seronok jugak sesekali kena maki dan kutuk. Tak silap saya hampir sepuluh minit dia memaki saya tanpa henti. Ala pengulas bolasepak layaknya. Akhirnya suara itu reda. Bila saya merasakan perasaanya dah reda, maka saya pun ucap terima kasih dan sayapun tekan butang "mengakhiri panggilan". Panggilan petang itu saya diamkan saja dari pengetahuan sesiapa, termasuk haji yang baru kawin itu.


bersambung siri 3

04 March 2009

SEORANG "ISTERI" DENGAN 2 PANGGILAN.(siri 1 )


SETAHUN DULU DIA CALL DAN KUTUK2 SAYA SAMBIL MAKI SUAMI DIA. SEMALAM DIA CALL LAGI,SAMBIL UCAP TERIMAKASIH DAN PUJI-PUJI SUAMI DIA...
------------------------------------------------------------
Semalam ( 3.Mach.2009) sedang saya berurusan dengan Bank, satu deringan panggilan masuk menerjah handset saya. Oleh kerana sedang berada dalam Bank, zon larangan menggunakan telefon, maka saya hanya balas dengan satu pesanan ringkas memaklumkan saya dalam Bank dan bertanya siapa beliau. Sebentar kemudian satu isyarat pesanan ringkas masuk semula ke telefon saya. Sambil menunggu angka giliran yang masih berpuluh orang, saya mengambil kesempatan membuka inbox handset saya. Tiba-tiba tertera sebaris message " Sya Pn. S, isteri kepada Hj.K, yang pernah kutuk ustaz dulu.tpi x ini sya nk mnta mff .." Terbaca saja nama Puan S, segera ingatan saya terkenangkan panggilan beliau setahun lalu. Peristiwa itu berlaku beberapa minggu selepas saya dan dua orang teman menemani suami beliau ( Hj.K adalah kawan rapa kepada salah seorang teman saya tadi) ke "Seberang" untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis Selangor. Gadis tersebut diiringi oleh Bapa (wali) dan kakak serta abang iparnya. Oleh kerana datang berserta wali, maka majlis tersebut berjalan dengan lancar. Dua orang teman saya menjadi saksi manakala saya diminta mengakhirkan upacara tersebut dengan doa. Doa agar kedua-duanya berjaya membina Baitul Muslim dan jauh disudut hati saya mendoakan agar teman kami itu diberi kekuatan mengharungi gelombang hidup yang pasti geloranya lebih besar. Lalu saya mohon Allah tabahkan beliau dan diberikan keupayaan berlaku adil terhadap kedua-dua orang isterinya.

Sebenarnya saya bukan nak sangat terlibat dalam soal-soal seumpama itu, kalau bukan kerana sebab-sebab yang wajar pada kehendak syarak. Sebelum itu pun dah berpuluh orang yang cuba minta tolong saya uruskan perkara yang sama. Mungkin kerana mereka diberitahu saya mempunyai ramai saudara mara terdekat yang jadi jurunikah di Kelantan dan di Selatan Thailand. Tapi Hj atau kawan yang saya bantu itu berlainan jalur ceritanya. Setahun sebelum itu beliau pernah datang bertemu saya bersama kawan rapatnya, menyatakan hasratnya dan meminta saya membantu beliau. Waktu itu saya menolak dengan banyak alasan. Kepada beliau saya minta berusaha memujuk isteri pertamanya. "Hj doa-doa la supaya hatinya lembut" kata saya mengakhiri usaha mengelak daripada terlibat dengan urusan rumahtangganya.

Namun selepas itu, maklumat yang saya terima beliau ( Hj) masih belum mendapat keizinan. Isteri beliau tetap berkeras. Sehingga satu hari beliau datang lagi kepada saya minta saya solah hajat agar hajatnya dimakbulkan Allah, kerana kebelakangan ini isterinya semakin kerap meminta cerai dan beliau semacam dah nak lafaz talak terhadap isterinya. Baiknya beliau tak gopoh dan masih ada masa untuk minta kawan-kawan doakan beliau sabar dan tabah. Kepada beliau saya nasihatkan agar, apa-apa pun yang berlaku, jangan beliau ceraikan isteri beliau. Saya katakan kepadanya sudah berbelas tahun isteri beliau berbakti dan berkhidmat kepada beliau. Sudah berbelas tahun siisteri itu melindungi beliau dari neraka Allah, lalu saya minta beliau teguhkan kesabaran dengan kesabaran yang baik. Nasihat saya diterimanya dengan baik, walau pun beliau jauh lebih tua dari saya, AlhamduliLlah.
Beberapa bulan sebelum upacara perkahwinan itu berlangsung, teman rapat beliau mendatangi saya. "Ustaz..Ustaz kena tolong Hj tu, macam-macam mana pun"..itu kalimah pertama teman beliau apabila menemui saya. Kenapa? tanya saya, antara nak cemas atau tak. Lalu diceritakan kepada saya bahawa hubungan Hj dengan gadis idamannya itu semakin intim. Selalu keluar bersama, kadang-kadang pernah outstation berdua berhari-hari ke Langkawi. Lanjut teman beliau lagi;"Baru-baru ni jiran tempat gadis tu menyewa bertanya kepada saya,Hj tu dah kawin ke dengan budak tu, sebab dua hari lepas kereta hj park kat rumah budak tu tak keluar-keluar sampai sehari semalam". "Kita kena tolong dia ustaz..sebelum apa-apa berlaku dan terjadi suatu yang lebih memalukan"..tegas teman tersebut. Saya terdiam sejenak. Adakah cerita ini direka untuk mendesak saya membantu haji tersebut? fikir hati saya. Kemudianya saya beristighfar dengan lintasan curiga tersebut. "Begini lah akhi, ana Istikharah dulu dan ana akan call anta nanti"..jawab saya kepada teman yang agak cemas itu. Sebenarnya saya ingin mengambil sedikit ruang menyelidik apakah cerita teman itu benar-benar berlaku dan disamping itu saya memerlukan petunjuk sebaiknya dari Allah...
Setelah seminggu masa berlalu. Saya pun telah mendapat cerita yang sebenar dan hati saya pun telah tenang untuk membantu beliau, maka saya nyatakan persetujuan saya untuk membantu Haji tersebut melalui teman beliau. Keputusan tersebut saya buat setelah memikirkan akibat yang lebih buruk yang akan menimpa beliau, isteri dan anak-anak beliau jika kejadian yang mengembirakan Syaitan berlaku antara Haji dan Gadis tersebut. Kepada Allah saya mohon keampunan jika tindakan saya itu khilaf...lalu berlangsunglah upacara dengan saya hanya menjadi juru baca khutbah nikah dan doa..
bersambung

01 March 2009

BILA PIMPINAN UMNO BERCAKAP PASAL MORAL...



MUAL TEKAK DAN MEMULAS RASANYA PERUT BILA MENDENGAR PIMPINAN UMNO BERCAKAP PASAL MORAL DAN RASUAH.

------------------------------------------------------------------

Sudah agak lama saya tidak sempat menulis, namun saya tetap mengikuti tulisan sahabat-sahabat blogers yang lain. Sekarang suasana politik tanahair semakin panas dan mengelegak. Mengelegak kerana dipanggang oleh Umno kemudian dikipas pula oleh agensi-agensi kerajaan yang sesekali nampak jelas lambang umno atas dahi mereka. Tak kurang jugak ada ulama yang bertaraf mufti yang jadi sama taraf pemikirannya dengan pengerusi SPRM. Itulah malangnya bila ulama tak tahu politik dan pegawai kerajaan yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab kepada rakyat tiba-tiba bertukar menjadi pekakas kepada pimpinan Umno.
Suatu yang sangat memualkan perut apabila Khir Toyo bercakap pasal membasmi rasuah, Muhammad Taib bercakap pasal moral dan akhlak. Nazri Aziz bercakap pasal perlunya membentuk anak-anak dan remaja yang berakhlak,Rafidah Aziz berpidato berapi-api memberikan komen terhadap Yb Eli dan perlunya wakil-wakil rakyat wanita menjaga tingkahlaku. Cuba kita renungkan sejenak jika Rosmah berbicara soal perlunya remaja-remaja menjaga pergaulan mereka dan jangan berkelakuan tidak senonoh dikhalayak ramai. Lebih memualkan lagi, sehingga memulas-mulas dalam perut bila Pak Lah dan Najib bercakap pasal perlunya menteri-menteri menegur isteri masing-masing agar sentiasa menutup aurat.

Itulah secebis apisod politik kartun akhir zaman yang dibintangi oleh pemimpin-pemimpin Umno. Yang hairannya ulama Umno sanggup menjadi penonton setia sehingga menitiskan air mata kerana melihat riwayat politik Umno dalam keadaan nazak. Sudah tentu akan termuntahlah kita bila terdapat ulama-ulama Umno ajak orang-orang kampung solah hajat untuk memohon dilanjutkan hayat Umno. Kerana kononya Umno lah tulang kering orang-orang Melayu. Jika Umno tumbang maka akan tumbanglah maruah Melayu dan Bahasa Melayu. Bila agaknya penonton derama Umno ini akan sedar mereka sedang diperbodohkan oleh pemimpin Umno atasan. Bila agaknya mereka akan sedar disebalik isu lembu korban itu terdapatnya cerita yang lebih menarik iaitu cerita Sukoi, Kapal Selam dan rasuah-rasuah mega yang terlipat rapi dalam Fail SPRM. Namun SPRM lebih minat kepada lembu daripada cerita-cerita Action yang menampilkan senjata-senjata perang yang canggih. Kesian pemimpin Umno dan lebih kesian lagi ahli-ahli Umno bawahan.