02 January 2009

Sudah sejauh ini perjalanan usia ku

DALAM SERONOK MEMANDU KEHIDUPAN INI, SESEKALI MENOLEHLAH KEPADA SIDE-MIRROR,AGAR DAPAT MELIHAT JALAN YANG TELAH KITA LALUI

-----------------------------------------------------
Semalam 30 Dec.2008, saya bersama tiga orang abang solah Maghrib di Masjid KLIA. Kami datang berasingan, tapi kemudiannya berjanji untuk menunaikan solah Maghrib di Masjid yang besar dan indah itu. Kedatangan kami ke KLIA ialah untuk menunggu kepulangan kakak,abang dan kakak ipar yang dijadualkan tiba di KLIA jam 8 malam.

Sewaktu menunggu masuknya waktu maghrib, saya mengambil kesempatan merenung wajah abang-abang saya. Ketiga-tiga mereka telah kelihatan semakin dimamah usia. Masing-masing telah ada cucu. Abang yang sulung telah mempunyai 10 orang cucu. Abang yang kedua 4 orang cucu,abang yang ketiga 2 orang cucu, manakala abang yang keempat,yang kami tunggu kepulangannya, mempunyai seorang cucu yang baru berusia 7 bulan. Hanya kakak dan saya yang belum mempunyai cucu. Namun begitu pangkat kami telah pun mencecah gelaran tok kepada cucu-cucu saudara kami. Kakak dipanggil Tok Cik, manakala saya pula berpangkat Tok Su.

Putaran roda kehidupan yang tidak pernah berhenti ini telah membawa kami secara tidak disedari mengantikan orang-orang tua yang terdahulu. Masih baru rasanya kami adik-beradik hidup sebumbung dibawah jagaan ayah dan ibu. Terasa seolah-olah baru semalam saya mengekori abang ( abang Mad atau abang yang ketiga ) menyerkap (serkap) ikan dipaya dibelakang rimba berhampiran rumah kami, diseberang sungai pahang. Bila ada ikan haruan atau keli yang terperangkap abang akan seluk perlahan-lahan. Bila ingsang ikan tersebut berjaya dicekup oleh abang, abang akan hulurkan kepada saya. Ikan itu akan saya cucuk dengan ranting kayu senduduk sehingga panjang berjuntai dengan ikan-ikan yang berjaya ditangkap. Kami akan meredah setiap ceruk paya yang berlumpur dan berselut itu. Biasanya berhampiran tunggul kayu atau banir ada ikan haruan yang bersembunyi. Dicelah tunggul kamyu itu abang tidak guna serkap lagi. Abang hanya akan gagau dengan tangannya sahaja. Bila matahari telah tegak diatas kepala, membakar kulit kami yang besalut lumpur, abang akan ajak saya balik. Pesan ayah mesti balik sebelum masuk waktu Zohor. Ikan-ikan itu akan saya serahkan kepada ibu. Biasanyanya ibu akan gulai lemak masuk daun kesom. Selesai solah kami akan makan bersama-sama. Indahnya waktu-waktu itu.


Masih terasa baru semalam saya ikut abang (abang Lah, abang yang keempat) kekebun getah. Abang kekebun untuk membantu ayah. Sesekali saya akan ikut sama. Saya akan mendahului ayah menjelajah kesetiap pokok getah. Terlebih dahulu saya akan sepat segerap getah dan kemudiannya dililit menjadi bulat. Semaki lama lilitan itu akan semakin besar,sehinggalah terbentuk sebiji bola getah sebesar penumbuk orang diwasa. Bola itu akan saya simpan,sehingga lah ia hilang dan diganti dengan bola sekerap yang lain pula. Adakalanya abang suruh saya sepat sekerap getah dan disimpan untuknya. Selesai memunggah susu getah ke bangsal mesin getah keping, sementara menunggu getah dalam takungan membeku, abang akan ambil segerap yang saya sepat tadi. Abang akan balut diumbi pelepah bulu ayam. Lima atau enam pelepah bulu ayam itu dibalut sehingga menjadi "shuttlecock". Petang nanti abang akan bermain dengan abang-abang yang lain mengunakan papan yang ditarah sebagai "racket". Manakala "net"nya pula ialah jaring ikan kepunyaan ayah yang telah berlubang. Saya hanya akan duduk ditepi court,tukang kutip bola bulu ayam itu, jika terpelanting jauh. Bila maghrib telah hampir, kami akan belari belumba-lumba ke telaga.


Baru semalam saya rasakan ketika ayah selesai menunaikan solah Maghrib. Selesai solah sunat,ibu akan terus kedapur menyediakan makan malam. Ayah akan buka kitab kulit merah yang ada dihujung bantal tempat ayah baring-baring waktu berihat tengah hari. Keempat-empat abang saya akan duduk bersila dihadapan ayah membentuk satu halakat. Pelita minyak tanah diletakkan dekat dengan kepala lutut ayah. Manakala saya dan kakak akan mengambil posisi dekat dengan sisi ayah. Ayah akan baca kitab,dan abang-abang akan mendengar dengan tekun. Biasanya saya akan baring disisi ayah setelah 15 minit ayah memulakan mini kuliah itu. Kadang-kadang ibu terpaksa mengejutkan saya untuk makan malam.


Itulah saat-saat indah kehidupan alam kecil yang serasa baru benar berlalu. Masih terasa baru benar wajah-wajah abang segar dan segak sebagai remaja yang girang. Walaupun kami hanya berkawan adik-beradik ,kerana kedudukan rumah yang jauh diseberang sungai dan dikelilingi rimba yang tebal, menyebabkan kami tidak ada jiran, namun kami tidak pernah rasa kesunyian. Detik-detik itu terasa masih segar dalam ingatan. Kini abang-abang sudah kelihatan sangat ketara dimamah usia. Sudah tentu saya ikut sama dalam peredaran masa itu. Alangkah pantasnya masa berlalu. Patutlah Allah dan Rasul sentiasa memperingatkan hamba dan Ummatnya agar jangan leka dan lalai. Menangguhkan amal ibadah adalah sifat orang-orang yang lalai dan lemah agamanya.

Perjumpaan yang seketika itu menginsafkan saya betapa telah jauh rupanya perjalanan usia saya. Sedangkan dunia ini kelihatan masih menawan dan amal kebajikan sering ditangguhkan.
Ya Allah "Hidupkan Aku selaku hidupnya para Ulama ( penuh dengan ilmu dan amalan soleh) dan Matikanlah aku selaku matinya Syuhada' ( yang benar janjinya dengan Allah) Amiiin.


Nota:

1. (Atas Kanan ) : Cucu Abang yang sulung
2. (Atas kiri) : Cucu Abang yang ketiga
3. (Bawah Kiri) : Cucu Abang yang ke Empat ( baru pulang dari Tanah Suci)

1 comment:

harapan ramadhan said...

ya ustaz saya juga terasa bagaimana ustaz rasakan kelmarin,rasanya diri macam orang muda tapi hakikatnya ia bergerak dimamah usia,
seperti hasan albasri r.a
Engkau bertanya tentang dunia dan akhirat. Dunia dan akhirat ini ibarat timur dengan barat. Setiap kali engkau cuba menghampiri ke satu arah, engkau akan menjauhi arah yang satu lagi."

ibnu 2451/00