07 January 2009
Sukarnya menghidupkan Sekolah Agama Persendirian.
KITA BUKAN KOMESIALKAN PENDIDIKAN. KITA BANGUNKAN INSTITUSI PENDIDIKAN INI ADALAH KERANA MAHU MENYAMBUNG TERUS PERJUANGAN TOK-TOK GURU YANG TERDAHULU DALAM DUNIA ILMU DAN PENDIDIKAN.
----------------------------------------------------------
Petang semalam ( 7 .Jan.2009 ),sambil mencari sedikit kerehatan selepas penat memandu dari Felda Rentam ke Kuantan, saya cuba-cuba tinjau e-mail saya yang dah banyak hari tak dibuka. Bukan saya malas nak buka e-mail, tapi kerana dua hari lepas , ketika sahabat-sahabat lain berada dimedan Kuala Trengganu saya pulak terpaksa berkejar balik ke kampung menziarahi mak yang agak teruk diserang Cingukunya ( maaf salah ejaan kot). Tulisan saya dalam blog ini berkenaan Sekolah Agama Sungai Gau, rupa-rupanya mendapat respon yang tidak sedikit dari sahabat-sahabat dimerata negeri. Ramai jugak antara mereka yang saya tahu mempunyai pengalaman mengendalikan pusat pendidikan persendirian. Tentunya pandangan,luahan dan cadangan mereka tidak boleh dipandang ringan. Kerana mereka bukan bercakap mengikut skrip tak tentu hala. Mereka bercakap dari pengalaman,perasaan dan suara sanubari yang tidak mungkin dimengerti sepenuhnya oleh mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam dunia pengendalian pusat pendidikan persendirian.
Justeru meraikan pandangan mereka, maka saya bentangkan disini perkongsian rasa, perasaan, pengalaman, pahit maung dan kemanisan dunia pendidikan Sekolah Agama Rakyat atau Pondok. Ada antara mereka yang meluahkan pengalaman berkaitan pentadbiran sekolah. Kerenah Ajk sekolah yang lebih lagak daripada kerja. Mesyuarat banyak kali sebulan, tapi kerja tak jalan. Dalam mesyuarat banyak cadangan, sampai berhelai-helai kertas minit dibentang oleh setiausaha. Namun bila di check semula, hanya beberapa cadangan sahaja yang dilaksanakan. Mesyuarat ala koprat, tetapi mutu pendidikan tetap sama.
Ada jugak yang berkongsi pengalaman mengenai Ajk Parti yang tak puas hati dengan sekolah kerana tak dinamakan Sekolah Parti dan tak ada satu lambang pun kat sekolah. Macamana nak berjuang, letak lambang pun tak berani, kata seorang Ajk Kawasan. Justeru itu sekolah tersebut tak dipedulikan oleh sebahagian pimpinan kawasan. Usahkan anak yang nak dihantar ke sekolah tersebut, mereka sendiri tak pernah jenguk. Tapi bila musiam pilihanraya, pelajar pondok itulah yang ramai turun buat kerja-kerja parti dan jadi tenaga penceramah berkelompok. Aktiviti Unit Amal disertai penuh minat oleh pelajar termasuk demonstrasi menuntuk keadilan. Namun kerana tiada bendera lambang kat sekolah, maka terpinggirlah sekolah.
Pengalaman seorang sahabat lain pula, berkenaan kerenah Ibu-Bapa yang liat bayar yuran. Orang yang bercakap mengenai Pendidikan setiap kali muktamar itu banyak katagori katanya. Ada yang berapi-api minta parti bangunkan Pusat Pendidikan. Bila Jamaah buka pusat pendidikan, mereka tak hantar pun anak mereka ke sekolah tersebut. Ada jugak yang hantar, tapi tak nak bayar yuran. Handphone tukar setiap bulan, tapi yuran anak tertungak berbulan-bulan. Bila sekolah tutup kerana tak larat nak tanggung kos operasi, bising pulak dia salahkan pentadbiran. Bila anak digantung sekolah, sibuk pulak dia salahkan pentadbiran. Pentad
bir tiada hati perut, tak boleh tolak ansur dan macam-macam lagi.
Sahabat yang satu lagi cerita pasal guru-guru sekolah agama rakyat. Maklumlah, sekolah agama rakyat bayar gaji tak tinggi. Jadi ada sesetengah guru mengajar kat sekolah hanya sementara tunggu ada peluang nak cabut lari. Nak cabut awal, belum terima mana-mana tawaran, bimbang juga takde gaji langsung. Tapi bila ada tawaran, terus je angkat kaki. Surat atau notis perletakan jawatan pun tak diserah kepada pentadbiran. Alaa sekolah swasta je. Kadang-kadang pentadbir pun tak tahu samaada guru tu masih mengajar kat situ atau dah mengajar kat tempat lain. Apa-apa makluman tak diberitahu. Sekolah agama hanya "batu loncatan" sahaja, bukan medan perjuangan. Kalau ada yang masih tunggu jugak mengajar kat sekolah agama, itu pun acuh tak acuh sahaja. Nak datang mengajar ke atau tak nak datang, tak kesah. Mesyuarat guru-guru hadir kalau tidak bertembung dengan program sendiri. Soalan periksa hanya buat last-last minit, dan kalau periksa kertas soalan pun buat sambil-sambil tengok Tv. Setengah guru tu pulak katanya, minat mengajar, tapi atas desakan Queen, terpaksalah pilih kerja yang ada KWSP atau EPF, walaupun bukan dalam bidang pendidikan. Bimbang jugak masa depan anak-anak akan gelap kalau ayah terus mengajar disekolah agama rakyat. Jamaah-jamaah jugak, tapi perut nak isi. Jihad-jihad jugak, tapi hidup kena fikir jugak.
Itulah coretan sahabat-sahabat didada email ana. Luahan itu ana kumpul, olah dan ana lontarkan kembali kepada pembaca semua, khususnya ikhwah dan akhawat dalam perjuangan dakwah ini. Jika tok-tok guru kita dizaman lampau mempunyai perangai dan pemikiran seperti di atas, percayalah...Ilmu Islam tidak akan sampai kepada kita seperti yang kita nikmati hari ini. Benar kata sahabat di atas, Dunia Ilmu bagi mereka bukan Medan Perjuangan tapi hanya tangga reput buat berpijak sementara untuk meraih keinginan yang tersembunyi dalam lipatan nafsu yang tiada siapa tahu sebelum itu. Kita kenal Allah itu Ar-Razzaq, tapi kita tidak yakin kepadanya. Kaafirin yang menyembah berhala 24 jam, lagikan diberi rezki oleh Allah, inikan pula orang yang berjuang diatas jalan Allah. Benarlah kata hukama'; ramai orang yang berilmu, tetapi rapuh aqidahnya. Ramai orang yang membicarakan Tauhid, tetapi lemah keyakinannya. Ramai orang yang membicarakan perjuangan tetapi masih merindui kerihatan dan kelazatan.
Sesungguhnya tiada kelazatan yang paling hakiki selain merasai kepayahan dalam perjuangan yang suci.Alangkah manisanya kepayahan itu, alangkah lazat kesakitan itu dan Alangkah harum segala penderitaan itu. Bila Allah berada dalam hati seseorang, maka tiada lagi ruang untuk makluk dan nafsu merajai hati. Para Ikhwah semua, biarlah dunia sekadar berada di tangan, jangan bertakhta dihati.
"Insyallah ana akan lanjutkan penulisan ini mengenai "sucinya pengorbanan guru-guru Pasti".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment