17 January 2009

Guru ku telah uzur,namun jasamu semakin subur dalam hati ku.



TANPA MU GURU,SIAPALAH AKU. ILMU YANG GURU CURAHKAN DALAM TAKUNGAN HIDUP KU,BAGAI AIR JERNIH YANG HENING,PENGHILANG DAHAGAKU DUNIA DAN AKHIRAT.

-------------------------------------------------------------- ------

Semalam 16.Januari.2009 (Jumaat) ketika sampai ke Kelantan, sahabat saya Ustaz Zulkifli, Imam Masjid Pondok Pasir Tumboh telah meminta saya menyampaikan Khutbah jumaat mengantikan beliau. Walaupun agak sibuk dengan urusan membeli kitab-kitab untuk pelajar-pelajar saya, namun permintaan menyampaikan khutbah di Masjid Pondok sukar untuk saya tolak,walau dengan apa alasan pun. Kerana Pondok Pasir Tumboh adalah madrasah pertama saya mengenai diinullah, kampung tempat saya menghabiskan sebahagian usia remaja, dan disamping itu saya mempunyai pertalian yang tidak akan putus sampai keakhirat, iaitu pertalian saya sebagai murid dan tok-tokguru saya sebagai guru. Kesempatan untuk menziarahi mereka tidak akan saya lepaskan, sekalipun saya tidak diminta menyampaikan khutbah disitu. Mereka adalah guru dan ayah saya. Saya wajib menghormati mereka selamanya.

Sebelum bertolak ke Pondok Pasir Tumboh,terlebih dahulu saya menziarahi Tuan Guru Ishak, mudir Pondok Gelang Mas, Pasir Mas ( Isteri beliau dua pupu saya). 20 tahun yang lalu saya kerap berulang alik kesurau beliau ditapak pondok Gelang Mas sekarang. Ketika itu kawasan pondok tersebut masih kebun getah. Di tengah kebun getah itu dibangunkan sebuah surau kayu, tempat orang kampung berjamaah. Biasanya saya akan kesurau itu petang khamis ( cuti mingguan pondok Pasir Tumboh ialah mulai petang khamis hingga petang jumaat) selepas mengikuti pengajian dengan Baba Aziz di Kampung Bunut Payung,bersama dua orang sepupu saya ( kini kedua-dua mereka adalah menantu kepada Tuan Guru Haji Musthafa,pengasas Pondok Pasir Tumboh).

Selepas Maghrib Tuan Guru Ishak akan membaca kitab Furu' Masaail untuk jamaah kampung. Kami akan duduk ditepi dinding sahaja kerana memberi peluang kepada orang kampung menadah kitab. Selesai solah Isyak dan selepas naik kerumah seketika, beliau akan turun semula membaca kitab untuk kami bertiga. Mula-mula beliau akan baca kitab 'ianatut Tholibin dan kemudian akan baca kitab Nahu, Qatrunada. Kadang-kadang kelas ini akan berlanjutan sampai jam 1 pagi. Bila sudah terlalu mengantuk beliau akan bersandar seketika pada tiang sambil berkata; " kita tidur sebentar, lepas ni kita sambung balik...". Lebih kurang 15 hingga 20 minit beliau akan tersedar kembali dan menyambung semula pengajian. Begitulah keadaan kami sehingga tamat kedua-dua kitab tersebut. Walau jam berapa kami selesai mengaji, kami akan balik ke Lambor ( kampung asal kami ) kerana selepas subuh hari jumaat kami akan menadah kitab pula dengan Tuan Guru Haji Rani ( Sepupu ibu saya ). Beliau akan baca kitab Tauhid "Hudhudi 'ala Tahrir" dan Fathul Mu'in". Biasanya selepas kelas tersebut saya akan pulang ke Pasir Tumboh berasingan dari kedua orang sepupu saya tadi. Ini adalah kerana kedua mereka akan pulang semula ke Pondok petang nanti, kerana terpaksa membantu keluarga di sawah. Manakala saya pula dalam perjalanan pulang akan singgah di Kota Bharu untuk mengikuti kuliah tafsir yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Hampir waktu solah jumaat semalam saya pun meminta diri dari Tuan Guru Ishak. Dalam keadaan yang semakin dimamah usia, beliau menghantar kami kehalaman masjid pondok beliau. Saya tinggalkan beliau dengan doa agar Allah memberkati hidup dan matinya. Kemudian saya bersama teman yang bersama saya terus bertolak ke Pondok Pasir Tumboh. Selesai menyampaikan Khutbah dan solah jumaat saya sempat bertemu dengan Tuan Guru Haji Hasyim ( beliau adalah adik ipar kepada Tuan Guru Haji Musthafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz ). Beliau sudah uzur benar. Bersama dua tongkatnya sambil dipapah oleh cucu menantunya Ustaz Naim ( rakan sepengajian saya ). Saya salami dan cium tangan Tok guru. Hati saya merasa sebak dan berbisik," sudah sejauh ini perjalanan hidup mu wahai guru. Berbahagia lah guru disana nanti atas taburan bakti kepada agama Allah swt". Wajah jernihnya saya tatap, sambil mohon restu dan doa keberkatan untuk saya. Bersama saya ketika itu Ustaz Taib Azamuddin ( bekas imam Masjid Negara ) juga bekas murid Pasir Tumboh. Sambil berbual saya urut tangan tok guru, saya curahkan tanda kasih saya kepada guru yang sangat berjasa kepada saya. Jasa yang tidak mungkin dapat saya balas sampai bila-bila.

Masih saya ingat saat tokguru masih sihat. Awal pagi beliau telah mengimamkan solah subuh. Selesai solah subuh beliau akan memimpin kami dalam wirid yang panjang, sehingga naik matahari. Sesudah itu beliau akan balik untuk sarapan. Kemudiannya jam 8 pagi beliau akan bersandar ditiang "surau tengah". Kami akan bersila dengan hormat disekeliling tokguru. Begitulah kami bersama tokguru bertahun lamanya, sehingga menghabisi kitab "Siraajut Tholobin" (Syarah Minhajul 'Abidin). Tengah hari tokguru mengajar lagi. Lepas Asar tokguru akan baca kitab Nahu "Jawahirul Maknun". Kemudian kami akan menandah lagi dengan tok guru kitab tafsir "Al-Jalalaini" selepas Maghrib. Begitulah ketekunan tokguru membimbing kami. Kini tokguru telah uzur. Namun sinar mata dan kejernihan wajahnya tetap segar menyinari hidup saya. Sebelum meminta diri, sekali lagi saya cium tangan tokguru. "Tokguru..restuilah ana, doakan ana tokguru"..ujar saya sebelum bangun meninggalkan beliau yang kemudiannya meneruskan wiridnya sehingga solah Asar.

Ketika berjalan keluar dari Masjid saya bertembung pula dengan Abang Lah ( gelaran kepada seorang lagi tuang guru saya). Sambil berdiri dalam keadaan menggigil kerana keuzurannya saya cium tangan abang Lah. Tubuh lemahnya saya peluk, tanda betapa sayangnya saya kepada beliau. Dengan senyum abang Lah menyapa saya; "mari bila?". Semalam jawab saya, sambil tangannya terus saya genggam. Saya tatap wajahnya. Sejuta kedut didahinya menceritakan betapa sudah jenuh langkah hidupnya. Terkenang saya 15-20 tahun yang lalu. Selesai wirid subuh kami akan berkerumun disekeliling Abang Lah. Kami akan catat didada kitab "Iqna" setiap kalimah penting yang keluar dari bibirnya. Selesai membaca kitab Iqna', Abang Lah akan sambung pula dengan Kitab Nahu "Ibnu Aqil". Bersama Abang Lah, saya pernah belajar seorang sama seorang ( bermakna saya dan beliau sahaja) tetapi kemudiannya kelas kami berdua diikut serta oleh Ustaz Ramli ( kini mudir Pondok Al-Islahiyyah Pasir Putih). Saya minta Abang Lah bacakan untuk saya kitab Qawaied Fiqhiyyah "Asyhbah wan Nazaaeir" dan kitab "Mahalli". Abang Lah cukup tekun dengan tugasnya. Pada tahun pertama Ihtifal Pondok saya, Abang Lah datang bersama rombongan dari Pasir Tumboh, memberikan sokongan moral kepada saya.

Kini Abang Lah telah uzur. Kata-katanya sudah tidak jelas. Namun dari raut senyum wajahnya, saya tahu, abang Lah gembira melalui hari-hari tuanya. Masakan tidak..sebahagian besar bekas pelajar Pasir Tumboh yang bertaburan dibumi Malaysia ini adalah anak muridnya. Sebelum beredar, sekali lagi saya peluk Abang Lah dan saya cium tangannya. Terima kasih guru ku. Guru-guru ku telah uzur, namun ilmu yang ku kutip dari mereka tetap subur selamanya..Ya Allah, rahmatilah guru ku.

2 comments:

rizdja said...

asalamualaikum ustad.. setelah membaca post ustad yg ini.. membuat kan diri saya sangatla kerdil dalam menimba ilmu.. kepayahan dan pengorbanan dalam mencari ilmu..
sungguh saya kagumi..

Ikelah said...

amin, ya robbulalamin.