07 January 2009

Antara dua kutub perjuangan

PAS TURUN KE MEDAN DENGAN MENAWARKAN ISLAM SEBAGAI ASAS KEPADA PENBENTUKAN INSAN,PEMBANGUNAN DAN KEBAJIKAN. MANAKALA UMNO MENGIBARKAN PANJI-PANJI KEBANGSAAN DAN JANJI-JANJI MODAL INSAN.
______________________________________________________________

Saya mula mendengar perkataan politik ketika berusia 10 tahun. Ketika itu saya belajar dalam darjah empat di Sek Keb Tanjung Pamun ( kini dikenali dengan nama Sek. Keb Kuala Triang). Tahun 1974, sekali lagi rakyat diberi hak menentukan pilihan kepimpinan Negara. BN boleh dikatakan mendominasi undi dan pengundi di Kampung saya ketika itu. Ketua Kampung yang juga sebagai Ketua UMNO cawangan tidak jemu-jemu mengingatkan anak buahnya agar memberikan sokongan kepada calon BN, samaada Calon Parlimen ( Tan Sri Hamzah Abu Samah ) atau Calon DUN ( Kalau tak silap saya ialah Cikgu Mansor). Manakala Calon DUN dari Pas diwakili oleh Ustaz Hamzah. Oleh kerana keseluruhan kaum keluarga saya di Kelantan adalah penyokong Pas, dan Pondok Lambor yang dipimpin oleh Datuk saudara saya adalah salah satu benteng Pas di Kelantan, maka kecenderungan keluarga saya di Kg Kuala Triang tetap kearah Pas. Kerana kecenderungan kami kepada Pas, maka Ketua kampung Kuala Triang merasa sedikit tidak senang kepada keluarga kami, walaupun menantu sulungnya adalah abang sulung saya.

Dalam usia 10 tahun itu buat pertama kali saya mendengar ceramah Pas yang disampaikan oleh Ustaz Hamzah dirumah bapa saudara saya. Pendengar yang hadir tak ramai, lebih kurang 10 atau 15 orang sahaja. Ustaz Hamzah telah menjelaskan maksud perjuangan Pas. Pas bukan hanya politik,Pas bawa Islam untuk semua rakyat. Kalau kita orang Islam mengapa kita tidak menyokong perjuangan Pas?. Itulah antara kalimah yang ditegaskan oleh Ustaz Hamzah sebelum mengakhiri ucapannya hari itu. Kalimah terakhir itu terpahat kukuh dalam tubuh kecil saya waktu itu dan masih segar hingga hari ini. Sejak hari itu saya mula melihat PAS dan UMNO sebagai dua titik yang terpisah dasar dan tujuan perjuangannya. Namun antara dua titik itu hanya dipisahkan oleh jarak yang sangat dekat.

Kemudiannya saya semakin membesar. Dunia pembacaan mula mewarnai pemikiran sejalur dengan pertumbuhan saya. Sepupu saya gemar melanggan majalah Mastika ( waktu itu majalah mastika sebuah majalah yang berkonsepkan maklumat politik). Majalah tersebut menarik minat saya. Pada awalnya saya hanya minat membaca cerpen yang disiarkan oleh mastika. Tapi lama kelamaan saya mula minat membaca isu-isu politik. Peritiwa Demonstrasi pelajar 1974, tunjuk perasaan di Baling, Isu harga padi di Alor Star, pergolakan politik Datuk Harun Idris, Krisis politik kelantan antara Datuk Asri dan Muhammad Nasir dan macam-macam lagi yang sempat saya ingat. Walaupun mungkin saya tidak dapat memahami semuanya, kerana hanya berdasarkan pembacaan dan analisis seorang pelajar sekolah rendah, namun saya mula melihat jarak antara dua titik tadi semakin merenggang dan melebar.

Ketika saya mula melangkah kaki ke Sekolah Menengah, dunia pembacaan semakin luas untuk saya layari. Cikgu Taha antara anggota ABIM yang aktif. Beliau banyak membekalkan kepada saya dan rakan-rakan yang sama minat, dengan buku-buku cetakan IFSSO dari Kuwait. Buku terjemahan kedalam bahasa Melayu itu mula menarik minat saya. Tambahan pula kini saya telah ada tempat rujukan iaitu cikgu Taha. Dari situ saya bukan hanya dapat mengenali perbezaan antara PAS dan UMNO dari sudut perbezaan politik semata-mata. Namun saya mula melihat perbezaannya yang semakin jelas dengan suluhan agama. Dunia gerakan Islam mula meresap secara beransur-ansur dalam pemikiran saya. Dari Cikgu Taha saya mula mengenali Bapak Nasir dengan Fiqh Dakwahnya, Syed Qutb dengan Ma'alim Fit Toriqnya, Hassan Al-Banna dengan Usul dua puluhnya dan saya mula meminati keikhlasan tokoh-tokoh seperti Abdul Qadir Audah, Badiuzzaman Syed Nursi, Sulaman Dan Fodio, Umar Mukhtar dan ramai lagi. Dalam usia 14 tahun, buat pertama kali saya mula menyertai usrah yang dipimpin oleh Cikgu Taha dirumah bujang beliau. Dalam usia menengah rendah, saya dapat lihat jarak antara PAS dan UMNO semakin menjauh.


Dalam usia menengah tinggi, saya mula melangkah kaki ke dunia pengajian Pondok. Kelantan waktu itu dan sehingga kini adalah Universiti terbuka untuk subject politik. Waktu saya sampai di Pondok Pasir Tumboh, dunia politik kelantan sedang membahang. Tambahan pula dunia baru sahaja dikejutkan dengan kemenangan Revolusi Iran. Kejayaan Islam menumbangkan Shah Iran ( Bonika Amerika) yang sekian lama bertakhta, menjadi inspirasi ummat Islam diseluruh dunia. Mereka bagaikan baru dikejutkan dari sebuah lamunan yang panjang. Ummat mula tersentak dan menyedari, rupa-rupanya perjuangan yang berteraskan aqidah dan ruh Islam mampu menumbangkan temboh tebal sakular dunia. Pondok Pasir Tumboh yang menjadi institusi pendidikan yang memberikan sokongan kukuh kepada perjuangan Islam, telah mengheret saya dan pelajar-pelajar lain memberikan dokongan kepada PAS. Tambahan pula awal 80an,iklim kepimpinan dalam Pas mula berubah. Kepimpinan Ulama yang di usulkan oleh Dewan Pemuda telah membawa Pas kepada satu gerbang baru. Pas mula bebas dari kepompong politik semata-mata. Pas mula kembali kepada landasan awal penumbuhannya iaitu "Pas sebagai Gerakan Islam". Kemunculan Tuan Guru Haji Abdul Hadi dengan pidato yang padat dengan hujjah aqidah, telah melonjak sokongan tok-tok guru pondok, alim ulama dan orang-orang kampung yang sedikit sebanyak belajar tentang Islam untuk berdiri teguh dibelakang Pas. Selama ini mereka bukan tidak menyokong Pas, tetapi oleh kerana gaya kepimpinan terdahulu yang tidak mencerminkan kepimpinan Islam yang sebenar, menjadikan mereka menangguhkan sokongan terbuka kepada PAS.

Dunia baru itu semakin membuka ruang pemikiran saya. Disamping mengikuti pengajian di Pondok kami semacam diberi galakan menghadiri ceramah-ceramah Pas. Contohnya, jika ada cermah pas yang berhampiran dengan pondok, ustaz atau tok guru akan beritahu, malam ni tiada kelas. Dengan itu kami akan hadir beramai-ramai ke tempat ceramah Pas. Setiap pagi jumaat pula saya akan hadir ke Dewan Zulkifli mengikuti kuliah tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kaset-kaset ceramah yang memenuhi dunia politik dikelantan telah membuka lebar maklumat islam dan politik kepada saya. Tambahan pula saya diamanahkan mengendalikan badan "Muhadorah" ( latihan ceramah dan pidato) pelajar waktu itu. Alhamdulillah program latihan tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sehingga ketibaan malam selasa ( malam muhadorah) ditunggu-tunggu oleh pelajar. Antara pelajar yang aktif mengambil bahagian dalam latihan itu ialah Ustaz Ramli Sidong ( bekas Ketua DPP Selangor), Ustaz Nasaruddin Hassan ( Tim. K. DPP Pusat),Ustaz Asmu'ei ( Selayang), Ustaz Halim Abdul Rahman (YB Lemal sekarang), Ustaz Bidin ( Orang Kuat Pas Kuala Berang), Ustaz Mohd Rejab ( Tok Guru pondok di Kedah dan Ajk Dewan Ulama Pas Kedah), Ustaz Mustafa Sa'ari (YDP Kampung Gajah Perak) dan ramai lagi. Disamping itu saya dan rakan-rakan mula terlibat dalam penyusunan Usrah Induk pelajar-pelajar sehingga group usrah telah mendominasi persatuan pelajar waktu itu.Alhamdulillah, dengan segala maklumat tentang Islam,politik dan dakwah, dapat saya lihat jarak Pas dan Umno semakin jauh sehingga mencecah sejarak kutub utara dan selatan. Dua kutub yang akan semakin melebar jika Umno tidak bersedia menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya.

Hari ini Pas dan Umno turun kegelanggang Pilihanraya kecil Kuala Trengganu dengan dua arah perjuangan yang semakin menjauh. Hanya Islam sahaja yang dapat mempertemukan Pas dan Umno. Pas telah pun menjadikan Islam sebagai dasar sejak ia mula dilahirkan kedunia Malaysia ini. Umno bila lagi?..

1 comment:

al-brangi Online said...

tak munkin dua kutub akan bertembung. melainkan umno duduk bersama dgn PAS di satu kutub iaitu di kutub Islam