31 December 2008

Umno akan jadi bertambah tidak matang setiap kali menjelang Pilihanraya

SETIAP KALI PILIHANRAYA UMNO YANG TELAH TUA SEMAKIN SERIUS DISERANG "CHILDISH"...

-------------------------------------------------------

Tirai 2009 disingkap dengan pukulan gendang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Trengganu. Mulai 6 Januari nanti sebahagian besar petugas dan penyokong Pas dan Umno akan berkampung di Ibu Negeri penyu itu. Tentunya kali ini ramai yang akan datang berbelanja di Trengganu selepas kempen melancong ke Pulau Wan Man dengan Masjid tanpa kariah itu gagal mencapai sasarannya. Tumpuan tentunya akan diberikan kepada kempen Pas dan Umno, walaupun gelanggang pilihanraya ini khabarnya turut disertai oleh calon-calon tanpa parti yang entah apa matlamat dan sasaran perjuangannya.

Penyakit "Childish" ( penyakit berperangai keanak-anakan dan nyanyuk ) kembali menyerang Umno dengan serius. Siapa pun yang menonton tv sejak pemergian Ahli Parlimen Kuala Trengganu dipenghujung 2008 yang lalu,dapat menyaksikan kempen Umno, terutamanya "siaran berita". Pembaca berita yang sekian lama di"kakaktua"kan oleh Menteri Penerangan dan pemimpin-pemimpin Umno terpaksa mengulang cakap Umno setiap kali berita keudara. Hujjah dan kenyataan keanak-anakan kembali berkumandang. Melihat kepada kempen tersebut, ternyata Umno tidak belajar apa-apa daripada pengalaman PRU12 yang lalu. Umno gagal memahami khalayak rakyat Malaysia yang telah jauh kehadapan pemikirannya berbanding dengan Umno.

Rakyat telah jauh melangkah melepasi sempadan "perkauman dan Bahasa", namun Umno masih bergelumang dalam gelanggang isu-isu perkauman yang sempit. Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz bercakap mengenai "ketuanan Islam", yang melepasi segala sempadan bangsa dan bahasa, tapi Umno masih bercakap mengenai "ketuanan Melayu" dalam skop keturunan dan bahasa perbualan. Sedangkan Pengerusi kelab Penyokong Pas, dalam ucapannya di PUTIK Kota Bharu, baru-baru ini menengaskan semua bangsa adalah menumpang didunia milik Allah. Nampaknya Pengerusi berbangsa Tionghua yang bukan Islam itu lebih faham soal bumi dan manusia berbanding Umno. Entah-entahkan lebih faham daripada ulama' Umno.

Umno menyergah Kerajaan Pulau Pinang, kononnya telah bertindak meminggirkan orang-orang melayu daripada aliran pembangunan Pulau Mutiara itu. Sedangkan Rakyat semua telah tahu termasuk kanak-kanak PASTI ( bukan Pusat Asuhan Kemas) bahawa sebelum ini Pulau Pinang telah ditadbir oleh Parti Gerakan, sahabat sebantal Umno. Terpinggirnya orang-orang melayu di Pulau Pinang bukan baru berlaku selepas PRU 12 yang lalu. Pak Lah dan Koh Su Kun tentunya ada jawapannya.

Semua rakyat jelata tahu akan betapa sinonimnya Umno dengan rasuah,sehingga menjalar kesetiap urat saraf parti itu. Ianya diakui oleh bekas pimpinan besar parti tersebut. Rakyat dah dengar kenyataan Tun Dr Mahathir,rakyat dah dengar kenyataan Ku Li, rakyat dah dengar kenyataan Musa Hitam dan Rais Yatim,tokoh yang nak tender Umno. Tapi yang peliknya Umno masih mengaku "bersih" dan punya niat yang telus untuk membasmi rasuah. Usaha-usaha memberi lebih kuasa kepada BPR, kononnya tanda ketulusan Umno memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Pakcik Tua yang paham politik, yang sedang menghirup "kopi jantan"dikedai kopi terbahak-bahak ketawa, sampai terkentut mendengar ketulusan Umno. "Dah nazak baru nak memerangi rasuah?",kata beliau sambil mengutip kembali gigi palsu diatas meja.


Hari ini Umno bercakap pulak tentang hudud. Isu yang ulama' umno sendiri tak faham,usahkan pimpinan biasa umno,apatah lagi "JKK cap ayam" kat kampung. Pas tidak ikhlas untuk melaksanakan hudud! tegas pimpinan Umno. Kalau Pas nak laksanakan hudud, dah lama Pas laksanakannya,kerana Pas kan dah lama memerintah kelantan!, tambah beliau lagi sambil tersengih-sengih bangga kerana merasakan hujjah itu cukup mengambarkan betapa bijaknya beliau,dan tak rugi ahli-ahli Umno pilih beliau sebagai pimpinan. Kalau ucapan itu dibuat depan Makcik jual etak dipasar Siti Khadijah, sudah tentu mulut celupar itu disumbat dengan etak. Tapi mujurlah ucapan itu diucap didepan ahli-ahli Umno dikampung Ulu Tembeling. Mereka tepuk jugalah tangan sambil menghirup air kotak yang diagihkan oleh petugas Umno sebentar tadi. Rakyat semua dah tahu. Dewan undangan Negeri Kelantan telah meluluskan "Enekmen Hudud" sebagai undang-undang Kerajaan Kelantan, dan rakyat semua dah tahu, termasuk Tok Batin di Pengkalan Hulu Gerik, bahawa Umno dibawah pimpinan Tun Mahathir yang beri amaran kat Kelantan agar jangan laksanakan hudud. Memang Nyanyuk, jika tak ingat peristiwa itu.


Kini sekali lagi Umno masuk gelanggang dengan isu-isu "kebudak-budakan". Ditengah-tengah kesedaran rakyat mengenai "menu sebenar Politik Malaysia" agak sukar untuk Umno bertarung dengan Pas secara adil dan matang, melainkan terpaksa mengunakan seluruh jentera kerajaan yang ada dan "kempen aje lah",asalkan rakyat undi mereka. Dalam keadaan dimamah usia,Umno terus dengan sikap dan style lamanya. Sedangkan rakyat telah jauh belayar meninggalkan Pulau Wan Man.


No comments: