15 January 2009

Pilihanraya dan seorang prempuan

BAGAIMANA DIA TAHU SAYA DATANG DARI PAHANG,SEDANGKAN SAYA TIDAK PERNAH MENGENALINYA SEBELUM INI.
---------------------------------------------------------------

Pilihanraya kecil Kuala Trengganu meninggalkan calar sedih dihati saya. Ini adalah kerana saya tidak berkesempatan turun padang sebagaimana sahabat-sahabat lain dari Pahang. Ada antara mereka tidak balik-balik sejak penamaan calun. Mereka berkampung di Markas Pahang di jalan Pasir Panjang dalam DUN Ladang.

Ketika sahabat-sahabat dari seluruh tanahair turun ke Trengganu dihari penamaan calun dahulu saya terpaksa balik ke kampung kerana menerima panggilan telefon dari abang yang memberitahu ibu saya sakit. Beliau telah dibawa kekelinik tetapi masih tidak dapat bangun. Hatta untuk kebilik air terpaksa diangkat. Mendengar berita itu saya segera bergegas balik ke kampung bersama isteri dan anak-anak. Betapa sedih saya rasakan kerana tidak dapat bersama menyertai tarikh bersejarah itu.

Apabila kempen dan kerja-kerja pilihanraya bermula saya pula disibukkan dengan persiapan "kemasukan pelajar sessi 2009" yang jatuh pada hari Ahad 11.Januari. Untuk itu saya terpaksa banyak menghabiskan masa membuat tempahan kelengkapan asrama, menyediakan bahan binaan untuk baikpulih tandas pelajar-pelajar lelaki dan menguruskan tukang-tukang untuk baik pulih atap Asrama perempuan. Walaupun begitu saya sentiasa mendapat maklumat semasa pilihanraya di Kuala Trengganu melalui dua orang kakitangan Pondok saya iaitu Ustaz Fadli (Mudir juga Ketua DPP Jerantut) dan Ustaz Saharuddin ( Pegawai khas zakat An-Nuur dan juga selaku Ketua DPP Kuantan). Niat saya ialah saya mahu segera menyiapkan kerja-kerja saya sehingga melepasi 11.Januari, dan kemudian saya akan turun keTrengganu, membantu apa yang termampu sehingga hari mengundi.

Alhamdulillah segala persiapan sempat dilakukan, walaupun last minit. 12 dan 13.Jan saya selesaikan pembayaran kredit dikedai-kedai perabut dan hardware. Selepas mesyuarat guru-guru pada 14.Januari , saya segera membuat persiapan untuk ke Kuala Trengganu dan akan terus ke Kota Bharu untuk membeli kitab pelajar-pelajar.

Jam 1 pagi saya sampai di Pasir Panjang. Saudara Che Zuhal membawa saya ke Markas Dewan Ulama. Markas tersebut sepatutnya menjadi tempat penginapan Dewan Ulama Pahang,Negeri Sembilan dan Selangor. Tetapi ketika saya sampai hanya petugas Dewan Ulama Pahang sahaja yang ada. Saya difahamkan petugas dewan ulama Negeri sembilan dan Selangor menginap di Markas Negeri masing-masing. Petugas yang menyusun program penerangan dan ceramah bertanya kepada saya sampai bila saya akan berada diTrengganu, kerana beliau akan susun program kuliah untuk saya. Saya katakan Insyallah saya akan bersama sehingga malam mengundi, dan saya tak kesah jika beliau nak arahkan saya berkuliah dimana-mana pun. Lalu beliau memberitahu saya bahawa pagi esok saya diminta menyampaikan kuliah subuh di Surau Jalan Tekukur dan Khutbah Jumaat di Kedai Buluh. Saya bersetuju dan sedikit kesempatan yang ada itu saya gunakan untuk berihat. Sebelum Che Zuhal beredar saya serahkan sedikit sumbangan,sebagai ganti atas keuzuran saya untuk hadir sebelum itu ( saya ceritakan mengenai sumbangan kecil ini adalah kerana ada kaitan dengan akhir coretan saya ini). Sebelum memejamkan mata sempat saya bayangkan betapa letih dan penat sahabat-sahabat yang telah beberapa hari berkempen untuk mempastikan Pas mencapai kemenangan. Saya doakan mereka semua diberi ganjaran yang berganda dari Allah swt.

Jam 3.15 pagi, tidur saya dikejutkan oleh deringan telefon. Pada mulanya saya menyangka hanya deringan alam, lalu saya padamkan kerana merasakan waktu masil awal. Tetapi kemudiannya telefon Tengku Azmil yang tidur disebelah saya pula yang berdering. Tengku Azmil menjawab panggilan itu dan kemudiannya diserahkan kepada saya. Saya mula berdebar. Kerana panggilan waktu sebegitu adalah panggilan penting atau panggilan kecemasan. Ustaz! asrama pelajar muslimat terbakar!..terdengar suara cemas ustaz zaki. Segera dada saya berdebar. Peristiwa kebakaran asrama lelaki pondok saya pada November 2006 segera terbayang.

Selepas menyampaikan kuliah subuh di Surau Jalan Tekukur, saya beritahu sahabat-sahabat di Markaz Pahang bahawa saya terpaksa segera keKelantan membeli kitab dan akan segera balik ke Kuantan. Kerana jika saya tidak sempat membeli kitab-kitab tersebut pada hari khamis, bermakna saya terpaksa membelinya pada hari sabtu, disebabkan Jumaat adalah hari cuti bagi Negeri Kelantan. Saya memaklumkan kepada sahabat-sahabat di Markaz Pahang bahawa saya terpaksa berlepas balik.Dengan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama mereka meneruskan perjuangan, dalam keadaan terpaksasaya meninggalkan Kuala Trengganu.

Jam 11 pagi saya sampai di Kota Bharu. Segera saya ke kedai Jaafar Rawas dan membuat pesanan kitab-kitab yang diperlukan. Sambil itu saya sempat bertemu beberapa orang kenalan, dan mereka bertanyakan mengenai perkembangan pilihanraya di Kuala Trengganu. Kepada mereka saya tidak dapat bercerita panjang, kerana tidak banyak yang saya tahu mengenainya. Sedang saya berbual dengan mereka di muka pintu kedai tersebut, datang seorang perempuan. Minta serial !..( seringgit) katanya sambil menghulurkan tangan dengan mata yang tepat merenung saya. Sambil bertukar-tukar alamat dan nombor telefon, saya hulurkan 5 ringgit kepada perempuan tersebut. Selepas menerima pemberian saya, perempuan tersebut dengan lancarnya berkata; " terima kasih deh, mudah-mudahan murah rezki,mati dalam iman dan buleh masuk syurga...mugo ( kerana) kita tak tahu bila kita akan mati dok? katanya kepada teman yang ada disekeliling saya. Saya tidak sempat mendengar banyak lagi kata-katanya kerana sibuk melayan teman-teman lama yang kebetulan terserempak disitu. Yang pastinya perempuan tersebut kemudiannya pergi kepada seorang kawan saya yang sedang tercegat ditepi rak buku. Saya lihat kawan saya itu menghulurkan beberapa helai wang kertas seringgit. Setelah menerimanya, seperti tadi perempuan tersebut berkata sesuatu, tetapi suaranya sudah tidak jelas kepada pendengaran saya.

Selesai sessi bertukar-tukar alamat dan nombot telefon, sahabat yang berdiri berhampiran rak buku tadi bersungguh mengajak saya minum. "Ana belanja" katanya...mulanya saya menolak tetapi melihat kepada kesungguhannya, lalu saya ,Abang Hamdan dan Tengku Azmil menurut sahaja. Sahabat itu adalah kenalan lama saya. Beliau anak jati Kota Bharu dan berniaga di atas Pasar Lama Kota Bharu. Kami makan dikedai MPKB. Ketika hampir selesai makan, saya bertanya kepada beliau, samaada beliau kenal perempuan yang minta sedekah tadi. Orang Kota Bharu kenal sokmo (selalu) dah perempuan tu.. kata sahabat saya. "tadi dia doa apa kat anta"? tanya saya ingin tahu. Dia mintak pitih (duit), ana beri dua ringgit..dia (perempuan tersebut) kata "dua ringgit jah" ..dia kata anta beri 5 ringgit, takkan ana beri 2 ringgit sahaja. Ana berseloroh dengan dia; "dia takpe,dia banyak duit!" lanjut sahabat saya bercerita. Perempuan tu kata; "banyak duit apa, di mari pahang nu lagi, banyak dah abis belanja, semalam ( malam tadi) dia doh buie (beri) keorang di teganu (trengganu) buat lawan Umno". Bila mendengar cerita sahabat saya itu, segera denyut nadi saya menjadi kencang. Dengan segera saya minta diri untuk ke kedai Jaafar Rawas kerana saya belum membuat bayaran harga kitab yang dipesan. Sampai didepan kedai tersebut, saya cuba tinjau-tinjau dimana perempuan peminta sedekah tadi. Puas saya menjengguk namun sosok tubuhnya sudah tiada. Mungkin telah pergi meminta sedekah dari orang lain. Namun fikiran saya tetap memikirkannya, siapakah dia. Kerana tiada siapa yang tahu sumbangan saya kepada petugas di Markaz Dewan Ulama malam tadi kecuali saya dan petugas itu....bagaimana perempuan itu tahu saya datang dari pahang, sedangkan saya tidak pernah bertemunya sebelum itu...

No comments: