03 September 2009

Mengapa tidak duduk seketika dengan tenang?..sebuah renungan di bulan Ramadhan.



JANGAN JADI PEMBUNUH UPAHAN SYAITAN. JANGAN JADI PELURU BUTA YANG TIDAK TAHU SIAPA YANG MEMETIK PICUNYA DAN TIDAK TAHU SIAPA SASARANNYA.
_____________________________



Tulisan saya mengenai Ghulu nampaknya menarik perhatian sahabat-sahabat. Ramai jugak yang message dan call saya mengenainya. Alhamdulillah, perbincangan dan muzakarah sebenarnya menghasilkan suatu yang diluar jangkaan kita. Ada suatu yang kita tidak puas hati pada asalnya, namun selepas berbincang, kta merasa tenang,lapang dan selesa. Ada suatu yang kita merasa sangat marah mengenainya, namun selepas duduk seketika dengan fikiran yang jernih ditambah pula dengan zikir kepada Allah, marah kita yang meluap-luap menjadi reda dan damai.

Sebuag roda jika terus berputar, kita tidak akan tahu dimana cacat dan kerosakkannya. Namun jika kita hentikan putarannya seketika, kita akan tahu berapa batang lidinya yang patah, dimana bocornya dan sebagainya. Begitu juga dengan fikiran dan perasaan kita. Jika kita biarkan ia terus berputar, berpusing dan berlegar tanpa henti, pastinya kita akan gagal mengesan dimana cacatnya fikiran dan perasaan kita. Kadang-kadang putaran perasaan dan fikiran itu "ditambah laju" oleh fitnah yang di api-apikan, atau syak wasangka yang tidak berasas. Maka sudah tentu ia akan menambahkan lagi "kecacatan" berfikir dan berperasaan.

Bayangkan jika kita berperasaan buruk terhadap seseorang. Katakan lah dia baru dinaikkan pangkat. Perasaan syaitaniah kita akan berkata; mungkin dia kaki pengampu, atau ada unsur-unsur rasuah. Sedangkan pada pengamatan kita ia tidak layak di naikkan kepangkat itu. Sedang kita berfikir begitu, datang teman sekerja dia, yang mengapi-apikan sangkaan kita. Pada tanggapan kita sudah tentu rakan sekerjanya itu benar kerana bekerja sepejabat dengannya. Lalu hasil daripada gabungan "sangkaan awal" dengan "cerita teman sepejabatnya", lalu kita simpulkan "dia memang kaki ampu" atau "kaki rasuah". Sedangkan kalau kita duduk seketika dengan perasaan tenang mungkin kita mendapat jawapan sebaliknya. Dia memang seorang kakitangan yang tekun, walaupun sesekali dia kelihatan seolah-olah mengampu majikan. Ketekunannya telah menyebabkan bos sering memuji dia di hadapan kakitangan yang lain. Sehingga ada rakan sepejabatnya yang sangat iri hati kepadanya. Dari teman sekerja yang iri hati itulah kita mendapat tokok tambah cerita buruk mengenainya. Cuba lihat...betapa jauh bezanya keputusan yang kita perolehi jika kita "duduk seketika dengan tenang" berbanding kita bersikap Ghulu.

Perkara yang sama akan berlaku dalam jamaah dan dakwah. Kadang-kadang kita melenting bila dikritik oleh orang-orang bawahan. Di tambah pula sebelum ini dilapurkan oleh seseorang bahawa orang bawahan itu memang dengki kepada kita. Lalu kita simpulkan tegurannya itu adalah kerana ia dengki kepada kita. Sedangkan kalau kita duduk seketika dengan tenang, akan kita temui jawapan lain. Mungkin dia ada sifat dengki, tetapi tegurannya betul. Lalu kita perbetulkan apa yang sepatutnya sambil berdoa agar perasaan hasad dalam dadanya dipadamkan oleh Allah. Begitu juga bila kita bersangka buruk kepada pimpinan. Kita lihat pimpinan yang baru bergelar ADUN, tiba-tiba membangunkan sebuah rumah yang besar. Sudah tentu lintasan syaitaniyyah akan segera menerpa dalam fikiran kita yang membisikkan sangkaan buruk terhadapnya. Sangkaan itu ditambah pula oleh seorang pimpinan yang lain. Jika kita duduk seketika dengan tenang atau bersemuka dengannya, kita akan dapati rupa-rupanya beliau baru mendapat pampasan dari tanah yang diambil alih oleh kerajaan kerana projek tertentu. Bila kita duduk dengan fikiran tenang seketika kita dapati maklumat buruk yang kita dapati itu rupa-rupanya datang dari rakan beliau yang kalah dalam pemilihan jawatan kepimpinan. Banyak lagi contoh yang kita boleh temui...

Oleh itu jangan jadikan diri kita sebahagian daripada rangkaian "kegopohan". Juga jangan jadikan sahabat kita atau pimpinan kita "mangsa kegopohan" kita atau kegopohan orang lain. Dengan duduk seketika bersama fikiran yang tenang dan nasihat orang yang soleh mungkin keputusan dan pandangan kita terhadap seseorang akan berubah dan berputar arah 360 darjah. Musuh akan berubah menjadi sahabat dan teman berubah menjadi orang yang harus diwaspadai.

Pengamatan yang jernih, hanya akan dimiliki oleh orang yang "tenang" dan sentiasa memohon "pertolongan Allah". Saya lihat, kadang-kadang maklumat mengenai pimpinan itu kita temui dalam "internet" sahaja. Namun kita telah sebarkan fitnah terhadapnya seolah-olah maklumat yang kita perolehi itu benar-benar soheh.

"Sanggupkah kita bertanggung jawab dihadapan Allah terhadap sangkaan kita yang gopoh itu"?. Marilah kita belajar bertenang. Sikap "tenang" akan melegakan perasaan, melapangkan dada, mensetabilkan denyutan jantung dan pengaliran darah, menjernihkan wajah, bertambah kehormatan diri, meramaikan sahabat serta teman, mengurangkan musuh, mendekatkan diri dengan Malaikat dan menjauhkan diri dari Syaitan, dan lebih-lebih lagi membuahkan "kasih Allah".

Hayatilah Ramadhan dengan jiwa yang tenang.."jangan jadi alat" kepada sebuah kegopohan. "Jangan jadi peluru" yang digunakan oleh orang lain untuk membunuh temannya yang lain.


No comments: