18 September 2009

Kembara Tazkirah penghujung Ramadhan


Hari ini sudah masuk hari yang ke 28 Ramadhan. Masih ada dua program dalam siri "kembara Tazkirah" ini yang belum selesai, iaitu Khutbah esok di Masjid Subang Airport dan Tazkirah pada malamnya di Surau Muttaqin Taman Melati. Cadang saya selesai Tazkirah malam esok, kami akan terus balik ke Kuantan. Ahad lepas saya balik sebentar ke Kuantan untuk memenuhi program Kuliah Subuh di Surau Ikhwan, Taman LKNP Bukit Setongkol dan Kuliah Dhuha di Masjid Al-Fatah. Sejak petang Ahad itu saya belum balik ke Kuantan hinggalah kini.

Syukur kepada Allah..kembara Tazkirah Tahun ini mempertemukan saya dengan ramai kenalan lama dan menambahkan lagi kenalan baru. Jumaat lepas saya berkhutbah di Masjid Fatimah Az-Zahrah. Selepas solah saya terserempak dengan Yazid Shufaat, bekas tahanan Kemunting yang masih dalam tahanan terhad. Beliau bersama tiga orang lagi rakan bekas tahanan, yang semuanya saya kenali. Kami berbual agak panjang. Macam-macam topik yang kami bualkan. Cerita-cerita dan kenangan dalam tahanan pastinya menjadi tajuk manis yang kami ulangi. Kenangan dan kebersamaan itu menjadikan persahabatan kami sentiasa hangat. Apa tidaknya, entah berapa kali Raya kami sambut bersama disebalik dinding Kem Tahanan yang merakam sejuta kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan BN. Tidak ada orang yang keluar dari tahanan tanpa bicara itu yang tidak bencikan BN, kecuali orang gila yang benar-benar gila.Orang yang kemaruk dunia dan kedudukan.

Saya terkenangkan Lokman Nor Adam, yang kini menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia. Dulu beliau adalah orang tahanan seperti saya dan kami-kami semua. Lokman adalah seorang yang agrasif. Ramai jugak warden yang menjadi mangsa makian Lokman dan tak kurang jugak yang kena penangannya. Asalkan berbual, pasti terkeluar makian Lokman kepada Pimpinan UMNO. Saya boleh dikatakan rapat dengan beliau ketika dalam tahanan. Ketika penghuni kawasan saya T2 A dibenarkan beriadah bersama kumpulan Refomasi dalam kawasan T2 B, maka saya akan jadi regu permainan Badminton bersama Lokman menentang regu Ustaz Badrul Amin dan Sdr Saari Sungip (Pak Abu). Biasanya regu saya dengan Lokman akan kalah. Ini disebabkan dayatahan mentaln Lokman agak lemah. Kelemahan itu diambil peluang oleh Ustaz Badrul dan Pak Abu. Bila sudah tegang, lokman akan bertindak melulu dan agrsif tak tentu pasal. Tapi apabila saya beregu dengan orang tahanan yang lain menentang regu Ustaz Badrul dan Pak Abu, kami pulak yang akan menang. Jadi kesimpulannya kekalahan saya dan Lokman bukan kerana "saya tak pandai main" tetapi kerana kegelojohan dan kegopohan Lokman.

Saya dibebaskan pada petang Hari Raya 'Aidilfitri 2003, esoknya hari raya. Balik dari solah 'aidil fitri di Masjid Kg Kuala Penor, tiba-tiba Lokman telah sampai kerumah saya bersama bapanya. Mereka memang datang dari johor untuk menziarahi saya.Selepas itu saya tidak bertemu lagi dengan Lokman. Cuma beberapa bulan sebelum beliau kembali kepangkuan UMNO, saya ada menghubungi beliau. Saya tanyakan desas desus yang mengatakan beliau akan kembali "menjilat kahak" yang beliau ludahkan kemuka Umno. Beliau menafikan desas-desus itu sekeras-kerasnya. Namun seperti pimpinan UMNO yang lain, Lokman buat apa yang dinafikannya. Kini beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO sebaris dengan mereka yang pernah mengurungnya tanpa bicara. Lokman bukan sahaja menjilat kembali kahak yang diludahkan kemuka UMNO bahkan terpaksa menelan sekali "Kahak pekat" yang diludah oleh UMNO kemukanya. Kasihan Lokman yang telah melalui sebuah denai perjuangan tanpa ilmu yang sebenar dan dasar yang kukuh yang ditunjagi nas agama. Tapi saya tidak hairan dengan perubahan Lokman itu, kerana Lokman bukan Ustaz atau Hafiz. Ustaz dan Hafiz lagikan merangkak dan terhegeh-hegeh mengemis simpati UMNO, inikan pula Lokman. Mungkin Lokman pernah berguru dengan Ustaz Firdaus Al-Hafiz...kerana kini mereka satu gelanggang.


Sebentar tadi ( 17.09.09) saya menyampaikan Tazkirah di Bangi. Dalam perjalanan pulang ke Sri Gombak, kami singgah sebentar di Rastoran Rausyah. Sebuah restoran Arab yang terkenal di Ampang. Di situ saya sempat bertemu dengan Ustaz Khairuddin At-Takiri, Ustaz Dato' Ismail Kamus yang baru-baru ini heboh mengatakan beliau meninggal dunia dan ramai lagi teman-teman. Ustaz Hadi Talhah mengatakan Dato' Ismail kelihatan agak "naik badan". Saya berseloroh mengatakan apa tidaknya, kerana berapa ramai orang yang bacakan Fatihah dan Tahlil untuk beliau baru-baru ini. Ustaz Ismail gelak, dan beliau mengatakan ada orang yang dah soalh Jenazah untuk beliau. Dengan Ustaz Khairuddin saya sempat berbincang sebentar tentang program "ulama Muda", anjuran jawatankuasa Ulama Muda, Dewan Ulama Pas Pahang yang akan diadakan pada 4. October nanti.

Indahnya penghujung Ramadhan. Walaupun Ibu Kota penuh sesak dengan kenderaan yang mula bergerak untuk pulang berhari raya, namun belaian dingin semilir Ramadhan tetap terasa sejuk dan syahdu. Entah tahun hadapan masihkah dapat bersama mu Ramadhan. Malam kian merangkak mencari tepian fajar. Sebentar lagi jamaah Surau Ubudiyyah akan datang menunaikan qiam 10 terakhir Ramadhan. Di Kabin kecil dibelakang Surau ini, saya panjatkan doa kepada Allah, agar melimpahkan "rahmatNya" kepada teman-teman yang sekian banyak telah membantu dan menolong liku-liku perjuangan saya. Kepada para dermawan yang tidak pernah sayang kepada harta mereka demi meraih redha Tuhan saya doakan selamatlah dirimu nanti dari Neraka dan Murka Allah. Dengan lafaz penuh mengharap, saya pohon Allah ampunkan semua dosa-dosa saya, kedua ibu Bapa, Abang dan Kakak, saudara mara,Guru-guru, teman-teman serta mereka-mereka yang pernah menyakiti saya.

Marilah kita hidupkan saat-saat akhir Ramadhan ini dengan bermanja-manja dengan Allah dan memohon keampunanNya.


Kepada semua tetamu Blog saya, saya ucapkan salam "Selamat 'Aidil Fitri"..maafkan diri ini.


No comments: