26 September 2009

Ziarah pusara ayah, penutup jadual berhari raya.


Pagi 5 syawal ( 24 sept) kami sekeluarga bertolak ke Kota Bharu melalui Kuala Lipis dan Gua Musang. Walaupun perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu melalui Gua Musang lebih jauh berbanding melalui Kuala Trengganu, namun kali ini saya mengambil keputusan melalui Gua Musang. Yang pertama kerana saya bercadang berhari raya dirumah sahabat saya Sdr Fauzi di Gua Musang. Tetapi ketika melepasi Merapoh telefon saya tidak dapat membuat panggilan keluar. Sangka saya line telefon saya telah ditahan dari membuat panggilan kerana mungkin bill telah melebihi had. Lalu saya cuba membuat panggilan menggunakan telefon isteri dan anak2 saya, juga gagal. Malamnya baru kami tahu rupanya semua panggilan melalui khidmat Celcom tergendala kerana pengunaan melebihi 5 kali ganda diseluruh negara dalam musim hari raya ini. Oleh kerana gagal menghubungi Sdr Fauzi, maka saya meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dengan perasaan sedikit hampa.

Sebab yang kedua mengapa saya melalui Gua Musang ialah kerana menghantar anak ke empat saya ( Abdul Hadi) kembali ke Pondoknya di Sungai Bayu. Pondok yang baru dibuka ini terletak antara Gua Musang dan Kuala Krai. Sebab yang ketiga, saya sebenarnya merasa jemu melalui jalan yang sama ke Kota Baru. Samaada melalui Kuala Trengganu ke Jertih, atau Bukit Besi ke Jertih atau Penarik ke Bachok melalui Besut. Jalan-jalan tersebut sudah terlalu kerap saya lalui. sehingga tiada apa lagi yang menarik perhatian saya sebagai hiburan perjalanan. Melalui jalan Kuala Lipis ke Gua Musang, walaupun agak sempit dan bengkang bengkok, namun kehijauan hutan dan bukit-bukaunya cukup mendamaikan perasaan. Sesekali beberapa ekor kera melintasi jalan sambil si Ibu menggendong anak kecil yang berpaut kemas ditubuhnya, menjadi tontonan desa yang menarik.

Selepas meninggalkan anak saya di Pondok An-Naajiyyah,Sungai Bayu, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Oleh kerana kami sampai di Kota Bharu sudah melepasi jam 9 malam, maka saya mengambil keputusan bermalam dahulu di Jelita Inn berhampiran Wisma Persekutuan. Rancangan saya, ingin berihat dahulu, kemudia esok pagi-pagi akan ke Pusara ayah dan menziarahi saudara mara di Kampung Lambor dan Delima.

Selepas Check-in, kami mandi dan menunaikan solah. Kemudia saya bawa anak-anak keluar makan di gerai pasar malam berhampiran Masjid Muhammadi. Ayam Percik, Sup Perut Muda dan kuih Akok adalah menu "mesti" bagi saya apabila sampai ke Kota Bharu. Tetapi kali ini tiada Sup Perut, mungkin kerana bekalan terputus disebabkan cuti Hari Raya. Selesai makan kami kembali ke Hotel untuk berihat.

Esoknya..awal-awal pagi lagi saya bawa anak-anak ke Pusara Ayah. Saya mahu membiasakan mereka dengan "amalan menziarahi kubur". Supaya mereka tahu hidup ini ada kesudahannya. Supaya mereka tahu selepas dunia yang zahir ini masih ada alam yang lebih sukar untuk diharungi tanpa bekalan yang suci. Supaya mereka tahu, antara tanggungjawab seorang anak kepada Ibu Bapanya ialah menziarahi kubur mereka selepas kematian mereka. Supaya mereka tahu wang ringgit tiada ertinya berbanding serangkai doa seorang anak kepada ibu dan Bapanya. Saya tahu..mungkin saat ini mereka tidak mengerti sepenuhnya tujuan menziarahi kubur, namun satu masa nanti mereka akan mengerti dan memahaminya. Di sebelah kubur ayah saya ialah kubur Tok Chek ( ayah kepada ayah) saya.

Saya masih ingat, ketika itu umur saya baru 5 tahun. Di suatu malam, selepas solah maghrib, ayah berwirid panjang. Ayah baca Quraan lebih lama daripada biasa. Suara ayah serak dan mendayu. Kemudian ayah berdoa juga agak panjang. Dalam suluhan cahaya pelita minyak tanah, saya lihat sejurai air jernih mengalir dipipi ayah. Saya tidak mengerti, pun saya tidak mahu bertanya. Esoknya baru saya dapat tahu dari ibu, petang semalam ayah menerima telegram berita kematian Tok Chek. Kesusahan hidup dan kesukaran pengangkutan menyebabkan ayah tidak dapat pulang ke Kelantan menziarahi jenazah Tok Chek. Hampir berbulan selepas itu, dimusim cuti persekolahan baru ayah berpeluang balik. Ayah bawa saya ke Kubur Tok Chek. Di sebelah kubur Tok Chek ( tapak kubur ayah sekarang), ayah bersimpuh di atas sebidang tikar mengkuang kecil sambil ayah bertahlil dan berdoa. Walaupun saat itu tidak banyak perkara yang saya faham selain menampar nyamuk yang hinggap di muka atau membuang pacat yang cuba mencari betis yang terdedah, namun kenangan itu cukup kuat menunjanggi jiwa dan keyakinan saya bahawa hidup ini "ada akhirnya".

Selepas menziarahi beberapa buah rumah di Lambor dan Delima. Ketika kami akan berangkat meninggalkan rumah sepupu saya, tiba2 menjelma dua pupu saya Ustaz Hamid Derani, yang dahulunya UMNO tapi kini kembali kepangkuan Pas. Tidak banyak perkara yang sempat kami bualkan dalam tempoh sesingkat itu kecuali hanya bertanya khabar sahaja. Kami terus ke Kota Bharu. Kami mesti Check-out sebelum jam 12, kalau tidak mahu menyambung tempoh penginapan. Selepas itu kami ke gerai menjual jubah dan peralatan ibadah di hadapan Masjid Muhammadi. Kesempatan itu saya ingin bertemu dengan sahabat lama saya Ustaz Hamid, Bilal Masjid Muhammadi. Dalam kelekaan melihat barangan yang dijual, tiba2 saya di sapa oleh seorang sahabat jamaah surau An-Nur Bangi yang juga pulang berhari raya di Kelantan. Kemudian bertemu pula dengan Cikgu Azlan ( atau Mazlan, saya lupa namanya) yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Pas Kawasan Lipis, dan merupakan orang kuat Allayarham Ustaz Kassim bekas YDP Kuala Lipis. Jam 12 Tengahari, kami meninggalkan Kota Bharu dan kemudian singgah menunaikan solah Jumaat di Masjid Bukit Yong, sempadan Trengganu.

Sepanjang perjalanan dari Jertih ke Kuatan, saya terserempak dengan dua kemalangan. Kemalangan yang pertama berlaku di Kg Chalok, membabitkan dua buah kereta Proton Saga jenis lama dan sebuah kancil. Salah sebuah dari proton saga tersebut bengkok dua dan terperosok dalam parit. Manakala sebuah lagi hampir terbakar dan remuk. Kemalangan yang kedua berlaku berhampiran sungai Tong. Sebuah kereta Toyota jenis MPV terbabas sendiri dan hampir merempuh penjuru sebuah rumah. Saya sempat turun dan bertanya keadaan mereka dengan pemandunya. Katanya Beliau bersama emak dan kawanya dalam perjalanan dari Bachok ke Pasir Gudang. Mujurnya mereka tidak mengalami apa-apa kecederaan serius. Nampakkanya Ops sikap yang dilancarkan musim perayaan ini tidak banyak merubah angka kemalangan diseluruh negara.

Kami sampai kerumah jam 9 malam. Alhamdulillah perjalanan kami selamat pergi dan balik. Keadaan di pondok saya masih sepi dan sunyi. Pelajar2 akan kembali ke pondok pada hari Ahad. Dalam sehari dua ini saya masih punya kesempatan untuk merangka perubahan jadual kuliah saya sebagaimana yang saya rancang sebelum ini. Saya berharap sangat sahabat-sahabat memahami saya, apabila sebahagian besar jadual kuliah disekitar Kuantan terpaksa saya batalkan selepas ini. Saya sayangkan sahabat-sahabat semua, namun saya memerlukan masa yang luas untuk memberikan tumpuan kepada pondok saya. Dalam usia 45 tahun kini, saya rasa sangat perlu saya memendekkan langkah keluar, bahkan menghabisi sisanya dengan mengajar dan menulis. Walaupun begitu beberapa jadual utama dilokasi-lokasi tertentu masih saya kekalkan kuliah umum saya.
________________________
Keterangan Gambar:Dari atas ke bawah.
1. Bergambar sebelum bertolak ke Kota Bharu
2.Lebuh raya dari Kuala Lipis ke Merapoh...tenang dan mendamaikan.
3. Gabungan sebuah tasik kecil dan bukit batu di Gua Musang.
4.Anak-anak saya disisi kubur ayah. Biar mereka memahami kematian lebih dari mereka memahami kehidupan.
5. Berhenti makan di Bukit Yong Pasir Putih.
6. Kenderaan ini terbabit kemalangan dengan kenderaan biru dibawah.
7. Proton biru yang terbakar bahagian hadapannya.
8. Toyota (MPV) yang terbabas menghampiri sebuah rumah.

2 comments:

al-mankaraqi said...

salam ziarah.

mat din said...

salamat hari raya ustaz, ana nak tnya xde ke gambar pondok gua musang tu? itu pondok baba dari pondok pasir tumbuh kan?