08 September 2009

Tugasmu telah selesai, kami yang akan meneruskannya..


Semalam ( 6 Sept ), selepas selesai menyampaikan Tazkirah di Taman Desa Bakti Selayang, saya terus ke medan selera Bolton, Gombak. Di sana telah ada Abang Hamdan dan Ustaz Saharuddin yang juga baru pulang dari menyampaikan tazkirah di Surau Makmuriyyah. Sebentar kemudian Ustaz Fadli juga sampai. Belum pun sempat pesanan kami sampai, tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada Sdr Rosli, Peramu Kuantan. Kerana tidak sempat mengangkat panggilan tersebut, saya call kembali beliau.

"Minta maaf ustaz kerana menganggu. Cuma nak dimaklumkan Ustaz Bahrin baru saja meninggal"... jelas ucapan Sdr Rosli. Segera lidah saya mengucapkan "Inna LiLlah... Bila? soal saya kepada Sdr Rosli. "Baru sebentar ni tadi. Ana pun masih di Hospital. Dia jatuh ketika dalam usrah..ana pun baru contect kawan-kawan terdekat je...jelas Sdr Rosli sebelum perbualan kami mati di situ.

Berita tersebut kemudiannya saya maklumkan kepada Ustaz Saharuddin dan Ustaz Fadli. Rasa pilu menyelinap disegenap sudut hati saya. Selepas itu sepakat kami merancang akan segera balik ke Kuantan selepas kuliah subuh esoknya. Selepas berita itu saya terima, handset saya tidak henti-henti menerima message dari teman-teman yang menceritakan berita yang sama.

Sepanjang malam itu, fikiran saya asyik terkenangkan Allahyarham. Selembar demi selembar kebersamaan kami menerpa ingatan. Kali pertama saya berkenalan dengan beliau ialah pada tahun 1986. Pagi itu diadakan tamrin Pas Pahang di Sungai Gau. Tuan Guru Nik Aziz selaku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dijemput menyampaikan ceramah. Sejak pagi lagi ahli-ahli Pas dari seluruh Negeri Pahang, khususnya Temerloh,Maran dan Mentakab telah memenuhi dewan Darul Amin. Saya telah diminta oleh Pas Pahang ( melalui Timbalan Pesuruhjaya ketika itu Allahyarham Cikgu Haji Hasyim) untuk menyampaikan ceramah bergandingan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Pada sebelah malamnya saya digandingkan pula dengan Ustaz Hassan Shukri dan (Allahyarham) T.G Hj Yusuf Rawa ( Yang Dipertua Pas Pusat). Pengalaman pertama kali berceramah bersama tokoh-tokoh besar itu memberi erti yang sangat mendalam kepada saya yang saat itu baru berusia 22 tahun.

Selesai ceramah pada malam itu, saya diberitahu Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang mahu bertemu dengan saya. Lantas saya ke Pejabat di bawah bangunan Darul Amin, ditemani sahabat-sahabat yang lain. Seorang pemuda bertubuh agak besar dan tegap dihiasi janggut yang agak panjang menyambut saya. "Perkenalkan ustaz, ini Sdr Bahrain, ketua Dewan Pemuda Pas Pahang," ujar Mejar (B) Abdul Aziz, Ketua Dewan Pemuda Pas Temerloh kepada saya. Kami bersalaman mesra. Tidak henti-henti beliau memberikan saya semangat dan perangsang untuk terus berbakti kepada jamaah ini.

Sejak itu acap kali juga kami berceramah sepentas diserata negeri Pahang. Asalkan saya balik bercuti, beliau akan menjemput saya ceramah dimana-mana. Saya panggil beliau dengan panggilan "Abang Bahrain". Hubungan saya dengan "Abang Bahrain" turut menghubungkan saya dengan Ayah mertua beliau (Allahyarham Ayah Wei). Setiap kali saya diundang berceramah di Kuantan, pastinya saya akan kerumah Ayah Wei. Masih saya ingat pesanan Ayah Wei kepada saya suatu hari, menyelangi perbualan kami. Ketika itu hanya saya, Ayah Wei dan Abang Bahrain. "Ustaz, teruskan kerja ni ( perjuangan ), masa muda ni kita nak cari pengalaman, jarang anak muda nak terlibat dengan kerja serupa ( seperti) ni".tegas Ayah Wei disertai anggukan akur saya dan Abang Bahrain. Pernah satu ketika relakain serban merah saya tertinggal dirumah Ayah Wei. Selang seminggu saya terima panggilan dari Abang Bahrain mengatakan Ayah Wei minta izin untuk pakai kain serban tersebut. Buat kenangan katanya.Dengan rela dan berbesar hati saya sedekahkan kain serban itu untuk Ayah Wei.

"Abang Bahrain" cukup aktif dizaman mudanya. Waktu itu Dewan Pemuda cukup padat dengan jadual Tamrin, Mukhayyam dan Usrah. Ada sahaja program yang difikirkannya. Jika tidak didarat, pemuda-pemuda di ajak kepulau. Madrasah At-Taqwa yang diasaskan oleh beliau di Kempadang selalu menjadi markaz untuk kegiatan kepemudaan. Saya yang waktu itu masih belajar di Pondok Pasir Tumboh, hanya dapat mengikuti program tersebut sekali-sekala sahaja. Namun jika ada kesempatan beliau pasti menjemput saya menyertai program tersebut.

Hubungan kami semakin erat apabila saya pindah ke Kuantan. Ketika saya menyandang jawatan YDP Pas Kawasan Paya Besar, dan sewaktu pimpinan mencadangkan saya untuk bertanding DUN Penor, segera saya cadangkan Abang Bahrain mengantikan tempat saya. Alhamdulillah cadangan saya diterima. Lagi pun beliau cukup dikenali di Kuantan. Tahun 1997, Abang Bahrain menawarkan diri untuk membantu saya di Pondok An-Nuur. Tawaran itu saya terima dengan senang hati. Setiap pagi beliau akan datang ke Pondok dengan Van Daihatsu untuk mengajar kelas Bahasa Inggeris. Hubungan kami semakin erat.

Tetapi malam tadi beliau telah pergi. Tinggalah sebuah kenangan yang terpahat kukuh dihati. Malam itu saya membuat keputusan untuk balik ke Kuantan bersama Ustaz Saharuddin dan Ustaz Fadli, dan kemudiannya kami akan segera datang ke KL semula untuk memenuhi jadual Tazkirah yang telah disusun. Namun Sedang kami bersiap untuk bertolak, Ustaz Fadli menerima message daripada anak Abang Bahrain menyatakan jenazah akan disembahyangkan jam 9 pagi. Merasakan kami tidak akan sempat sampai sebelum jam 11 pagi, maka kami hadiahkah Fatihah dan Doa dari jauh agar Allah melimpahkan limpahan rahmatNya kepada Ruh Abang Bahrain. Saya call Kak Wan Esah, agar sampaikan ucapan takziah saya kepada Kak Noriah. Alhamdulillah salam takziah saya disampaikan oleh Abang Aziz dan Kak Wan Esah. Zohor itu saya solah janazah Ghaib khusus untuk "Abang Bahrain", yang pergi meninggalkan kami semua.

"Abang Bahrain"...tugasmu telah selesai, kami yang akan meneruskannya. Pastinya kita akan bertemu juga disana nanti...


No comments: