31 August 2009

Melebarkan sayap persahabatan di bulan Ramadhan

Sejak 25 Ogos yang lalu saya berada di Kuala Lumpur sepenuhnya sehingga 18 Sept atau 28 Ramadhan. Program Tazkirah Ramadhan ini sebenarnya telah berlangsung sejak saya keluar dari tahanan pada tahun 2004 dahulu. Tujuannya selain daripada menyampaikan tazkirah dan kuliah, juga bertujuan merayu derma bagi pembinaan An-Nuur. Kebetulannya setiap tahun kami ( An-Nuur ) terpaksa menyiapkan satu bangunan atau lebih sebagai persediaan pengambilan pelajar pada tahun berikutnya. Tidak terkecuali pada tahun ini. Ramadhan kali ini kami sedang membangunkan bangunan Asrama Pelajar Muslimin seluas 60' x 60', yang dijangka dapat memuatkan seramai 100 orang pelajar. Nampakknya, bangunan ini adalah bangunan terakhir yang dapat kami bangunkan di atas tanah An-Nuur seluas 4.5 ekar. Kerana tiada lagi ruang untuk kami bangunkan bangunan besar selepas ini. Alhamdulillah, sumbangan yang kami terima amat menggalakkan.

Sejak awal penubuhan An-Nuur, kerja memungut derma memang kerja saya. Dulu saya buat kerja sorang-sorang. Namun Alhamdulillah sejak tahun lepas saya dibantu oleh anak saudara saya Ustaz Fadli Ibrahim, yang juga sebagai Mudir An-Nuur dan turut terlibat secara aktif sahabat saya Ustaz Saharuddin, pegawai zakat An-Nuur. Kami berkumpul di Sri Gombak dan Tazkirah kami berpecah di Masjid-masjid dan surau-surau sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Apa yang saya nak ceritakan disini ialah bukan pasal seronok dapat dana yang membolehkan kerja-kerja pembangunan An-Nuur berjalan dengan lancar, tetapi saya mahu menceritakan syukur hati saya kerana dengan adanya program ini setiap tahun saya dapat menghubungkan tali persahabatan dengan sahabat-sahabat lama dan dapat mengikat tali persahabatan dan perkenalan dengan teman-teman yang baru. Pertemuan mengeratkan lagi tali persahabatan. Kerana tali persahabatan itu adalah "rahmat" dari Allah yang sewajarnya dijaga dan dihangatkan sentiasa.

Hari pertama lagi saya di KL dalam program ini ( 25 ogos) saya telah bertazkirah di Bank Islam menara takaful dan keesokannya di Bank Islam Maju Junction. Di sana saya dapat bertemu dan bertanya khabar dengan sahabat lama saya Sdr Haji Awang Bakar, Sdr Shafie Osman serta ramai lagi kenalan-kenalan lama. Mereka dahulunya adalah tenaga yang menggerakkan kutipdan dana An-Nuur di Kuala Lumpur. Sumbangan tenaga dan idea mereka cukup melekat dalam ingatan saya. Hingga kini kami cukup mesra bila bertemu.

Dengan program ini, saya dapat bertemu kembali sahabat2 di Menara Maybank.Affin Bank, KLCC, Masjid-masjid seluruh KL, surau-surau dan sebagainya. Di samping itu saya dapat menambah sahabat setiap hari dalam jumlah yang ramai. Seronoknya hati dapat ramai kenalan dan sahabat. Semakin ramai teman bermakna semakin ramai orang yang akan mendoakan kebajikan dunia dan akhirat untuk kita. Kalau mampu, saya akan perkenalkan semua sahabat-sahabat saya kepada anak-anak saya. Biar mereka terus menghubungkan tali persahabatan kami selamanya.

Setiap pertemuan akan mengimbau kenangan. Setiap kenangan adalah kemanisan yang tak terceritakan. Kebersamaan dalam kenangan itu akan mempereratkan lagi persahabatan. Sejak kanak-kanak lagi saya bercita-cita mahu mempunyai ramai sahabat. Masih saya ingat ketika zaman kanak-kanak saya. Oleh kerana rumah saya diseberang sungai Pahang, maka rumah saya jauh terasing daripada kampung sebarang. Jiran saya hanya dua buah rumah. Itu pun jaraknya jauh antara satu sama lain. Bila ayah dan abang-abang ke seberang kerana menoreh getah dan kakak kesekolah, yang juga terletak dikampung seberang. Maka tinggallah saya dengan ibu. Justeru kesunyian saya akan berdiri dibawah pokok mencupu ditebing sungai dan merenung kekampung seberang. Riuh suara kanak-kanak mandi manda disebarang sana, sambil berlari-lari di dada pasir menarik perhatian saya. Saya sering berangan-angan, alangkah seronok jika ayah bawa kami pindah kesebarang. Tentunya saya akan punya ramai kawan dan teman.

Bagi menghilangkan kesunyian itu, saya mempunyai berbagai binatang peliharaan. Saya ada sekumpulan kambing yang saya dan kakak berikan nama-nama tertentu. Kabing jantan hitam kami namakannya Jusoh, Ibunya Mek Mah, anak kambing betina kami namakan Titik Puspa. Kucing pula kami namakan Maya. Tupai kesayangan kami, kami namakan Ketei. Anjing yang jaga kebun ubi ayah kami namakan Kolam. Abang pula ada landak sebagai binatang kesayangannya. Pendek kata teman setia saya, bila semua abang dan kakak keluar ialah binatang. Bila saya ke sungai dengan ibu, kolam akan ikut sama. Kolam akan berjalan dibelakang, kerana ayah ajar kolam jangan berjalan di hadapan, bimbang terkena tubuhnya dengan rumput-rumput yang basah. Bila balik kerumah maya dan ketei akan menyambut saya. Ketei suka jilat peluh. Kegemaran ketei ialah minum air tea. Jika lambat bancuh tea untuknya, ketei akan gigit jari kaki. Walaupun agak sakit, namun saya tetap sayang kan ketei. Bila saya tidur, tupai manja itu akan masuk dalam kain selimut. Hari-hari saya bercakap dengan binatang. Kadang-kadang saya akan bawa jusoh makan daun kayu jauh ditepi hutan. Anak-anak jusoh yang lincah penghibur hati sunyi saya. Saya tiada teman. Saat yang paling menyeronokkan saya dalam sehari ialah bila ayah, abang2 dan kakak balik kerumah dari seberang. Bila nampak mereka disebarang sana, saya dan kolam akan tunggu ditebing sungai dengan hati yang melonjak. Biasanya kakak akan bawa balik kueh yang kakak beli disekolah. Kekadang kakak tidak makan waktu rihat kerana mahu belikan kueh untuk saya. Di rumah, kakak juga tiada teman selain saya. Mungkin disebabkan lingkungan yang sunyi, menyebabkan tumbuh cita-cita dihati saya, ingin memiliki sahabat seramai mungkin satu hari nanti. Alhamdulillah Allah telah makbulkan cita-cita saya.
______________________
Keterangan Gambar:
1. Kanan atas: Tazkirah Ramadhan di Masjid Simpang 3 Gombak.
2. Kiri atas: Tazkirah Ramadhan di Pejabat Daerah Selayang
3. Kanan Bawah: Tazkirah di Masjid At-Taqwa Selayang
4. Kiri bawah: Tazkirah di Masjid Khairiyyah Sri Gombak.


No comments: