03 December 2008

Alangkah tulus doamu Ibu (siri motivasi untuk kaum ibu 4 )

SAYA HANYA MUSAFIR KECIL MEREDAH SAHARA HIDUP, HANYA UNTUK MENCARI PERMATA DICELAH-CELAH JUTAAN PASIR YANG BERTABURAN...
------------------------------------------------------------

Ketika beca pakda membelok kekiri, mata saya terpandang pintu gerbang yang bertulis jawi. Saya tidak tahu apa yang tertulis disitu. Saya mencari kalau-kalau terdapat singboard bertulisan rumi, namun saya hampa. Disinilah dik! kata orang tua yang dipanggil pakda itu mesra. Saya pun turun ditepi jalan sambil mengucapkan terima kasih kepada orang tua yang baik hati itu.

Saya kembali menoleh kearah pintu masuk ke Pusat pendidikan itu. Di sebelah kiri pintu masuk terdapat sebuah Masjid yang agak besar. Pelajar-pelajar yang berpakaian kain pelikat, baju melayu dan berserban putih bersih dengan membawa kitab kelihatan ramai sekali di veranda masjid. Sebahagian yang lain sedang mengambil wudhu' di kolah yang terletak setentang dengan pintu imam. Sebahagian dari mereka memandang kearah saya yang melangkah perlahan-lahan memasuki kawasan pondok. Mungkin saya kelihatan aneh pada mereka. Maklumlah, saya hanya mengenakan seluar hitam yang telah lusuh,berbaju T yang tertulis "Sekolah Menengah Mengkarak" di bahagian belakang serta berkasut sekolah berwarna putih. Bukan saya mahu keanehan itu, tetapi itulah pakaian terbaik yang saya ada. Lagipun saya tidak punya apa-apa maklumat langsung tentang pusat pendidikan itu selain hanya pernah mendengar namanya dari mulut sanak saudara saya di Kelantan.

Seorang pelajar yang berusia dalam lingkungan 18 tahun menghampiri saya. Wajahnya bersih, berserban dan berambut pendek. Ketika beliau menghampiri saya, semerbak bau minyak wangi (atar) yang dipakainya. Segera saya teringat arwah ayah saya yang selalu memakai wangian seumpama itu pada hari jumaat. Anta mari mana ni? sapa pelajar tersebut (yang kemudiannya saya kenali namanya Halim, tetapi dua minggu selepas itu saya tidak bertemu lagi dengan beliau hingga ke hari ini) , membuatkan saya tergamam seketika. Perkataan "anta" sangat asing pada saya. Tiba-tiba saya teringat kalimat tersebut kerap dututurkan oleh P.Ramli dalam filemnya "Sabarudin tukang kasut". Pahang..balas saya selembut mungkin. Nak Ngaji sini ko?..tanya pelajar itu lagi. Sungguh ramah ia. Beberapa orang pelajar yang sebaya dengan saya mula menghampiri saya. Segera saya merasa malu, apabila saya dengan pakaian aneh itu dikelilingi pelajar-pelajar yang berpakaian lebai dan kelihatan mereka baik-baik belaka. "Cadangnya begitulah" kata saya mula mencari keyakinan diri. Ayah dengan Mak tok mari ko? celah seorang pelajar tinggi lampai yang tiba-tiba bersuara dibelakang saya. Bila soalan itu menjamah gegendang telinga saya, segera ombak sayu memukul pantai kesedihan saya. Dapat saya bayangkan, tentunya pelajar lain dihantar oleh Ibu dan Bapa mereka. Sedangkan saya sudah ketiadaan ayah, Ibu pula telah tua. Wajah ayah yang sedang membaca kitab tua, dengan dikelilingi abang-abang saya bersila kaku ditemani belaian cahaya pelita minyak tanah. Saya yang masih kecil semacam terkecuali dari majlis itu. Sesekali saya akan baring ditepi peha ayah. Kitab apa yang ayah baca saya tidak tahu, tapi saya lihat abang-abang cukup patuh dengan majlis itu. Majlis tersebut hanya akan dihentikan jika telah masuk waktu Isyak atau Ibu memanggil untuk makan malam. Belum sempat soalan dari pelajar lampai itu saya jawab, tiba-tiba berkumandang azan dari menara masjid. Sepontan pelajar yang mengerumuni saya tadi bersurai sambil pelajar yang pertama menegur saya tadi mengajak saya naik keatas.

Bag saya letakkan dipenjuru dinding. Setelah mengambil wudhu' saya tukar seluar dengan kain pelikat yang saya bawa. Bila dibandingkan kain pelikat saya dengan kain pelikat pelajar lain, ketara benar akan perbezaannya . Masjid yang luas itu hampir penuh, pakaian mereka pun hampir sama. Kitab-kitab yang berkulit merah disandarkan ditepi dinding. Tentunya ada kelas selepas maghrib, fikir saya. Saya mencelah disuatu ruang disaf belakang. Bau wangi semerbak memenuhi ruang masjid yang luas itu. Bila imam mengangkat takbir, maka saya pun turut mengangkat tabir bersama makmum yang lain. Tiba-tiba, saya merasa sangat sayu. Alangkah kerdilnya saya ditengah-tengah manusia yang berilmu itu. Buat pertama kali saya merasa indahnya solah. Airmata saya bercucuran. Saya bersyukur kepada Allah yang telah menggerakkan perjalanan saya sejauh itu bersendirian, dengan hasrat mencari sebutir sinar dalam kehidupan.


Selepas solah saya turut berwirid bersama pelajar-pelajar lain. Saya hanya tunduk dan membaca fatihah berulang kali. Saya tidak tahu wirid..jahilnya aku ya Allah. Jauh disudut hati saya berdoa agar Allah membantu saya dalam perjalanan itu. Ingin sekali saya menjadi sebahgian pelajar-pelajar yang ada itu.

Selesai wirid saya terus menuju kepenjuru masjid dimana bag pakaian saya diletakkan tadi. Saya bersandar kedinding. Saya merasa sangat letih sekali, tambahan pula saya tidak makan sehari suntuk. Bila teringatkan makan, dengan pantas saya raba duit 65 ringgit yang saya sumbat dalam saku seluar. Sedang saya melayan keletihan dan kelaparan itu, saya dapati diri saya berada didalam sebuah masjid yang luas. Tiang masjid diukir indah sekali. Lampu-lampu yang bergayutan tersusun rapi dengan cahaya yang kesuraman. Tiba-tiba ruang masijid itu dipenuhi gema suara orang membaca Al-Quraan. Saya mencari suara siapakah itu, namun asap-asap nipis yang memenuhi bahagian luar pintu masjid membuatkan pandangan saya terhenti disitu. Gema suara orang membaca Al-Quraan tiba-tiba berhenti. Tetapi kemudiannya diganti dengan suara halus yang perlahan disebalik tiang tempat saya bersandar. Saya kenal suara itu, saya cuba menoleh kebelakang, tetapi saya semacam kaku untuk berbuat demikian. "Ya Allah, tunjukkan jalan kebaikan untuk anak ku, bimbinglah ia. Ya Allah..anak ku itu telah mati bapanya, sedangkan aku lemah ya Allah untuk mendidiknya..Aku serahkah semula anak ku kepada Mu ya Allah..." ya, ya saya kenal benar suara itu. Itu suara ibu saya..Tentunya ibu sedang mengadu kepada Allah mengenai saya. Saya merasa cukup pilu. Betapa tulus doa mu ibu. Saya cuba lagi untuk menoleh disebalik tiang itu, namun saya masih gagal. Saya meronta lagi..saya mahu peluk ibu. Saya mahu cium kening ibu,dan saya mahu bertahu ibu bahawa saya akan berusaha menjadi anak yang soleh. Saya mahu ibu gembira..jangan menangis lagi ibu..saya meronta lagi.lagi dan lagi. Saat saya meronta itu saya tersedar. Suara Tuan Guru Haji Aziz sedang mengajar Tafsir jelas kedengaran dari sound box yang berada diatas tiang tempat saya bersandar. Saya pandang keliling. Semua pelajar sedang tekun menadah kitab dan tiada siapa pun tahu dipenjuru dinding masjid itu ada musafir kecil yang sedang meredah sahara hidup hanya untuk mencari sebutir permata dicelah-celah jutaan pasir yang bertaburan..Ya ALlah bantulah aku.

Bersambung siri 5 (Insyallah)

No comments: