29 December 2008

UCAPAN KHAS KEPADA SEMUA SAHABAT & PENGUNJUNG.

DENGAN UKHUWWAH, KEPAHITAN DIRASAKAN INDAH. DENGAN PERMUSUHAN, KEMANISAN DIRASAKAN SANGAT MENYEKSAKAN.
----------------------------------------------------------
Semalam tirai 1429 telah dilabuhkan. Hari ini menyingsing pula fajar 1430. Kenangan semalam terpahat sudah dalam catitan amal masing-masing. Hanya "pengampunan Allah" jua yang dapat menghapuskan pahatan buruk dan hanya dengan "rahmat Allah" jua pahatan kebaikan dimakbulkan. Hari-hari mendatang adalah suatu yang bukan kepastian. Justeru itu jangan menangguhkan amal,kerana ianya adalah angan-angan yang sangat hina. Gunakanlah saat yang kita ada sekarang untuk meraih sebanyak mungkin kebajikan dengan berbakti kepada-Nya.

Sufian At-Thauri berkata;
"Tidaklah aku menyesal melebihi sesalan ku terhadap hari. Apabila terbenamnya
matahari pada setiap hari, bermakna berkuranglah lagi umurku sedangkan tidak
bertambah kebaikan amalanku".

Sahabat-sahabat dan tetamu semua..sempena 1 Muharram 1430 ini, ana mengambil kesempatan memohon jutaan kemaafan jika sepanjang kita berusrah dihalakat cyber ini terdapat kekasaran bahasa yang menyinggung perasaan. Sebetulnya tidak terniat sedikitpun dihati ana untuk menyinggung sesiapa. Juga tidak berniat untuk ana menunjuk ajar sesiapa. Justeru diri ini yang memerlukan bimbingan. Namun mungkin dalam takungan kecintaan kepada kebenaran itu,sesekali ia melimpah dari takungannya sehingga membasahkan hati-hati sahabat yang berada disekelilingnya.

Teman..segeralah selesaikan apa pun urusan kita sesama makhluk dan segerakan taubat kita kepada Allah. Kerana kita tidak tahu waktu yang bagaimana Allah akan memanggil kita kehadrat-Nya. Janganlah ditangguhkan amal kebajikan,kerana kita tidak tahu apakah esok kita masih hidup atau tidak. Kalaupun kita hidup apakah kita jamin kita masih punya kesempatan dan kalau kita masih punya kesempatan apakah kita jamin kita masih punya kemahuan untuk melaksanakannya. Alangkah jauhnya angan-angan orang-orang yang menangguhkan amal kebajikannya kepada Allah.

Anas bin Malik pernah bertanya kepada Rasulullah, mengapa Rasulullah terlebih dahulu berintinja dengan batu sebelum datang ketempat air yang disediakan. Mafhumnya baginda menjawab; Aku bimbang Allah mencabut nyawaku sebelum aku sampai ketempat air yang disediakan,sedangkan aku tidak mahu mati dalam keadaan belum beristinja'. Alangkah halusnya ingatan dan pengamatan Rasulullah berkenaan kematian. Justeru itu marilah teman-teman, kita hapuskan segala pemusuhan yang tidak sebenar dan gantikan ia dengan kelembutan dan ingatan akan pertemuan dengan Allah.

Terimakasih atas kunjungan sahabat-sahabat semua ke blog yang tak seberapanya ini. Mudah-mudahan persaudaraan kita kekal buat selamanya.

SELAMAT TAHUN BARU HIJRIYYAH. bulatkan keazaman dan tekad untuk terus berjihad hingga menemui Allah, Khaliq yang dirindui.


No comments: