24 December 2008

Assalamualaikum ayah..anakmu datang menzirahimu.


SAMBIL MENGUSAP AIR KEMUKANYA,SAYA LIHAT KERONGKONG AYAH BERGERAK,MENANDAKAN AYAH MENGHILANGKAN DAHAGANYA DENGAN AIR SUGAI ITU.
-----------------------------------------------------
22,23,24
dan 25 . Dec. 2008 telah saya catatkan di dalam dairi sejak dua bulan lepas sebagai tarikh cuti untuk saya raikan anak-anak yang juga sedang menjalani cuti akhir tahun persekolahan mereka. Tarikh tersebut saya pilih kerana hari-hari tersebut merupakan hari-hari terakhir Pelajar Pondok menjalani peperiksaan, sebelum memulakan cuti mereka yang akan jatuh pada 27. Dec 2008 hingga 11.Jan 2009. Apabila Pondok mula bercuti bermakna saya terpaksa menjadi "penunggu Pondok" kerana semua guru-guru lain akan pulang ke kampung masing-masing. Lagipun musim cuti akhir tahun pada setiap tahun merupakan waktu yang paling sibuk kepada saya dan setiausaha pentadbiran, kerana banyak persiapan terpaksa dibuat untuk persediaan pendaftaran baru sessi pengajian tahun berikutnya.

Dua tiga hari sebelum tarikh saya bercuti, anak-anak sudah sibuk sesama mereka. Saling bertanya, kemana distinasi cuti pada tahun ini. Bila mereka bertanya kepada saya, saya pun teragak-agak untuk menjawab, kerana tidak tahu kemana patut saya bawa mereka. Sambil itu secara senyap-senyap saya menghubungi Ismail di Kuala Lumpur, meminta cadangan beliau. Ismail yang ringan tulang itu pun mula menghubungi distinasi percutian di Melaka, Perak dan beberapa negeri lain. Sambil berseloroh saya beritahu Ismail distinasi itu hendaklah jangan ditepi laut, kerana sekarang pun kami dah lihat laut setiap hari, jangan di Pulau, kerana bimbangkan Thunami, jangan hutan lipur, kerana sejak kecil saya membesar di dalam suasana hutan, jangan bandaraya Kuala Lumpur, kerana saban minggu saya berkuliah di Kl, juga jangan tanah tinggi, kerana bimbangkan tragedi tanah runtuh. Ismail gelak, sambil memberikan cadangan agar saya bawa keluarga bercuti di Melaka. Katanya ada satu resort yang bersebelahan dengan kubur. Gurauan Ismail dengan perkataan "kubur" mendebarkan hati saya. Bukan kerana saya takutkan kubur, tapi sepantas kilat terlintas di fikiran saya bahawa sudah agak lama saya tidak menziarahi kubur arwah ayah saya di Kelantan.

Menziarahi kubur ayah adalah agenda utama dan pertama setiap kali saya ke Kelantan. Biasanya saya ke Kelantan setiap dua bulan. Tapi kini sudah agak lama saya tidak berkesempatan kerana terpaksa mengisi jadual kuliah. Dengan itu, saranan Ismail dalam nada berseloroh itu telah mengambil ruang utama dalam fikiran saya. Saya insaf, gurauan Ismail itu bukan terpantul secara kosong, tanpa erti apa-apa. Tapi lontaran gurauan itu adalah peringatan Allah buat diri saya. Allah yang menggerakkan lidah Ismail untuk menyebutnya. Allah yang mengingatkan saya, bahawa telah lama saya tidak mengunjungi seorang manusia sepi yang terbaring kaku menunggu kedatangan saya. Syukur Allah, Engkau lah Tuhan yang membimbing dan mengingatkan diriku. Terima Kasih Ismail, sahabat yang menjadi perantaraan teguran Allah terhadap kealpaanku.

Subuh 21.Dec. Saat munajat didinihari yang sunyi, selembar demi selembar kenangan bersama ayah tersingkap dalam ingatan saya. Walaupun saya hanya sempat bermanja dengan ayah hanya 13 tahun sahaja, namun kenangan manis bersamanya sangat kukuh terpahat dalam dairi kehidupan saya. Masih saya ingat...satu hari ayah demam. Kata Ibu, demam ayah semakin berat. Kerana itu, ayah tidak keseberang menoreh getah. Hanya abang-abang yang bergegas seawal pagi, membelah kabus tebal dipermukaan sungai untuk kekebun getah diseberang. Saya juga sudah tiga hari diserang batuk kering, penyakit zaman kanak-kanak saya. Waktu pagi, adalah waktu saya diserang batuk yang aagak tenat, mungkin kerana udaranya yang sejuk menyebabkan paru-paru saya juga sejuk. Saya baring disisi ayah yang mengigil diserang demam sejuk. Dapat saya rasa panas badanya, walaupun beliau berselimut tebal. Tiba-tiba saat itu gatal tekak kembali mengaru-garu. Menyebabkan batuk saya berpanjangan. Setiap kali batuk yang panjang, saya rasakan sangat sukar untuk bernafas. Kahak pekat bagaikan berpintal-pintal di dalam dada. Saya tarik nafas, oh terasa betapa pedihnya dada. Saya terduduk di bendul menyembamkan muka dilubang lantai, agar ketulan kahak pekat terus jatuh ketanah. Perut saya terasa begulung-gulung bila menahan batuk. Ketika itulah saya rasakan tangan ayah yang panas mengusap-usap belakang dan dada saya. Apabila batuk saya sedikit lega, ayah akan mengusap-usap kepala saya. Saya tahu, dalam ketegasannya, ayah sangat penyayang.

Batuk saya terus menyerang..ayah yang sedang menggigil peluk belakang saya yang tersenguk-senguk menahan himpitan nafas yang kelemasan. Tiba-tiba..bukan lagi kahak yang keluar. Ketulan darah pekat tersembur membasahi lantai. Dalam pandangan yang kabur dengan takungan air mata sempat saya lihat wajah ayah yang sangat cemas. Bagaikan lupa dengan demamnya ayah memberitahu Ibu, bahawa saya akan dibawa ke Kelinik. Dengan segera Ibu mengekori ayah yang mendukung saya turun ke Perahu dipengkalan. Dengan pantas, ayah mendayung, menongkah air yang agak deras mengemudi perahu keseberang. Ibu yang memangku saya dihujung perahu, sesekali mengesat darah yang mengalir didagu saya. Dalam panas matahari, dan dalam pandangan yang berkaca-kaca itu sempat saya lihat ayah mengusap mukanya dengan air sungai. Sekaligus saya terlihat kerongkong ayah bergerak menandakan ayah meneguk air sungai untuk menghilangkan dahaganya.

Sampai diseberang, segera ayah mendukung saya mendaki tebing sungai yang agak licin. Saya ayah baringkan dibawah pokok getah ditepi jalan, sementara ayah terus melangkah ditengah terik matahari dengan wajah yang masih cemas menahan kereta sapu yang lalu. Hari itu saya dibawa ke kelinik Ratnam Sungai Rabit Temerloh. Selepas menerima suntikan, kami terus balik. Selepas pemergian ayah, saya tanyakan pada ibu, mengapa aayah tidak terus saja bertemu doktor untuk rawatan demamnya. Ibu memberitahu, hari itu ayah hanya ada duit cukup-cukup untuk rawat saya sahaja.

Bergenang airmata saya mengingatkan betapa pengorbanan ayah. Lalu selesai solah subuh pagi 21 December itu , saya telah putuskan bahawa saya akan bawa anak-anak ke Kelantan untuk menziarahi pusara ayah. Nampaknya anak-anak saya akur sahaja.

Tunggulah ayah..anakmu akan datang mengunjungimu.


Kota Bharu 2.59 am/24.Dec.2008

1 comment:

Ust Halim Nasir said...

Salam Ust. Itulah pengorbanan ayah yg ana yakin semua orang ada memori indah dan syahdu yg sedemikian.Tersentuh hati membacanya... bergenang air mata, kerana ana juga sudah kehilangan ayah 17 tahun dahulu. Semoga diampun ALLAH akan segala dosa ibu dan ayah.