20 December 2008

PENGHAMPIRAN DIRI KEPADA ALLAH. SEDUTAN PENGAJIAN HIKAM ( siri 1)

TIADA LAGI RUANG UNTUK IA MELIHAT KEPADA DIRINYA SENDIRI, KERANA SEMUA RUANG ITU DIPENUHI DENGAN KEBESARAN ALLAH.
-----------------------------------------------------------

Orang yang Allah bukakan hijab maka akan bersinarlah hatinya dengan cahaya ma'rifah Ilahiyyah. Cahaya yang sangat terang hingga pandangan batin mereka jelas melihat keagungan Allah. Hati mereka tidak upaya memikirkan suatu melainkan Allah. Lidah mereka tidak upaya menyebut suatu melainkan Allah. Mereka tidak mampu lagi bercerai dari Allah walau sesaat. Apabila seseorang hamba itu melihat keagungan Allah, maka akan pudarlah segala makhluk yang ada di sekelilingnya. Akan hilanglah sinar makhluk yang sebelum ini dilihatnya bergemerlapan indah. Saat hati karam dalam kelam kejahilan, dilihat indahnya cahaya bintang yang memagari bulan purnama yang putih berkilau. Tetapi apabila fajar sudah menyingsing, sinar matahari mulai menyuluh alam, maka saat itu tiada lagi cahaya selain cahayanya.Itulah ibarat hamba yang terpegun menyaksikan cahaya makrifat ilahiyyah. Terasa betapa lemah dan kecilnya diri. Bagai sekujur tubuh yang tidak bernyawa, yang jika digolek kekiri maka kekirilah ia, dan jika digolek kekanan maka kekananlah ia. tiada upaya melakukan apa-apa tanpa kehendak dan iradah Allah. Hatta untuk mengucapkan sepatah perkataan pun ia memerlukan iradah dan kehendak Allah.Sesorang yang berada jauh dari sebuah rumah akan terlihat kepadanya setiap suatu yang ada dibelakng rumah tersebut. Sawahnya, pepohonnya dan bukit bukau yang melatarinya. Namun apabila ia semakin menghampiri rumah itu, hampir dan hampir sehingga berdiri ia di muka pintunya. Maka tiada yang dilihat pada matanya kecuali sebuah dinding yang berdiri kukuh dihadapannya. Tiada lagi sawah yang terbentang. Tiada lagi pepohon yang menghijau dan tiada lagi gunung yang menjulang. Maka begitulah keadaan hamba yang berjalan menuju kepada hadrat Tuhannya. Apabila telah "wasil" (Sampai) ia dihadapan Allah, maka tiada kuasa lagi ia melihat selain Allah. Sehingga disyukurinya segala nikmat dengan sebenar-benar syukur dan dihadapinya bala dengan kesabaran yang indah. Tanda hampirnya seorang hamba itu kepada Allah, ialah tiada dilihat datangnya nikmat dan bala itu kecuali dari Allah. Tiada dilihat apa yang dimilikinya itu kecuali pinjaman dari Allah. Tiada dilihat apa jua takdir itu kecuali tanda kasih Allah kepadanya. Maka hilang lah segala mazmumah dari hatinya kerana tiada lagi ruang untuk ia melihat kepada dirinya kerana sibuk melihat kepada Rabbnya.

1 comment:

soyuz malaysia said...

Allahuakbar!tiada kata2/ayat2/apa2 pon diantara langit dan bumi /seluruh alam maya-seluruhnya dapat kita bandingkan dengan keagungan Allah,ketenangan yg tak dpt diucapkan datang bila kita masukan seluruh jiwaraga seluruhnya mencintai Allah swt.
masih teringat tatkala dizalimi ,nikmat menghampiri Allah teramat kudus,ketenangan pabila menyebut nama Alah amat memuncak,Alhamdullilah masih lagi menikmatinya walaupun sudah dibebaskan,syukur ya Allah!