'Aidil Adha yang lalu saya dan rombongan berhari raya di Kampong Kendal, wilayah Kompot,kira-kira 130 kilometer dari Phenom Penh. Ditengah-tengah kesibukan musim menuai padi, masayarakat Islam Kemboja tetap ceria menyambut ketibaan 10 zulhijjah yang berkat itu.
Malam itu kami bermalam diMasjid Kampung Kendal. Pagi-pagi lagi,selesai solah Subuh,kami telah dijamu dengan pulut berintikan pisang yang dibalut juga dengan daun pisang. Kami difahamkan itu adalah kueh tradisi masyarakat Islam kemboja apabila menyambut hari lebaran. Kami makan dengan berselera. Sememangnya siapa pun yang datang ke Kemboja pastinya akan membatalkan semua diet mereka. Ini adalah kerana masakan kemboja sedap-sedap belaka.
Selesai makan pagi bersama air suam yang direndam daun teh china, kami pun bersiap untuk menunaikan solah sunat 'Aidil Adha. Jam 7.30 masjid telah pun hampir penuh. Pengerusi masjid meminta saya membaca khutbah. Namun disebabkan Ustaz Sulaiman yang bertindak sebagai jurupandu dan jurubahasa kami diserang sakit perut, maka dengan sopan saya menolak permintaannya. Tahun lepas ( 2007) saya telah menyampaikan khutbah 'Aidil Adha di Kampung Phenom Peroh juga dalam wilayah Kompot dengan diterjemah oleh Ustaz Sulaiman.
Selesai solat, seorang pemuda bangun dan menuju kearah mimbar bertindak sebagai Khatib. Bacaannya lancar. Setiap ayat al-Quran dan hadis yang dibaca akan diterjemah dalam bahasa Khmer (Bahasa resmi Kemboja). Ketika Khatib muda itu membaca petikan dari surah Al-Baqarah ayat 127,128 dan 129, yang mengesahkan doa Nabi Ibrahim, tiba-tiba hati saya dibalut kepiluan. Betapa tidak, kerana disebabkan membaca ketiga-tiga ayat itulah saya ditahan dibawah akta purba ISA selama tiga tahun.Kerana membaca dan memberikan sedikit huraian kepada tiga ayat tersebut, saya dijatuhkan pertuduhan menghasut dan membakar semangat sekumpulan pemuda ( sekitar 200 orang ahli Maunah) yang menyewa kemudahan sekolah saya untuk aktiviti persatuan mereka pada julai tahun 2000. Sebagai menghormati saya sebagai tuan rumah, mereka meminta saya memenuhi satu slot tazkirah selama 30 minit.
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada Kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui".
1. Ayat ini memaparkan secara jelas bagaimana kegigihan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail menunaikan perintah Allah. Yang pertama dilakukannya ialah membina asas yang akan menjadi pusat penyatuan ummah. Penyatuan yang berteraskan pengabdian diri kepada Allah. Kerana ummat manusia ini tidak mungkin dan tidak akan dapat disatukan samasekali kecuali dengan satu ikatan sahaja iaitu "ikatan tauhid " kepada Allah. Usaha menyatukan manusia di atas nama puak, kabilah, bangsa keturunan dan ideologi adalah usaha yang sia-sia. Justeru asas kiblat yang satu itulah yang dibangunkan oleh Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail.
2. Ayat diatas juga secara terang memperlihatkan bagaimana pergantungan hati kedua mereka kepada Allah. Tiada yang mereka harap kecuali Allah menerima amal mereka dan meredhainya. Kerana ketulusan mereka kepada Allah, maka seruan Tauhid terus berkembang dari generasi kegenerasi sehinggalah sampai kezaman Rasulullah saw, dan seterusnya sampai kezaman ini. Amal dan perjuangan tanpa keikhlasan akan malap dan padam sebelum bergerak jauh meninggalkan pengkalannya.
2. Terjemahan ayat 128:
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah Kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada Kami syariat dan cara-cara Ibadat kami, dan Terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani"
1. Ayat 128 diatas mengungkapkan kembali ungkapan pengharapan Nabi Ibarahim dan Nabi Ismail kepada Allah. Ditagihnya lagi sifat "hamba" kepada Allah, sedangkan sudah cukup jelas perhambaan mereka kepada Allah sebelum itu. Di pohonnya kepada Allah, agar mereka berdua menjadi hamba yang menyerah diri kepadaNya. Jiwa kepimpinan yang ada dalam tubuh Nabi Ibrahim menyebabkan ia tidak hanya memohon kebaikan untuk dirinya dan anaknya sahaja. Bahkan difikirkan sama zuriat mendatang. Kerana dakwah ini tiada erti jika terhenti setelah kematian mereka. Sedangkan tujuan dakwah adalah untuk mempastikan tiada syirik dan kedurhakaan terhadap Allah di atas mukabumi ini.
2. Dakwah juga tiada erti jika tidak disertai ibadah yang benar dan tulus ikhlas kepada Allah. Lalu dipohonnya kepada Allah agar mereka ditunjukkan cara untuk beribadah kepada Allah. Jiwa Nabi Ibrahim belum puas dengan Ibadah, bahkan dipohonnya pengampunan kepada Allah saw.
3. Terjemahan ayat 129:
"Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, Yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
1. Sebagai seorang Pendakwah yang berjiwa pemimpin, Nabi Ibrahim sedar bahawa zuriat dan ummat yang diharapkan soleh dan baik itu tidak akan jadi baik jika pemimpin dizaman mereka jahat dan durhaka. Lalu dimintanya kepada Allah, agar dibangkitkan seorang Nabi dan Rasul, sekaligus sebagai pemimpin kepada ummat yang akan datang. Pemimpin yang dapat menyelamatkan ummat bukan sebarang pemimpin, tetapi hendaklah seorang pemimpin yang mempunyai kemampuan;
a). Pemimpin yang mampu memahami ayat-ayat Allah.
b). Pemimpin yang memimpin ummat dengan kitab Allah (Wahyu dan syariat Islam)
c). Pemimpin yang mampu merencana urustadbir negaranya dengan bijaksana.
d). Pemimpin yang serius berusaha menyucikan rakyatnya daripada dosa dan noda, dengan berusaha sekeras mungkin menghapusakan program mungkar dan maksiat.
Ketiga-tiga ayat tersebut mengariskan secara umum rangkaian dakwah dan Politik Islam. Justeru itu selaku pengikut kepada Nabi Muhammad dan Nabi Ibrahim, kita juga hendaklah mempastikan kepimpinan ummat ini dipimpin oleh mereka yang dijelaskan di dalam ayat tersebut. Berdoa untuk kebaikan diri, keluarga dan zuriat akan datang tidak akan sampai kemana jika tidak berusaha bersungguh-sungguh bagi mempastikan kepimpinan akan datang adalah pemimpin yang soleh.
Itulah huraian 30 minit yang saya sampaikan pada hari itu. Huraian 30 minit dari 3 ayat itulah menyebabkan saya menjadi tahanan ISA selama 3 tahun. Alhamdulillah....
Untungnya khatib muda itu membaca khutbah di negera Kemboja. Jika khutbah yang beliau baca hari itu dibaca di Malaysia, sudah pasti beliau akan ditahan dibawah akta ISA.Alangkah baik jika Dato JJ ada sama didalam masjid Kampung Kendal pada ketika itu.
2 comments:
Kalau JJ ada kat Masjid Kg Kendal,parah lah tok imam muda tu kena raba
saya pun ada waktu uztaz baca huraian ayat tu
Post a Comment