03 December 2008

Hukum bersentuhan lelaki dan perempuan yang bukan Mahram.


"DALIL-DALIL YANG DIHINGGAPI "IHTIMAL" TIDAK LAGI BOLEH DIGUNAPAKAI MENJADI DALIL"
--------------------------------------------------------
Hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan Mahram telah banyak dibahaskan oleh Ulama sejak dahulu. Namun suka saya mengajak pembaca semua untuk mengulangkaji permasaalahan ini agar ilmu kita sentiasa diperbaharukan dari masa kesemasa.

Dalam soal bersentuhan kulit lelaki dengan kulit perempuan yang bukan mahram dan bukan kanak-kanak, secara umumnya terdapat dua pandangan ulama'. Pendapat yang pertama mengatakan tidak batal wudhu disebabkan sentuhan itu. Manakala pendapat yang kedua mengatakan terbatal wudhu', samaada orang yang menyentuh atau orang yang disentuh. Samaada secara syahwah ataupun tidak.
1. Hujjah pendapat yang pertama.

a). Hadis riwayat Imam Ahmad;
Maksudnya: "Dari Habib ibnu Abi Thabit, dari Urwah dan dari Aisyah r.a.h bahawasanya Rasulullah saw mencium sebahagian isyeri Baginda, kemudian Baginda keluar menunaikan solah dan Baginda tidak berwudhu terlebih dahulu".
b). Hadis riwayat Abu Rouq di dalam kitab Al-Majmu' juzu' 2 halaman 33;

Maksudnya: " Dari Ibrahim At-Taimi dari Aisyah r.a.h beliau berkata; Bahawasanya RasuluLlah saw mencium isteri Baginda sesudah berwudhu, kemudian Baginda tidak mengulangi wudhu'nya".

c).
Hadis Bukhari didalam "Fathul Baari juzu 2 halaman 135;

Maksudnya: " Dari Aisyah r.a.h, beliau berkata; Adalah aku tidur di hadapan Rasulullah saw, dan kakiku dipihak kiblat Baginda. Apabila Baginda sujud ia tolak kakiku (dengan tangannya) maka aku tarik kakiku, dan apabila Baginda berdiri aku luruskan kembali".

d). Hadis riwayat Muslim;

Maksudnya:
" Dari Ummul Mu'minin Aisyah r.a.h beliau berkata; Aku kehilangan Rasulullah saw ketika tidur. Maka aku berdiri mencari Baginda . Maka terpegang tangan aku akan tumit Baginda. Apabila Baginda selesai solah, Baginda bersabda; telah datang kepadamu oleh syaitanmu".

2. Hujjah Pendapat yang kedua.

a). Firman Allah swt di dalam surah An-Nisa ayat 43;

Maksudnya:

"Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu Dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa Yang kamu katakan. dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu Dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. dan jika kamu sakit, atau sedang Dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh Dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu, Yang suci, Iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun".

b). Ucapan Abdullah bin Umar didalam kitab Muwatha' juzu 1 halaman 65;

Maksudnya:
Mengkhabarkan kepada ku oleh Yahya dari Malik dari Ibnu Syihab, dari Salim bin Abdillah dari bapanya Abdullah bin Umar, beliau berkata; "Ciuman laki-laki atas isterinya dan menyentuh ia dengan tangannya adalah termasuk mlamasah, maka barangsiapa mencium isterinya atau menyentuhnya dengan tangannya maka wajib ia berwudhu' (kalau akan menunaikan solah)".

Huraian

Pihak yang Pertama berpendapat perkataan "اولامست النساء" ( atau menyentuh kamu akan perempuan) di dalam surah An-Nisa' itu memberi makna "bersetubuh atau jima'". Oleh itu Firman Allah di atas tidak menjadi dalil batalnya wudhu' apabila bersentuhan kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi.

Pihak Kedua mempertahankan hujahnya dengan kata mereka;

1). Perkataan "Lamasa" didalam ayat tersebut tetap memberi makna hakiki ( iaitu bersentuhan bukannya jima'). Di dalam kamus Al-Muhit juzu 2 halaman 249 menyebut; makna Lamasa ialah " Al-Jassu bil Yady" iaitu menyentuh sesuatu dengan tangan. Tambahan pula didalam ayat yang lain Allah berfirman;

Maksudnya: "Dan kalau Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) sebuah Kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya Dengan tangan mereka, nescaya orang-orang Yang kafir itu berkata: "Ini tidak lain, hanyalah sihir Yang terang nyata". (Al-An'am ayat 7).

Sepakat ulama mufassirin mengatakan perkataan "lamasu" didalam surah Al-An'am ini bermakna menyentuh dan tiada makna yang lain daripada makna hakiki.

2). Di dalam kitab "Lu'lu' wal Marjan juzu 2 halaman 150, telah diriwayatkan sebuah Hadis Rasulullah saw berkenaan hukum jual beli. Hadis tersebut menyebut;

"Dari Abi Hurairah bahawasnya Rasulullah saw melarang jualbeli secara Mulamasah dan Munabazah". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jualbeli secara "Mulamasah" ialah si pembeli berkata; Apabila engkau menyentuh kainku dan aku menyentuh kain engkau maka berlakulah jual beli antara kita. Perkataan mulamasah didalam hadis tersebut tidak pernah diberi makna selain daripada "sentuh". Oleh itu usaha untuk menukar makna "lamasa" dalam surah An-Nisa diatas kepada makna "jima" tidak dapat diterima.

Jika dilihat kepada hujah dan pendalilan kedua-dua pihak, maka pendapat yang kedua adalah lebih kuat untuk diamalkan. Ini adalah kerana;

1). Hujjah pertama yang dikemukakan oleh pihak yang pertama adalah Hadis Dhoif. Kedaifan tersebut diakui oleh Sufian As-Sauri, Yahya bin Sa'id Al-Qattani, Abu Bakar An-Naisabury, Abu Hassan Daruqtuny dan lain-lain ulama Muhadisin. Sehingga Imam Ahmad bin Hambal yang meriwayatkan hadis tersebut berkata; Bahawa Habib Ibnu Thabit yang meriwayatkan hadis ini telah tersalah dari hukum mencium orang berpuasa kepada mencium orang berwudhu' ( lihat Majmu' juzu 2 halaman 32 dan Miizanul I'tidal oleh Az-Zahabi juzu 3 halaman 65)

2) Hadis di dalam hujjah kedua yang dikemukakan oleh Pihak yang pertama terdapat seorang yang bernama Rouq. Beliau di dhaifkan oleh Ibnu Mu'in ( lihat Majmu' jilid 2 halaman 33). Di dalam riwayat tersebut juga disebutkan bahawa At-Taimi mengambil hadis daripada Aisyah r.a.h. sedangkan kenyataannya At-Taimi adalah Tabi' At-Tabi'in. Beliau tidak sempat bertemu dengan Aisyah. Ini bermakna terdapat seorang perawi yang gugur, menjadikan hadis ini berstatus "Mursal". Hadis yang Mursal sama darjatnya dengan hadis Dhaif dari sudut tidak boleh dijadikan hujjah dalam perkara hukum.

3). Didalam hujjah yang ketiga oleh pihak yang pertama terdapat kalimah yang boleh di "Ihtimal"kan kepada satu ketidakpastian. Dinyatakan Rasulullah menolak kaki Aisyah dengan tangan Baginda. Ketidakpastian disini ialah "mungkin ketika itu Baginda menyentuh kaki Aisyah yang dibungkus oleh kain selimutnya. Begitu juga sifatnya dengan hujjah yang keempat. Kaedah fiqh menyebutkan;

الدليل اذا طرقه الاحتمال سقط به الاستدلال
" Dalil-dalil yang dihinggapi "Ihtimal" tidak boleh lagi dipakai menjadi dalil".

Sebagai penutup saya bawakan mafhum pendapat Imam An-Nawawi didalam kitab beliau Syarah Muslim juzu 4 halaman 229-230 dengan katanya;

" Menurut fatwa jumhur,( bahawasanya bersentuh perempuan membatalkan wudhu) mereka meletakkan hadis yang mengatakan Rasulullah menyentuh Aisyah itu adalah sentuhan berlapik. Maka hadis tersebut tidak membuktikan bahawa bersentuhan lelaki dan perempuan yang bukan Mahram itu tidak batal.

Wallahu 'Allam bis Sowab

9 comments:

abu 'iffah said...

syukran ustaz.. saya bertanya sebab ada sstengah individu yg mengambil pndapat prtama. so saya inginkan hujah sblum saya ambil mana2 pndapat untuk diamalkan. syukran jaziilan.

Nama: Khairul Azmi Ismail Al-Muqry said...

Maaf ana tmbah ckit ust. sbb masih ramai yg keliru antara hukum adakah batal wudhuk sentuh prmpuan bkn mahram, dan antara hukum sentuhan tersebut.

Ttg masalah wudhu' us dah trgkan. adapun ttg sentuhan tersebut jika disengajakan walaupun bersalaman antara lelaki dan perempuan , ulama' dlm mazhab empat semuanya menghukum haram melainkan pendapat yg syaz (ganjil) saja.

BlueSky said...

bagaimana pula hukum bagi guru (lelaki/perempuan) yang menyentuh pelajarnya (perempuan/lelaki) atas tujuan pengajaran atau pendidikan?

contohnya: jurulatih martial arts di negara kita ni agak sedikit.jadi perempuan yang nak belajar martial arts ni akan berguru dengan jurulatih lelaki.dlm martial arts ni,bersentuhan tu adalah lumrah.

jadi,apakah pandangan kalian?

harissa.cha said...

ustaz apakah hukum nyer kalau lelaki yang baligh tidur bersama dengan adik saudaranya (perempuan) yang sudah baligh.... bukankah haram kerana ia bukan mahram? saya perlukan jawapan yang cepat..
terima kasih

Husnul Syamil said...

apakah hukum lelaki yang sudah baligh tidur dengan adik saudaranya (perempuan) yang sudah baligh ? bukankah haram kerana mereka bukan muhrim?
P/s tolong jawab dngan cepat. terima kasih

sdg bljr said...

ustaz,mcm mana dgn sentuhan yg disengajakan dan berlapik kain antara lelaki dan perempuan bukan muhrim? apa hukumnya? p/s: i need answer asap

Unknown said...

ibnu abbas mengatakan makna laamas tumun nisa itu bermakna jima' (Tafsir ibn Katsir). setelah saya teliti ayat-ayat yang menggunakan lafaz lamasa dan bertemu dengan kata an-nisa selalu bermakna Jima'. kalau yang dijadikan dalail adalah kata lamasa yg bertemu dengan kata kitab seperti yang ust ungkapkan sepertinya kurang tepat karena konteksnya berbeda.


Unknown said...

salam..ustaz..batalkah pose sseorg itu jika dia tsentuh sseorg yg bkn muhrim baginya??

Unknown said...

salam..ustaz..batalkah pose sseorg itu jika dia tsentuh sseorg yg bkn muhrim baginya??